Saturday, September 5, 2009

'malaikat' yang dikirim..

Semalam ada kisah menarik yang ingin saya kongsikan bersama kalian.

Petang itu, ibu berhajat menziarahi tok tiri yang strok di Sungai Petani, Kedah. Kata ibu, tok baru keluar dari hospital pagi tadi. Kami bertolak sekitar jam 5.30 petang dengan perancangan akan berbuka di restoran setibanya kami di sana. Mak Tam yang tinggal di Jerlun turut bersama kami.

Selepas melepasi tol Sungai Petani Utara, belakang kereta mengeluarkan bunyi yang sangat pelik dan mencurigakan. Pada awalnya kami sangka, bunyi barang-barang di bonet. Namun, apabila dialihkan, bunyi aneh itu tetap muncul dan semakin teruk.

"Zubair, ke tepi jalan.."Ibu mengarah cemas.

Dan ketika kami keluar, barulah perasan yang tayar kami pancit!





Ini dia peralatan-peralatannya..ada sesiapa yang tak kenal?


Lampu kecemasan dinyalakan.


buku manual yang dibaca..huhu.

Memandangkan ini kali pertama tayar kereta Avanza pancit, maka kami tidak punya apa-apa pengalaman. Kelam kabut juga dibuatnya lebih-lebih lagi jam sudah menghampiri waktu berbuka.

Abang tampak tidak betah menggunakan peralatan-peralatan. Kedudukan tayar spare pun abang tak pasti di mana! Di sebelah, ibu bercerita proses-prosesnya berdasarkan yang tertulis di buku..huhu..tampak sangat mustahil untuk dilakukan.


Tayar yang leper..


Baca buku manual dulu..huhu.

Dalam kelam-kabut itu, Allah telah mengirim seorang manusia 'malaikat' yang muncul dari bangunan berdekatan menawarkan bantuan kepada kami. Bilang lelaki itu, dia pernah bekerja sebagai mekanik. Memang tidak dapat disangkalkan. Dia membuka tayar dan memasang yang baru dalam masa yang pendek.

Dalam masa itu azan berkumandang dan kami berbuka di tepi jalan! huhu..pengalaman yang amat menyeronokkan.





Proses pertukaran sedang berlaku..

Walaupun penampilan pemuda itu tampak agak 'rockers', tetapi dia punya hati yang sangat baik. Lebih menyentuh hati kami, dia sungguh-sungguh menolak bayaran yang ibu hulurkan dengan jawapan,
"Saya ikhlas kerana Allah, makcik".

Saat itu saya teringat kata-kata cikgu AB, " siapa yang mengatakan bahawa masyarakat menolak Islam, dia adalah orang yang tak pernah turun ke dalam masyarakat.."

Sungguh. Pemuda itu adalah buktinya. Masyarakat dirosakkan tanpa rela dan sedar mereka. Kerana itu jika kita bergaul dengan mereka, kita akan dapat melihat keluhan jiwa mereka yang sebenarnya meronta kerana mereka punya hati yang bersih tetapi dikotori oleh sistem jahiliyyah yang sentiasa cuba membuang manusia daripada fitrah kejadian.


Tempat kejadian..


mengemas kembali peralatan-peralatan yang digunakan..

Dalam kereta, kami kembali bermuhasabah. Kata ibu, Allah telah menemukan kita dengan bukti bahawa masih ada manusia yang jujur dalam masyarakat hari ini. Bermakna, masyarakat memerlukan kita!

Allah juga telah mendidik kami agar selalu meyakini bahawa jika Allah tidak mengizinkan sesuatu itu berlaku, maka perkara itu tidak akan berlaku..

Kami meneruskan perjalanan dan sampai di rumah Mak Ina pada sekitar jam 8.30malam selepas menjamu selera di restoran.

Alhamdulillah, Allah telah melindungi perjalanan kami walaupun menghadapi sedikit kesukaran..
Sungguh. Maha hebat Allah.


Aqashah yang tembam..(anak mak Ina)


Wednesday, September 2, 2009

Perasaan itu hadir lagi...

Sungguh. Perasaan itu hadir lagi. Perasaan setiap kali saya menerima bantuan kewangan dari orang. Perasaan sedih yang mencengkam. Tertusuk pedih dalam hati. Saya tidak dapat menipu.

Tadi petang, saya menghantar pesanan ringkas ucapan terima kasih kepada pak cu (adik ayah) atas penghantaran wang bulanan ke dalam akaun saya. Pak cu yang bermastautin lama sebagai seorang doktor di Ireland menghantar awal walaupun saya belum tiba di bumi Urdun.

Entah. Saat saya menyusun kata-kata, bagai ada sesuatu yang ingin turbit di bibir mata. Mata saya jadi pedih.

Perasaan ini hadir pada saat-saat begini. Saat saya mengucapkan terima kasih atau memohon bantuun kewangan kepada seseorang. Sungguh.

Rasa benar kehilangan seorang ayah. Selalu saja terdetik di hati, ketika mengisi borang-borang zakat atau permohonan bantuan, "kalau ada ayah, aku tak la macam ni..".

Esok, tiba lagi 3 September 2009. Bermakna sudah 5 tahun ayah meninggalkan kami. Sudah 5 tahun jugalah saya merasai susah payah dan erti sebuah kehidupan. Daripada seorang anak 'orang kaya' bergaji belasan ribu kepada seorang anak 'ibu tunggal' bergaji lebih sedikit dari seribu..

Sungguh. Bukankah itu nikmat kehidupan?

Sebenarnya, bukan ibu tidak mampu menanggung sepenuhnya perbelanjaan saya di Jordan tapi kata ibu, sebagai meringankan tanggungannya. Lagipun tambah ibu, sebagai memberi peluang kepada yang lain untuk beramal..

Sungguh. Susunan Allah unik bukan? Jika kita lihat dari kaca mata yang jahil, tampak tidak adilnya Allah kerana menjadikan hamba-hambaNya berbeza. Ada yang kaya sekaya-kayanya dan ada pula yang miskin semiskin-miskinnya. Ada golongan yang tidur bertilamkan wang dan limpahan kemewahan dan dalam masa yang sama ada golongan yang hanya beralaskan tanah dan berbumbungkan langit menahan kesejukan malam dan kelaparan yang berpanjangan.

Tetapi sebenarnya, kehidupan bukan begitu. Bukankah kerana itu Islam menyuruh kita berkongsi? Saya ingat dalam halaqah keluarga tempoh hari, ibu bertanya pada kami, apa hebat sangatkah kita sehingga Allah bagi kekayaan? Kenapa tidak Allah bagikan saja kepada orang-orang yang lebih beriman dan lebih bertaqwa dari kita? Apakah kelebihan kita?

Sebenarnya tidak punya apa-apa kelebihan langsung. Malah tidak wujud langsung kehebatan melainkan hanya semata Allah mahu menguji sama ada kita mahu berkongsi atau tidak. Tambah ibu, apa-apa yang kita ada bukan milik kita tapi datang dari Allah dan menjadi hak milik Allah..

Saya ingat, dulu ketika ayah ada, kami jarang mendapat duit raya yang banyak kerana kata orang kami anak 'orang kaya'. Tapi setelah ayah tiada, situasi tampak berbeza. Bukankah itu bermakna dengan kewujudan anak yatim maka wujud jua peluang untuk mendapat pahala?

Berbalik semula ke topik asal.

Sejujurnya perasaan itu akan selalu hadir setiap kali saya menghadapi situasi sebegini. Rasa rindu. Rasa sayu. Rasa pedih. Dan bermacam-macam rasa. Dan ingatan saya juga akan kembali menerawang ke zaman kanak-kanak yang penuh kenangan. Kenangan kami bersama ayah..






Percutian terakhir bersama ayah di Iran 2003

Semoga rahmat Allah selalu bersamanya..amin.

Doakan saya sahabat..

Sunday, August 30, 2009

Titipan bonda yang penuh bermakna...


Pagi tadi kami buat lingkungan atau pun lebih mesra dipanggil halaqah keluarga..
Sebenarnya, saat-saat manis seperti itu sudah lama tidak disuburkan dek kesibukan setiap ahli keluarga. Payah sungguh mencari ruang waktu yang sesuai. Selalunya halaqah hanya berlangsung secara tidak formal di meja makan.

Sungguh. Banyak yang saya dapat walaupun pengisiannya berulang-ulang.

Kata ibu, dalam ketidakwujudan khilafah hari ini, maka rumah adalah benteng terakhir untuk kita laksanakan Islam. Rumah adalah kubu terakhir untuk iman kita bertahan setelah diasak oleh gelombang jahiliyyah yang ganas di luar. Jika dalam sesama keluarga sendiri kita tidak dapat melaksanakan amal ma'ruf dan nahi mungkar, maka itu bermakna kota pertahanan telah hancur dan jahiliyyah telah berjaya menguasai setiap jiwa-jiwa dalam ahli tersebut.

Petik ibu daripada ayat alQuran (maaf,saya tidak ingat surah apa) yang mana mafhumnya berbunyi; "lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada siksa neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia" (na'uzubillah min zalik..)

Tambah ibu lagi, kerana itulah baitul dakwah itu penting untuk dilaksanakan. Bait yang dapat mendidik setiap ahli-ahlinya agar bergerak dan terus maju menjadi mukmin yang mosleh. Mukmin yang bukan sekadar soleh tetapi boleh membawa masyarakat kepada Islam.

Tegas ibu, ketika ini, kita tidak nampak mengapa perlu kita saling menegur sesama ahli tetapi ketika mana kita sedang berdiri di Padang Mahsyar, ketika mana kita telah menyaksikan betapa indahnya syurga dan betapa dahsyatnya neraka, ketika mana hati kita dipenuhi rasa ingin berlari ke syurga dan diletupkan dengan rasa ngeri dan takut akan azab neraka, maka ketika itulah, kita tidak akan lagi mengenal siapa keluarga kita, siapa ibu kita dan siapa ayah kita. Kita masing-masing akan berusaha sedaya upaya untuk menyalahkan orang lain agar kita terlepas dari pedihnya siksa neraka. Ketika itulah bibir kita akan menyalahkan sesiapa sahaja tanpa mengira dia ibu, dia ayah atau dia anak.
"mak akulah yang tak tegur aku.."
"bapa akulah tak pernah larang aku pun..."
"mak aku dulu suruh ja tapi tak pernah paksapun aku solah.." dan macam-macam lagi alasan yang cuba kita berikan kepada Allah yang Maha Mengetahui agar diri kita terlepas.

Tambah ibu lagi, kasih sayang yang sebenarnya adalah kasih sayang yang boleh membawa kita jauh dari neraka Allah..kerana itu, nak tak nak ibu bapa wajib menasihati anak-anak dan untuk hal-hal tertentu, mereka wajib bertegas.

Ibu juga mengingatkan kami tentang mulianya Ramadhan yang merupakan hadiah dari Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Ramadhan adalah bulan yang diumpamakan oleh ulama' sebagai seorang pengembara yang bersafir di padang pasir yang luas selama berbulan-bulan. Dia terputus bekalan air dan makanan. Dan suatu ketika dia bertemu dengan taman hijau yang dipenuhi buah-buahan segar, sungai-sungai yang mengalir dan makanan yang banyak. Itulah Ramadhan. Maka apakah si musafir itu akan mensia-siakan taman tersebut? Pasti dia akan mengumpulkan sebanyak-banyaknya bekalan untuk dibawa semasa meneruskan perjalanan nanti kerana dia sedar taman itu hanya persinggahan dan bukan destinasinya.

Begitulah mukmin dengan Ramadhan. Tambah ibu lagi dengan mengambil sabda junjungan teragung, yang mafhumnya berbunyi; "Barangsiapa yang keluar dari Ramadhan tanpa punya perbezaan dengan bulan-bulan yang sudah maka celakalah ia..." (na'uzubillah min zalik..)

Ibu juga menceritakan tentang hawa nafsu yang selalu menyusahkan. Kata ibu yang dipetik dari buku Ibnu Qayyim (kalau tak silap saya), nafsu ini umpama kanak-kanak yang telah menjangkau usianya 2 tahun, yang mana dia perlu dipisah dengan susu badan. Cerita ibu, sungguh payah sebenarnya untuk memujuk dan memerlukan hikmah dan kesabaran yang tinggi. Kanak-kanak itu sudah perlu dikhabarkan sejak berbulan-bulan sebelum tempoh pemberhentian agar dia tidak terkejut. Dan sebagi seorang ibu, kita perlu tabahkan hati melihat anak-anak menangis untuk hanya beberapa tempoh. Tetapi bagi ibu yang malas mendengar tangisan anaknya yang hanya beberapa hari itu membuatkan anaknya terus menyusu badan sehingga ada yang menjangkau umur 7 tahun!

Begitulah nafsu yang mesti disekat nak tak nak walaupun payah dan memerlukan kesabaran dan himmah yang tinggi.

Sebenarnya banyak lagi yang dititipkan ibu. Mungkin sekadar ini yang dapat saya kongsikan dengan kalian..

Sungguh. Dari bicara ibu, tersimpan permata agung yang akan selalu saya pegang walau ke mana saya pergi..insyaAlah..

Friday, August 28, 2009

Kenapa perlu pergi jauh?


Kenapa saya berhajat benar untuk pergi jauh?

Bukan tidak ada IPT-IPT yang bagus di sini.. Bukan tidak ada suasana yang baik di sini..

Sungguh. Mengapa ya?

Lebih-lebih lagi, bukan sedikit rasa takut yang muncul dalam hati.. bukan tidak wujud rasa risau dengan penerimaan budaya sana..Sungguh. Saya gusar sebenarnya.

Tetapi, kenapa ya saya sungguh nekad untuk pergi jua?

Sejujurnya, saya ingin belajar menghargai dan menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur..

Ya. Saya ingin belajar untuk menghargai kehadiran insan-insan yang selama ini menjadi tulang belakang dalam kehidupan saya..Saya ingin benar-benar belajar untuk menghargai mereka.. Menghargai setiap apa yang telah mereka corakkan sepanjang umur saya membesar ini.. Sungguh. Menghargai pemilik rumah kecil saya dulu. Pemilik tubuh yang telah perit mengeluarkan saya untuk melihat besarnya dunia ini. Menghargai manusia-manusia yang membesar bersama-sama saya. Bersama bermain, bersama belajar, bersama bergaduh dan bersama lena bergelimpangan di atas tilam..

Sungguh. Saya mahu lebih menghargai mereka…

Doakan saya ya..

Thursday, August 27, 2009

packing...packing..

Minggu ini saya sudah mula mengemas barang-barang yang akan saya bawa ke Jordan.. huhu bukan tidak sabar untuk meninggalkan bumi Malaysia tetapi kerana saya khuatir nanti kalut di kemudian hari.


my really big luggage and lappy bag


my hand luggage


actually, rumah saya tidak ada penimbang berat badan..
so kena la pakai ini..huhu

Perasaan saya bercampur baur setiap kali tangan menyusun barang di dalam bagasi-bagasi ini.. Terbit rasa sayu, rasa gembira, rasa sedih, rasa takut, rasa tak sabar-sabar, rasa bimbang dan macam-macam..

Kadang-kadang, rasa macam tak percaya pula yang saya akan meninggalkan keluarga dan sahabat-sahabat di sini.. Sungguh. Hati ini rasa pedih.

Pagi tadi, ketika saya sedang menyusun list peralatan yang sudah lengkap, sahabat baik saya yang tersayang, Nurul Izza Binti Md Kamil menghantar pesanan ringkas yang cukup membuatkan saya ingin menangis..

"Seorang teman bila berjauhan, dia akan menangis kerana rindu.. Dan apabila dekat, dia akan menangis kerana takut berpisah. Jika hari ini insyaAllah datang, jangan biar ia berlalu pergi, jika esok ia bertandang, jangan harap ia kembali lagi. Sesungguhnya yang indah itu PERTEMUAN, yang manis itu KEMESRAAN, yang pahit itu PERPISAHAN, yang tinggal hanyalah KENANGAN..mana mungkin dapat lupakan sahabat yang setia dalam perjuangan. Sesungguhnya RINDUKU ini tidak dapat diungkap melalui kata-kata.. hanya DOA yang mampu ku kirim buat sahabat tercinta! Salam perjuangan. Moga dalam redha Allah selalu..."

Allah..saya rindukan kalian, sahabat... Insan-insan penting yang telah mencorak kenangan semalam saya.. Insan-insan yang telah bersama saya dalam susah dan senang.. Insan-insan yang bersama saya dalam membina imaginasi esok.. Sungguh. Moga Allah mempertemukan kita lagi dalam kemanisan Iman dan Islam..insyaAllah..

Doakan saya ya..




Saturday, August 22, 2009

Bangsa atau agama?

Alhamdulillah, sudah selesai hampir seminggu saya menghadiri kursus Bina Negara anjuran Biro Tatanegara, Jabatan perdana Menteri untuk pelajar-pelajar yang akan ke oversea..

Kursus ini diadakan di Kem BTN Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak. Seramai 98 orang peserta telah menjalani proses pem'brainwash'an dari 17-21 hb Ogos 2009.

17hb Ogos.

Saya menumpang rombongan di bawah Jabatan Agama Islam Kedah yang bertolak pada jam 9 pagi. Bas bertolak dari Masjid Zahir dan singgah mengambil peserta lain di Sungai Petani dan Sungai Dua. Singgah lagi di R&R untuk makan tengah hari.

Kami tiba sekitar 2 petang di tapak kursus. Saya kira kami adalah rombongan pertama. huhu..terpaksa menunggu kaunter pendaftaran dibuka pada jam 2.30 petang. Duduk beramai-ramai di pondok yang panas sambil berkongsi cerita gerun mengenai pengalaman kenalan-kenalan dalam BTN.

Sungguh. Sangat takut ketika itu.

2.30 petang, kami diminta untuk berdaftar. Memandang peserta kursus yang ada masih belum habis, kami diminta untuk berdaftar di bawah pondok bersebelahan dengan surau. Selepas solat dan peserta kursus yang ada telah mengosongkan asrama, kami diminta untuk merehatkan diri dan mengemas barang sebelum diminta berkumpul semula pada jam 5.30 petang.

Dalam taklimat, kami diterangkan Encik Asrizal, ketua fasilitator tentang peraturan-peraturan kem serta serba sedikit tentang objektif, misi dan visi kem ini dijalankan. Lagu tema kem ini ialah lagu 'Warisan' yang sungguh 'perkauman'...

Selesai taklimat, kami makan malam, solat maghrib dan 'isyak serta sedikit kuliah maghrib, maka bermulalah sesi pembentangan kertas kerja 1 oleh Encik Asrizal yang bertajuk 'Tanah Air'. Huhuhu pembentangan yang penuh dengan semangat 'patriotik' dan dicampur dengan semangat perkauman yang melampau...

18hb Ogos.

Hari ini adalah hari yang sangat membosankan dan mengantukkan. Juga adalah hari yang sungguh membuatkan saya beristighfar panjang..

Pembentangan kertas kerja 2 disampaikan oleh En Wan Rahim yang bertajuk 'Kerajaan'. Seterusnya selepas rehat pagi selama 30 minit, pembentangan kertas kerja 3 diteruskan dengan tajuk 'Rakyat' oleh saudara Khairi Yusman. Berehat untuk makan tengah hari dan solat zohor kemudian disambung semula sesi pembentangan kertas kerja 4 pada jam 2.30 petang oleh En Khalid yang bertajuk 'Kedaulatan dan Rumusan'. Memandangkan En Khalid ini agak terbuka dan baik berbanding yang lain sekaligus petang itu adalah sesi pembentangan terakhir, maka sesi soal jawab dipenuhi dengan soalan-soalan yang panas. Ada peserta yang mempertikaikan objektif kem itu dilaksanakan kerana hujah beliau, sepanjang kem ini dijalankan, para peserta ditanamkan dengan sifat perkauman dan turut diancam sebagai penderhaka jika tidak menyebelahi krjn. Apa yang boleh disimpulkan, pembentangan berbeza dengan objektif kem.

Huhu.. Saya no comment.

Petang itu, riadah diisi dengan ujian fizikal. Sangat memalukan saya kira. Terpaksa melompat, berpusing, pumping(maaf saya tidak tahu mengejanya) dan lain-lain di depan peserta lelaki. Dan keputusan psysiologynya, saya berumur 45 tahun! huhu.. Sejujurnya, saya mengaku yang saya paling malas bersenam. (",)

Program malam itu adalah ice breaking. Pada saya, objektifnya adalah untuk menghilangkan rasa malu para peserta sehingga langsung tidak punya malu. Di dalam satu dewan, kami menjalani aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pencampuran bebas, menggalakkan wanita untuk tampil ke hadapan melakukan aksi-aksi yang sangat memalukan bagi saya. Oh ya, saya terlupa untuk mengkhabarkan pada kalian yang BTN kali ini memang untuk pelajar-pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir dan majoritinya adalah pelajar-pelajar yang akan mengambil bidang agama atau diringkaskan ustaz-ustazah.

Malam itu, saya sungguh kelat. Tidak bisa senyum kerana rasa terlampau malu melihat bakal ustaz-ustazah gembira diperbodohkan. Seronok dengan aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan akhlak dan moral mereka. Majoriti yang berpakaian tudung labuh seronok menjerit-jerit dan menyanyi riang. Alhamdulillah saya dinasihatkan kakak untuk memakai tudung bidang.

19hb Ogos.

Hari ini bermulalah sesi dalam kumpulan. Alhamdulillah, saya mendapat ahli kumpulan lelaki yang agak pemalu. Sekali lagi saya bersyukur kerana mendapat fasilitator yang terbuka iaitu En Khalid yang pernah saya ceritakan. Beliau menganggap kami anak-anaknya dan setiap pertanyaan kami dianggap sebagai pertanyaan orang yang tidak tahu apa-apa. Dan saya lah yang selalu bertanya dan memberi renspon yang baik dalam setiap aktiviti...huhu.

Aktiviti-aktiviti LDK lebih berbentuk permainan yang bermotifkan politik. Saya hanya memberi renpons baik untuk mendapatkan markah..(",)

Petang itu, kami sekali lagi perlu menjalani ujian fizikal. Dan kali ini lebih menyeksakan kerana kami diminta untuk berlari sejauh 4km (2km pergi, 2km balik) . Bukan jalan rata tetapi bukit curam! huhu.. Alhamdulillah saya hanya mengambil masa 15minit 50 saat. Markah lulus bagi lelaki ialah 18 minit dan untuk perempuan 24 minit. Bermakna saya lulus..huhu. Agak mengejutkan.

Selesai ujian, kaki kami bagai nak tercabut semuanya.

20hb Ogos.

LDK diteruskan seperti biasa. Dan pagi tadi, semasa sesi perbarisan pagi, kami mempelajari asas-asas mempertahankan diri. Sungguh melucukan dan seronok.

Saya terlupa memberitahu yang kami perlu bersama kumpulan dalam apa-apa jua aktiviti seprti kawad kaki, makan dan kedudukan dalam dewan. Bayangkan kawad kaki bersama lelaki! Kawad kaki dengan sahibah-sahibah dulupun saya tidak suka..

Malam ini adalah malam persembahan kumpulan. Kami diminta untuk menyanyikan lagu-lagu patriotik dan kumpulan saya mendapat lagu Jalur Gemilang. Huhu..kumpulan saya bukan berlatih pun dan kami mendapat tempat ke2 terakhir..

Selesai aktiviti persembahan, kami diisi dengan satu lagi permainan iaitu menyambung keratan-keratan kertas yang telah dipotong. Kami dilarang untuk bercakap dan berjalan tapi boleh bergerak. Diringkaskan cerita, kertas-kertas itu dicantum membentuk sekeping kertas benar yang berisi ikrar. Dan kami diminta untuk mengelilinginya dan membacanya beramai-ramai.

Kemudian kami diminta untuk menyaksikan tayangan bergambar yang entah saya tidak ambil peduli kerana dipenuhi unsur-unsur politik. Cuma yang membuatkan saya menitiskan air mata hanya apabila ditayangkan penderitaan saudara-saudara saya di Palestin dan di Iraq sana.

Selepas itu, semasa sesi rumusan, kami dihamburkan dengan bermacam-macam ugutan dan ancaman. Lebih-lebih lagi peserta-pesrta kem kali ini termasuk saya telah dicopkan sebagai pro pembangkang. Kami juga diminta mengucapkan dua kalimah syahadah dan berkali-kali diingatkan agar jangan sesekali menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Nadanya sangat memaksa.

Malam itu kami habis hampir pukul 1 pagi.

21hb ogos.

jam 8.30 pagi, kami perlu menjalani ujian. Kemudian kami minum pagi dan berkemas. Jam 11 pagi, kami diminta untuk berkumpul semula di dalam dewan untuk sesi penutup. Masih sama, pelbagai pesanan telah 'dititipkan'.

Jam 12.30 tengah hari, kami makan dalam kumpulan buat kali terakhir. Bas rombongan kami tiba jam 1 petang dan kami pun berangkat pulang selepas singgah sebentar di bandar diraja Kula Kangsar untuk membeli cenderahati kenang-kenangan..

Apa yang dapat saya simpulkan dari kem ini ialah, bangsa itu lebih penting daripada agama.

Saya teringat tentang salah satu soalan yang telah saya utarakan dalam LDK, jika suatu ketika nanti ada seorang melayu yang tidak mengamalkan Islam dan seorang lagi cina muslim yang amalkan Islam, mana yang patut kita pilih sebagai PM kerana melalui apa yang ditegaskan oleh penceramah, kita jangan sesekali benarkan bangsa lain selain melayu daripada memegang tampuk pemerintahan. Yang lucunya, fasilitator saya tidak dapat memberikan jawapan kerana jawapannya mesti berbalik kepada ISLAM.

Ingatlah, ikatan akidah itu lebih penting daripada ikatan kekeluargaan, ikatan bangsa ataupun ikatan saudara.

Saya juga teringat, kami ditekankan untuk merujuk kepada perlembagaan dalam apa-apa jua keadaan dan apa-apa yang ada dalam perlembagaan tidak boleh sesekali dipersoalkan. Saat itu, ingin saja saya menyoal si penceramah, di manakah alQuran jika anda hanya mengagungkan perlembagaan? Bukankah perlembagaan itu hanya ciptaan manusia yang tidak pernah tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan?

Macam-macam lagi yang kami terima (paksa terima) di sana. Saya tahu, sesiapa yang pernah mengikuti kem BTN pasti faham situasi yang telah saya alami ini. Situasi yang menyedarkan saya bahawa jahiliyyah masih tertanam utuh dalam diri masyarakat sekeliling saya.

Sungguh. Ini pengalaman paling berharga buat saya. Lebih-lebih lagi pada masa akan datang, saya akan menjadi tabib masyarakat, maka elok benarlah saya tahu apakah penyakit yang sedang berulat menyerang mereka.

Doakan saya. Doakan semoga saya istiqamah di atas jalan ini..

Thursday, August 13, 2009

masa yang semakin...

Sekadar berkongsi perasaan yang semakin 'nervous' ini..
Alhamdulillah, saya akan bertolak ke bumi Amman pada 23 September ini iaitu pada hari raya Aidilfitri yang keempat pada jam 11 malam, insyaAllah..
Berlepas dari Pulang Pinang dan transit di Bangkok sebelum terus ke bumi Jordan menaiki Jordan Airlines (kalau tak silap..)

Doakan semoga Allah selalu menguatkan saya dan menghadiahkan saya sekeping hati yang hanya bergantung harap kepadaNya semata..

p/s: doakan juga kekuatan untuk saya melalui seminggu di BTN minggu depan..(",)

Monday, August 10, 2009

Saya tidak tahu mahu bilang apa..


Teruk. Menyesatkan. Tidak punya mesagge. Menghina Islam.
Saya tidak tahu mahu bilang apa lagi bagi menggambarkan betapa dasyatnya filem arahan musuh Islam ini.
Filem arahan Hanung Bramantyo ini jelas menggambarkan betapa Islam meletakkan kedudukan wanita serendah-rendahnya.

Filem ini sesungguhnya mengkhabarkan pada dunia bahawa Islam itu kejam, mendera wanita, menyiksa wanita, memaksa wanita melayani suami walaupun dalam keadaan haid dan mengandung 9 bulan, wanita tidak boleh melanjutkan pelajaran, wanita haram meminta cerai pada suami walaupun suaminya berlaku zalim terhadap dirinya, wanita tidak punya hak sama sekali untuk diperlaku baik oleh suami, wanita tidak boleh itu, wanita tidak boleh ini dan macam-macam lagi.

Tegasnya, Islam sama sekali tidak begitu..Sama sekali bukan begitu.

Saya tidak tahu mahu bilang apa cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini daripada komen-komen yang ditulis ternyata, ramai sudah terpesong dan mempersoalkan apakah benar ajaran Islam seperti ini?

Cuba kalian simpulkan, anNisa (watak utama) didera oleh orang yang selalu memakai serban, dia dicekik ketika ditangkap di kandang kuda dengan serban, dia dizalimi oleh kedungunan orang-orang yang memakai serban, dan ketika akhir cerita, saat dia menemui kebebasan melalui fahaman sekular, dia menjatuhkan serban. Apakah maksud yang ingin ditonjolkan dalam kisah ini? Apakah yang sebenarnya ingin diberitahu bahawa serban itu sinonimnya keganasan, penderitaan, kesengsaraan dan penghinaan menjadi seorang wanita dalam Islam?

Kisah ini menekankan bahawa Islam tidak punya penyelesaian untuk memberi hak wanita, yang boleh menolong cuma Woman Care Centre ( seakan-akan Sisters in Islam) yang pekerja-pekerjanya sama sekali tidak bertudung dan langsung tidak punya kefahaman tentang Islam. Mereka itulah golongan yang membantu wanita-wanita tertindas dek fahaman-fahaman Islam yang kolot.

Saya tidak mahu bilang apa lagi. Jika kalian ingin menontonnya, makan tontonlah melalui kaca mata Islam dan Iman. Jangan tontoninya melalui kaca mata jahiliyyah yang cuma menitik beratkan soal kecantikan pemandangan, kepandaian pelakon-pelakon memainkan mimik-mimik muka, keindahan suasana desanya dan soal remeh temeh yang lain. Tetapi pandanglah bersama hati yang ingin menyelamatkan masyarakat daripada kesesatan akidah.

Sungguh. Ini soal akidah.

Semoga Allah melindungi kita..

Sunday, August 9, 2009

Saturday, August 8, 2009

Ramadhan dan Palestine...



Ramadhan kian hampir.. Sudah bersiapkah kita?
Madrasah yang sempurna hadiah dari Allah.

Tetapi kenapa ya, bila tiba Ramadhan langsung terlintas indahnya Syawal. Sedangkan natijahnya belum tentu lulus minima. Apakah Ramadhan kali ini berhasil kita raih sebanyak-banyaknya?

Sungguh. Ramadhan punya cerita dengan di Palestin sana..


Ramadhan mengajak kita untuk pohon sesungguh-sungguhnya pada Sang Maha Mengetahui agar khilafah kembali tertegak, agar Palestin dan dunia amnya tenang dalam lingkungan Islam...



Ramadhan mengingatkan kita betapa kerdilnya kita menyambut kehadirannya. Kita sambut dengan kepenatan puasa cuma tetapi mereka sambut seakan sama seperti zaman Rasulullah s.a.w. Mereka sambut dengan usaha dan tawakkal yang lebih keras kepada Allah. Mereka sambut dengan jihad berganda. Mereka sambut dengan munajat kemenangan yang hebat.. Sama sekali tidak sama dengan kita.



Ramadhan mengetuk hati kita dengan persoalannya. Apakah kita tegar menyambutnya dengan semangat berkobar-kobar moga Allah ampunkan tetapi dalam masa yang sama tidak ambil peduli apakah yang sedang dan sentiasa berlaku dalam kehidupan hari-hari saudara muslim kita yang dibunuh, yang diseksa, yang dihina, yang diperkosa, yang dicuri kehormatannya, yang diceraikan kasih sayang antara keluarganya, yang dilempar akidahnya secara paksa dan banyak lagi yang langsung tidak kita sedar..

Sungguh. Apakah kita benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan?

(post ini untuk saya sebenarnya)

Friday, August 7, 2009

Saya yang tak punya hati..


Akhir-akhir ini, saya perasan yang saya tidak punya hati..

Bukan hati yang bewarna merah dalam tubuh manusia itu. Tetapi hati yang hadir setiap kali menjelajah kekhusyukan pertemuan dengan Allah, hati yang bersama saat menatap baik-bait kalam Allah dan hati yang turut serta pada setiap pengkhabaran kematian. Ya, hati yang punya rasa cinta, rindu, harap dan takut kepada Allah..

Itu yang saya maksudkan..

Saya teringat surat seorang pemuda kepada asSyahid Imam HAB yang mengadu kepada beliau tentang masalah ini. Sungguh. Masalah ini adalah masalah yang berat.

Semoga Allah tidak menolak saya tepi..Saya sangat takut itu.

Doakan saya, semoga saya menemui semula hati yang hilang..

p/s: Tolong doakan sekali semoga surat BTN saya cepat sampai ya..

Tuesday, August 4, 2009

fourth August


Saya menulis kali ini dengan hati yang berhajatkan kekuatan. Bukannya hati ini sedang bergoyah, cuma ingin bersandar pada dahan yang kukuh..sebagai tempat berehat mungkin.

Sejujurnya saat saya memutuskan untuk mengambil bidang deeniyah, bukan sedikit tentangan yang diperolehi. Kawan-kawan dan guru-guru memandang berat keputusan saya itu.

Ya, saya yang tidak pernah nampak ciri-ciri budak deeniyah dan lebih menonjol dalam bidang kira-kira dan seni. Mana tidaknya subjek matematik saya dari pendidikan rendah tidak pernah tercicir memperolehi gred A. Sebaliknya bahasa Arab saya, semenjak dari tingkatan satu cuma cukup-cukup makan dan hanya dengan izin Allah, berkat didikan tegas dan suasana yang menakutkan dari Sheikh Ibrahim saya memperoleh gred A dalam PMR.

Begitu juga ketika saya dalam pendidikan menengah atas, tidak banyak yang berubah. Allah izin markah subjek matematik selalu berkisar sekitar 90 ke atas. Yang paling menonjol ialah perbezaan markah addmath (Alhamdulillah, saya dalam kalangan top 3) dan BAT saya. Untuk subjek addmath, paling sedikit yang pernah saya dapat ialah 64 manakala untuk bahasa Arab paling tinggi saya pernah peroleh hanya 60! Huu.. (",)

Sepanjang saya menongkah kehidupan bergelar palajar, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk saya memilih bidang ini. Namun susunan Allah itu sangat cantik.

Hati saya mula berubah ketika saya mengikuti lawatan kakitangan MATRI ke Kelantan dan Terengganu pada tahun 2007. Kami menziarahi KTD. Cikgu Razali yang menyampaikan taklimat mengkhabarkan bahawa subjek-subjek KTD-KUIS masih tidak punya wakil 'sahabat' sebagai lecturernya.

Apabila pulang, hati saya sudah mula berbolak balik. Terasa benar ingin memilih jalan itu tapi masih tidak punya kekuatan.

Alhamdulillah, ketika keputusan peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 5 keluar, saya telah mendapat B untuk kali kedua bagi subjek addmath kerana kurang memberi tumpuan. Saat itu, dengan alasan kecewa kerana tidak dapat mempertahankan A secara berterusan membuatkan hati saya bulat untuk berpisah dengan subjek yang paling saya gemar itu.

Riuh juga waktu itu. Bukan sedikit sahibah-sahibah tersayang yang marah (marah sayang). Banyak sungguh cubaan yang menggugah keputusan drastik tersebut.

Mujur Allah sentiasa menguatkan. Selepas berpisah dengan addmath, saya semakin sayang kepada bahasa arab. Daripada gred E, meningkat kepada gred C seterusnya dengan izin Allah berjaya memperolehi B ketika peperiksaan percubaan. Hajat sungguh ingin memecah rekod sendiri bagi mendapatkan gred A dalam SPM tapi tidak berjaya. Mungkin Allah tidak mahu terlalu gembira.

Namun Alhamdulillah, setiap apa yang telah Allah susun telah mengubah persepsi saya bahawa Allah itu tidak pernah sesekali mensia-siakan usaha hamba-hambaNya. Saya pegang itu.

Justeru, doakan saya moga dikurniakan Allah kekuatan untuk terus tegar dalam mengharungi jalan yang dipilih atas izin Allah ini. Ya, jika dilihat daripada kaca mata semalam, sangat mustahil untuk saya duduk bersama teman-teman mentela'ah kitab-kitab arab yang tebal-tebal. Tetapi tidak akan sesekali mustahil jika Allah izinkan sesuatu itu berlaku. Bukankah Allah itu pencipta yang hebat?

huhu..mungkin masa yang akan datang, Allah izinkan pula saya mentela'ah kitab-kita Jepun? Tidak mustahil bukan? (",)

Monday, August 3, 2009

third August

Semalam kami berbual panjang dengan kakak. Banyak cerita yang dikongsi. Macam-macam. Awalnya, melalui telefon rumah. Kemudian dipanjangkan ke Video camera. Kakak kongsi gambar-gambarnya di sana. Cantik. Huu.. rasa sedikit cemburu. (",)

Sebenarnya kakak selalu saja telefon tapi selalunya dia hanya berbual panjang dengan ibu. Tapi kali ini dengan Zuberto sekali kami ajak bersembang.



Zuberto

Kakak ada titipkan nasihat untuk saya. Antaranya mengenai persiapan rohani dan emosi saya. Kata kakak, manusia-manusia yang akan saya temui nanti tidak sama dengan yang ada sekarang. Keadaan yang akan saya hadapi nanti mustahil sama dengan yang saya lalui sekarang. Suasana masyarakat, suasana budaya, suasana pembelajaran, suasana kawan, suasana permukaan bumi dan lain-lain sangat berbeza.

Justeru, kata kakak dan diakui ibu, bahawa saya jangan hanya fikir yang seronok-seronok sahaja. Saya harus fikir kemungkinan-kemungkinan lain yang mungkin menyeksakan atau mengecewakan atau mungkin yang menakutkan.

Saya juga harus bersedia untuk berubah ketika dalam keadaan yang perlu diubah. ( seperti contoh, berubah dalam penggunaan air kerana Jordan sangat sedikit air yang ada.)

Hu...Sungguh. Sejujurnya saya takut dan teruja menanti harinya..

Semoga Allah kuatkan saya..amin..


Buat kalian terutama saza s, maaf kerana mungkin catatan Himpunan Medik itu tidak dapat saya coretkan atau mungkin sangat lewat..maaf sekali lagi ya..

Thursday, July 30, 2009

Himpunan Minda Medik dan Pelajar ke Luar Negara 2009

25 Julai yang lalu, Allah telah memberi kesempatan kepada saya untuk mengikuti program anjuran Kelab Kesihatan Haluan dan Haluan Siswa bertempat di Kompleks Haluan Penyayang, Shah Alam.

Program ini disertai oleh pelajar-pelajar medik yang sedang atau yang sudah tamat pengajian dan juga pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara sama ada dalam bidang medik, farmasi dan deeniyah.

Terima kasih mak kerana sanggup menemani saya untuk ke sana.

Sungguh. Saya dapat banyak dari sana. Sangat banyak saya kira. Ilmu, pengalaman, kekuatan, perkongsian, teman baru, semangat dan macam-macam.



si comel yang baik


banner di atas pentas


perbentangan kakak-kakak medik senior



huhuhu..kambing yang di'sponsor' oleh dr Maryam



asrama Haluan Penyayang




yummy..Thank you Allah..

Maaf kerana tidak dapat bercerita panjang dalam post kali ni. Kesuntukan masa. Kerja-kerja sedang memanggil.

Semoga Allah sayang kita sentiasa.

Monday, July 27, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiranmu ibu!


hadiah saya untuk ibu..

Semoga Allah selalu merahmati dan mencintai ..
Semoga Allah panjangkan dan memberkati usia ..
Semoga Allah tsabatkan hati dalam perjalanan panjang ini..
Semoga Allah menyatukan kita sebagai satu keluarga semula di sana..
Semoga Allah menguatkanku untuk menjadi seorang anak yang sentiasa cinta, rindu, sabar, rendah hati, taat, tidak membantah, memuliakan dan membahagiakan mak..

Allah Maha Hebat kerana telah menciptakan seorang manusia hebat seperti mak..
manusia yang tidak punya sesiapa dalam hidupnya selain daripada Allah..
manusia yang tidak pernah meletakkan pergantungannya selain dari Allah..
manusia yang bertanggungjawab mendidikku mengenal Sang Pencipta, mengenal setiap kekasih Allah, mengenal setiap huruf-huruf kalimah Allah dan yang akan pertama saya hujahkan di hadapan Allah sebagai manusia yang pertama mengenalkanku kepada cintaNya..
manusia yang selalu sabar memimpin tangan ini agar tidak tergelincir dari jalan yang telah Allah gariskan..

Dialah ibu, dialah bapa, dialah sumber inspirasi dalam jalan DnT selepas para anbiya', salafussoleh dan ulama' muktabar..
Sungguh.

Wahai yang Maha Mengetahui,
sesungguhnya Engkau sesekali tidak akan menguji apa yang tidak mampu kami hadapi maka Engkau Maha Mengetahui betapa aku cinta sama ibu dan dia adalah sebahagian daripada hidupku, maka janganlah Engkau pisahkan dia daripadaku ketika mana aku masih belum bisa hidup tanpanya. Aku redha Engkau mengambil ayah tetapi aku mohon panjangkanlah usia ibu kerana hanya dia anugerah agung yang telah Engkau berikan selepas anugerah Iman dan Islam..

Semoga cinta Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita..

Selamat Hari Ulang Tahun ke 48 mak..



mak dan Thalhah di tepi pantai..

Wednesday, July 22, 2009

Laskar Pelangi dan Syurga Cinta


Minggu sudah merupakan minggu saya men'download' dan menonton filem. Semoga Allah tidak menjadikannya sia-sia.

Justeru, untuk post kali ini saya berhajat untuk berkongsi dengan kalian 2 filem hebat yang berjaya mencuit hati saya.

Laskar Pelangi dan Syurga Cinta.

Syukran untuk saudara Nu'man dan Adam Kadir kerana telah mempromosikan filem Laskar Pelangi dalam blog mereka. Syukran juga untuk saudara Umar Aiman kerana memberi komen yang menarik kepada Syurga Cinta sehingga menarik minat saya untuk menontonnya.

Laskar Pelangi dan Syurga Cinta merupakan 2 filem yang mempunyai kekuatan masing-masing.

LK menceritakan kisah perjalanan hidup seorang kanak-kanak bersama teman-temannya di sebuah madrasah miskin di pinggir kampung. Kisah ini mengangkat motif betapa semua manusia punya hak untuk diberi pendidikan meskipun dia cuma anak nelayan yang miskin. Kisah ini juga menunjukkan diskriminasi antara sekolah agama rakyat dengan sekolah kerajaan yang mewah. Sungguh. Saya hampir menitiskan air mata sepanjang mengikuti perjalanan cerita ini.

2 orang guru hebat dalam cerita ini mengingatkan saya pada murabbi-murabbi mithali di MATRI. Mereka adalah manusia-manusia yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah semata ingin melihat Islam tertegak dalam diri setiap individu pelajar .

Cuma yang agak membuatkan saya terkilan ialah, pelajar pintar sekolah tersebut terpaksa pergi meninggalkan pengajiannya selepas kematian ayahnya di laut.

Perjalanan ceritanya cukup santai tetapi menyentuh di sudut dalam hati.

SC pula menceritakan kisah seorang pemuda (lakonan Awal) yang sudah terpesong jauh dari didikan Islam. Apa yang menyentuh hati saya ialah melihat perubahan besar yang telah berlaku dalam hidup Awal.

Selain itu, cerita ini juga memaparkan banyak message yang baik untuk tontonan masyarakat am yang disampaikan dalam bentuk dialog Heliza, Haziq dan Tok Heliza.

Kisah ini turut menonjolkan betapa wanita muslimah menjaga maruah dirinya. Ketika Awal dicabar untuk memikat seorang wanita di pub, wanita itu tanpa rasa malu membiarkan saja dirinya menjadi mainan dan hiburan lelaki. Tetapi itu tidak berlaku pada Heliza saat dia sedar dia telah menjadi objek taruhan teman-teman Awal.

Kisah ini bagi saya berjaya mengangkat nilai muslimah bertudung. Pujian juga diberikan kepada Heliza kerana sepanjang lakonannya, dia tidak pernah memegang mana-mana lelaki meskipun lelaki itu berlakon sebagai datuknya. Bukankah itu berjaya menunjukkan bahawa tanpa berpegang tangan sekalipun, sebuah filem berjaya dilakonkan?

Meskipun begitu terdapat beberapa perkara berat yang perlu ditekankan di sini iaitu pengambaraan di pub sepatutnya tidak perlu ditonjolkan secara melampau lebih-lebih lagi untuk filem yang baik seperti ini. Hajat saya untuk berkongsi dengan yang lain pun terpaksa dibantutkan kerana takut membawa kepada kemudaratan pula. Dan yang paling utama sekali ialah masalah 'couple' yang cuba diIslamkan. Meskipun ditekankan bahawa perlu membawa peneman dalam setiap perjumpaan tetapi itu bukan satu alasan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah jelas haramnya.

Cuma yang saya agak tersentuh ialah pesanan tok Heliza mengenai 3 jenis jodoh. Jodoh 1 dari syaitan, iaitu apabila lelaki dan perempuan bertentang mata, kemudian jatuh cinta sehingga membawa kepada zina. Apabila perempuan itu telah mengandung, perkahwinan pun dilangsungkan. Yang kedua, jodoh dari jin, seorang lelaki jatuh hati dengan seorang wanita tetapi ditolak. Maka lelaki itu menyihir wanita tersebut sehingga menyebabkan berlakunya perkahwinan. Seterusnya yang ke3, jodoh dari Allah. Seorang lelaki bertemu dengan seorang wanita dan membuahnya bibit kasih sayang. Namun lelaki itu pantas meminang dengan baik sehingga berlangsungnya perkahwinan yang sah.

Ketika itu, Awal mengambil keputusan untuk memperisterikan Heliza. Saat itu baru Awal sedar betapa pentingnya muslimah yang baik untuk masa depannya. Sungguh. Secara peribadi, saya meletakkan filem ini lebih baik, lebih bagus dan lebih bermessage daripada filem 'Ayat-ayat Cinta ' yang digempar-gempurkan.

Sejujurnya, saya bukan penggemar filem melayu nusantara tetapi nampaknya kedua-dua filem ini benar-benar telah mencuri hati saya sehingga membuatkan saya berhajat untuk berkongsi bersama kalian.

Semoga Allah mengampuni setiap kekhilafan saya selama ini..

Monday, July 20, 2009

Haluan Perlis menapak ke depan..

Saya kira, sudah lama saya tidak mencoretkan kisah-kisah yang saya lalui sepanjang sesuatu program. Ya, saya tidak menceritakan kepada kalian mengenai Hari Kecemerlangan di MATRI, Kem Hidup Bersama alQuran secara terperinci dan lain-lain program yang telah saya ikuti. Mungkin kerana masa yang tidak mengizinkan. Maaf ya buat kalian yang ingin merasai kebersamaan dalam program-program tersebut.

Alhamdulillah, untuk post kali ini, saya berhajat untuk berkongsi bersama kalian sepanjang program khidmat masyarakat anjuran bersama Haluan Perlis dan kariah Masjid Syaidina Abu Bakar, Kuala Perlis pada 19 Julai yang lalu.


masjid Syaidina Abu Bakar

persiapan akhir







Saya ditugaskan sebagai penyambut tetamu. Seronok melihat orang-orang kampung datang bersama keluarga..
Program dimulakan dengan majlis pembukaan oleh wakil Jabatan Agama Islam Perlis. Selepas selesai, orang ramai menikmati jamuan laksa yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Kemudian, untuk kaum wanita telah diadakan pertandingan memasak cucur dan melipat kain batik. Kanak-kanak pula diisi dengan pertandingan mewarna serta program-program lain yang menarik.


my group's (",)


hakim-hakim yang arif lagi bijaksana

yummy..


cambodians' group


cutest mum's award (",)

Pada jam 2.30 petang, pemeriksaan kesihatan secara percuma diadakan di perkarangan lobi masjid. Ramai penduduk kampung telah mengambil peluang tersebut. Saya juga turut serta selepas diminta oleh ibu untuk berbuat demikian. Alhamdulillah, tekanan gula dan darah saya stabil (99/64). Agak mengejutkan kerana selama ini tekanan darah saya menghampiri paras bahaya (70/50). Kata doktor jika tekanan darah melepasi bawah 50, berkemungkinan besar untuk pengsan dan mungkin boleh membawa kepada koma.

Untuk kaum pemuda, petang itu diadakan pertandingan futsal di stadium futsal Batu 2. Sebanyak 16 kumpulan telah turut serta.

Selepas Asar, remaja perempuan diisi dengan program membuat kraftangan. Sepatutnya program ini untuk remaja Kuala Perlis. Namun memandangkan mereka malu dan enggan mengikutinya, maka kami batalion dari MATRI dengan suka hatinya memenuhi undangan tersebut. Sungguh. Saya sangat seronok.

Program malam bermula dengan solat Maghrib secara berjema'ah. Kemudian wakil daripada Jabatan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan memberikan sedikit ceramah. Selama ini, saya cukup bosan untuk mengikuti ceramah-ceramah seperti ini tetapi pada malam itu, saya cukup terpegun dengan cara penyampaian yang telah disampaikan. Sungguh. Sangat hebat saya kira. Orang ramai tampak terhibur dan mendapat banyak manfaat. Mungkin kerana wakil itu adalah daripada bahagian agama jadi penyampaiannya lebih banyak kembali kepada Allah.

Kemudian pengisian disambung dengan tayangan Palestin. Selepas itu, Sir NS memberikan kesimpulan sebagai penjelasan. Sungguh. Isu Palestin dan permasalahan sosial hanya dapat diselesaikan apabila kita betul-betul kembali kepada alQuran dan asSunnah.



proses pembikinan sedang dijalankan


penduduk kampung yang khusyuk mendengar


mine..cantik tak?

Selepas menunaikan solat 'isyak berjema'ah, Cikgu MDA dijemput untuk memberikan kuliah 'israk dan Mikraj. Ringkas dan santai tetapi padat. Sangat sesuai untuk penduduk kampung. Sukacita dimaklumkan bahawa kehadiran malam itu penuh sehingga terpaksa memenuhi perkarangan lobi masjid. Alhamdulillah, satu fenomena yang positif..

Sebelum majlis malam itu ditutup, diadakan sesi penyampaian hadiah untuk pertandingan kanak-kanak dan futsal. Kemudian, semua yang hadir dijemput untuk menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan oleh pihak penaja.

Malam itu diadakan qiyam dan keesokan harinya diadakan aktiviti gotong royong. Namun saya tidak dapat hadir kerana terpaksa menyelesaikan kerja-kerja rumah yang masih banyak tertangguh. (",)

Semoga Allah istiqamahkan hati-hati kita dalam usaha untuk selalu mencintaiNya semata, insyaAllah..

Tuesday, July 14, 2009

fourteenth July..


Maaf kerana membiarkan sawang penuh dalam blog ini. Tidak punya masa dan kekuatan untuk mengemasnya.

Hari ini saya mengikuti lagi halaqah Cikgu AB. Sebenarnya memang setiap hari Selasa petang pelajar khassah akan memenuhi rumah cikgu untuk mengikuti majlis tersebut.

Dan hari ini, kami menyaksikan fenomena kehidupan seorang ayah dan suami mithali yang mungkin wujud hanya 1 dalam 1 000 000. Walaupun semua pelajar MATRI sudah sedia maklum dengan keperibadian istimewa cikgu, saya tetap berhajat untuk berkongsi dengan kalian betapa terharu dan cemburunya kami melihat sebuah keluarga yang diketuai oleh seorang pemimpin yang terbaik saya kira.

Cikgu AB sepatutnya perlu ke KTD kerana punya urusan di sana tetapi Cikgu Z demam dan sakit urat manakala si kecil Ummu Sulaim sakit cirit birit. Ketika kami tiba, cikgu sedang menyediakan mee hailam untuk dijamu kepada kami petang itu. Bayangkan dengan keadaan Cikgu Z dan Ummu Sulaim yang muntah-muntah, cikgu masih sempat masakkan makanan untuk kami. Cikgu tampak tenang dan mesra melayan anak-anaknya dan kami yang terasa bagai mengganggu beliau.

Baju-baju cikgu Z digantung kemas bersama tudung-tudung yang 'matching' warnanya. Terharu kami apabila mengetahui bahawa Cikgulah yang me'iron' semua itu. Subhanallah..

Halaqah petang itu berjalan dalam keadaan cikgu mendukung Ummu Sulaim. Dan sekitar jam 7 petang, cikgu sudah bersiap untuk ke program seterusnya..Sungguh. Saya benar-benar kagum dengan keistimewaan yang cikgu miliki.

Oh ya, saya belum berkongsi dengan kalian tentang Kem Hidup Bersama alQuran, bukan? Alhamdulillah, kem ini berjalan lancar walaupun pada awal sesi taklimat, terdapat sedikit masalah teknikal.

Sebenarnya kem ini tidak memerlukan peserta menghafal surah-surah dalam alQuran seperti kem-kem hafazan yang lain. Peserta-peserta hanya diminta menghafal beberapa potong ayat beserta makna yang berkaitan dengan kehidupan sebagai contoh ' la taqrabul zina', 'la ta khaf wa la tahzan' dan 'qulu linnas silhusna'. Slot seterusnya, peserta-peserta diberikan kertas yang mengandungi 21 situasi sebagai contoh 'seorang pelajar lelaki telah menulis surat cinta kepada anda dan mengajak anda untuk bersiar-siar di taman'. Jadi adik-adik diminta untuk memberikan ayat yang seuai untuk dijadikan hujah.

Objektif sebenar kem ini ialah untuk menjadikan kehidupan kita sentiasa bersama alQuran. Banyak orang yang sudah hafaz habis alQuran tetapi tidak tahu untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan. Justeru hajat besar kami semoga dengan wujudnya kem seperti ini, dapatlah adik-adik menjalani kehidupan dengan alQuran sentiasa di hati dan di bibir.

Pada hari akhir, semasa sesi sharing moment, saya terharu melihat adik-adik menangis dan merasai keberkesanan program tersebut. Dan ketika saya diminta olehUstazah KB memberikan sedikit kata-kata akhir, saya tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Sungguh. Semoga Allah menerima amalan kecil ini dan menjadikannya sebagai pemberat timbangan kebaikan saya di hari penentuan nanti..amin..

Doakan saya semoga istiqamah ya, sahabat..

Thursday, July 2, 2009

Kem Hidup Bersama alQuran 1

Minggu ini saya benar-benar sibuk. Mungkin terlalu.

11-12 Julai, tidak lama lagi akan muncul. insyaAllah, KeARAH Perlis bahagian puteri akan menganjurkan Kem Hidup Bersama alQuran 1 selepas RiMBa 1 berjaya berjalan dengan baik pada 18 dan 19 Mac yang lalu. Cuma kali ini, peserta yang diambil, insyaAllah hanya dalam kalangan pelajar puteri tahun 4-5 Sekolah Rendah Seri Melati. Tema kem ini ialah 'Membina generasi Rabbani'...

Kem ini sebagai persediaan untuk menganjurkan RiMBa 2 pada bulan Disember ini. Lebih-lebih lagi pengerusi KeARAH Perlis bagi bahagian putera dan puteri telah bertukar tangan, jadi banyak juga ilmu yang perlu diperturunkan...(",)

Doakan ya semoga kem ini berjalan dengan lancar dan mendapat rahmat serta kasih Allah..

kesian juga tengok 'Azimah, nampak masih tak biasa untuk uruskan projek besar..tak apa, awal-awal lagi.. Tips saya untuk kalian, untuk berurusan dengan pihak atasan atau mana-mana pihak yang terlibat dengan projek anda, bawaklah bersama hati yang kering , muka yang tebal dan bibir yang selalu tersenyum..(",)

sebelum itu, sebenarnya saya menulis post ini untuk kakak saya. Beliau telah meminta pertolongan saya untuk mengambil beberapa keping gambar kawasan persekitaran MATRI.. justeru saya ingin mengadu atau menceritakan padanya tentang kesibukan saya ini.. Maaf ya kak yam.. Mungkin dapat ambil lewat.. mungkin selepas kem ini habis..;)

Wassalam..