Saturday, December 10, 2011

PINTAR: Akademi alFateh, Kenangan yang Mahal.


dari kiri: Dhabit, Juwe, Wahidah, Ainin, Hazirah, Athiroh dan Hasanah.
Tiada dalam gambar: Afi


gambar kumpulan kami yang paling unik: kakak mentor dipaksa duduk di atas kerusi oleh adik-adik menteenya^^.

"akak..! kumpulan kita menang..!". jerit adik mentee saya yang duduk selang di hadapan. Saya ketika itu sedang berbual dengan penasihat PINTAR sekaligus sahabat saya, Nafesa, terkesima.

"akak, tahniah..tahniah..kumpulan kita menang Alhamdulillah". Adik-adik mentee yang lain turut sama menjengah dari hadapan sambil menghulurkan tangan bersalaman. Masing-masing berwajah ceria dan teruja.

Wahidah, ketua kumpulan datang dan memeluk sambil berbisik, "hadiah untuk mentor..".

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala puji selayaknya bagi Allah Pemilik dan Penguasa kehidupan ini.

Tidak ada daya dan upaya melainkan hanya datang dari Allah. Dan tiba-tiba hati jadi sebak.

Akademi alFateh: Adik-adik itu.

Ketika selesai persembahan Rabu malam itu, dan mendapat komentar dari juri-juri serta selesai mengucapkan tahniah dan syabas kepada adik-adik mentee atas persembahan mereka, seakan-akan tidak percaya bahawa program selama 21 hari itu telah tamat.

Ketika bergerak pulang, sambil sembang-sembang bersama Hazirah, salah seorang mentee, terluah perasaan,

"tak sangka begitu sekejap. Dah habis dah AF. "

Dan malam itu bermulalah malam pertama saya merindui mereka. Rindu untuk bergolek bersama-sama. (diguna pakai perkataan golek kerana kami tidur beramai-ramai di atas lantai hampir beberapa malam bagi menyiapkan task tersebut). Rindu dengan celoteh mereka dan rindu wajah-wajah mereka yang sentiasa fokus dan bersemangat dalam jam-jam bersama kami.

Teringat ketika kumpulan mentee semangat menjadi kumpulan pertama untuk diambil gambar. Dan kumpulan mentee ini jugalah yang bersemangat (baca:riuh rendah) di awal hari pembentangan pertama. Lucu. Dan naik segan sebenarnya dengan adik-adik kumpulan mentor yang lain, yang hanya duduk diam-diam dan baik-baik.

"akak rasa, kumpulan akak ni yang paling bersemangat. sedangkan kita bentang akhir". ^^#. Saya usik mereka.

"ala akak..kumpulan akak kan sentiasa bersemangat..". Jawab mereka sambil ketawa bersama.

Akademi alFateh: Hadiah itu hadiah kasih sayang kita.

Ketika awal menerima amanah ini, rasa berat. Dan sedikit terbeban jujurnya. Kerana pada saya, jika bermu'amalah dengan jiwa-jiwa manusia, saya hajat untuk memberi yang terbaik. Maxima insyaAllah. Sedangkan waktu itu banyak perkara yang perlu difikirkan dan dirancang.

Bermula di fatrah perangkaan modul, hebahan peserta, pergerakan teknikal dan segala, benar-benar menguji dan menjangkau kemampuan saya sebenarnya. Dalam keadaan tidak nampak bagaimanakah program ini akan berjalan, saya pernah terfikir untuk menarik diri. Apatah lagi segan duduk bermesyuarat dengan figur-figur hebat PERMAI dan MPPMJ. Lebih banyak diam dan belajar dari mereka.

Dalam waktu yang sama, PINTAR memerlukan fokus untuk disusun gerak kerja tahunan, proses pencarian seramai 19 orang mentor-mentor, proses pemujukan nuqaba' yang diperlukan seramai 127 yang pastinya bukan suatu perkara yang mudah.

Namun susunan Allah itu berbeza. Allah hadiahkan amanah ini sebagai pengubat dan penghibur. Dan merekalah adik-adik itu. ^^.

Bermula dengan iftor, qiyam dan sarapan bersama di rumah Hazirah, pelbagai ujian telah ditempuhi. Dapur meragam. Setelah berhempas pulas, Allah izin, alternatif lain muncul. Kami masak menggunakan rice cooker. Comel.

Tidak dikira malam-malam yang kami lalui, bersengkang mata bersama. Menemani adik-adik menyiapkan slide dan kertas kerja sambil berkongsi rasa. Terhibur melihat adik-adik khusyuk bersama soalan-soalan yang pelbagai. Tidak pernah kering.

Tidak dikira jam-jam yang diperuntukkan, yang cuba sedaya kami penuhi mengikut apa yang telah digariskan. Perkongsian tajuk-tajuk dan selebihnya perbincangan 2 hala yang sangat matang. Sungguh. Tampak sudah kalian mahasiswa muslim yang cakna dan prihatin. Alhamdulillah..

Dan seterusnya program-program lain yang menyusul, menyuburkan lagi rasa sayang itu.

Paling terharu, mereka juga membantu dalam pencarian nuqaba' itu lantaran sepanjang kebersamaan kami, waktu senggang saya mungkin umpama seorang operator yang hidup di talian panggilan.

Penutup: Potensi kalian terlalu besar untuk sekadar bermimpi kecil.

Dan malam ini, baru selesai perasmian bagi Akademi alFateh musim ke2. Melihat wajah-wajah baru namun pastinya semangat dan roh yang sama sepertimana kakak-kakak dan abang-abang mereka pada sesi lepas.

Terdetik hanya satu.

Semoga dari mereka ini, akan lahir dan terbentuknya generasi pewaris bagi menggantikan kami yang bakal pergi. Generasi yang faham dan sedar urgensi menjadi muslim mukmin sekaligus generasi yang terpanggil untuk memberi sumbangan kepada masyarakat umumnya dan kepada Islam khususnya.

Semoga Allah redha dengan kita, insyaAllah.

nota kaki:
-serius saya rindu AF yang lalu meski hanya singkat tetapi padat dan bermakna.
- Semoga team ajk AF sesi kali ini dibantu oleh team PINTAR secara umumnya mampu melaksanakan yang lebih baik insyaAllah. Allah ma3ak.
-sedih sebab tidak dipilih untuk menjadi mentor AF kali ini. sobs2. :').

logo alFateh.
Teringat semasa sesi pemilihan dari calon-calon (er. sesuai ke?) logo yang lain.

Terima kasih buat kawan kak Fathiyah Idris ^^.

2 comments:

mohon pandangan.