Thursday, March 25, 2010

Remaja mukmin luar biasa = mahal nilainya..


kadang-kadang saya kira, anak-anak Palestin jauh lebih dewasa daripada saya..

Kisah Mus'ab Bin Umair yang unik saya selak lagi buat sekalian kalinya. Kali ini dalam subjek Seerah Nabawiyah yang mengambil kitab Fiqh Seerah karya sheikh Sa'id Ramadhan alButthi sebagai bahan pembelajaran...

Kalian kenal bukan dengan Mus'ab Bin Umair?

Sahabat yang menerima Islam di awal keremajaannya saat dia hidup dalam kemewahan. Haruman pewanginya tidak ada yang menyamai. Pakaian mahal melambangkan dia dari keluarga yang mewah. Sekali pandang, sudah mafhum benar bahawa dia zuriat kesayangan.

Namun, sekali dia menerima Islam sebagai cara Islam, seluruh kehidupannya cuma untuk Allah. Segala keelokan dunia itu langsung ditolak tepi..

Saat awal perjalanan Dakwah, Mus'ab turut serta di barisan hadapan di belakang Rasulullah s.a.w.. Dengan rela hati dan yakin, dia menerima siksaan kaum Quraisy. Jubah lembut diganti sarung pakaian kepayahan dan penyiksaan.

Ketika itu, dia masih pemuda..

Selesai perjanjian aqabah 1 yang termeterai, Mus'ab dihantar sebgagai duta yang akan mengajar kaum Ansar membaca alQur'an dan mengajar segala sesuatu tentang Islam.. Sehingga dia digelar "Muqri' alMadinah" iaitu pembaca Madinah.

Dalam tugasnya itu, dia pernah diserang oleh orang musyrik, mengangkat tombak mengancam jwanya tetapi tidak ada apa yang dilakukan oleh Mus'ab untuk mempertahankan dirinya hanya cuma membaca beberapa potong ayat Allah serta menyebut beberapa hukum dalam Islam. Lantas seteru yang menyinga itu lemah meletakkan senjatanya dan terus mengikuti kuliah pembelajaran Islam yang disampaikan Mus'ab.

Ada riwayat yang menyebut, hampir setiap pintu rumah di bumi Yathrib itu diketuk agar sinar kesejahteraan itu bisa masuk dan mewarnai kehidupan mereka.

Ketika itu, dia masih pemuda..

Bukti cintanya pada Allah dan Rasul berterusan sehingga ke denyutan nadi terakhir. Allah memilih pemuda unik ini untuk syahid semasa perang Uhud. Saya kira, Allah terlalu merinduinya kerana itu dijemput awal agar segera dapat diganjarkan kenikmatan.

Dengan pakaian yang sehelai di tubuh sahaja, baju labuhnya tidak mencukupi untuk menutupi 'aurat jenazahnya. Jika ditutup di bahagian kepala maka kakinya akan terjuntai keluar dan jika ditarik ke kakinya maka kepalanya pula akan terdedah..

Akhirnya, sahabat-sahabat menceritakan kepada Rasulullah s.a.w.. Lantas Rasulullah menangis, teringat betapa dia sanggup menolak kemewahan duniawi semasa mudanya dahulu.. Rasulullah bersabda:"Litupilah bahagian kepalanya dengan baju labuhnya dan tutuplah dua kakinya dengan daun kayu izkhur".

Sungguh. Dia juga melalui zaman pemuda sama dengan saya. Namun, bagaimana cara dia melaluinya sangat berbeza dengan cara saya melaluinya sekarang.

Mengapa payah?

Sungguh. Remaja mukmin luar biasa = mahal nilainya dalam pandangan Allah.. Tidakkah kita mahu raih itu?

Doakan saya teman..

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.