Wednesday, December 2, 2009

Saya harus belajar untuk dewasa..


"Ya Allah, jadikanlah kami menjadi satu USRAH di dunia,
dan satu USRAH di akhirat kelak.." -Ummu Zubair-

Kehidupan ini sentiasa kehadapan. Sentiasa berjalan . Melangkah terus. Mustahil untuk berhenti. Dan tidak akan sama sekali berpatah balik.

Ya. Kehidupan akan sentiasa dewasa. Masa lalu akan ditinggal belakang. Waktu semalam mustahil dibawa bersama dan semestinya, kenangan lalu, tidak akan sesekali berulang..

Hati ini meronta untuk saya berkongsi bersama kalian sesuatu yang sedang meruntun hati saya kini. Sesuatu yang telah mengalirkan air mata ini.

Mungkin ini akan melucukan kalian. Atau mungkin ini sekadar biasa-biasa saja bagi kalian. Atau mungkin ada yang akan berbisik.."la..ini ke yang hasna' duk sedih sangat..ingatkan apala..". Atau pelbagai lagi yang akan muncul di fikiran kalian.

Namun tidak bagi saya. Tidak bagi saya yang baru belajar untuk dewasa. Yang baru bertatih untuk mengenal kehidupan luas. Yang baru melangkah untuk meredah belantara dunia.

Saya masih perlu belajar menerima keadaan. Masih perlu belajar untuk sedar dan faham bahawa dunia tidak pernah sama dan semuanya sedang membesar, sedang dewasa, sedang berusia dan sedang segala-galanya.

Dan manusia-manusia yang sentiasa bersama saya tidak akan selama-lamanya bersama saya. Manusia-manusia yang selalu membentuk, menyokong, melentur, mendidik dan memeriahkan kehidupan saya selama ini tidak akan selama-lamanya berada hampir dengan saya. Mereka juga akan pergi..

Entah. Ketika saya menerima berita itu, saya rasakan suatu perasaan sedih, pedih dan sayu seperti yang pernah saya lalui suatu ketika dulu. Air mata yang saya alirkan bersama perasaan dan kenangan sama seperti yang pernah saya alirkan dulu. Ya. Suatu ketika dulu ketika ayah meninggalkan saya.

Namun, kali ini, tiada siapa-siapa yang meninggalkan dunia..(",)

Cuma, seseorang yang saya sayangi, tempat saya bermanja, tempat saya dipujuk, tempat saya bercanda, tempat saya mengadu, tempat saya mendapat banyak hadiah (",), tempat saya bercerita, tempat saya belajar dan tempat segala-galanya sebagai seorang adik bakal menjadi milik orang lain..

Ya, kakak yang menjadi ikon saya bakal menjalani kehidupan baru, bakal berada dalam suasana baru, bakal berada dalam keluarga baru. Walaupun cepat atau lambat, dia tetap akan pergi.. Walaupun masa itu belum ditetapkan, dia pasti pergi juga suatu masa nanti..

Saya harus belajar untuk menerimanya. Saya harus belajar untuk sedar bahawa itu yang dinamakan kehidupan.

Satu-satunya kakak yang saya ada, dan yang saya sayang tidak akan selama-lamanya akan memujuk saya. Ibu yang selama ini melentur saya tidak akan selamanya dapat membentuk saya. Abang yang yang selama ini prihatin dan meriangkan tidak akan selamanya dapat menjaga saya. Dan adik yang selalu sabar dan melayan karenah saya, tidak akan selamanya ada untuk saya bermesra sentiasa..

Kehidupan sentiasa berjalan. Dan akan terus berjalan. Mustahil untuk berhenti dan berpaling..Saya yang harus belajar untuk dewasa lekas..

Doakan saya teman..semoga saya istiqamah..

Sunday, November 29, 2009

ADHA pertama yang penuh bermakna..

Hari ini adalah hari ke 3 saya menyambut ADHA di bumi seerah perang Yarmouk ini. Dan hari ini juga menjadi antara pelengkap kepada rasa syukur saya atas susunan Allah yang menghantar saya untuk meredah kehidupan di sini.

Sungguh. Saya terlalu bersyukur.

Pagi itu kami meneruskan ekspedisi ziarah ke rumah senior-senior JUST pula. Senang menjalinkan silaturrahim dan seronok berta'aruf (walaupun nama selalu lupa)..Semoga dengan usaha kecil ini dapat membina jambatan hati antara kami dan mereka. Walaupun tidak dapat menziarahi semua rumah kakak-kakak tetapi Alhamdulillah, kami tetap bersyukur kerana dapat memenuhi semua undangan yang diajak..

Kemudian petang itu kami ke rumah Zainah. Hulwa ada bersama menyambut kami. Mereka menjamu kami spagetti, Kimchi, Kim, Chippo dan Tuibab..Tidak tahan melayan keletah lucu Zainah yang comel. Dan mereka juga tidak tahan melayan karenah kami yang sedikit jakun. Lebih-lebih lagi ketika kak 'Adnin belajar menggunakan chop stick..

Semasa kami sudah selesai makan dan bersembang-sembang, saya meminta izin untuk ke tandas. Ketika saya keluar, Kak 'Adnin memanggil saya lekas. "Zainah tanya, kenapa ada orang Islam tak solat? sebab dia ada kawan muslim yang tak solat.."

Saya yang terpinga-pinga cuba mencari idea. Ya Allah, bantulah dan mudahkanlah.. Saat menatap wajahnya yang menunggu penuh minat, saya cuba berkata-kata sekadar yang terlintas atas izin Allah..

"May be he doesn't know. Because every muslim has to pray to appreciate God. We have to appreciate God who creates us.."

"He creates us from nothing and give us foods, life and every thing. So thats why we have to appreciate him."

"God asks us to pray in Quran. So, those who does'nt reads Quran,he does not know what God has said.."

"It is not good. There are a lot of muslims who declare they are muslim but do not know how muslim should behave.."

"Like cristians too who have bible but just a little of them applied it in their life..is it right?"

Dia mengangguk. Tampak dia faham dengan apa yang cuba saya sampaikan walaupun saya masih belum berpuas hati dengan jawapan yang saya beri. (Rasa macam tak menjawab persoalan dia. Ada sesiapa yang nak membantu?)

Dan buat pengetahuan semua, Zainah tidak menganut mana-mana agama. Justeru, saya masih dalam proses untuk menerangkan dia akan kepentingan berTuhan dalam kehidupan manusia..

Kemudian, ketika azan Maghrib berkumandang sekitar jam 4.30 petang, kami meminta izin untuk pulang kerana pada jam 5 petang, kami perlu mengikuti program anjuran PERMAI di Dewan alKhindi, Universiti Yarmouk..

Sungguh. Saya benar-benar tersentuh dengan semua program yang berjalan sepanjang malam itu. Lebih-lebih lagi persembahan lakonan dan bicara pengacara yang banyak mengingatkan saya pada suatu tempat kenangan. (Mana tidaknya, Hilal pengacaranya..) Sungguh. Saya rindukan bumi wakafan itu..



spagetti dan sandwich..


kimchi..sangat spicy..


chippo..ikan yang disalut dengan manisan..sangat sedap..


kim..dari lumut laut..macam sushi punya kulit..


makan dengan nasi..guna chop stick..


paecaya atau tidak, ini buku qawaid bahasa Arab..


perasmian..sangat unik..Pengarah MSD diminta untuk memotong leher replika kambing biri-biri..


talkshow..santai tetapi bermakna..



berbaris untuk makan..


daging kambing dan unta..


unta..sedap..


kambing..selalu dah makan..

Doakan saya teman..Semoga istiqamah di atas jalan ini..

Saturday, November 28, 2009

raya kedua..

Pagi tadi, sekitar jam 9 kami bertolak ke Syajara untuk menziarahi Dr. Yusuf. Sebenarnya rombongan ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar markaz lughah mustawar 4 untuk ahli kelas mereka. Namun memandangkan tidak semua ahli mahu mengikutinya maka atas kekosongan itu, saya diajak oleh kak 'Adnin untuk turut serta.

Perjalanan ke Syajarah dari Universiti Yarmouk hanya mengambil sekitar 40 minit tetapi ketika perjalanan pergi, kami telah tersesat dan mengambil sedikit masa tambahan.



ketibaan kami disambut oleh Dr. Yusuf dan anak beliau..

Ketika kami sampai, kami terus dibawa berjalan oleh Dr. dan anak perempuan bongsu beliau, melihat kawasan perkampungan beliau yang sangat menyeronokkan.


anak perempuan bongsu Dr. percaya atau tidak, dia baru berusia 13 tahun..


ahli rombongan akhawat bergambar bersama Dr..



kebun zaitun..

Di hujung kampung itu terdapat satu wadi (lembah) yang tidak diketahui namanya. Namun yang buat kami tertarik ialah wadi ini ada kaitan dengan sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Mu'az Bin Jabbar sepertimana yang diceritakan oleh Dr. Yusuf kepada pelajar-pelajar lelaki. Yang agak menyedihkan kami tidak dapat menghayatinya dengan jelas kerana mereka duduk agak jauh dan hanya ulangan nama sahabat tersebut sahaja yang dapat kami tangkap..(",)

Wadi ini sangat cantik. Kami betul-betul terpesona.




wadi..



bergambar bersama..




Rumah Dr..


pandangan kampung dari atas bumbung..


Isra' dan anak saudaranya (saya tidak ingat nama)


Rais, cucu sulung Dr..


Sarapan pagi..


bahan-bahan untuk membuat kebab..


ghidai..mansaaf..
teringat saya ketika di rumah Hadeel..


pelajar mustawar 4


Masjid Mu'az Bin Jabbar..


perjalanan pulang..

Sepanjang kami berada di sana, saya tidak dapat menahan perasaan lucu melihat mereka melayan keletah kami yang sedikit merapu. Tampak mereka sangat terhibur. Lebih-lebih lagi menantu sulung Dr., Ummu Rais dan Isra; yang suka melayan.

Ketika makan tengah hari sedang disiapkan, sebagai tradisi arab yang tidak membenarkan tetamu membantu maka Isra' dan kakak iparnya itu sekali lagi membawa kami bersiar-siar mengelilingi kampung..

Kami pulang ketika jam menghampiri pukul 3.50 petang. Rasa terlalu sedih untuk berpisah dengan ahli keluarga Dr. Yusuf yang terlalu baik. Semoga kami akan berjumpa lagi, insyaAllah..

Doakan saya sahabat..Semoga saya dapat mengambil sebanyak-banyaknya di bumi Syam ini..

Malam ini, giliran rumah kami memotong daging korban. Dan untuk maklumat, esok PERMAI mengadakan program bersempena 'Eid Adha di Dewan alKhindi, University Yarmouk pada jam 5 petang sehingga 8.30 malam..

Friday, November 27, 2009

Sehari ADHA di bumi Urdun..

Allahuakhbar. Allahuakhabar. Allahuakhbar. Laila haillah Allahu akhbar..Allahu akhbar walillah ilaham..

Alhamdulillah..Hari ini saya sangat penat, mengantuk, seronok, terhibur, sedih, rindu, bahagia dan berbagai-bagai lagi perasaan yang bercampur baur. Saya tidak tahu mahu bilang apa..

Bahang 'Eid Adha kami rasa bermula malam ketika kami mula menyediakan makanan untuk dijamu pada pagi raya. Sungguh. Kami brtungkus lumus menyediakan nasi impit secara traditional, kuah kacang menggunakan kacang almond dan pudding jagung.

Namun, ketika kami sibuk bergembira, kak 'Adnin dan Asma' mendapat message dari kakak mentor raya mereka untuk mengajak mereka tidur di rumahnya malam itu. (mereka mendapat kakak mentor yang sama). Memandangkan masih banyak kerja yang tidak selesai dan dicampur dengan rumah yang bersepah, saya tidak mahu ikut serta walaupun diajak. Lalu, malam itu saya tidur sendirian di sakan.

Pagi itu, takbir raya selepas solat subuh berkumandang jelas dari corong menara masjid mengalirkan sedikit air mata saya.(sedikit sahaja ya) Lebih-lebih lagi selepas mendapat message dari adik yang bercerita tetang raya mereka..

Selesai bersiap, saya gerak ke masjid Jami'ah, meredah suhu sejuk..

Ketika khutbah, saya agak terhangguk-hangguk kerana sudah 2 malam saya hanya tidur sekitar 4 jam sahaja..(betul..)

Kemudian, kami pulang dan dijemput oleh kak Miza (jiran sebelah kami) untuk berhari raya di rumah beliau. Dan seterusnya kami berhari raya di rumah senior-senior dan kawan-kawan Yarmouk berhampiran Bab Iqtisod.

Ketika jam menghampiri pukul 2.30 petang, kami bergegas pulang kerana kami bercadang untuk 'buat' open house malam itu. Sedikit kelam kabut. Dalam huru hara, kami membantu Asma' menyediakan nasi tomato dan ayam masak merah.

Saya telah menjemput Zainah, sahabat baik Korea saya yang pernah saya ceritakan dulu. Dia adalah tetamu pertama kami yang sengaja dijemput awal . Tepat jam 5 petang seperti yang dijanjikan, dia tiba di rumah kami. Sangat lucu. Dan paling penting, saya nampak dalamnya ada potensi besar. Kemudian tetamu semakin ramai. Dan Zainah seronok melihat keletah kami bersama. Dalam pada itu, dia bertanya kepada saya banyak soalan tentang Islam.

Semasa menghantar dia pulang sekitar jam 7 malam di muka pintu bawah, dia bilang" I'm so lucky to meet you." Dan ketika saya mengatakan bahawa malam itu sangat sejuk, dia jawab" Yes, it really cold but my heart is warmth because of you..". (jangan jeles..) Lebih menyeronokkan, dia menjemput kami untuk ke rumahnya pada hari Ahad ini untuk makan tengah hari. (InsyaAllah, bahan-bahan di sini dijamin halal)

Rumah kami terus didatangi tetamu sehingga jam 9.30 malam..Sangat seronok. Kami bersembang panjang dan berta'aruf lebih mendalam. Bukan senang untuk duduk dan makan bersama kerana selalu sahaja dicemburui waktu..Sungguh ini hadiah ADHA..



kacang almond yang mahal tumpah..(Asma' buat..)


beras dimasak bersama air yang banyak..


dilenyek-lenyek..sangat lenguh..


alat yang diinovasikan..


dimasukkan ke dalam plastik..


dimampatkan..


plastik dipastikan agar benar-benar mampat..


staple..


staple plastik..


cucuk dengan grapu bagi peredaran udara..


ini saya tidak pasti apakah fungsi langkah ini..


hasilnya..Alhamdulillah..


puding jagung saya..


masjid Jami'atul Yarmouk..



sesi bersalaman selepas solat sunat..


beraya di rumah kak Miza, kak Qilah dan kak Me' yah..


posing sebelum keluar beraya..


pergi beraya..


beraya di rumah senior-senior IKIP..


beraya lagi..


bersama Zainah..


hidangan kami yang sederhana sahaja..


bersama tetamu terakhir..


gambar di tangga..

Doakan saya teman..

Tadi petang, seorang pelajar perempuan Malaysia telah dipukul oleh seorang arab dengan paip getah tanpa sebarang alasan..Maklumat memberitahu, orang arab itu sedang bergaduh dengan temannya kemudian ketika akhawat tersebut lalu, terus dia mengejar dan memukul sehingga menyebabkan cedera..Alhamdulillah tidak terlalu serius..

Thursday, November 26, 2009

ADHA yang bermakna..

Berkumandangnya azan Maghrib tadi bermakna kalendar muslim sudah membuka lebaran 10 Zulhijjah..Itulah 'Eid Adha.

Di sini, di bumi Urdun ini, 'Eid Adha disambut meriah berganda daripada 'Eid Fitri kerana masyarakat di sini lebih faham dan sedar akan makna sebenar 'Eid Adha. (Itu satu perkara yang saya kagum).

Semalam , saya mengikuti ceramah sempena 'Eid Adha yang dianjurkan oleh pihak PERMAI (Persatuan Mahasisiwa Irbid) yang disampaikan oleh Ustaz Wan Yusrizal, pelajar Master takhasus Usuluddin di Amman.

Dan pagi tadi pula saya mengikuti program khas untuk akhawat Yarmouk di Casa Intelek anjuran senior-senior IKIP tahun akhir Ekonomi Islam. Tetap sama, mengambil spiritual dari seerah agung Nabi Ibrahim 'Alaihissalam..

Sungguh. Banyak yang kita dapat daripada ADHA kerana banyak pengorbanan yang perlu kita bayar untuk hidup. Dan jika kita kembali muhasabah, apakah yang telah kita sumbangkan untuk pembelaan Islam?

Justeru, apakah kita dikira hidup?



kambing biri-biri yang ditempatkan di hadapan kedai runcit..


Assalamu'alaikum..nama saya Thalhah. Saya ingin menyampaikan ucapan raya...(aik?)


Mereka yang bangga dikorbankan di jalan Allah..(",)

Doakan saya teman semoga selalu di bawah jagaan Allah..

Salam 'Eid Mubarak..

Wednesday, November 25, 2009

Optimislah teman..


Saya tulis ini untuk diri saya dan kalian, pembaca yang saya kasihi..

Sungguh. Saya tulis ini kerana saya sedar bahawa ini sangat penting dalam hidup saya dan hidup manusia lain amnya. Ya, hidup. Hidup untuk menjadi manusia luar biasa. Jika sekadar ingin hidup yang tanpa hidup iaitu hidup sebagai orang biasa-biasa, yang tidak punya perasaan untuk mengubah dunia berkemungkinan bahawa hai ini bukanlah satu masalah besar bagi dirinya.

Sungguh. Saya tercampak jauh di sini, bersama manusia baru, bersama suasana baru, bersama alam baru dan paling penting bersama masyarakat baru..Dan ketahuilah bahawa saya terlalu bersyukur kerana saya belajar banyak. Sangat banyak.

Dan yang paling besar ialah, "hanya manusia luar biasa mampu mencapai kejayaan luar biasa..".

Erti kejayaan di sini cukup luas. Bukan sekadar dalam kantong akademik tetapi mencakupi hubungan sosialnya sehari-harinya. Itu yang lebih utama.

MENGAPA SAYA MEMILIH UNTUK BERKONGSI INI?

Kerana saya sedar bukan semua manusia itu dilahirkan punya peribadi manusia luar biasa. Dan saya termasuk dalam itu.

Tetapi sedarlah bahawa keperibadian itu boleh dan mesti digilap kerana mukmin yang kuat tidak betah menjadikan dirinya penyebab kelembapan DnT. Optimislah dan positiflah dalam kehidupan anda.

Saya dulu seorang yang terlalu sensitive dan mudah terluka. Terlalu mudah merajuk dan murung. Senang menangis atas alasan remeh dan tidak betah untuk menerima teguran lebih-lebih lagi daripada seorang ibu kerana bagi saya (ketika itu), apabila ibu menegur bermakna ibu membenci saya dan mencampak saya jauh. Saya juga sering merasakan bahawa keluarga tidak menyayangi saya.

Alhamdulillah saya punya ibu yang saya kira jarang-jarang ditemui. Menurut anda, apakah ibu saya terus memujuk dan berlembut, membelai saya atau menyapu air mata saya daripada tumpah?

TIDAK. Sama sekali tidak. Ibu tidak sama dengan ibu lembut yang lain tetapi beliau adalah ibu yang telah menyelamatkan anak-anaknya daripada terjun ke neraka hanya kerana sebab-sebab yang sukar seorang anak itu mengerti.

Bilang ibu, ibu tidak mahu seperti ibu lain yang suka memendam sehingga membawa kepada kepedihan hati. Ibu bukan seperti itu. Jika ibu terasa dengan kata-kata atau tingkah laku kami (yang sungguh-sungguh kami tidak sedar) ibu akan berterus terang kerana kata ibu, ibu takut jika ibu terasa dan belum sempat memaafkan lalu ibu pergi, maka kami ditinggalkan dalam keadaan tidak terampun.

Dan perubahan saya memerlukan tempoh yang panjang. Bukan sehari dua atau setahun dua TETAPI 18 TAHUN! 18 tahun, iaitu sepanjang saya bergelar anaknya. Setiap kali ibu berpeluang berdua dengan saya, ibu akan membentuk dengan kata-katanya yang menusuk kalbu. Pedih. Ya, siap suka dirinya ditegur, bukan?

Ibu banyak bercerita tentang realiti. Sungguh. Dalam hidup ini, orang yang tidak punya jiwa besar dan kuat tidak akan bahagia. Orang yang suka terasa dan berlebih-lebihan melayan perasaannya punya potensi untuk gila. Maaf, saya menggunakan kalimah keras ini kerana itu suatu realiti dan kalimah itu jugalah yang digunakan oleh ibu sehingga membuatkan saya berfikir panjang.

Awal saya dengar kalimah itu, saya berputus asa. Saya kira saya memang layak untuk itu kerana ketika itu jiwa saya kecil dan saya tidak merasakan bahawa saya perlu hidup untuk Islam..

Namun, apabila kematangan mula mampir dan saya sudah pandai berfikir baru saya sedar bahawa hidup saya untuk Islam. Dan Islam perlukan saya untuk meng'islah masyarakat. Jika saya punya peribadi yang boleh membawa kepada gila, apakah saya dapat memberi manfaat kepada Islam?

Bermula dengan itu saya mula belajar merendah diri. Saya mula belajar untuk positif dan optimis dalam hidup. Saya mula faham bahawa selagi mana ada manusia yang menegur, selagi itu masih ada manusia yang mencintai kita. Dan ketahuilah bahawa kita tidak selamanya benar.

Dan Alhamdulillah kini, saya nampak natijahnya. Saat saya tercampak jauh, saat saya dikelilingi oleh manusia-manusia asing, saat saya berada di alam asing dan saat saya bergaul dengan masyarakat asing, ketika ini baru saya sedar betapa penting untuk anda selalu optimis dan positif kerana kehidupan tidak selalu menjanjikan kebahagiaan.

Sebagai mana kata-kata dalam Laskar Pelangi,"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya.."

Sungguh. Belajarlah untuk menerima pandangan, nasihat dan teguran manusia kerana selalunya mereka lebih 'arif dengan tingkah kita dan berlapang dadalah serta bersyukurlah kerana masih ada manusia yang berhajat untuk membentuk kita.

Doakan saya teman..


Tuesday, November 24, 2009

Salam 'Eid 'Adha..

Alhamdulillah..Tadi petang, saya sudah selesai menjawab kertas peperiksaan Qawaid fi Usul fiqh. Hehe..Dan saya mungkin orang terakhir keluar. Tidak mengapa Albab ada bersama..(",)

Saya memang tidak gemar keluar awal dalam sesuatu peperiksaan, lebih senang duduk sambil membelek kertas kerana berdasarkan pengalaman, sering kali saat-saat akhir ilham datang atau kita terperasan kesalahan besar yang telah ditulis melainkan kertas subjek yang saya benar-benar yakin. Sebagai contoh tadi, saya siap awal (baca: awal bagi saya..) dan ketika minit-minit terakhir baru saya perasan saya telah meng'i'rab satu kalimah dengan i'rab yang betul-betul berbeza..Alhamdulillah, lekas-lekas saya padam dan diganti dengan i'rab yang sebenar..

Cuma ada satu soalan yang saya tidak pasti..Ada sesiapa yang sudi membantu? .. I'rab untuk kalimah 'lanyassajjananna' (oh, apakah yang saya tulis ni?)

Dan ketika tinggal kami bertiga (saya, Albab dan seorang pelajar wanita), Dr. Asyraf asyik menyebut "Ya banaat..ya banaat" sambil tersenyum. Saya sengih kembali.

Alhamdulillah..dan kata Dr. keputusan akan diberitahu selepas cuti raya. Huu..gerun..

Oh ya, saya ada satu berita menarik yang ingin dikongsi. Sila jangan cemburu.(",). Semalam, kami menyaksikan persembahan Rabbani di Dewan alKhindi, Universiti Yarmouk. Awalnya saya tidak berminat kerana keesokan tersebut adalah peperiksaan qawaid (hari ini) dan saya juga bukanlah penggemar Rabbani tetapi memandangkan malam sebelum itu saya termimpikan Malaysia. (",) Saya mimpi saya pulang ke rumah dan menjamah makan malam bersama keluarga..(huuu......). Justeru, petang itu, saya adalah orang yang paling bersemangat.


pengacara majlis yang fasih berbahasa arab..


Rabbani..tidak pernah terbayang oleh saya untuk menyaksikan konsert mereka

Semenjak pukul 3 hingga 4.30 petang itu, kami merasakan suasana Malaysia. Sungguh. Saya rindukannya!

Doakan saya teman..Semoga istiqamah di sini. Dan semoga saya sentiasa sedar bahawa saya ada tugas berat sepulangnya saya ke Malaysia nanti..

(Albab sudah pulang ke Palestin jam 5 petang tadi..)