Thursday, April 9, 2015

Warkah Bonda 3

Segala puji selayaknya dipuja semata kepada Allah, Pemilik, Pencipta, Sang Pengatur dan Penguasa Alam buana jua diri kita yang Maha kerdil ini.

Tiada kata terucap yang layak untuk menggambarkan berapa bersyukurnya bonda saat tangan ini menjentik huruf membentuk kalimat. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Maha suci Allah dengan segala kepujianNya, Maha suci Allah dengan segala keagunganNya.

Mujahid kecil belahan hati baba bonda,

Tepat jam 4.45 pagi 9 Mac yang lalu, anak selamat dilahirkan dengan izin dan kekuatan semata dari Allah. Tidak tergambar kegembiraan hati kami berdua dalam menyambut kelahiranmu anak, umpama menadah rezeki yang turun mencurah-curah dari langit.

Hari itu adalah hari yang akan sentiasa melekat dekat dalam ingatkn kami. Hari yang ditunggu-tunggu untuk kami melihat wajah anak pertama bukti cinta baba dan bonda yang selama ini hanya didengar detik jantung dan dirasai tendangan gerak gerinya di dalam perut sahaja.



Fayyadh dan teita
2nd days



                                                 2nd days

Anak bonda yang penuh cinta,

Tengah hari 8 Mac itu, bonda masih sempat menghadiri kenduri anak sepupu teita sebagai wakil. Memandu seorang diri tanpa merasakan bahawa hari itulah harinya. =D





lucu. whatsapp dalam grooup family sebelum saya hubungi kakak.

Pulang dari kenduri, ketika ingin bersiap solat zohor, bonda perasan discharge berwarna koko. Terus menunaikan solat tanpa terfikirkan apa-apa selepas menyalin apa yang perlu. Kemudian, dalam jam 3 lebih, sekali lagi bonda perasan discharge berwarna koko. Memandangkan baba sibuk dan jarang melihat handphone di dalam ward, bonda cuba menghubungi mak ngah yam melalui whatsapp.

"Cepat pergi hospital! Itu tandalah tu! haish kamu ni..". Mak ngah Yam berleter panjang tambah kekalutan apabila baba pada awalnya tidak dapat dihubungi. Mujur akhirnya baba dapat pulang mengambil bonda, kalau tidak memang bonda teringat untuk drive terus ke hospital sendiri. hehe.

Setiba di bahagian Wad Bersalin, agak terkejut apabila menjalani Vaginal Examination kerana bukaan telah 4 cm. Terus diminta doktor untuk menyalin pakaian dan bersedia ditolak ke Labour Room. Tetapi nampaknya LR penuh dan bonda diminta untuk menunggu di ruang menunggu. Baba sempat ke wad semula untuk meneruskan kerja yang tertangguh.

Hampir 5 jam menunggu, akhirnya bonda ditolak baba ke LR yang disediakan. Sempat sebelum itu berjumpa teita, tok mak dan tok abah yang telah sampai dari Perlis dan Perak. Bonda masih boleh gelak-gelak dan ceria seperti biasa sebab seriously kesakitan belum dirasai. =D

Doktor pelatih yang datang membuat Vaginal Examination di LR turut memuji apabila melihat bonda ceria dan 'cool'. (Padahal nanti macam hape je. haha)

Menghampiri jam 12 malam, air ketumban dipecahkan. Mula berdenyut. Selepas itu bermulalah episod yang mengerikan.

Mujahid kecil bakal tuaian bonda baba,

Allah.. Tidak tergambar betapa sakitnya setiap kali contraction menyerang. Bagai ada yang menikam-nikam, menghiris-hiris, menyalar-nyalar dan menujah-tujah perut bonda. Dalam hati terluah, "alangkah baiknya jika saat ini aku mati..". Air mata merambu-rambu tidak tertahan.

Allah...Allah.. Allah..

Hanya itu yang dilafaz penuh harap kerna bonda yakin, hanya Allah yang Maha Tahu kepedihan yang sedang dilalui ini. Baba yang menemani di sisi turut melafaz sama sambil melehkan air mata. Ada ketika baba mengalunkan bacaan alQuran dekat untuk menenangkan.

Sungguh. Cinta baba yang menemanilah menjadi kekuatan. Melihat baba yang tetap tersenyum meski menjadi mangsa bonda untuk melampiaskan kesakitan dengan menarik rambut dan baju baba, mencubit lengan baba dan pelbagai lagi, membuahkan rasa bahagia yang tidak terucap.

Kebahagiaan yang teramat lantaran belahan hati ada bersama ketika suka dan perit. Sungguh, itulah suatu kebahagiaan dan kepuasan seorang isteri. =')



Fayyadh dan baba.
26th days

Ketika meneren untuk mengeluarkan anak ke dunia, kesakitan usah dikata, malah bonda menjadi sangat letih. Terlalu. Hinggakan terdetik di dalam hati bahawa itulah saat akhir bonda. Bagai hanya menantikan malaikat maut datang mencabut nyawa.

Sekali lagi cinta baba menjadi kekuatan dengan izin Allah. Melihat baba menangis sungguh-sungguh di tepi sambil memberikan kata-kata semangat yang tidak putus-putus membuatkan kekuatan itu teresap meski sebenarnya sudah kontang gersang.

"anak kita sayang..! abang dah nampak kepala anak kita sayang..! sayang boleh..! hasna' boleh sayang..! sikit lagi sayang..! sikit lagi..!".

Esak tangis baba saat itu bagai masih tergiang-giang. Dan Allah menjadi saksi wahai anak, di Labour Room itu bonda jatuh cinta buat kesekian kalinya. Dalam lemah, bonda melihat wajah merah baba yang berlinangan dengan hati yang berbunga penuh cinta.

Dan tepat jam 4.46 pagi, anak selamat dilahirkan. Lembik. Bonda bagai lumpuh tidak terdaya. Saat doktor meletakkan anak di dada bonda, seakan-akan dunia terhenti sejenak dan umpamanya bonda di dalam mimpi.

Allah..

Anak yang masih berlumuran darah inilah anak yang selama ini bonda usap dan berbual di balik perut boyot. Maha Suci Allah yang Maha Agung. Maha Suci Allah yang Maha Baik.



Fayyadh waktu kena tahan kuning
5th days.




Fayyadh dah sihat Alhamdulillah!
6th days.




Fayyadh selepas dicukur dan baba waktu baby.

Mujahid kecil buah hati kami,

Kami sepakat menamakan anak, Fayyadh Tilmisaniy Bin Afiq Fawwaz, dengan harapan agar anak menghargai dan mencontohi ulama' haraki Umar Tilmisaniy, Mursyidul 3am IM ke-2 yang kita kasihi.



27th days



13th days

Dan hari ini, Fayyadh telah mencapai usia sebulan. 30 hari sudah Fayyadh menjadi hamba Allah yang menghirup udara Allah dan berada di atas bumi Allah. Semoga Fayyadh membesar dewasa menjadi hamba Allah yang musleh, yang mencintai kebaikan dan ketaqwaan serta membenci kejahatan dan kemaksiatan.

Membesarlah anak dengan keimanan kerna ummah menantikanmu.


Bonda Fayyadh,
9 April 2015
12.13pm.
Rumah kita, Sg Petani.


Nota kaki:

-Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Fayyadh Tilmisaniy selamat dilahirkan pada 3 Mac 2015 dengan berat 3.38 kg ketika usianya tepat 39 minggu di dalam kandungan. =') Doakan semoga anak kecil ini tumbuh membesar dalam keimanan dan syaksiah Islamiyah Kamilah, insyaAllah..



Fayyadh 30th days!
Alhamdulillah!

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.