Awalnya saya tidak tergerak untuk memberi respons ketika melihat sahabat-sahabat di alam maya menulis pelbagai status dan puisi sempena menyambut hari ibu. Namun, baru beberapa minit yang lalu, hati terusik rindu pada bonda yang jauh dan lantas jari jemari ini bergerak.
Bonda yang hidup sendiri.
Bonda yang saya kenal adalah bonda yang semenjak di usia beliau 1 tahun, sudah kehilangan ibunya. Kata bonda, tok meninggal ketika melahirkan adik di bawahnya.
Membesar dengan jagaan mak jang (kakak kedua bonda) yang ketika itu sanggup mengambil keputusan terbesar dalam hidupnya berhenti dari Sekolah elit Tengku Kursiah seawal usia 13 tahun, semata-mata untuk menjaga bonda dan mak tam (3 tahun).
Cerita mak jang, ketika bonda baru belajar merangkak di awal kematian tok, bonda akan merangkak perlahan-lahan ke tempat tok bertarung nyawa seakan-akan mencari ibunya. Setiap malam. Sehingga akhirnya bonda penat. Sebak.
Kemudian, tok wan berkahwin lain ketika usia bonda mencecah 3 tahun, dan mak jang berpindah keluar mencari pekerjaan. Tinggal bonda dan mak tam di rumah.
Persis cerita ibu tiri -ibu tiri dahulu, bonda dan mak tam membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Segala pekerjaan rumah dilakukan sendiri. Deraan secara psikologi bagi kanak-kanak kecil seusia mereka.
Memasak untuk keluarga, membasuh baju untuk sekeluarga di telaga, mengemas rumah, menyediakan sarapan, pergi ke sekolah, belajar dan segala-galanya dilakukan sendiri.
Ketika bonda berusia awal 7 tahun, dalam persediaan untuk memasuki sekolah rendah, tok wan membelikan sepasang baju sekolah yang lebih besar dari saiz sebenar bonda. Sendirian bonda mengukur, memotong dan menjahit menggunakan mesin jahit tua tanpa sedar bahawa di usia itu kanak-kanak lain hanya duduk dan melihat ibu-ibu mereka melakukannya.
Teringat saya pernah menangis mendengar cerita bonda, ketika bonda sedang bersiap-siap untuk ke sekolah rendah, bonda terlihat jiran depan mengusap kepala dan mencium pipi anaknya di muka pintu sambil mengiringi anaknya ke sekolah. Terdetik di hati bonda, "eh, kepada mak dia buat macam tu? Kenapa mak tak buat pun macam makcik tu?".
Rembesan semakin laju, saat cerita bonda bertandang ketika suatu malam pernah bonda dan mak tam terdengar tok tiri menghasut adik-adik (sama ayah lain ibu) di rumah atas. Ketika itu, perlahan-lahan bonda dan mak tam, bergerak keluar, duduk di bawah rumah saling menangis berpelukan. Sambil bonda bertanya ,"kita tak ada mak, kan?".
Sungguh. Saya menangis ketika ini.
Sendiri itu mematangkan.
Meski bonda membesar dalam keadaan yang boleh dilakon layarkan, tetapi Allah hadiahkan bonda kecerdikan dan kematangan.
Membesar sebagai seorang kanak-kanak yang genius meski hidup penuh kekurangan. Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Jiwa, Sg Petani dan berjaya dianugerahkan pelajar terbaik seluruh Malaysia bagi SRP. Seterusnya mendapat tajaan Petronas.
Namun berlaku sedikit kecelaruan dalam pemilihan bidang pengajian. Bonda yang hakikatnya meminati bidang sains sosial dipujuk untuk meneruskan bidang sains sehingga ke alam IPT, bonda sekali lagi, diizinkan Allah untuk memilih bidang yang tidak sesuai dengan jiwanya (kata bonda ^^) iaitu 'Town Planning' di Universiti Teknologi Malaysia. Suatu jurusan di bawah fakulti seakan-akan engineering, QS, architecture dll.
Ketika baru menginjak usia 20/21 tahun, sekali lagi Allah membuktikan sayangnya kepada bonda dengan mengambil tok wan ketika bonda masih dalam pengajian.
Cerita bonda, ketika kelas malam, ada kerani datang mengirimkan telegram yang tercatat pesanan, "pulang, ayah kemalangan".
Dan ketika tiba di kampung, tok wan telah pun dikebumikan, meninggalkan bonda untuk dijaga oleh Allah sepenuhnya.
Sungguh. Saya menangis ketika ini.
Sendiri itu hadiah.
Bonda selalu berkongsi, betapa syukurnya bonda membesar tanpa ibu dan ayah. Kerana sendiri itu mendidik bahawa sebaik-baik penjaga adalah Allah. Tiada ibu ayah yang membuka luas peluang untuk rosak, tetapi Allah terus menerus menjaga bonda membuktikan bahawa "Cukuplah Allah bagiku. Cukuplah Allah bagiku. Cukuplah Allah bagiku..".
Dan sendiri itu membuka ruang luas untuk mencari dan mencari sehingga menemukan bonda dengan hakikat kehambaan sebenar. Sehingga bonda menemui fikrah Islamiyah harakiyah di bawah UDMZ.
Sendiri terus menerus.
Ketika memasuki alam rumah tangga, Allah menguji dengan lebih hebat. Dan sejarah semalam terus menerus mematangkan bonda untuk hidup sendiri hanya bersandar kepada Allah.
Bertemu dengan pasangan yang berbeza latar belakang. Ayah yang membesar di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dalam suasana kehidupan anak pegawai besar kerajaan. Dan ketika awal pernikahan mereka, nenek masih aktif dalam parti politik kerajaan sebagai ketua wanita.
Kata bonda, bukan sedikit air mata yang mengalir. Terlalu banyak calar yang menghiris. Dan kami (saya dan kakak) dewasa dengan cerita-cerita bonda yang mendidik serta penyaksian peristiwa demi peristiwa semenjak kecil membuatkan kami matang dalam melihat alam rumah tangga itu.
Terlalu banyak kisah. Terlalu banyak peristiwa. Yang membuatkan saya semakin dan terus menerus mengagumi bonda.
Pernah, saya melihat bonda dimarahi nenek kerana memakaikan kami tudung ketika kecil.
Pernah, saya beberapa kali menemani bonda pergi menziarahi beberapa kakak yang berkenan di hati bonda untuk dirisik sebagai madunya. Saya yang ketika itu tidak mengerti apa-apa. Dan ketika ini, ketika saya menjadi seorang wanita, tidak terbayang di hati betapa remuknya jika terpaksa pergi merisik wanita lain untuk dijadikan pasangan suami sendiri. Tetapi ketika itu, saya lihat, tidak ada sedikit pun riak kesedihan di wajah bonda.
Pernah, kami anak-anak memeluk erat bonda ketika bonda menangis. Melahirkan rasa bahawa kami sentiasa bersama bonda dalam apa jua keadaan.
Pernah, dan beberapa kami, saya terpaksa ditinggalkan sendirian beberapa hari di rumah Ipoh ketika usia rendah. Sedang bonda bertarung perasaan di utara.
Pernah, kami menangis bersama-sama ketika bonda menerima panggilan di awal pagi 13 Januari 2003.
Pernah, dan setiap kali, saya lihat kesedihan bonda setiap kali kami dibesarkan dalam majlis-majlis mewah dan aktiviti-aktiviti yang tidak seharusnya menjadi sebahagian dalam kehidupan seorang muslim itu.
Dan semuanya yang terlalu banyak.
Pedih itu langsung TIDAK pernah mematikan.
Meski bonda melalui sendiri kehidupan, yang SELALUnya akan membuatkan jiwa-jiwa mereka lemah dan akhirnya FUTUR. Tetapi tidak sama sekali bagi bonda.
Saya teringat, dan masih tersimpan kemas, modul-modul awal pembacaan kami yang disusun sendiri oleh bonda ketika kami baru belajar membaca. Bersama gambar-gambar dan warna-warna yang dihias penuh cinta dan harapan agar kami dewasa sebagai hamba Rabbani.
Saya teringat, saya membesar dalam keadaan melihat bonda aktif membawa halaqah-halaqah jiran. Paginya untuk suri rumah-suri rumah, petangnya untuk sahibah-sahibah dan penduduk taman yang bekerjaya di surau. Malamnya, tarbiyatul awlad kami anak-anak yang dicintai sepenuh hati.
Saya teringat, setiap kali tibanya cuti sekolah, ketika ayah out-station, bonda sibuk merangka kursus intensif untuk kami anak-anaknya. Direka modul-modul khas berbentuk hafalan ayat-ayat alQur'an atau seerah atau asas-asas fardu ain hanya semata untuk kami membesar mengenal dan mencintai Allah serta RasulNya.
Saya teringat, dalam apa keadaan sekalipun, bonda akan sentiasa memastikan kami menjaga syara' meski masyarakat sekeliling memandang kami aneh.
Saya teringat, betapa pekanya bonda terhadap perkembangan akhlak dan ibadah anak-anaknya. Tidak jemu terus menerus mendidik kami dengan ilmu-ilmu baru dalam halaqah rumah.
Saya teringat, kami belajar membaca huruf dan alQur'an serta menulis dan mengira dengan taman asuhan bonda.
Saya teringat, rumah kami dipenuhi dengan pelbagai tampalan kata-kata tarbawi dari alQur'an dan hadis mahupun ayat-ayat yang ditulis bonda.
Saya teringat, berpuluh-puluh ribu duit dihabiskan semata untuk menghadiahkan kami himpunan buku-buku tarbawi tidak kira berbentuk sains, teknologi, seerah, akidah, hadis dan sebagainya.
Saya teringat, terus teringat.
Awalnya sendiri, dan kini turut sendiri.
Teringat ketika ayah meninggal dan dimandikan di hospital kerana darah yang mengalir banyak akibat denggi berdarah.
Bonda membawa kereta Camry pulang bersama kami; kakak, saya dan adik. Abang menguruskan ayah di hospital. Orang hairan melihat betapa kuatnya bonda.
Dalam perjalanan, bonda tenang memberikan kata-kata semangat kepada kami yang masih seakan-akan berada dalam mimpi.
Ketika kereta membelok memasuki jalan hadapan rumah, bonda memarkingkan kereta dan saya masih ingat jelas, bonda menangis. Wajah bonda ditutup dengan telapak tangan. Dan makcik-makcik datang memapah bonda keluar.
Sungguh. Saya menangis ketika ini.
Bonda hari ini.
Meski orang lihat dan berfikir bahawa bonda semakin kasihan, tetapi saya melihat bonda semakin bahagia. Dan kami anak-anaknya, turut semakin bahagia kerana kami tahu bahawa apa yang menjadi impian bonda semenjak di awal penerimaan fikrah iaitu untuk membentuk Baitul Dakwah telah dimakbulkan.
Segala air mata dan jerih perih bonda telah Allah ganjarkan di dunia sebelum ganjaran yang berlipat kali ganda di akhirat.
Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul.
Sungguh. Tidak ada ganjaran yang mampu dibayar buat bonda mukminah melainkan terus menerus berusaha menjadi hamba yang Allah redha agar doa tidak terhijab, insya-Allah..
Bonda, sesungguhnya, anakmu menjadi saksi terhadap setiap kesabaran dan ketabahn yang telah bonda lalui selama ini. Semoga Allah redha dan terus menerus menghadiakan ihsan dan cintanya kepadamu..
Anakmu yang jauh,
Nurul Hasna' Binti Hazni.
Bayt Muhannad atThohir.
nota kaki:
*post pertama di rumah baru.
*terfikir lama dah, untuk menulis satu novel adaptasi dari kehidupan bonda, Cuma tidak berkesempatan lagi..
salam ziarah hasna'
ReplyDeleteterpegun akak baca kisah hidup ibu awak. semoga Allah kurniakan ibu awak sebaik-baik ganjaran atas segala ujian yang dilalui dengan penuh sabar. Dan semoga awak juga perolehi kekuatan sehebat ibu awak dalam hidup ini. =) amin. insyallah...
Allahu Allah, sungguh meruntun jiwa.. Again, kagum dengan Bonda kalian..Alhamdulillah3x, suatu nikmat yang tidak ternilai buat Hasna' dan Kak Maryam, serta adik beradik.
ReplyDeleteCerita kehidupan ini mengundang air mata ..
sangat menarik tulisan anda..ikhlas dri hati..
ReplyDeletemoga sentiasa dalam redha Allah S.W.T :-)
masya Allah, masya Allah...
ReplyDeletekak ainul: alhmdlh..smga kita berusaha mlahirkn lbh ramai ibu2 yg hebat agar dpt mmbentuk generasi yg hebat suatu hari nnti, iAllah..^^
ReplyDeletekak kembara: alhmdlh..merasai sungguh anugerah yg maahl ini. smga anugerah yg mahal ini dpt turut dikongsikn bersama dgn yg lain..
anon: ameen. smga Allah redha kita bersama..
fadhil: mlihat khebatan manusia, smkn merasai betapa hebatnya Allah.
menangis tanpa henti membaca tulisan ini.
ReplyDeleteAllah... Allah... Allah...
~al irbidi
Assalamualaikum
ReplyDeleteBonda ini, tumbuh mekar kasih sayang kepadanya.
Semoga Allah menyayangi nya dalam payungan inayah dan teduhan keampunan yang berpanjangan.
BroHamzah
bonda..
ReplyDeletemoga bisa menjadi sepertinya
subhanaLlah! moga menjadi contoh buat semua. anda dan adik beradik telah pun menunjukkan contoh serupa.
ReplyDeletenukilkan kisah ini sbgi novel motivasi maupun travelog, pasti jadi bestseller..
assalamualaikum ukhti fid din dan se alumni MATRI
ReplyDeletemembaca sahaja sudah mendapat suntikan motivasi.
dan semoga saya menjadi ibu, isteri, pendidik cemerlang dunia akhirat. amin