Wednesday, September 2, 2009

Perasaan itu hadir lagi...

Sungguh. Perasaan itu hadir lagi. Perasaan setiap kali saya menerima bantuan kewangan dari orang. Perasaan sedih yang mencengkam. Tertusuk pedih dalam hati. Saya tidak dapat menipu.

Tadi petang, saya menghantar pesanan ringkas ucapan terima kasih kepada pak cu (adik ayah) atas penghantaran wang bulanan ke dalam akaun saya. Pak cu yang bermastautin lama sebagai seorang doktor di Ireland menghantar awal walaupun saya belum tiba di bumi Urdun.

Entah. Saat saya menyusun kata-kata, bagai ada sesuatu yang ingin turbit di bibir mata. Mata saya jadi pedih.

Perasaan ini hadir pada saat-saat begini. Saat saya mengucapkan terima kasih atau memohon bantuun kewangan kepada seseorang. Sungguh.

Rasa benar kehilangan seorang ayah. Selalu saja terdetik di hati, ketika mengisi borang-borang zakat atau permohonan bantuan, "kalau ada ayah, aku tak la macam ni..".

Esok, tiba lagi 3 September 2009. Bermakna sudah 5 tahun ayah meninggalkan kami. Sudah 5 tahun jugalah saya merasai susah payah dan erti sebuah kehidupan. Daripada seorang anak 'orang kaya' bergaji belasan ribu kepada seorang anak 'ibu tunggal' bergaji lebih sedikit dari seribu..

Sungguh. Bukankah itu nikmat kehidupan?

Sebenarnya, bukan ibu tidak mampu menanggung sepenuhnya perbelanjaan saya di Jordan tapi kata ibu, sebagai meringankan tanggungannya. Lagipun tambah ibu, sebagai memberi peluang kepada yang lain untuk beramal..

Sungguh. Susunan Allah unik bukan? Jika kita lihat dari kaca mata yang jahil, tampak tidak adilnya Allah kerana menjadikan hamba-hambaNya berbeza. Ada yang kaya sekaya-kayanya dan ada pula yang miskin semiskin-miskinnya. Ada golongan yang tidur bertilamkan wang dan limpahan kemewahan dan dalam masa yang sama ada golongan yang hanya beralaskan tanah dan berbumbungkan langit menahan kesejukan malam dan kelaparan yang berpanjangan.

Tetapi sebenarnya, kehidupan bukan begitu. Bukankah kerana itu Islam menyuruh kita berkongsi? Saya ingat dalam halaqah keluarga tempoh hari, ibu bertanya pada kami, apa hebat sangatkah kita sehingga Allah bagi kekayaan? Kenapa tidak Allah bagikan saja kepada orang-orang yang lebih beriman dan lebih bertaqwa dari kita? Apakah kelebihan kita?

Sebenarnya tidak punya apa-apa kelebihan langsung. Malah tidak wujud langsung kehebatan melainkan hanya semata Allah mahu menguji sama ada kita mahu berkongsi atau tidak. Tambah ibu, apa-apa yang kita ada bukan milik kita tapi datang dari Allah dan menjadi hak milik Allah..

Saya ingat, dulu ketika ayah ada, kami jarang mendapat duit raya yang banyak kerana kata orang kami anak 'orang kaya'. Tapi setelah ayah tiada, situasi tampak berbeza. Bukankah itu bermakna dengan kewujudan anak yatim maka wujud jua peluang untuk mendapat pahala?

Berbalik semula ke topik asal.

Sejujurnya perasaan itu akan selalu hadir setiap kali saya menghadapi situasi sebegini. Rasa rindu. Rasa sayu. Rasa pedih. Dan bermacam-macam rasa. Dan ingatan saya juga akan kembali menerawang ke zaman kanak-kanak yang penuh kenangan. Kenangan kami bersama ayah..






Percutian terakhir bersama ayah di Iran 2003

Semoga rahmat Allah selalu bersamanya..amin.

Doakan saya sahabat..

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.