Sungguh. Benarkah kita merasai erti 'izzah yang sebenar sebagai seorang muslim?
Izinkan saya untuk berkongsi dengan kalian pengalaman baru yang telah Allah izin untuk saya laluinya. Pengalaman yang paling berharga saya kira. Pengalaman yang mebuatkan saya sendiri terlalu bersyukur kerana diizinkan untuk melaluinya.
Benar. Saya dilahirkan sebagai seorang muslim dalam keluarga muslim. Membesar dan dewasa dalam suasana muslim. Merasai dan menyakini bahawa Islam adalah satu cara hidup yang tanpanya saya umpama mayat tanpa kehidupan. Yang sendiri mengalami akan indahnya berada dalam semarak Dakwah dan tarbiyah. Yang Alhamdulillah, merasai keprihatinan ke atas kepincangan ummah walaupun tanpa kudrat untuk mengubahnya.
Dengan ihsanNya, saya melalui dan merasai semua itu..
Namun, pengalaman baru ini (atau mungkin saja baru hanya untuk saya tetapi anda telah melaluinya) saya kira sebagai suatu pengalaman yang membuatkan air mata saya mengalir dan terlalu merasai betapa hinanya saya di sisi kehebatan kerajaan langit dan bumi Allah s.w.t..
Biar saya coretkannya ringkas sebagai perkongsian.
Masih ingat saya pernah berkongsi tentang Tang, pelajar Malaysia yang menuntut di Rusia yang turut bersama saya dalam jelajah Jordan beberapa hari yang lalu?
Sepanjang jelajah itu, saya tertarik dengan gayanya dann paling penting keunikannya. Ya, agak aneh bagi seorang non-muslim untuk berada bersama-sama muslim dan menziarahi kawasan-kawasan yang majoritinya berlatarkan sejarah Islam. Dan jika anda bergaul dengannya, anda mungkin akan menyangka bahawa dia seorang muslim kerana lidahnya tidak lekang memuji Allah..Sebenarnya Tang membesar dalam kalangan masyarakat melayu dan pernah belajar di MRSM.
Tanpa direncana namun di bawah penyusunan Allah, Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu, selesai jelajah itu, dia menghubungi saya menggunakan ym.
Sungguh-sungguh dia mahu berkawan kerana bilangnya jujur, dia lihat saya lain berbanding teman-teman yang pernah dia miliki.
Bermula dari situ, saya merasakan bahawa Allah telah membuka peluang luas untuk saya bergerak.
Sebelum terlupa, insyaAllah kalian usah khuatir. Saya telah menyusun rencana dan bukan saya seorang yang bergerak dalam usaha ini. insyaAllah mendapat bantuan dengan izin Allah dari beberapa rijal yang turut punya kesedaran yang sama (kepada yang tahu, baca sebagai sahabat) sebagai persediaan jangka masa panjang..
Lalu insyaAllah, rangka kerja ini akan saya pastikan bertepatan dengan 2 piawaian syara' iaitu:
1)apa yang baik hanyalah apabila syara' mengatakannya baik dan apa yang buruk adalah apa yang syara' kata buruk.
2)matlamat tidak pernah sesekali menghalalkan cara.
Memandangkan latar agama Tang sangat celaru kerana keluarganya Buddha namun dia mendapat pendidikan awal di catholic kindergarten. Dikelilingi oleh teman-teman muslim dan rapat dengan rakan-rakan hindu membuatkan dia celaru mencari.
Lalu saya mengambil inisiatif bergerak secara perlahan. Ya, kerana kita sendiri faham bahawa "la ikra ha fiddeen". Tidak pernah sesekali ada paksaan dalam menerima Islam TETAPI sekali anda melangkah bermakna anda perlu mengambilnya secara syumul.
Sebenarnya bukan itu yang hajat saya kongsikan tetapi lebih kepada perasaan sebak saat saya menyelongkar video-video nasyid tarbawi nyanyian insan-insan yang dipilih Allah untuk memperolehi hidayah seperti Yusuf Islam, Dawud Wansby Ali, Hamza Robertson dan lain-lain serta rakaman-rakaman rancangan Islami seperti TheDeenShow.com.
Sungguh. Air mata saya mengalir kerana merasai betapa perlunya saya dengan pergantungan pada Allah. Ya, jika anda melihat luas, banyak saja manusia yang mencari dalam kepayahan semata ingin menemukan kebenaran yang masih belum diterima. Dan dengan kasih dan rahmat Allah, mereka menemuinya dalam syu'ur penuh kesyukuran. Sungguh. Saya menangis setiap kali melihat manusia-manusia baru pilihan Allah mengucapkan 2 kalimah mulia itu..
Dan saya lihat betapa bersungguhnya individu-individu yang beruntung itu membantu saudara-saudara mereka yang masih meraba mencari. Lihat saja betapa bersungguhnya Sheikh Yusuf Estes, Yusuf Islam, Dawud Wansby Ali dan manusia-manusia lain melebar luaskan risalah Allah dalam apa cara yang terdaya mereka lakukan.
Kerana apa? Kerana mereka benar-benar menghargai keindahan dan ketinggian darjat Islam itu sendiri. Mereka pernah melalui hari-hari yang perit dan tersiksa dalam kelemasan lautan jahiliyyah. Lalu, sekali mereka terselamat dan berjaya naik ke dalam kapal yang penuh kesejahteraan yang dipanggil Islam, mereka rasa terpanggil dan terdorong untuk memaut sebanyak tangan yang terkapai kerana mereka sendiri pernah merasai betapa berhajatnya ada manusia yang membantu menyelamatkan mereka daripada terus tenggelam..
Namun kita? Apakah bukti kita menghargai iman dan Islam itu sendiri?
Sungguh. Saya terlalu bersyukur kerana diizinkan Allah untuk melalui pengalaman ini kerana bukan sahaja Tang diizinkan mendapat manfaat tetapi saya sendiri yang sedang berusaha memberi dengan izin Allah memperolehi manfaat berlipat kali ganda. Ya, saya sendiri turut mendapat hidayah daripada video-video tarbawi yang telah dan akan dikongsi bersama Tang.
Sungguh. Melihat mereka berkongsi tentang hebatnya Allah dan indahnya Islam membuatkan saya sendiri sejujurnya merasai betapa kerdilnya saya berbanding mereka.
Saya teringat kata murabbi cikgu AB di MATRI:
"siapa yang membilang masyarakat menolak Islam sebenarnya dia sendiri belum benar-benar terjun ke dalam masyarakat"
Semoga Allah tidak menolak saya tepi..Sungguh. Doakan saya teman..
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.