Monday, June 29, 2009

rindu kalian sahabat..

buku teks khassah saya..

Saya menulis post ini untuk kalian, sahabat-sahabatku yang kini sedang sibuk di bumi kampus sana..

Sungguh. Saya benar-benar rindukan kalian..Rindukan kemesraan, rindukan saat kita bercanda, rindu saat kita sibuk berbincang melaksanakan kerja-kerja Islam, rindu saat kita sama-sama duduk meluahkan kebimbingan mengenai ketandusan pewaris di MATRI, rindu ketika kita sama-sama mentela'ah kitab-kitab tebal demi menghadapi peperiksaan PMR, SPM mahupun peperiksaan tahunan..Rindu pada semuanya..

Benarlah ukhuwah kerana Allah itu adalah nikmat terbesar selepas nikmat Iman dan Islam..

Semoga Allah mengistiqamahkan hati-hati kita di atas jalan ini dan menguatkan kita dalam merasai uzlah syu'uriyyah tammah lebih-lebih lagi dalam kondisi masyarakat hari ini..

Sayang kalian kerana Allah..

Sunday, June 28, 2009

keremajaanku dan mereka..


Kenapa ya masa keremajaan kita begitu berbeza dengan keremajaan salaffussoleh?
Atau paling minima berbeza jika dibandingkan dengan keremajaan saudara-saudara kita di Palestin sana?

Maksud saya, kenapa ya waktu keremajaan kita selalu saja sibuk memikirkan masalah hati dan perasaan sedangkan mereka tidak punya masa untuk itu?

Pagi tadi ana telah mendapat satu perkongsian dan peringatan melalui pesanan ringkas,

"..kalau pemimpin pun buat benda yang Allah tak suka, tak mustahil anak buahnya pula akan buat benda yang Allah haramkan.."

Ana setuju betul dengan kata-kata itu. Sebab itu masyarakat masih tak berubah kerana para penyokong dan pendukung risalah ini pun masih belum betul-betul bersih daripada karat-karat jahiliyyah (untuk saya sebenarnya).

Kadang-kadang tu rasa sedih dan kecewa dengan diri sendiri, rasa macam dosa-dosa yang masih melekat dalam hati ni lah penyebab pertolongan Allah masih belum hadir.

Alhamdulillah, pagi tadi dapat teguran yang menyebabkan saya menangis sungguh-sungguh. Teguran dari seorang sahabat yang amat saya kagumi dan hormati. Juga sebagai qudwah untuk saya tetap teguh di atas jalan ini. Semoga Allah rahmati dan sayang beliau. (walaupun saya tahu dia tidak pernah membaca blog ini)

Saya mengajak diri ini dan diri kalian agar kita dapat mencontohi kisah agung salafussoleh dalam menempuh usia keremajaan mereka...Semoga Allah sayang dan meneguhkan hati-hati kita..

Wednesday, June 24, 2009

Sibuk kembali..

Selepas menikmati waktu lapang yang agak panjang, saya kini sudah mula tenggelam kembali dalam kondisi yang dipanggil 'sibuk'.

Sebelum itu, saya teringat yang saya masih belum berkongsi dengan kalian mengenai kelas khassah saya. Sejujurnya, sehingga hari ini, saya melalui hari-hari persekolahan dengan wajah yang masih berkerut lebih-lebih lagi pada waktu pembelajaran yang diajar oleh Sheikh Ibrahim alMisry. Beliau langsung tidak menggunakan bahasa melayu dalam kelasnya membuatkan otak saya yang sudah hampir berkarat dengan bahasa arab terpaksa bekerja keras untuk memutarkan skru-skru yang ada.

Itu tidak dikira dengan kelas ustaz-ustaz veteran yang mengajar ala-ala kitab kuning. Sungguh. Mata ini terpaksa saya gunakan ugutan untuk menakutkannya. Sebenarnya, saya sangat kagum dengan ilmu yang dimiliki oleh ustaz-ustaz. Penyampaian yang disampaikan sangat mendalam dan sangat luas. Cuma untuk saya yang sudah lama tidak bergelar pelajar ini memerlukan usaha keras untuk selalu fokus.

Benarlah ulama' warisatul anbiya'. Ulama' adalah pewaris nabi. Sebagai contoh Ustaz Dahlan yang punya suara perlahan tetapi isi penyampaiannya sangat-sangat memukau. Hanya jiwa-jiwa yang benar-benar berhajatkannya dan sabar akan dapat mengaut banyak. Ustaz Yasamsuri juga, walaupun kepala pelajar-pelajar nampak terhangguk-hangguk tetapi sebenarnya ilmu beliau sangat mengagumkan terutama dalam mentafsir lughah atau bahasa. Sungguh. Saya benar-benar terpesona.

Dalam diam saya simpan cita-cita untuk menjadi seperti mereka. Faqih dalam ilmu dan dapat dimanfaatkan untuk Islam..

Berkait dengan kesibukan saya ini, insyaAllah KeARAH puteri Perlis sedang dalam proses menganjurkan Program Hidup Bersama alQuran pada 11-12 Julai ini. Program ini hanya kecil-kecilan dengan mengambil sekitar 30 orang pelajar-pelajar tahun 4-6 dari SRIM. Semoga Allah redha dengan usaha ini..

Doakan saya ya, semoga selalu istiqamah dalam DnT ini, insyaAllah..

Tuesday, June 23, 2009

ayah..

Kalimah pendek itu sudah lama tidak dilaung oleh bibir ini. Mungkin ada sesekali disebut dalam cerita atau perkongsian kisah lama. Entah, agak ganjal untuk memanggil seseorang dengan panggilan ini kerana sudah 5 tahun hal itu tidak berlaku.

Sungguh. Saya sendiri tidak tahu mengapa ya saya tergerak untuk menulis post dengan tajuk tersebut. Mungkin kerana saya lihat rata-rata blogger sudah melampirkan kalimah 'Selamat Hari Bapa' atau 'Terima Kasih Ayah' di paparan post mereka. Justeru saya turut berhajat berbuat demikian tanpa saya tahu untuk siapa ucapan tersebut. Ya, untuk siapa?

Semoga Allah merahmati ayah dan menempatkannya bersama-sama dengan kelompok manusia yang soleh.

Sejujurnya, saya sangat bersyukur dengan ketentuan Allah yang telah menjemput ayah pulang dalam waktu yang awal. Saya tidak berbohong. Ayah pergi ketika saya dalam tingkatan satu. Ketika saya masih belum berhajatkan didikan Islam sebenar. Selalu saja saya melawan kata-katanya. Saya memilih untuk berkawan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah di MATRI. Dan saya rasa bangga berkelakuan buruk.

Sungguh. Allah ambil ayah ketika saya berasakan bahawa pelajaran itu tidak penting. Saya hanya bermain dan belajar sambil lewa. Ya, untuk apa belajar ketika saya boleh mendapatkan apa yang saya hajatkan. Saya lalui hari-hari yang langsung tidak pernah memikirkan masa depan.

Benarlah, Allah uji mengikut kemampuan hamba-hambaNya. Ayah meninggalkan kami kerana dijangkiti demam denggi berdarah tanggal 3 September 2004 tepat jam 3.15 petang di Hospital Besar Ipoh. Sejujurnya, saat itu saya hanya menangis tanpa benar-benar merasai kesedihannya.

Pada awal saya melangkah ke tingkatan 2, baru saya betul-betul merasai kehilangan seorang insan yang bergelar ayah. Baru ketika itu saya menyesali setiap dosa-dosa yang telah saya lakukan kepadanya. Malangnya, saya masih tidak pandai memilih cara yang benar untuk melepaskan rasa sedih dan bersalah saya. Saya mengalami migrain yang teruk kerana terlalu memikirkan masalah itu. Saya asyik menangis dan menangis. Tetapi yang anehnya, dalam masa yang sama saya masih belum berubah kepada apa yang ayah hajatkan.

Ketika menginjak usia tingkatan 3, baru saya sedar kesilapan saya dalam memilih jalan selama ini. Saat itu saya mengambil keputusan drastik dalam memilih hala tuju akhir saya iaitu untuk berada dalam kalangan orang-orang yang faham dan yakin dengan Islam. Saya kira itu adalah keputusan terbesar yang telah saya lakukan dalam hidup. Menentukan sama ada berada di atas jalan menuju ke syurga atau ke neraka.

Dan ketika itu, bermulalah episod saya mula bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan DnT. Meski punya banyak kelemahan dan sering kali mengalami peristiwa turun dan naik, saya selalu berdoa semoga Allah tetapkan hati saya di atas jalan yang tidak punya pilihan ini.

Dan ketika usia saya menjangkau 18 tahun ini, baru saya sedar bahawa menjadi anak yang soleh dan mosleh adalah hadiah terbesar dalam kehidupan ibubapa. Ayah tidak memerlukan tangisan dan ingatan saya tetapi ayah memerlukan bekalan cahaya doa dan amalan soleh saya. Saya juga sedar dan yakin bahawa mempunyai ibubapa sekalipun tetapi tanpa rasa keindahan mencintai Allah tidak membawa sedikitpun keuntungan untuk kehidupan akhirat. Biarlah Allah mengambil ayah tetapi Allah telah menghadiahkan saya peluang untuk hidup dalam kenikmatan merasai nikmatnya Iman dan Islam..

Sungguh. Semoga setiap apa kebaikan yang saya buat di sini dapat membantu ayah dan sekaligus dapat menebus kesalahan saya terhadap ayah..Sungguh. Saya sayang dan rindu ayah!

Monday, June 22, 2009

Tarbiyah Dzatiyah..

Bismillah hirRahmana nirRahim..

Dengan nama Allah yang Maha Mengetahui apa yang terang saya lakukan atau apa yang cuba saya sembunyikan..

Hari ini saya tidak dapat mengikuti kelas khassah lagi kerana perlu mengikuti kursus amali kereta di Institut Kemahiran Memandu Perlis setelah menangguh tempoh proses tersebut buat sekian lamanya.

Sebenarnya bukan kisah itu yang ingin saya titipkan buat post kali ini tetapi apa yang saya hajatkan lebih besar iaitu berkongsi dengan kalian sesuatu yang telah saya santapi saat waktu senggang saya di sana. Sejujurnya, saya sudah lama tidak menjamah apa-apa dari buku-buku ilmiah kerana rasa malas yang terlalu menebal. Entah, sedangkan saat saya kalut menghadapi hari-hari getir menghampiri tempoh peperiksaan SPM, boleh saja saya mencuri waktu mentela'ah kitab sirah dan fikrah. Oleh itu saya (secara peribadi) benar-benar mengakui bahawa waktu lapang yang panjang boleh mengontangkan jiwa dan iman lebih-lebih lagi kepada seorang da'ie..


Buku Tarbiyah Dzatiyah tulisan Solikhin Abu 'Izzudin sebenarnya sudah lama mengisi ruang almari di perpustakaan rumah. Dan selalu saja saya mendengar ustaz-ustaz menggalakkan kami merujuk buku tersebut. Tetapi Allah izin baru hari ini saya dapat membacanya (walaupun pernah baca sebelum ini tetapi tidak habis dan sudah lupa) setelah sekian kali menyimpan perasaan.

Sungguh. Tidak dapat dibohongi lagi bahawa setiap patah perkataan yang tertulis bagai menampar-nampar wajah saya yang hatinya sudah semakin gersang dan keras. Baru sahaja menjejak tajuk pertama ('kita harus kembali') dan dalam perenggan pertama ('kembali penuh 'izzah'), saya sudah dipulas-pulas dengan hadis yang mafhumnya berbunyi:

Ishaq berkata lagi," Aku mendengar Fudhail r.a. berkata, ' Apabila
kamu tidak mampu melakukan solat malam dan puasa di siang hari,
maka ketahuila, bahawa kamu adalah orang yang terhalang dari rahmat Allah, dan terbelenggu oleh kemaksiatanmu.."

Saya tidak mahu mengolah panjang kerana saya bukan pentafsir yang baik, tetapi apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah marilah sama-sama kita mempelajari dengan lebih faham dan yakin apakah itu Tarbiyah Dzatiyah. Kerana dengan kukuhnya tarbiyah ini dalam diri kita insyaAllah kita akan sentiasa 'izzah dengan Iman dan Islam yang kita ada sekarang ini. Sebagai contoh dalam seerah Mus'ab Bin Umair, saat beliau dihantar bersendirian untuk berdakwah di Madinah, hanya berbekalkan tarbiyah dzatiyah beliau terus istiqamah dan cekal walaupun dikelilingi oleh manusia-manusia yang masih tidak faham deen.

Semoga kita turut dihadiahi Allah kekuatan iman sebegitu rupa agar kita tidak mudah mencintai jahiliyyah dan senang mengikuti nafsu syahwat. Ya, lebih-lebih lagi dalam menjalani kehidupan sebagai seorang remaja di akhir zaman ini. Payah, bukan? Sehingga kadang kala itu timbul rasa tidak apa-apa dalam melakukan kemaksiatan.. Semoga Allah lindung kita.

Sebelum saya mengakhiri post ini, seorang sahabat saya yang amat saya kasihi berhajat agar saya dapat berkongsi sedikit sebanyak apa yang telah saya dapat daripada perbentangan 'ulum syarieyyah di KoInsan, Kedah baru-baru ini. Memang pada awalnya saya turut berhajat sedemikian tetapi apabila difikirkan kembali, tajuk itu sangat sukar jika dibentangkan tanpa penjelasan. Justeru, saya kira lebih elok jika saya tidak melakukannya. Harap maaf ya!


pakcik-pakcik yang khusyuk mendengar


sebahagian daripada sahibah yang hadir


nota yang diberikan oleh penganjur

Semoga Allah kasih pada kita dan selalu memandang kita dengan rahmatNya. Ingatlah wahai diri, jika terputus rahmat Allah maka carilah dunia lain yang tidak punya hubung kait dengan Allah kerana Rasulullah s.a.w sendiri pun melangkah ke dalam syurga dengan adanya rahmat Allah...

Friday, June 19, 2009

hati yang terusik

Hari ini adalah hari terakhir saya mengajar. Sungguh. Saya tidak dapat menipu.
Ada rasa terharu melihat anak-anak murid yang sedih. Anak-anak murid yang selama ini memenatkan, melucukan dan meletihkan benar-benar mencuit hati saya.

Sebenarnya, saya tidak berangkat ke Jordan lagi tetapi saya berhajat untuk mengikuti kelas marhalah khassah untuk dua bulan yang berbaki ini. Sejujurnya bahasa arab saya sudah terlalu teruk walaupun sememangnya tidak baik pun. (",)


dari kiri: Ali Imran, Hazwan, Muqhris dan Iskandar.


dari kiri: khaleq, Hazwan, Zaki, Amiruddin dan Haziq
(yang separuh tu Rayyan)


kelas 1 Abu Bakar 2009
(nakal-nakal dan melucukan)


dari kiri: Ali Imran, Zakiyuddin dan Asnawi.


Kiri belakang: Hazwan, Faiz, Hanif, Muqhris, Ali Imran, Iskandar dan Fatih.
Kiri depan: Syed Sadiid, Imran dan Asnawi.


Dari kiri: Faiz, Naim, Hazwan dan Hanif.


Dari kiri: Iskandar, Naim,Hazwan, Umar, Imran, Asnawi, Hanif dan Fatih.


Dari kiri: Ali Imran, Iskandar, Muqhris,Zaki, Nabil, Ali Mursyidi, Amiruddin dan Haziq.


anak-anak murid saya yang banyak bercakap



2 pelajar yang paling melucukan





pelajar yang paling bersemangat


kanak-kanak yang masih tidak matang (",)


2 pelajar yang cool (",)

Pesanan buat pelajar-pelajar yang saya kasihi, semoga kalian menghargai setiap detik yang dilalui di bumi wakafan ini. Biarpun penuh kekurangan tetapi hanya di sini kalian dapat mengerti erti sebenar pendidikan dalam kehidupan. Ingatlah kemewahan umpama ulat-ulat yang merosakkan keperibadian muslim, kata Syed Qutb. Juga ingin cikgu titipkan agar kalian selalu menjaga syara' dalam mengharungi hari-hari mendatang. Yakinlah hanya Islam sebagai satu cara hidup yang Allah redha. Sayang kalian kerana Allah.

Sedikit perkongsian, semalam saya telah berkesempatan mengikuti daurah usul 'isyriin anjuran HaluanSiswa Perlis di maktabah MATRI.


usul kelapan


catatan kuliah (fatimah adnan punya) (",)



cikgu AB sedang berkongsi


Walaupun ini adalah kali kedua saya mengikuti pembentangan tulisan IHAB ini, saya merasakan bahawa saya masih perlu belajar banyak kerana lagi banyak saya dapat lagi kurang saya rasa kefahaman saya dalam Islam. Sungguh. Sesiapa yang diizinkan Allah untuk mengikuti pembentangan usul 'isyriin ini, pergilah agar anda dapat menilai setakat mana kefaqihan anda tentang Islam.

Namun Allah izin saya tidak dapat mengikutinya untuk hari ini dan esok kerana saya mempunyai sedikit masalah pada hari ini dan esok pulak saya akan mengikuti pembentangan 'ulum Syar'ieyyah di Alor Setar, Kedah di KoInsan.

Semoga Allah mengistiqamahkan hati saya dan hati kalian dalam jalan DnT ini. Dan semoga kita mendapat pengakhiran yang baik, InsyaAllah...

Monday, June 15, 2009

persemadian akh Ammar

Saya sudah berjanji. Justeru saya kira saya perlu memenuhinya.

13 June 2009

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 8.30 malam. Meneruskan perjalanan selepas singgah mengambil seorang sahabat yang berhajat untuk tumpang bersama.
Kami tiba dalam lingkungan 10 malam ke atas.
Di perkarangan sudah ada sejumlah yang menunggu. Sanak saudara terdekat dan teman-teman kepada adik akh Ammar. Saya dan ibu masuk untuk menemui ummu Ammar yang ketika itu di kelilingi oleh sahibah-sahibah. Ibu yang sudah lama mengenali ummu Ammar semenjak akh Ammar masih kecil dijemput untuk duduk dekat dengan ummu Ammar. Berhadapan. Maka saya pun turut menumpang di sebelah.

Ummu Ammar tampak tabah. Tidak berhenti menceritakan keistimewaan akh Ammar sebagai seorang anak, pelajar dan pemuda yang soleh dan mosleh.. Dalam itu, ummu Ammar akan menyelitkan kata-kata nasihat sebagai pendorong untuk terus maju dalam DnT.

Sungguh. Saya akui kata-kata Dr Amad bahawa pemegian akh Ammar telah meletakkan satu piawaian minimum kematian yang dihajatkan iaitu kematian dalam keadaan sedang merancang kerja Islam. Kematian dalam keadaan sedang memikirkan jalan untuk melukakan sistem jahiliyyah. Seperti mana kata-kata sir RB: "jika kita tidak mampu meruntuhkan sistem jahiliyyah sekaligus maka torehlah sistem itu agar membentuk luka-luka besar hingga bisa membawa kepada kemusnahannya"

Sejujurnya, pemergian akh Ammar membuatkan saya lebih yakin bahawa kepenatan dan kemewahan dunia hanya sementara. Jika saya memilih untuk penat di dunia sepeti akh Ammar maka insyaAllah saya akan peroleh kenikmatan yang dijanjikan tetapi jika saya memilih meraih kemewahan di dunia maka natijahnya adalah sebaliknya.

Jam menghampiri sekitar jam 12.30 malam. Ibu berhajatkan tempat berehat yang berdekatan. Ummu Ammar mencadangkan kami bermalam di rumah jirannya yang hanya berhadapan dengan rumahnya.

Mak cik Pah (jiran tersebut) tidak habis-habis memuji akh Ammar. Baginya akh Ammar adalah manusia luar biasa, anak yang terbaik. Dia menceritakan bagaimana keramahan akh Ammar menyapanya ketika akh Ammar pulang bercuti di Malaysia. Dia turut menceritakan sifat akh Ammar yang ringan tulang mewarisi sifat ayahnya. Dan bermacam-macam lagi.

14 June 2009.

Ibu mengejut saya dari tidur. Bilangnya jenazah akh Ammar akan tiba tak lama lagi. Ketika saya bangun, ummu Ammar sedang duduk di atas sofa. Saya kira silap orang. Namun apabila telah selesai mencuci muka dan bersiap, baru saya sedar bahawa itu memang benar ummu Ammar. Ibu dan seorang lagi sahibah sedang mengurut ummu Ammar yang lemah. Sudah beberapa hari beliau tidak menjamah nasi walau sedikitpun. Angin keluar banyak dari tubuhnya. Sambil itu beliau terus-terusan mengulang kalimah " inna lillah hiwa inna ilahai hiraji'un".

Kata ibu, jam 3 pagi tadi ummu Ammar mengetuk pintu bersama kakaknya. Berhajat untuk tumpang berehat memandangkan ibu ada di sini. Kata ibu lagi, ketika itu ummu Ammar tampak pucat. Sangat lemah. Tampak di wajahnya sedikit resah. Sedang mencari kekuatan menghadapi detik pertemuan dengan anaknya yang telah pergi dulu.

Sekitar jam 4.30 pagi, jenazah selamat sampai. Kami bergerak keluar mengiringi ummu Ammar yang tampak sudah tenang.

Memasuki perkarangan rumah, orang ramai sudah memenuhi bagi menyambut kepulangan sang mujahid. Keranda kayu dibawa masuk ke ruang tamu. Masa yang agak lama diambil untuk membuka kotak kayu itu. Beberapa orang berpakaian seragam bomba sibuk menjalankan tugasan. Dalam tersepit, saya berusaha mengambil beberapa keping gambar sebagai perkongsian untuk sesiapa yang tidak dapat hadir pada pagi itu. Agak menyesakkan.

Akhirnya kotak yang menyimpan tubuh mujahid muda itu berjaya dibuka pada waktu yang menghampiri azan subuh. Saya berjaya mencelah untuk melihat wajah akh Ammar dari dekat. Terpaku melihat kejernihan wajahnya yang tampak masih segar tersenyum. Allah.. Anta telah berjaya akh, berjaya meraih husnul khatimah..bagaimana dengan saya?

Selepas itu saya menyusup keluar bagi memberi peluang kepada orang ramai..Alhamdulillah kakak kepada ummu Ammar memberi cadangan agar hanya satu jalan dibuka untuk memasuki ruang tamu..Lebih mudah dan membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menatap wajah akh buat kali terakhir..

Selepas itu saya, ibu dan abang bergegas ke masjid untuk sama-sama menunaikan solat Subuh secara berjema'ah dan kemudian menunaikan solat jenazah. Ruang bahagian muslihat penuh dengan para jema'ah yang sudah bertelekung. Kata seorang makcik (penduduk kawasan berikut) sepanjang dia tinggal di kawasan itu, tidak pernah ada jenazah yang disolatkan oleh jema'ah yang ramai sedemikian rupa seperti pagi tersebut. Subhanallah..

Melihat ramai muslimat bergerak ke kawasan perkuburan, ibu mengajak saya untuk turut serta. Ummu Ammar sudah ada di sana saat kami sampai. Kaum wanita hanya duduk di pondok yang terletak agak jauh dari kawasan akh disemadikan. Dalam diam saya agak terkilan.

Ummu Ammar masih bercerita tentang akh Ammar. Tampak beliau cuba berkongsi, meluahkan apa yang terpendam. Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Kelihatan langit turut suram. Atau mungkin langit merembeskan tangis bahagia. Senang menerima penghuni baru di alam sana.

Selesai pengebumian, ada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz R. Kami yang tidak mendengar apa-apa cuma dapat memerhati dari jauh. Meskipun tazkirah sudah selesai kemudiannya, orang ramai tampak payah untuk bersurai.

Senior-senior se-batch dengan akh menghampiri ummu Ammar. Saya berundur memberi peluang kepada mereka. Saat itu, ummu Ammar mengambil kesempatan menyampaikan kata-kata perkongsian yang lahir dari lubuk hatinya. Kata-kata semangat untuk mujahid-mujahid yang bakal lahir kemudiannya. Saya kira tidak perlu saya titipkan kerana sudah ramai senior-senior blogger mencoretkan perkongsian tersebut.

Saat itu air mata saya mengalir laju. Tidak wujud rasa segan pada senior-senior yang berdiri hanya berhadapan. Benarlah, di belakang seorang lelaki hebat pasti ada seorang wanita yang mencorak kehebatan itu. Dan kehebatan akh Ammar wujud dari rahim seorang ibu yang ajaib.

Saya kira sudah cukup untuk perkongsian kali ini. Semoga Allah mengistiqamahkan hati saya dan hati-hati kalian di atas jalan Dnt ini. Dan semoga kita sama-sama mendapat pengakhiran yang baik seperti akh Ammar.


Sunday, June 14, 2009

dunia menangisimu mujahid!














































semoga Allah yarhamhu saudara Ammar Bin Zulkifli tenang dalam nikmatNya..

**maaf saya tidak dapat menceritakan rentetan peristiwa sepanjang hari pengebumian beliau dalam post kali ini. Mungkin pada post lain InsyaAllah..