Alhamdulillah, sudah selesai hampir seminggu saya menghadiri kursus Bina Negara anjuran Biro Tatanegara, Jabatan perdana Menteri untuk pelajar-pelajar yang akan ke oversea..
Kursus ini diadakan di Kem BTN Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak. Seramai 98 orang peserta telah menjalani proses pem'brainwash'an dari 17-21 hb Ogos 2009.
17hb Ogos.
Saya menumpang rombongan di bawah Jabatan Agama Islam Kedah yang bertolak pada jam 9 pagi. Bas bertolak dari Masjid Zahir dan singgah mengambil peserta lain di Sungai Petani dan Sungai Dua. Singgah lagi di R&R untuk makan tengah hari.
Kami tiba sekitar 2 petang di tapak kursus. Saya kira kami adalah rombongan pertama. huhu..terpaksa menunggu kaunter pendaftaran dibuka pada jam 2.30 petang. Duduk beramai-ramai di pondok yang panas sambil berkongsi cerita gerun mengenai pengalaman kenalan-kenalan dalam BTN.
Sungguh. Sangat takut ketika itu.
2.30 petang, kami diminta untuk berdaftar. Memandang peserta kursus yang ada masih belum habis, kami diminta untuk berdaftar di bawah pondok bersebelahan dengan surau. Selepas solat dan peserta kursus yang ada telah mengosongkan asrama, kami diminta untuk merehatkan diri dan mengemas barang sebelum diminta berkumpul semula pada jam 5.30 petang.
Dalam taklimat, kami diterangkan Encik Asrizal, ketua fasilitator tentang peraturan-peraturan kem serta serba sedikit tentang objektif, misi dan visi kem ini dijalankan. Lagu tema kem ini ialah lagu 'Warisan' yang sungguh 'perkauman'...
Selesai taklimat, kami makan malam, solat maghrib dan 'isyak serta sedikit kuliah maghrib, maka bermulalah sesi pembentangan kertas kerja 1 oleh Encik Asrizal yang bertajuk 'Tanah Air'. Huhuhu pembentangan yang penuh dengan semangat 'patriotik' dan dicampur dengan semangat perkauman yang melampau...
18hb Ogos.
Hari ini adalah hari yang sangat membosankan dan mengantukkan. Juga adalah hari yang sungguh membuatkan saya beristighfar panjang..
Pembentangan kertas kerja 2 disampaikan oleh En Wan Rahim yang bertajuk 'Kerajaan'. Seterusnya selepas rehat pagi selama 30 minit, pembentangan kertas kerja 3 diteruskan dengan tajuk 'Rakyat' oleh saudara Khairi Yusman. Berehat untuk makan tengah hari dan solat zohor kemudian disambung semula sesi pembentangan kertas kerja 4 pada jam 2.30 petang oleh En Khalid yang bertajuk 'Kedaulatan dan Rumusan'. Memandangkan En Khalid ini agak terbuka dan baik berbanding yang lain sekaligus petang itu adalah sesi pembentangan terakhir, maka sesi soal jawab dipenuhi dengan soalan-soalan yang panas. Ada peserta yang mempertikaikan objektif kem itu dilaksanakan kerana hujah beliau, sepanjang kem ini dijalankan, para peserta ditanamkan dengan sifat perkauman dan turut diancam sebagai penderhaka jika tidak menyebelahi krjn. Apa yang boleh disimpulkan, pembentangan berbeza dengan objektif kem.
Huhu.. Saya no comment.
Petang itu, riadah diisi dengan ujian fizikal. Sangat memalukan saya kira. Terpaksa melompat, berpusing, pumping(maaf saya tidak tahu mengejanya) dan lain-lain di depan peserta lelaki. Dan keputusan psysiologynya, saya berumur 45 tahun! huhu.. Sejujurnya, saya mengaku yang saya paling malas bersenam. (",)
Program malam itu adalah ice breaking. Pada saya, objektifnya adalah untuk menghilangkan rasa malu para peserta sehingga langsung tidak punya malu. Di dalam satu dewan, kami menjalani aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pencampuran bebas, menggalakkan wanita untuk tampil ke hadapan melakukan aksi-aksi yang sangat memalukan bagi saya. Oh ya, saya terlupa untuk mengkhabarkan pada kalian yang BTN kali ini memang untuk pelajar-pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir dan majoritinya adalah pelajar-pelajar yang akan mengambil bidang agama atau diringkaskan ustaz-ustazah.
Malam itu, saya sungguh kelat. Tidak bisa senyum kerana rasa terlampau malu melihat bakal ustaz-ustazah gembira diperbodohkan. Seronok dengan aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan akhlak dan moral mereka. Majoriti yang berpakaian tudung labuh seronok menjerit-jerit dan menyanyi riang. Alhamdulillah saya dinasihatkan kakak untuk memakai tudung bidang.
19hb Ogos.
Hari ini bermulalah sesi dalam kumpulan. Alhamdulillah, saya mendapat ahli kumpulan lelaki yang agak pemalu. Sekali lagi saya bersyukur kerana mendapat fasilitator yang terbuka iaitu En Khalid yang pernah saya ceritakan. Beliau menganggap kami anak-anaknya dan setiap pertanyaan kami dianggap sebagai pertanyaan orang yang tidak tahu apa-apa. Dan saya lah yang selalu bertanya dan memberi renspon yang baik dalam setiap aktiviti...huhu.
Aktiviti-aktiviti LDK lebih berbentuk permainan yang bermotifkan politik. Saya hanya memberi renpons baik untuk mendapatkan markah..(",)
Petang itu, kami sekali lagi perlu menjalani ujian fizikal. Dan kali ini lebih menyeksakan kerana kami diminta untuk berlari sejauh 4km (2km pergi, 2km balik) . Bukan jalan rata tetapi bukit curam! huhu.. Alhamdulillah saya hanya mengambil masa 15minit 50 saat. Markah lulus bagi lelaki ialah 18 minit dan untuk perempuan 24 minit. Bermakna saya lulus..huhu. Agak mengejutkan.
Selesai ujian, kaki kami bagai nak tercabut semuanya.
20hb Ogos.
LDK diteruskan seperti biasa. Dan pagi tadi, semasa sesi perbarisan pagi, kami mempelajari asas-asas mempertahankan diri. Sungguh melucukan dan seronok.
Saya terlupa memberitahu yang kami perlu bersama kumpulan dalam apa-apa jua aktiviti seprti kawad kaki, makan dan kedudukan dalam dewan. Bayangkan kawad kaki bersama lelaki! Kawad kaki dengan sahibah-sahibah dulupun saya tidak suka..
Malam ini adalah malam persembahan kumpulan. Kami diminta untuk menyanyikan lagu-lagu patriotik dan kumpulan saya mendapat lagu Jalur Gemilang. Huhu..kumpulan saya bukan berlatih pun dan kami mendapat tempat ke2 terakhir..
Selesai aktiviti persembahan, kami diisi dengan satu lagi permainan iaitu menyambung keratan-keratan kertas yang telah dipotong. Kami dilarang untuk bercakap dan berjalan tapi boleh bergerak. Diringkaskan cerita, kertas-kertas itu dicantum membentuk sekeping kertas benar yang berisi ikrar. Dan kami diminta untuk mengelilinginya dan membacanya beramai-ramai.
Kemudian kami diminta untuk menyaksikan tayangan bergambar yang entah saya tidak ambil peduli kerana dipenuhi unsur-unsur politik. Cuma yang membuatkan saya menitiskan air mata hanya apabila ditayangkan penderitaan saudara-saudara saya di Palestin dan di Iraq sana.
Selepas itu, semasa sesi rumusan, kami dihamburkan dengan bermacam-macam ugutan dan ancaman. Lebih-lebih lagi peserta-pesrta kem kali ini termasuk saya telah dicopkan sebagai pro pembangkang. Kami juga diminta mengucapkan dua kalimah syahadah dan berkali-kali diingatkan agar jangan sesekali menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Nadanya sangat memaksa.
Malam itu kami habis hampir pukul 1 pagi.
21hb ogos.
jam 8.30 pagi, kami perlu menjalani ujian. Kemudian kami minum pagi dan berkemas. Jam 11 pagi, kami diminta untuk berkumpul semula di dalam dewan untuk sesi penutup. Masih sama, pelbagai pesanan telah 'dititipkan'.
Jam 12.30 tengah hari, kami makan dalam kumpulan buat kali terakhir. Bas rombongan kami tiba jam 1 petang dan kami pun berangkat pulang selepas singgah sebentar di bandar diraja Kula Kangsar untuk membeli cenderahati kenang-kenangan..
Apa yang dapat saya simpulkan dari kem ini ialah, bangsa itu lebih penting daripada agama.
Saya teringat tentang salah satu soalan yang telah saya utarakan dalam LDK, jika suatu ketika nanti ada seorang melayu yang tidak mengamalkan Islam dan seorang lagi cina muslim yang amalkan Islam, mana yang patut kita pilih sebagai PM kerana melalui apa yang ditegaskan oleh penceramah, kita jangan sesekali benarkan bangsa lain selain melayu daripada memegang tampuk pemerintahan. Yang lucunya, fasilitator saya tidak dapat memberikan jawapan kerana jawapannya mesti berbalik kepada ISLAM.
Ingatlah, ikatan akidah itu lebih penting daripada ikatan kekeluargaan, ikatan bangsa ataupun ikatan saudara.
Saya juga teringat, kami ditekankan untuk merujuk kepada perlembagaan dalam apa-apa jua keadaan dan apa-apa yang ada dalam perlembagaan tidak boleh sesekali dipersoalkan. Saat itu, ingin saja saya menyoal si penceramah, di manakah alQuran jika anda hanya mengagungkan perlembagaan? Bukankah perlembagaan itu hanya ciptaan manusia yang tidak pernah tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan?
Macam-macam lagi yang kami terima (paksa terima) di sana. Saya tahu, sesiapa yang pernah mengikuti kem BTN pasti faham situasi yang telah saya alami ini. Situasi yang menyedarkan saya bahawa jahiliyyah masih tertanam utuh dalam diri masyarakat sekeliling saya.
Sungguh. Ini pengalaman paling berharga buat saya. Lebih-lebih lagi pada masa akan datang, saya akan menjadi tabib masyarakat, maka elok benarlah saya tahu apakah penyakit yang sedang berulat menyerang mereka.
Doakan saya. Doakan semoga saya istiqamah di atas jalan ini..
huhu..aku bersyukur otak hang still normal dek pendinding iman..klau tak,nnt hang balik MATRI dok jadi orang bendera merah laa naa..muahaha...
ReplyDelete