Wednesday, January 4, 2012

Junko Furuta dan Islam

Rasa mual. Loya. Pitam. Geram. Marah. Sedih. Pedih. Dan segala bercampur, meronta-ronta saat membaca kisah Junko Furuta yang berlaku pada tahun 1989.


Lantas menyelongkar segala sumber tulisan mahupun video yang berkaitan. Terus menggigit dan menggigil. Jujur, bagai mahu menjerit sekuat-kuatnya kerana kesakitan yang dia alami mengalir dan saya turut merasa pedih dan terseksanya dia.

Allah. T_T.

Boleh rujuk sini dan sini.

keratan akhbar berkenaan Junko

Kisah Junko Adalah Satu Dari Jutaan Kisah Kekejaman Manusia.

Teringat catatan sejarah tulisan Harun Yahya dalam bukunya, “Zaman Kegelapan Dan Era Kebangkitan Islam” dan “Bencana Manusia Akibat Darwinisme” ada mencatatkan ribuan kisah kezaliman dan kekejaman manusia yang menganggap diri sebagai tuhan sehingga berhak mengambil nyawa-nyawa manusia lain.

Semasa dalam pemerintahan diktator Stalin yang menggantikan kuku besi Lenin di Soviet Union sahaja, korban nyawa menjangkau 20 juta orang. Semasa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, 220 000 jiwa dipertaruhkan. Malah jumlah keseluruhan korban Perang Dunia ke II dianggarkan sebanyak lebih 61 juta nyawa. Tidak termasuk peperangan-peperangan seperti serangan kem Sabra Shatilla, Perang Bosnia –Kosovo, Penindasan Muslim di China, serangan Rusia terhadap Chechya, pengkhianatan saudara di Ambon-Maluku dan 1001 catatan berdarah yang lain.

senarai nama mereka yang terbunuh dalam perang Bosnia

Belum lagi kisah-kisah penderaan dan pembunuhan dalam masyarakat dunia umum. Senarai panjang kanak-kanak yang didera sehingga mati serta wanita-wanita yang diperkosa dan dibunuh. Boleh rujuk sebahagiannya di sini.
T_T.

Bagai dapat didengar jeritan sakit mereka. Terngiang-giang. Bagai dapat diresapi penderitaan mereka. Tersentap perit.

Dan mereka terus meraung sehingga nafas terakhir tanpa ada sesiapa yang menghulurkan bantuan. Malah sejumlah besar penjenayah-penjenayah tersebut terbebas ataupun hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan.

“Telah tampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan -
tangan manusia, supaya Allah menimpakan kepada mereka sebagian dari (akibat)
perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”
-arRum:30-
Di Sini Islam Berbicara.

Seluruh respons manusia saat membaca dan melihat video-video berkenaan Junko Furuto ini seperti yang tercatat di ruang-ruang komen, ialah para penjenayah mesti dihukum setimpal, sama seperti apa yang telah mereka lakukan dan dibunuh.

Malah sejumlah pengkomentar di ruang youtube mahupun blog-blog dan facebook me’volunteer’kan diri mereka untuk mencari lelaki-lelaki terbabit dan menyeksa mereka sama seperti seksaan yang telah dialami oleh Junko.

Sungguh. Ketahuilah bahawa itu adalah fitrah yang Islam telah bawa semenjak 1400 tahun yang lalu. Yang selama ini sehingga hari ini, dipandang sebagai suatu kezaliman malah ditentang habis-habisan.

Hudud Dan Qisas.

Mengambil Fiqh 3Uqubaat sem ini membuatkan saya belajar banyak, lantaran selama ini hanya baca-baca dan dengar-dengar.

Dan jujur, setiap kali pendedahan di dalam muhadharah, maka setiap kali itu jugalah semakin saya meyakini betapa Maha Adilnya Allah dan betapa terlalu cantiknya Islam berlari bersama fitrah manusia.

Mengkaji kaedah hukum-hukum ini (dalam hukuman Islam ada 3:hudud, qisas dan ta3zir (denda)) secara teliti dan terperinci menampakkan secara meluas betapa Islam itu adil terhadap kedua-dua pihak. Bukan menghukum secara melulu dan menjatuhkannya kepada individu-individu yang masih boleh dipertikai kesalahannya berdasarkan ketidaksempurnaan ciri-ciri yang layak baginya dijatuhkan hukuman.
Tetapi jika tersabit kesalahan ke atasnya, maka hukumannya berat setimpal dengan apa yang telah penjenayah itu lakukan.

Seperti dalam kes Junko ini, penjenayah-penjenayah dilepaskan dengan hukuman ringan iaitu penjara sekitar 7-8 tahun HANYA akibat tidak ada bukti yang menunjukkan mereka memBUNUH cuma ada bukti bahawa mereka menyeksa Junko. Lantas, hukuman dijatuhkan atas sabit kesalahan tersebut.
Ramai tidak bersetuju dengan hukuman ini. Begitu juga saya yang terbakar apabila mendapat tahu mangsa kekejaman ini tidak terbela.

Tetapi, jika mengikut undang-undang Islam, sekalipun tidak membunuh yang disabitkan hukum Hudud, kita ada QISAS.
Makna qisas (secara ringkas) itu sendiri adalah: “bunuh dibalas bunuh, luka dibalas luka dan potongan dibalas potongan”.

Bermakna, jika kes ini dibicarakan mengikut undang-undang Islam, maka segala komentar pengkomentar memang telah terlaksana lama. Dan segala penderitaan seksaan Junko telah terbela. Benar bukan?
Malah sekalipun penjenayah-penjenayah telah bertaubat, hukuman tetap dijalankan kerana taubat adalah antara dia dengan Allah, tetapi jenayah yang telah dilakukan adalah antara dia dengan manusia. Maka manusia itu ada sifat marah dan pendendam yang hanya akan hilang sebaik sahaja penjenayah menerima hukuman yang sama atau setimpal. HANYA melainkan mangsa atau keluarga mangsa memaafkan kesalahan penjenayah yang TIDAK SENGAJA dan perlu berserta dhiyah. Bukan meminta maaf sahaja.

Bukankah tampak jelas betapa mulianya Islam mengangkat nilai seorang manusia itu meskipun dia manusia biasa-biasa?

Jika Terlepas, Maka Yakin Pada Hari Pembalasan.

Namun realiti hari ini, tersangat jauh untuk kita bicarakan tentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut. Lantaran sistem jahiliyyah masih terlalu tebal dan pekat.
Maka, apakah dia yang mampu mengubat duka bagi yang terzalimi?

“Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab) dan tidak diterima syafaat daripadanya dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.”
-Baqarah:48-

Kita ada Allah yang memiliki kerajaan langit dan bumi, yang merajai hari pembalasan, hari di mana tidak ada suatu jiwapun yang mampu terlepas dari penghisaban.

Maka, tunggulah hari itu bagi mereka yang menzalimi dan dizalimi. dan Allah tidak ada kecacatan dalam kiraan amal kita.

Sungguh. Menyelak catatan-catatan berdarah dan kisah-kisah yang menyayat hati, membuatkan saya ingin sungguh bertanya kepada mereka yang tidak meyakini adanya Tuhan dan Hari Kebangkitan. Tidakkah mereka melihat situasi yang berlaku ke atas Junko dan merasakan bahawa dia telah dizalimi oleh perundangan dunia?

Apakah yang menjamin kematiannya terbela dan penjenayah-penjenayah itu dihukum dengan hukuman yang selayaknya dalam situasi hari ini yang mana tiada jaminan dalam keadilan undang-undang? Tidakkah mereka memikirkan hal itu?

Lantas, mengapa tidak kita sama-sama meyakini bahawa akan ada suatu hari penghujung, yang akan membangkitkan seluruh manusia dan setiap amalan baik serta buruknya ditapis teliti. Bukankah begitu seharusnya bagi mereka yang berakal?

Penutup: Tidak Ada Sesuatupun Yang Selayaknya disamatarakan dengan Islam.

“Aku redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai jalan hidup dan Rasul sebagai nabi dan rasul”.
-ma’tsurat-

Sungguh. Maha Suci Allah yang selayak baginya segala ketaatan dan kepatuhan. Apakah masih belum sepenuhnya kita mencintai dan menyerahkan seluruh jiwa dan tenaga secara total kepadaNya?
T_T.


-video kisah Junko-


1 comment:

  1. anonymous-not!1/4/12, 9:12 PM

    huraian yg cukup menarik..

    moga Allah redha dan islam menjulang tinggi satu hari nanti insyaAllah..

    dan kita semua lah yg menjadi pendukung islam..

    ReplyDelete

mohon pandangan.