“Marilah kita beriman sejenak kerana sesungguhnya hati itu lebih mudah berbolak balik daripada masakan dalam periuk yang sedang mendidih di atas api”-Abu Darda’ r.a.-
Sungguh. Hati selalu berbolak balik. Tidak pernah senang untuk tenang berdiam.
Lebih-lebih lagi di usia remaja yang tampak dunia penuh warna-warni. Memang jika dilihat pada hati, hati pasti cenderung untuk tunduk kepada syahwat yang mudah dan menyeronokkan.
Tetapi persoalannya, apakah kita mahu menjadi pemuda biasa atau pemuda luar biasa?
Benar. Tidak mudah. Perit. Pedih. Bukan senang untuk menolak dunia yang selalu mengelilingi.
Dan saya juga remaja seperti kalian. Saya juga remaja yang diuji. Yang punya tempoh turun naiknya. Yang punya jiwa yang pantas bergoyah.
Tetapi sedarlah, bahawa kita tidak pantas untuk duduk membiarkan.
Mahu tahu apa jawapan permasalahan kita?
Isilah hatimu teman!
Ya. Kita yang berkuasa untuk mengisinya. Jika kita tidak mengisi hati mengikut acuan Islam dan Iman, maka pantas hati kita yang akan diisi oleh nafsu mengikut acuan jahiliyyah.
Bergeraklah untuk mengisi kekosongan kehidupan. Bergeraklah untuk memberi kekuatan pada jiwa kita. Bergeraklah agar bisa memberi sesuatu kepada Islam.
Jika kita diam, samalah seperti air yang diam di dalam bekas. Tidak akan selamanya jernih. Pasti akan ada keledak yang keruh dan lendir hijau yang mengotorkan.
Kerana tidak ada jaminan untuk istiqamah dengan iman. Lalu, geraklah membina kekuatan!
Ingat diri, remaja ini untuk mengisi bukan diisi!
*doakan saya teman..
*rindu dengan bi'ah di MATRI..
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.