Wednesday, December 28, 2011

ماذا علينا؟

Semalam adalah kelas terakhir Fiqh 3uqubaat (Fiqh Hukuman) bersama Dr Ali 3Umariy. Doktor yang lembut, sopan, dan bersuara perlahan dalam usia yang memutihkan seluruh rambutnya. Doktor yang sangat baik dengan pelajar Maliziy dan selalu di'tindas' oleh pelajar arab.

Doktor yang saya lihat seperti pandangan sayang saya pada datuk-datuk atau tok wan-tok wan yang uzur tubuhnya, yang lemah percakapannya, tetapi bezanya doktor ialah keperibadian tauladan, keluasan ilmu dan kedalaman hikmahnya. Sangat hebat dan sangat mengagumkan.

Jujur, sebenarnya kelas Fiqh 3uqubaat merupakan kelas yang sangat susah untuk memaksimakan fokus. =). Subjek yang berat, huraian yang panjang dan terperinci, suara doktor yang perlahan di samping persaingan untuk mendapat tempat duduk di hadapan, membuatkan semangat menyalin syarah doktor hanya bertahan di bulan pertama. Bulan-bulan yang seterusnya, hanya menyalin apa yang tercatat di papan putih dalam masa yang sama berperang untuk menarik kembali fokus walaupun mata tepat menatap doktor. (gaya cerita seperti fokus adalah objek yang boleh berlari-lari).

Kalimah Akhirah Yang Membangunkan.

Semalam adalah hari yang paling bertuah untuk saya di dalam kelas Fiqh 3Uqubaat.
Memandangkan orang arab ramai tidak hadir (minggu study week), maka Allah izin berpeluang duduk di barisan hadapan.

Hari itu doktor tidak mengajar kerana tajuk-tajuk sudah habis. Lalu doktor menitipkan kami beberapa kalimah akhir sebagai pergulungan.

Dan itu yang membuatkan saya lagi-lagi rasa sangat bertuah.

Dakwah Itu Terpikul Atas Setiap Muslim.

Ayat ini bagi saya sebenarnya sudah berulang-ulang kali didengari. Tetapi kali ini doktor kongsikan bersama seerah generasi alQuran yang unik iaitu generasi sohabiyyuun al-awwaluun.

Doktor berkongsi cerita:

Daie pertama ialah Saidina Abu Bakr asSiddiq yang mana pada pagi hari dia memeluk Islam, menerima Allah sebagai Rabb dan Illah, di petang harinya dia membawa 7 orang pemuda yang sama-sama telah mengucap kalimah tauhid itu untuk bertemu Rasulullah s.a.w.

Antaranya; Abu Ubaidah alJarrah, AbdurRahman Bin 3Aus, Saad Bin alWaqqas, Arqam Bin Abi alArqam dan lain-lain.

Dan ketika sahabat-sahabat ini selesai melafazkan kalimah syahadah, soalan pertama dan terawal yang ditanya,

"!ماذا علينا يا رسول الله؟"
"apakah dia (mas'uliyyah) ke atas kami wahai Rasulullah?"

Suara doktor yang meninggi dalam getaran bagi pedang yang menusuk.
Jawab baginda s.a.w:

"sampaikan (sebarkan).."

Terdiam. Tiba-tiba sebak menyerang. Dan mata jadi panas. Hanya dengan satu soalan itu..

Jawapan Generasi alQur'an Yang Dahsyat Unik.

Doktor mengupas lanjut dengan perlahan dan teratur, penuh tertib.

Lontaran soalan yang hidup tersebut adalah natijah jawapan mereka.

Mafhum:
"sudah pasti bilamana kami mengambil dan mengangkat Allah sebagai Illah, meletakkan Allah sebagai Penguasa, maka PASTIlah ke atas kami ada mas'uliyyah (tanggungjawab) yang diperintahkan..".

SubhanAllah.

Tauhid yang benar-benar melahirkan IMAN yang sebenar.

IMAN yang meletakkan kefahaman dan keyakinan bahawa dia adalah hamba dan hamba itu pasti ada arahan ke atasnya. Dan semuanya mustahil difahami melainkan merasakan betapa MULIA menjadi hamba kepada Sang Pencipta.

IMAN yang meletakkan kesedaran dan prihatin atas dasar nikmat untuk menyampaikan dan menyebarkan seluas-luasnya rahmat ke seluruh penduduk alam.

IMAN.
Dan itu yang membezakan kita dengan generasi terhebat sepanjang zaman.

وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بَاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ
“Orang-orang yang mula-mula lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan muhajirin dan ansar dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah” (atTaubah: 100)

Penutup: Jangan Pernah Berasa Lemah Selagi Kamu Seorang Muslim.

Sungguh. Tidak dinafikan terlalu banyak, orang-orang yang saya ketemui memilih untuk memiliki rasa lemah dan kurang percaya diri apabila membicarakan soal Dakwah dan Tarbiyah.

Bukan sekadar pelajar-pelajar mahasiswi malah, mereka-mereka yang telah dewasa dan berkecimpung dalam arena kerjaya, berusia lanjut, memiliki anak-anak dan berilmu luas juga mengeluh perkara yang sama.

"akak tak layak la hasna'..cari orang lain la ya.."
"akak pandai jaga anak-anak, boleh la..".
"hasna' silap pilih orang ni..".
"orang yang tak memiliki apa-apa, mana boleh bagi apa-apa pada orang lain..".

Sungguh. Hanya kepada Allah diadukan segala kelemahan yang ada dan dimohonkan agar terhindar dari rasa untuk memiliki itu juga.

Dan segala puji selayaknya bagi Allah, yang menghadiahkan saya mata air yang mententeramkan. Mata air yang mengalir dari kisah sohabiyyun al-awwaluun itu. Islamnya mereka langsung mengangkat rasa tanggungjawab. Tidak muncul persoalan, "ada kelas akidah tak untuk kami?", tetapi langsung "apakah dia (mas'uliyyah) ke atas kami?".

Selagi kamu percaya bahawa kamu adalah seorang MUSLIM, maka selagi itu kamu perlu menyakini bahawa ke atas kamu ada mas'uliyyahnya.

nota kaki:
-semalam, 27 Disember 2011. Ada sesiapa tertinggal tarikh ulang tahun ini?








3 comments:

  1. Assalamualaikum wbt..

    salam ziarah k.Hasna'... jkk atas prkgsian.. mg terus istiqamah..

    Sematkan mutiara kata dari doktor itu ya.. ^_^

    p/s: jmputlah ke blog fatin nnt, kalau ada kelapangan tinggallah jejak di kotak komentar.. =)

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Betul... saya jga turut tersentuh ngan apa yang Dr Ali sampaikn, terutama bila dr. cakap tentang Saidina Abu Bakar, dan dr tanya pelajar:"Abu Bakar RA baru memeluk islam ramai sahabat yang diislamkan di bawah tangan beliau, sedangkan kita.. berapa umur kita dalam Islam? dan berapa ramai sudah diislamkan di bwh tangan kita?"

    rasa nak reyau ketika tu^^

    ReplyDelete

mohon pandangan.