Tuesday, February 2, 2010

Jelajah Jordan


Hari pertama 29 Januari 2010

Coaster mengambil kami berenam di sakan Yarmouk sekitar jam 9 pagi. Di dalam coaster sudah ada sepasang suami isteri, 2 orang ustaz selaku pengelola program jelajah ini dan pakcik pemandu.

Kemudian coaster bergerak ke kawasan berdekatan pasar raya simsima untuk mengambil 3 orang pelajar lelaki yang menuntut dalam bidang perubatan di Rusia. Yang menarik, salah seorang daripada mereka adalah Chinese.

Sungguh. Saya rasa ada kelainan pada Tang (nama Chinese tu)

Dalam pada itu, kami berta'aruf ringkas dengan makcik Norainun yang Ainun panggil sebagai ummu . Mereka berasal dari Terengganu. Sebenarnya, mereka dalam perjalanan untuk menziarahi anak perempuan mereka yang belum tamat peperiksaan di Alexander, Mesir. Kata makcik: "Anak makcik cakap, mak jalan-jalan la dulu".

Saya senyum. Bila la pula mak nak bertandang ke sini..?

Program kami hari ini adalah menerokai kota 'Ajloun dan Bandar Jarash. Saya kira tidak perlu lagi diceritakan sejarah kedua-dua lokasi ini kerana saya pernah berkongsi dulu, kan?

Namun, ekspedisi di kota 'Ajloun kali ini sangat menarik berbanding semesa lawatan markaz lughah dulu kerana seorang pakcik arab sudi berkongsi banyak fakta dengan kami.

Sungguh . Sangat banyak. Hampir setiap peristiwa dan motif reka bentuk bengunan diceritakan secara terperinci bersama sumber rujukan yang diambil.

Sepanjang lawatan ini, saya menjadi tourist guide percuma kak 'Adnin yang baru pertama kali menjejakkan kaki di dua lokasi bersejarah dunia itu.

Kemudian kami bergerak ke Amman yang memakan masa sekitar 1 jam dari Bandar Irbid.

Tiba di Amman, kami check-in di Hotel 'Amirah. Belum sempat merehatkan badan sepenuhnya, geng-geng JPA mengajak kami untuk menyertai ekspedisi baru iaitu menjelajah Mecca Mall. Makcik dan pakcik pun ikut serta. Saya kira mereka berdua sangat sporting-santai-menyeronokkan.

Mecca Mall seakan-akan Mini Mid Valley. Dipenuhi kedai-kedai branded yang mahal. Huhu.. Geng-geng JPA yang 'kaya raya' sibuk membeli belah.

Saya, kak 'Adnin, makcik dan pakcik pulang lebih awal memandangkan mata sudah sukar untuk dibuka.

Yang lucu, kami berlapan tidak ingat jalan ke hotel. Alhamdulillah makcik ingat-ingat lupa nama-nama lorong dan kedai-kedai sekitar hotel tersebut. Jenuh juga kami menunjuk arah jalan kepada pemandu teksi.

Setelah kami berempat selamat sampai dengan penuh kepayahan (",), pakcik minta agar pemandu teksi itu sendiri menerangklan kepada pemandu teksi yang membawa geng-geng JPA..

Kami tidak dapat menahan ketawa. Kata pakcik,

"Nak keluar pandai ja, tapi tak ingat jalan balik.."

Hari kedua 30 Januari 2010

4 orang ahli rombongan dari Mesir selamat tiba sekitar jam 1 pagi. 3 pelajar perubatan dan seorang bapa kepada salah seorang pelajar tersebut.

Sekitar jam 8 pagi, kami mula bertolak ke selatan Jordan. Program hari ini ialah menjelajah Petra. Perjalanan memakan masa sekitar 4 jam menggunakan highway padang pasir.

Sebelum itu, kami singgah di Wadi Musa iaitu tempat persinggahan Nabi Musa yang mana terdapat Mata Air Nabi Musa.

Dikatakan bahawa terdapat 2 mata air Nabi Musa berdasarkan perceritaan dalam alQuran. Yang pertama, Nabi Musa memukul tongkat dan memancar 12 pancaran air mata dari batu dan kawasan itu terletak di Syria. Yang kedua, Nabi Musa berdoa kepada Allah lalu mengalir air dari bawah batu dan ini yang sedang kami lawati.

Sungguh. Ekspedisi ke Petra sangat menyeronokkan dan meletihkan. Saat melihat ukiran hebat bangunan dari celahan lorong,, saya tidak percaya bahawa saya sedang berada di dalam kawasan bersejarah yang disebut sebagai antara keajaiban dunia.

Sejarah Petra sangat panjang. Biar saya ceritakan yang ringkas-ringkas sahaja.

Petra adalah kawasan tinggalan ummat Nabi Salleh a.s iaitu kaum Tsamud. Seperti mana yang kita tahu bahawa kaum Tsamud memang dianugerahkan oleh Allah kepakaran dan kemahiran memahat gunung untuk dijadikan istana dan penempatan mereka seperti yang disebut dalam surah alAraaf ayat 74.

"dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad dan ditempatkan kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanah yang rata, dan kamu memahat gunung ganangnya untuk dijadikan rumah maka kenanglah nikmat0nikmat Allah itu dan jangalah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi"

Namun mereka kufur dan diazab Allah dengan gempa bumi yang dahsyat.

Saat melewati bangunan-bangunan yang di pahat dengan penuh kesenian dan ketelitian yang tinggi, saya terfikir sendiri, maha hebatnya Allah yang menciptakan manusia-manusia yang hebat.. Ya, memang mereka hebat, tetapi siapakah yang menciptakan mereka? Pasti yang menciptakan itu lebih hebat berlipat kali ganda.

Kemudian kami bergerak ke lebih selatan iaitu 'Aqabah.

Untuk pengetahuan kalian, 'Aqabah terletak di utara Laut Merah dan merupakan antara kawasan peranginan terkenal di Jordan. Dan anda boleh melihat bangunan-bangunan di tepi pantai Bandar Israel yang hanya di sebelah pantai sana.

Malam itu kami diberi tempoh untuk aktiviti bebas. Sungguh. Barang-barang di Aqabah sangat murah seperti yang pernah Hadeel ceritakan kerana di sini adalah kawasan bebas cukai. Anda boleh mendapatkan kasut sekitar hanya 2.5 jd berbanding 4jd ke atas di Irbid.

Hari ketiga 31 Januari 2010

Pagi itu kami bersiar-siar di kawasan pantai. Terdapat satu tiang bendera yang dikatakan tertinggi di dunia berhadapan dengan pintu masuk muzium Aqabah.

Kalian mahu tahu bendera apa yang megah diagungkan tu?

Sungguh. Saya terkejut saat mendapat tahu bahawa itu adalah bendera yang digunakan oleh bangsa arab semasa menentang kerajaan Islam Uthmaniyyah.

Kemudian kami menaiki glass boat yang dikatakan dapat melihat hidupan di dasar air dan kesan-kesan tinggalan perang dunia pertama seperti kereta kebal dan lain-lain. Namun, Allah izin, laut bergelora dan ombak besar menghalang hasrat kami. Jadi kami hanya melihat pemandangan darat

"Di sana Israel", kata pemandu bot tersebut sambil menyedut asap rokok.

Saya hanya diam. Aneh melihat mereka yang setiap hari melihat tanah air mereka yang kini telah dirampas namun tanpa ada usaha untuk memerdekakannya semula.

Sungguh. Israel hanya ketawa melihat betapa bodohnya mereka. Dihalau dan dibunuh namun kini terus lupa. Merokok, coca cola, pepsi, KFC dan hiburan sana-sini. Terus leka dan tidak sedar bahawa mereka sebenarnya dihina dan dilekehkan.

Selepas itu, kami meneroka muzium dan kota lama Aqabah.

Kalian masih ingat saya pernah berkongsi tentang kisah Lawrence of Arabia?

Aqabah adalah antara sejarah besar dalam peristiwa pemberontakan tersebut. Hal ini kerana Aqabah merupakan antara kota pertahanan penting bagi kerajaan Islam Uthmaniyyah. Apabila Aqabah jatuh ke tangan penentang arab, maka bermakna pertahanan Uthmaniyyah turut tempang.

Sejarah kota Aqabah sangat panjang. Saya sekadar bercerita ringkas. Dikatakan Saidina Umar alKhattab pernah singgah di sini sekitar 639 masihi dan Amru al'Asr pernah berkubu di sini bersama tentera Islam pada tahun 634 masihi.

Semasa penentang Arab yang dipimpin oleh Lawrence of Arabia berjaya menawan kota ini, sebagai penghinaan kepada tentera-tentera Uthmaniyyah, mereka sengaja berbaris panjang mengiringi tentera-tentera tersebut keluar dari Aqabah. Kemudian mereka masuk sambil meraikan kemenangan. Hal ini bersamaan dengan peristiwa semasa Khalifah terakhir kerajaan Islam Uthmaniyyah keluar dari istananya.

Sungguh. Sehingga kini mereka bangga dengan penentangan tersebut. Betapa dahsyatnya kejayaan kuffar menanam kebencian masyarakat Arab terhadap Khilafah.

Pada saya, orang yang bangga dengan penentangan tersebut samalah dengan manusia-manusia yang menyembelih saudara-saudaranya di Palestin sana. Ya, kerana bermulanya pembunuhan beramai-ramai ummat Islam di seluruh dunia adalah selepas berakhirnya pemerintahan Islam.

Oh ya, saya terlupa untuk berkongsi bahawa di sekitar Aqabah juga berlakunya peristiwa Ashabul Sabt iaitu peristiwa kaum yahudi yang bertukar menjadi kera akibat melanggar larangan Allah daripada menangkap ikan pada hari Sabtu.

Kemudian, kami bergerak ke Wadi Rum.

Ahli Geologi menyatakan bahawa Wadi Rum terbina dari belahan yang dahsyat di permukaan bumi akibat gangguan pergerakan plat bumi yang hebat sehingga memecahkan batuan granit yang terlalu besar dan tebing batuan pasir dari banjaran Afro-Arab.

Kisah di Wadi Rum juga panjang. Biar saya coretkan yang pendek-pendek.

Apa yang menarik di sini ialah di Wadi Rum ini merupakan kubu penting dan di sini juga merupakan tempat bermulanya pemberontakan yang dipimpin oleh Raja Faisal ibn Hussein ibn Ali dan T.E Lawrence.

Kami singgah di 3 checkpoint daripada 12 checkpoint yang ada di Wadi Rum.

-melewati Rum Village yang merupakan penempatanpenduduk yang rata-ratanya adalah arab badawi.

-singgah di Lawrence Spring atau Mata Air Lawrence. Terdapat tulisan yang diukir di batu berhampirannya dipercayai lukisan dan tulisan kaum Tsamud.

-Kazali Canyon yang merupakan antara bukit besar yang terdapat di Wadi Rum, terbahagi 2 dan di antara dua bukit tersebut terdapat lorong yang mana di dalamnya wujud kesan lukisan tinggalan kaum Tsamud.

-Bukit pasir. (tak ada nama rasanya) Pasir yang dibentuk tinggi sangat halus kerana dibawa oleh angin. Di sini, kami berlari ke puncak dengan penuh kepayahan. Saya, Tang dan kak 'Adnin seri.

Kami bertolak pulang ke Amman. Kaki dan belakang saya sedikit kejang di dalam coaster. Mungkin akibat berlari dan berjalan jauh kemudian terus duduk berjam-jam.

Hari keempat 1 Februari 2010

Sekitar jam 8.45 pagi, kami bertolak ke Muzium Kereta Diraja Jordan. Rupa-rupanya muzium dibuka pada jam 10 pagi, bemakna berbaki hampir 1 jam. Ustaz membawa kami bersiar-siar di sekitar kawasan muzium.

Muzium kereta ini seperti mana adanya perkataan kereta dalam namanya bermakna memang hanya kereta-kereta dan motosikal sahaja yang dipamerkan.

Walaupun sangat mengagumkan, namun jika dilihat daripada kaca mata Iman dan Islam, semua kereta-kereta dan motosikal-motosikal mewah itu tiada nilai sedikitpun dalam menyumbangkan kepada kebajikan kaum muslimin.

Kemudian kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu makam nabi Yusha Bin Nun. Mengikut ahli tafsir, ayat 60 surah alKahfi yang menyebut anak murid nabi Musa tersebut adalah nabi Yusha.

Seperti mana yang kita tahu bahawa nabi Musa semasa hayatnya tidak sempat menawan Baitul Maqdis dan usaha ini diteruskan oleh nabi Yusha yang diangkat menjadi ketua oleh kaum nabi Musa a.s..

Kisahnya panjang. Saya senang berkongsi ringkas sahaja.

Selepas itu, caster membawa kami ke makam nabi Syuaib a.s.. Nabi Syuib seperti mana yang kita tahu telah dihantar oleh Allah kepada kaum Madyan yang engkar melakukan penipuan timbangan dalam jual beli dan menjadi samseng di jalan raya dengan menghalang orang-orang yang mengikut ajaran nabi Syuaib a.s..

Sehingga mereka diazab dengan panas terik yang menderita. Dalam pada itu, Allah hadirkan wan gelap yang disangka membawa hujan. Mereka berlari ke arahnya namun yang terpancar adalah percikan api dan disusuli dentuman kuat guruh petir dengan ledakan dahsyat serta bumi yang bergonjang hebat.

Kemudian kami ke Laut Mati.

Saya kira laut Mati sudah cukup masyhur dengan kisah azab dan keunikannya. Seperti mana yang kita tahu bahawa Laut Mati adalah kesan azab Allah ke atas kaum nabi Luth iaitu kaum Sodom yang melakukan amalan terkutuk.

Laut Mati ini terkenal sebagai kawasan terendah di dunia iaitu 397meter di bawah paras laut. Keluasannya ialah 48batu panjang x 10 batu lebar dan bersempadan dengan kawasan Tebing Barat, Palestin. Anda boleh melihat tanah Palestin yang lapang dengan padang pasir yang cuma berhadapan dengan anda ketika anda sedang enak terapung.

Selesai ahli rombongan lelaki bermandi-manda dengan air masin, kami bergerak pulang ke hotel di Amman.

Hari kelima 2 Februari 2010

Hari ini adalah hari terakhir penjelajahan kami.

Ekspedisi pertama ialah menjelajah Jabal Qala'ah (Philadelphia) yang merupakan pusat pebtadbiran setelah Gerasa semasa pemerintahan Rom di Asia Barat.

Kota ini merupakan salah satu daripada kota-kota Decapolis Rom dan pernah berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.

Kemudian kami bergerak ke Abu Alanda yang mana di sana terletaknya Gua Ashabul Kahfi. Jika anda pernah menonton kisah Ashabul Kahfi pasti anda tidak akan merasakan bahawa batu-batu dan gua kosong yang hambar sebagai sesuatu yang biasa.

Sungguh. Mereka adalah pemuda-pemuda ajaib yang diciptakan Allah sebagai kekuatan kepada kita. Mereka telah mencapai kepada kesempurnaan iman yang tertinggi iaitu mengisytiharkan keimanan di hadapan pemerintah yang zalim namun kita? Selalu sahaja memilih hirisan nipis iaitu membenci kemaksiatan dalam hati..

Saya menghantar kiriman rindu pada ibu,

"Askm mak, hasna' dkt gua Ashabul Kahfi.."

Beberapa minit kemudian, kiriman balas ibu berbunyi.

"ingatlah kehebatan pemuda2 yang diceritakan dalam alQur'an..juga seperti yg kita tengok dalam cd alkahfi..mohonlah pada Allah agar dikurniakan iman seteguh mereka iA.."

Saat itu tanpa disengajakan, air mata mengalir dan hati dirimbun sebak.

Sungguh. Siapakah saya dengan mereka? Lantas hati menyusun doa dan di akhir bait, saya pegang rahim.

"Ya Allah, semoga dari rahim ini lahirnya manusia hebat seperti mereka..amin."

Kemudian coaster menuju ke Quseir Amra iaitu Hamaam (rumah atau bilik mandi) yang seakan-akan spa dan sauna. Dibina semasa pemerintahan khalifah Umayyah iaitu Walid 1.

Selesai menikmati ukiran unik di di bumbung kubah yang dilindungi di bawah warisan kebudayaan dunia oleh UNESCO, kami dibawa pula ke Qasr Kharranah yang merupakan binaan di zaman Umayyah yang bertujuan sebagai pertahanan.

Binaan ini mempunyai 61 bilik dan kelengkapan-kelengkapan lain seperti masjid, longkang air, lubang perudaraan, kandang kuda dan sebagainya.

Selepas itu kami bertolak pulang ke Irbid.

*gambar-gambar insyaAallah saya upload kemudian..



No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.