Sunday, August 30, 2009

Titipan bonda yang penuh bermakna...


Pagi tadi kami buat lingkungan atau pun lebih mesra dipanggil halaqah keluarga..
Sebenarnya, saat-saat manis seperti itu sudah lama tidak disuburkan dek kesibukan setiap ahli keluarga. Payah sungguh mencari ruang waktu yang sesuai. Selalunya halaqah hanya berlangsung secara tidak formal di meja makan.

Sungguh. Banyak yang saya dapat walaupun pengisiannya berulang-ulang.

Kata ibu, dalam ketidakwujudan khilafah hari ini, maka rumah adalah benteng terakhir untuk kita laksanakan Islam. Rumah adalah kubu terakhir untuk iman kita bertahan setelah diasak oleh gelombang jahiliyyah yang ganas di luar. Jika dalam sesama keluarga sendiri kita tidak dapat melaksanakan amal ma'ruf dan nahi mungkar, maka itu bermakna kota pertahanan telah hancur dan jahiliyyah telah berjaya menguasai setiap jiwa-jiwa dalam ahli tersebut.

Petik ibu daripada ayat alQuran (maaf,saya tidak ingat surah apa) yang mana mafhumnya berbunyi; "lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada siksa neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia" (na'uzubillah min zalik..)

Tambah ibu lagi, kerana itulah baitul dakwah itu penting untuk dilaksanakan. Bait yang dapat mendidik setiap ahli-ahlinya agar bergerak dan terus maju menjadi mukmin yang mosleh. Mukmin yang bukan sekadar soleh tetapi boleh membawa masyarakat kepada Islam.

Tegas ibu, ketika ini, kita tidak nampak mengapa perlu kita saling menegur sesama ahli tetapi ketika mana kita sedang berdiri di Padang Mahsyar, ketika mana kita telah menyaksikan betapa indahnya syurga dan betapa dahsyatnya neraka, ketika mana hati kita dipenuhi rasa ingin berlari ke syurga dan diletupkan dengan rasa ngeri dan takut akan azab neraka, maka ketika itulah, kita tidak akan lagi mengenal siapa keluarga kita, siapa ibu kita dan siapa ayah kita. Kita masing-masing akan berusaha sedaya upaya untuk menyalahkan orang lain agar kita terlepas dari pedihnya siksa neraka. Ketika itulah bibir kita akan menyalahkan sesiapa sahaja tanpa mengira dia ibu, dia ayah atau dia anak.
"mak akulah yang tak tegur aku.."
"bapa akulah tak pernah larang aku pun..."
"mak aku dulu suruh ja tapi tak pernah paksapun aku solah.." dan macam-macam lagi alasan yang cuba kita berikan kepada Allah yang Maha Mengetahui agar diri kita terlepas.

Tambah ibu lagi, kasih sayang yang sebenarnya adalah kasih sayang yang boleh membawa kita jauh dari neraka Allah..kerana itu, nak tak nak ibu bapa wajib menasihati anak-anak dan untuk hal-hal tertentu, mereka wajib bertegas.

Ibu juga mengingatkan kami tentang mulianya Ramadhan yang merupakan hadiah dari Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Ramadhan adalah bulan yang diumpamakan oleh ulama' sebagai seorang pengembara yang bersafir di padang pasir yang luas selama berbulan-bulan. Dia terputus bekalan air dan makanan. Dan suatu ketika dia bertemu dengan taman hijau yang dipenuhi buah-buahan segar, sungai-sungai yang mengalir dan makanan yang banyak. Itulah Ramadhan. Maka apakah si musafir itu akan mensia-siakan taman tersebut? Pasti dia akan mengumpulkan sebanyak-banyaknya bekalan untuk dibawa semasa meneruskan perjalanan nanti kerana dia sedar taman itu hanya persinggahan dan bukan destinasinya.

Begitulah mukmin dengan Ramadhan. Tambah ibu lagi dengan mengambil sabda junjungan teragung, yang mafhumnya berbunyi; "Barangsiapa yang keluar dari Ramadhan tanpa punya perbezaan dengan bulan-bulan yang sudah maka celakalah ia..." (na'uzubillah min zalik..)

Ibu juga menceritakan tentang hawa nafsu yang selalu menyusahkan. Kata ibu yang dipetik dari buku Ibnu Qayyim (kalau tak silap saya), nafsu ini umpama kanak-kanak yang telah menjangkau usianya 2 tahun, yang mana dia perlu dipisah dengan susu badan. Cerita ibu, sungguh payah sebenarnya untuk memujuk dan memerlukan hikmah dan kesabaran yang tinggi. Kanak-kanak itu sudah perlu dikhabarkan sejak berbulan-bulan sebelum tempoh pemberhentian agar dia tidak terkejut. Dan sebagi seorang ibu, kita perlu tabahkan hati melihat anak-anak menangis untuk hanya beberapa tempoh. Tetapi bagi ibu yang malas mendengar tangisan anaknya yang hanya beberapa hari itu membuatkan anaknya terus menyusu badan sehingga ada yang menjangkau umur 7 tahun!

Begitulah nafsu yang mesti disekat nak tak nak walaupun payah dan memerlukan kesabaran dan himmah yang tinggi.

Sebenarnya banyak lagi yang dititipkan ibu. Mungkin sekadar ini yang dapat saya kongsikan dengan kalian..

Sungguh. Dari bicara ibu, tersimpan permata agung yang akan selalu saya pegang walau ke mana saya pergi..insyaAlah..

2 comments:

  1. syok dgr cik pah bg tazkirah..hehe..
    oi..ang letak laa chatbox..payah ar nak send msg kat ang..huuu~yg tu asrar len laa..bukan aina..huhu...

    ReplyDelete
  2. sungguh bahagia bila keluarga memahami islam....

    ReplyDelete

mohon pandangan.