Allah ma3akum ya Suriyah.
Pagi tadi, kakak di Malaysia bertanyakan satu soalan yang mengejutkan, "teruk ke keadaan di Syria?".
Diam. Dan saya tahu, pasti tiada pendedahan berita-berita darah saudara ini di Malaysia sana. Tahu benar, apa yang memenuhi siaran-siaran di Malaysia. Jika tidak politik kotor, isu anak luar nikah, keputusan akademik yang semakin meningkat, iklan konsert artis di sana dan di sini, cerita-cerita tahyul, cerita Korea, cerita Jepun, cerita pari-pari Indonesia dan segala karutan lain.
Bagi mereka yang mempunyai masalah dalam akses internet, maka pastilah mereka tertutup dari dunia luar.
Sekatan Sebaran Maklumat.
Sepanjang mengikuti berita-berita dari saudara sana, sebak berganda saat melihat betapa mereka bersungguh-sungguh memecahkan sekatan sebaran maklumat yang dipenjarakan ke atas mereka dalam keadaan perlu merempuh peluru-peluru dan tangkapan ganas tentera thaghut yang zalim.
Segala gadget yang ada, handphone, camera dan segala dikeluarkan untuk menjadi bukti segala kekejaman. Terus diupload ke dalam youtube untuk dunia melihat dengan harapan bahawa akan ada tangan yang menghulurkan bantuan.
Tetapi pedih. Berapa kerat sangatlah yang mengambil tahu?
Mereka pertaruhkan segala untuk sampaikan berita kepada saudara-saudara mereka, kerana kerajaan Assad menyekat dengan kekuatan kuku besinya. Malah alJazeera melaporkan, kerajaan Assad mengerahkan semua hackers dalam kerajaan yang ada untuk menghalang sebaran video-video dan berita-berita di facebook dan youtube.
Bukan seorang dua jurukamera yang terbunuh ketika sedang merakamkan insiden-insiden keganasan pihak thaghut. Malah pada 27 November 2011 yang lalu, seorang jurukamera telah syahid kerana sharpshooter menembak tepat ke lensa kameranya sehingga menembus ke biji mata sekaliguskan otaknya berkecai.
Allahuakbar.
Hati Pecah Dan Jiwa Menangis.
Majoriti video-video yang diupload tidak sanggup saya tontoni.
Ada mayat yang kepala pecah, segala dilayak oleh tayar jip tentera. Ada anak-anak kecil yang tersadai di jalan-jalan raya bersama otak yang hancur. Ada tubuh-tubuh pemuda, anak-anak kecil, orang-orang tua malah bayi yang menjadi hitam, hijau dan biru kesan belasahan sehingga mati oleh tentera-tentera syaitan.
Rasa loya dan mual.
Itu perasaan saya yang menonton. Bagaimana perasaan mereka yang perlu berhadapan dengannya setiap hari?
Rumah diceroboh oleh tentera-tentera dalam keadaan kita tahu, bahawa saatnya mereka masuk, bermakna akan ada yang tewas dalam kalangan keluarga kita sama ada kita, atau ayah ibu, atau adik beradik yang lain atau kesemuanya sekali.
Sungguh. Allah bersama kalian wahai saudara..!
Kisah Itu Berulang Dan Akankah Terus Berulang?
Kisah-kisah berdarah ini saya tatapi semenjak dari kecil. Kisah Sabra Shatillah, kisah penyembelihan Kosovo dan Bosnia, kisah pencerobohan tanah suci Palestin, kisah Perang Salib, kisah Peperangan Dunia, kisah penjajahan kuasa-kuasa besar, kisah pemerintahan ideolistik Komunisime dan pelbagai.
Sungguh. Saya mula menangis membaca kisah-kisah ini seawal usia 6 tahun dengan izin Allah. Mencari dan mengkaji kisah-kisah penderitaan saudara. Menyelak buku-buku tebal sejarah dan catatan peradaban dunia.
Dan usia saya kini 20 tahun. Tempoh 14 tahun telah berlalu. Sepang tempoh itulah hati terus pecah dan jiwa terus menangis.
Namun persoalannya, sampai bila saya hanya mampu menangis dan berdoa?
Penutup: Iman Itu Mahal.
Allah izin, semenjak kecil terdedah dengan amal Islami sehingga Alhamdulillah telah Allah tetapkan hati untuk berada sama di atas jalan ini.
Dan jujurnya, saat melihat dan memahami realiti apa yang berlaku dalam dunia hari ini, membuatkan semakin sedar, bahawa sebenarnya belum melangkah masuk pun lagi saya di atas amal Islami ini. Malah, takut-takut iman saya masih belum cukup sempurna kerana masih belum mampu untuk menjadi payung.
"Tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri (apa-apa yang ada padanya ada pada saudaranya)". -Hadis Muslim.
Semoga Allah tidak mencampak jauh. T_T.
nota kaki:
-saat saya jatuh, mereka tidak pernah jatuh. Malah TIDAK ADA MASA UNTUK JATUH.
-Mula fokus untuk belajar, ingat, jika saya tidak bersungguh, maka saya telah mengecewakan mereka. Mereka yang seusia saya di sana tetapi terpaksa bertarung dengan kematian demi sebuah keamanan dan keadilan untuk hidup.
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (A-li’Imraan 3:169)
ReplyDeletemoga kita terus berjihad di medan ilmu dan mereka disana terus berjihad di medan perang.. insyaAllah..