Saturday, May 22, 2010

Wahai bapa-bapa, kalian inspirasi kami!


Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, wakil Lifeline4Gaza Malaysia telah selamat tiba di bumi Turki. Bumi yang bakal menyaksikan dunia bersatu merempuh gelora untuk tiba di bumi Gaza dengan izin Allah.

berita dari sini

Saya hampir menangis membaca khabar ini dari sebuah blog murabbi KTD.

Rasa sebak melihat bapa-bapa yang saya kenali mendalam. Sahabat-sahabat arwah ayah saya atas dasar iman dan Islam suatu ketika dulu. Pakcik-pakcik dan sahabat-sahabat yang saya sayang dan kasih seperti saya kasih kepada ayah. Mereka kini sadang melangkah ke satu fasa jihad yang sebenar. Iaitu jihad yang menagih darah dan pengorbanan.

Saya rasa mahu menangis. Sudah jauh kita melangkah rupanya. Semoga Allah bersama dalam setiap langkah dan usaha kita.

Bak kata ketua misi Lifeline for Gaza (LL4G), Haji Noorazman Mohd Samsuddin, “perginya kami kali ini belum tentu kami akan kembali. Oleh itu kami sangat-sangat memerlukan doa tuan-puan semua semoga Allah SWT melindungi kami semasa perjalanan misi ini”.

“Kita tidak gentar, dan kita tidak akan berpatah balik. Seandainya kami syahid, maka itulah ketetapan daripada Allah SWT. Kami mengharapkan doa anda, kerana doa itu adalah senjata mustajab orang-orang mukmin. Jangan lupa bersolat hajat agar misi kita untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat dan bumi Gaza ini akan dikabulkan akhirnya oleh Allah SWT. Seandainya kami gugur, maka maafkanlah kesilapan kami, dan relakanlah pemergian kami menemui Allah SWT,” berkata beliau lagi yang juga Pengerusi Biro HALUAN Palestin yang telah diamanahkan oleh IHH (The Foundation for Human Rights and Freedoms and Humanitarion Relief) untuk mengatur delegasi Malaysia sempena projek trans-samudera LL4G ini.

Wakil-wakil HALUAN yang berangkat:

1. Haji Noorazman Mohd Samsuddin, Biro HALUAN Palestin selaku Ketua Misi LL4G Malaysia
2. Dr Arbaai Shawal, Biro HALUAN Palestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Biro HALUAN Palestin
4. Ustaz Alhami Husain Suhaimi, Biro HALUAN Palestin
5. Mohd Nizam Awang, Biro HALUAN Palestin


Turut menyertai misi tersebut 3 orang lagi ikhwah yang dipilih Allah untuk menyertai misi ini, iaitu:
1. Haji Jamuliddin Bin Elias, Yayasan Amal
2. Selamat Ali, Jamaah Islah Malaysia (JIM)
3. Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care


Saya, di bumi Irbid, Jordan ini mendoakan kalian, wahai bapa-bapa kami semoga Allah selalu bersama dalam setiap langkah dan denyut tasbih nadi kalian.. Kalian berada dalam fasa jihad yang telah lama UDMZ tanamkan dahulu dan kini masanya untuk mengamalikan..

"antara dua pasti terjadi..tunggulah syahid..atau menang!"

Wahai bapa-bapa, kalian inspirasi kami di atas jalan DnT yang panjang dan sukar ini. Kalian inspirasi kami untuk tegar dan terus istiqamah.

Jika diizinkan Allah kalian gugur dalam mulia, kami akan bangkit meneruskan perjuangan kalian, insyaAllah..Islam pastikan kembali menguasai dunia, itu janji Allah yang pasti.

Doakan saya teman..

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.