Tuesday, May 14, 2013

Ulasan Buku: Wanita, Antara alQur'an dan Realiti Muslim. Bahagian I


*Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya perlu membentangkan ulasan tentang buku tulisan Sheikh Rashid alGhounnusyi, yang sangat cantik, penuh hikmah dan adil. Dan pihak UTAM meminta untuk ditulis ulasan tersebut. Justeru, saya berminat untuk turut berkongsi dengan pembaca blog ini juga. Semoga bermanfaat! =)

Klik: Bahagian II
Klik: Bahagian III
Klik: Bahagian Akhir.

..........

Apabila membincangkan soal lelaki dan wanita, perkara pertama yang harus kita ketahui ialah, bagaimana kedudukannya wanita ini tercipta. Islam hakikatnya mengiktiraf wanita sama darjat dan nilai dengan lelaki, lantaran penurunan alQur’an itu sendiri untuk sekalian manusia tanpa mengira jantina, kulit dan jenis bangsa. Pengkhususan cuma berlaku pada sebilangan ayat terutamanya berkaitan hukum tertentu.

Dari Asal yang Satu.


Surah ke 4 dari 114 surah-surah alQur’an, yang menggunakan perkatan ‘wanita’ sebagai nama surah, memulakan ayat pertamanya dengan sebuah peringatan.

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya..” (anNisa’:1)

Ayat ini sebenarnya telah lama menjawab persoalan-persoalan dan kekeliruan tanggapan masyarakat tentang bagaimana seharusnya wanita itu dilihat.
Mengapa tidak  Allah ciptakan sahaja Hawa dari tanah seperti mana Allah berkuasa menciptakan Adam a.s. dari tanah? Apakah faedahnya Allah menciptakan Hawa dari tubuhnya Adam a.s.?
Tidak lain dan tidak bukan, terciptanya wanita (isteri) dari asal dirinya lelaki (suami) yang memberi erti bahawa nilai lelaki sebagai manusia seerti itu jugalah nilai wanita sebagai manusia. 

Begitu juga beberapa ayat alQur’an yang lain:
“Dialah yang menciptakan kamu dari jiwa yang satu (Adam) dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya, agar dia berasa senang (tenteram) dengannya..” (alA’raf: 189)

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (alHujurat:13)

“Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih sayang..” (arRum: 21)

“Dan Allah menjadikan bagimu pasangan (suami isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari pasanganmu..” (anNahl: 72)

“(Allah) Pencipta langit dan bum. Dia menjadikan bagi kamu pasang-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan dari jenis haiwan ternak berpasang-pasangan (juga)..” (asSyura: 11)

“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agra kamu mengingat (kebesaran Allah)”. (azZariyat: 49)

Manakala hadis-hadis berkenaan terciptanya Hawa dari tulang rusuk Adam a.s. seperti ,“Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya”(riwayat Bukhari: al-Adab al-Mufrad, no: 747) , bukanlah bermakna wanita itu adalah tulang rusuk yang bengkok, tetapi ulama’ mentafsirkan bahawa hadis itu adalah peringatan kepada para lelaki untuk berta’amul dengan wanita secara baik dan lemah lembut, bukan dengan kekasaran dan kekerasan kerana perasaan wanita itu terlalu mudah untuk bengkok (tersentuh).

Bermakna, tiadalah sama sekali perciptaan antara dua makhluk ini dengan sengaja dimuliakan sebahagian dan direndahkan sebahagian. Setiap satunya adalah dari asal yang sama dan kemuliaan yang sama.

Tinggallah Kamu dan Isterimu di dalam Syurga.

Sinonim kita dengan kisah Adam a.s. yang tinggal di dalam syurga, kemudian dikeluarkan kerana melanggar arahan Allah daripada menghampiri sebatang pokok. Diceritakan turun termurun bahawa syaitan telah membisik kepada Hawa sehingga terpengaruh dan Hawa memujuk Adam a.s..

Kitab Injil dan Taurat menceritakan sedemikian. Begitu juga sebahagian ulama’ yang mengambil periwayatan Israeliyyat. Malah ada tanggapan yang menuduh bahawa ruh yang ada dalam tubuh wanita adalah ruh syaitan yang membisikkan kejahatan.

Sedangkan jika kita rujuk kembali kalam Allah, tuduhan tersebut sama sekali tidak benar:
“… Lalu syaitan memperdayakan keduanya dari syurga, sehingga keduanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika keduanya di sana (syurga)..” (alBaqarah: 36)

“…Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata, “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pokok ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (di dalam syurga)”. Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, “sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu”. Dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya…” (al-A’raf: 20-22)

Ayat-ayat ini jelas menidakkan tuduhan tafsiran silap, yang meletakkan kesalahan Adam a.s. adalah berpunca dari pujuk rayu Hawa. alQurthubi menidakkan sebarang periwayatan yang mengatakan bahawa Hawa (wanita) punca kesalahan seorang Adam a.s. (lelaki) kerana periwatan tersebut adalah periwayatan Israeliyyat.

Manakala ayat 30 dan 34 surah alBaqarah sebelum itu, “…Aku hendak menciptakan khalifah di bumi…” dan “…Sujudlah kamu kepada Adam!...”, menunjukan betapa kemuliaan dan ketinggian telah Allah hadiahkan kepada manusia sebagai makhluk yang beraqal, berpengetahuan dan yang mempunyai kemahuan dan kebebasan. Dan Allah menciptakan wanita itu sebagai manusia sama seperti manusianya seorang lelaki.
Juga diteruskan dengan sambungan ayat 23 surah alA’raf:
“Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi”.

Dan ayat 37 surah alBaqarah:
“Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.”

Hal ini menunjukkan bahawa Allah adalah Penerima taubat, sama sekali berbeza dengan apa yang diyakini oleh para penganut Kristian, sehingga memerlukan kelahiran dan pensaliban Isa a.s untuk menghapuskan dosa-dosa Adam a.s. dan Hawa.

Tidaklah Sama Lelaki dengan Wanita.


“Maka ketika melahirkannya, dia berkata, “Ya Tuhanku, aku telah mengandungkan anak perempuan”. Padahal Allah lebih Tahu apa yang dia lahirkan, dan lelaki tidak sama dengan perempuan…”
(Ali Imran: 36)

Ayat ini sekali imbas, seakan-akan diangkat lelaki melebihi wanita dan diperakui bahawa tidaklah sama antara lelaki dan wanita.
Sedangkan hakikat sebenarnya jauh dari itu.

Pertama, ayat ini menceritakan tentang pengkhususan. Penciptaan lelaki dan wanita, sama sekali tidak sama dan saling memerlukan untuk melengkapi kekurangan jantina antara lelaki dan wanita. Perbezaan untuk melengkapi sama sekali tidak menunjukkan mana-mana jantina (lelaki) mempunyai kelebihan dan kebaikan melebihi jantina yang lain (wanita).

Kedua, ayat ini sebenarnya sebagai satu pujukan untuk ibu Maryam yang mulia, bahawa anak perempuannya itu sama sekali tidak ada mana-mana lelaki yang mampu setanding dengannya, lantaran pengaduan ibu Maryam selepas kelahiran Maryam adalah pengaduan kesedihan dan kekecewaan, kerana ketika itu yang mampu memberi bakti kepada rumah Allah adalah dari jenis lelaki. Allah memujuk dengan mengkhabarkan bahawa, Allah lebih Maha Tahu dan telah sekian maklum bahawa kandungannya itu adalah anak perempuan dan memang disengajakan.

Maryam dianugerahkan Allah dengan kemuliaan sebagai “ketua wanita syurga” juga sebagai ibu kepada Isa a.s. “Sesungguhnya perumpaan (ciptaan) Isa bagi Allah, seperti (penciptaan) Adam. Dia menciptakannya dari tanah kemudian Dia berkata kepadanya, “Jadilah!”. Maka jadilah sesuatu itu.” (Ali Imran: 59)

Malah sebilangan ulama’ telah membincangkan berkenaan kenabian Maryam. Hal ini kerana kemuliaan yang Allah kurniakan kepada Maryam adalah kemuliaan para anbiya’. AlQurthubi menjelaskan bahawa Maryam diiktiraf sendiri oleh Allah sebagai wanita yang suci dan terhormat, serta yang membernarkan ayat-ayat Allah dalam surah Tahrim ayat 12, “dan Maryam, puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimah-kalimah Tuhannya dan kitab-kitabNya, dan dia termasuk orang-orang yang taat”. Dan dalam surah alMa’idah ayat 75, “alMasih putera Maryam hanyalah seorang Rasul. Sebelumnya telah pun sudah berlalu beberapa rasul. Dan ibunya oseorang yag berpegang teguh pada kebenaran”.

Juga tentang mukjizat kisah buah-buahan dan kelahiran Yahya a.s saat Zakaria a.s telah sangat tua serta isterinya yang mandul.

Hal ini kerana, syarat kenabian adalah seorang lelaki semata menggunakan dalil surah Yusuf ayat 109, “Dan Kami tidak mengutuskan sebelummu (Muhammad), melainkan orang laki-laki (arrijal) yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri..”

Ibnu Taimiyah menidakkan hal tersebut. Namun Sheikh Thahir bin ‘Asyur, penulis tafsir ‘Tahrir wanTanwir’, mentafsirkan bahawa ‘arrijal’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah jenis manusia, bukanlah pengecualian bagi wanita.

Tafsiran ayat 42 surah Maryam, “Dan (ingatlah) ketika para malaikat berkata, “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikanmu dan melebihkanmu di atas segala perempuan di seluruh alam”, juga menunjukkan pengkhabaran malaikat dan penyucian sebagai tanda nubuwwah dan nubuwwah tidaklah sama dengan kerasulan.

Di sini jelaslah bahawa Islam telah lama mengangkat kemuliaan seorang wanita. Namun perlu diperingatkan bahawa kemuliaan datang selepas kita kembali kepada Allah dengan ketaatan dan kehambaan.

“Wahai Maryam! Taatilah Tuhanmu, sujud dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk”. (Ali Imran: 43)

Maka, janganlah tertipu dengan tipu muslihat yang jahat, bersamalah dalam gerombolan iman dan penegak kebenaran. Serta angkatlah kerendahan diri hanya kepada kebenaran milik Allah.

Sesungguhnya Tipu Daya Kamu Sangat Dahsyat.

Kita sudah ma’ruf tentang kisah penggodaan isteri alAziz terhadap Yusuf a.s. dan kita juga telah tahu bagaimana Yusuf a.s. merengkut di dalam penjara hanya semata kerana fitnah tersebut. Maka banyaklah hentaman ke atas wanita berlaku.

“Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih.” (Yusuf: 24)

“Maka ketika dia (suami perempuan itu) melihat baju gamisnya (Yusuf) koyak di bahagian belakang, dia berkata, “sesungguhnya ini adalah tipu dayamu. Sungguh, tipu dayamu benar-benar hebat ( dahsyat).” (Yusuf: 28)

Pentafsiran dibahagikan kepada 3.

Yang pertama, ayat 24 surah Yusuf, “…Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya…” menunjukkan bahawa kenabian dan kerasulan sama sekali tidak menghapuskan nilai fitrah seorang manusia. Seorang nabi juga adalah manusia dan ketika digoda oleh isteri alAziz, Yusuf a.s juga tertarik. Namun dilindungi oleh Allah dari terjeremus kepada kemaksiatan kerana Yusuf a.s adalah hamba Allah yang ikhlas dalam ibadah dan yang menjaga dirinya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa yang menyelamatkan seseorang itu daripada melakukan dosa, bukanlah kerana mukjizat tetapi kesan usaha seorang hamba itu selama ini dalam menjaga ibadah dan ketaqwaannya kepada Allah.  “Sesungguhnya jika cenderung hambaKu kepada kebaikan, maka tertulislah untuknya kebaikan..” (Hadis Qudsi).

 Lantaran itu, menjadi satu urgensi untuk kita sama-sama memproses diri dalam keimanan dan rasa takut kepada Allah sentiasa, agar dengan usaha itu Allah melindungi kita dari kerosakan dan kejahatan.

Yang kedua, ayat “Sungguh, tipu dayamu benar-benar hebat ( dahsyat).” (Yusuf: 28) adalah ayat jelas pengkhususannya untuk perbuatan isteri alAziz yang dahsyat itu, iaitu penggodaan dan tipu dayanya yang licik. Bukan bermakna wanita itu sendiri mempunyai kejahatan tipu daya melebihi kejahatan tipu daya lelaki . Perbuatan yang keji tidak kira lelaki dan wanita, tetap sama kejahatannya.

Dan fitrah hamba tidak kira lelaki mahupun wanita, diberi pilihan sama ada untuk melakukan kebaikan dan keburukan. “Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya”. (asSyams: 9-10) dan surah alBalad ayat 10, “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan).”

Perkara ini sangat penting untuk dijelaskan, kerana kesan salah faham ini membuatkan wanita amnya terpalit dengan kejahatan isteri alAziz tersebut. Bahkan ada ulama’ yang pernah berkata, “aku lebih takutkan wanita daripada syaitan”. Mereka membandingkan dengan ayat 76 surah anNisa’, “..maka perangilah kawan-kawan syaitan itu, (kerana) sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah”.

Sedangkan ayat ancaman tipu daya syaitan dan kesan kejahatan syaitan kepada manusia adalah diungkapkan dan diperingatkan oleh Allah sendiri.  Manakala ayat “Sungguh, tipu dayamu benar-benar hebat ( dahsyat)”, hanyalah kata-kata alAziz kepada isterinya dan diceritakan semula oleh Allah di dalam alQur’an.

Yang ketiga, memandangkan secara fitrahnya wanita tercipta dengan kelebihan berbanding lelaki dari sudut mempengaruhi dan kesungguhannya mencapai cita-cita dengan segala cara, bermakna besarlah tanggungjawab masyarakat dalam memastikan pendidikan para wanita agar kelebihan,  kecerdikan, dam kesungguhan yang dimiliki disalurkan kepada jalan yang

benar, iaitu jalan yang menyelamatkan malah yang mengangkat masyarakat kepada kemuliaan.


Kecintaan Kepada Wanita.

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diingini, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan, dan sawah ladang. Itulah kesenangan di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik. Katakanlah, :Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?”, Bagi orang-orang yang bertaqwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..” (Ali Imran: 14-15)

Ayat ini bukanlah bermakna bahawa wanita dan sebagainya adalah tarikan yang membuatkan seseorang semakin jauh dari syurga dan jika berkehendak kepada syurga, maka perlulah menidakkan anasir-anasir tersebut.

Tanggapan ini salah kerana Allah swt memang menciptakan keindahan-keindahan itu dan tidak berlaku pengharaman terhadap perkara-perkara tersebut, sepertimana yang disebut dalam surah al-A’raf ayat 32, “Katakanlah (Muhammad), “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah disediakan untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang baik-baik?..”.

Namun perlulah diperingatkan bahawa perhiasan, kecantikan dan tarikan ini adalah sebagai satu ujian jika kita terlalu berlebih-lebihan sehingga mengabaikan tujuan kehidupan. “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antara yang terbaik perbuatannya” (alKahfi: 7).

Ulama’ mengkonklusikan ayat ini dengan pembahagian perhiasan kepada 2 bahagian.

Yang pertama, menjadikan dan menggunakan perhiasan dunia sebagai wasilah untuk mencapai redha Allah. Hal sedemikian merupakan perhiasan yang dihiasi sendiri oleh Allah s.w.t.  sebagai penghibur kehidupan manusia di dunia.

Isteri, anak-anak dan harta benda jika dipandu oleh iman dalam berta’amul dengannya, maka bukan sahaja tidak termasuk dalam perkara yang menghalang dari syurga Allah, tetapi juga merupakan sumber pahala kebaikan.

“Wahai Rasulullah, jika kami didatangi syahwah dan kami mendatangi isteri kami, apakah kami mendapat pahala?”. Jawab baginda s.a.w, “ Jika kamu melihat sesuatu perkara yang jika diletakkan pada perkara yang haram, akan di beri balasan (dosa), maka begitulah juga jika diletakkan pada perkara yang halal, akan diganjarilah ia dengan pahala kebaikan”. (hadis)

Tafsiran yang benar ini perlu, agar lelaki tidak memandang wanita sebagai satu objek yang hina dan mesti dijauhi. Dari kesilapan inilah akan melahir golongan yang tidak rasa bersalah mengasari isteri dan memperlakukan isteri dan anak-anak dengan sambil lewa. Sedangkan Allah berulang menyebut, “Harta dan anak-anak adalah perhiasan dunia” (alKahfi: 46) dan disebut, “Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah” (hadis Tirmizi).

Hakikatnya nilai rumahtangga dan kesungguhan dalam menghidupkan kasih sayang di dalamnya adalah keperluan yang sama dengan kesungguhan ibadah-ibadah yang lain.

Dan kecenderungan lelaki kepada wanita adalah fitrah kerana dari fitrah itulah yang melahirkan zuriat keturunan, kerana wanita adalah sumber kewujudan zuriat tersebut. Fitrah ini dijelaskan sendiri oleh hadis, “Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang paling dahsyat ke atas lelaki melainkan wanita”.

Maka kerana itu datangnya peringatan kepada kaum lelaki agar sentiasa menjadikan perhiasan dunia ini sebagai perhiasan yang mendekatkan diri kepada Allah, bukan menjauhkan.

Yang kedua, perhiasan yang membuatkan hati semakin lalai sehingga jauh dari mengingati Allah, dan inilah yang sebenarnya dihiasi oleh syaitan-syaitan.

“…Dan syaitan telah menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan (buruk) mereka, sehingga menghalangi mereka dari jalan (Allah), maka mereka tidak mendapat petunjuk” (anNaml: 24)

“Dan (ingatlah) ketika syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan (dosa) mereka..” (alAnfal: 48)

“…dan syaitan pun menjadikan terasa indah bagi mereka apa yang selalu mereka kerjakan”  (alAn’am: 43)

Perhiasan yang pada asalnya sebagai pewarna kehidupan manusia di dunia boleh menjadi perosak kehidupan akhirat jika kita membiarkan syaitan yang mewarnainya.

Kerana itu, bukanlah apabila disebut isteri, anak-anak dan harta benda sebagai fitnah dan perhiasan dunia, maka perlu menjauhi kesemuanya tetapi apa yang Allah tekankan ialah meletakkan penjagaan hukum Allah dalam proses mua’amalah dengan perkara-perkara tersebut.

Juga, perlulah diperingatkan bahawa bukanlah sahaja wanita menjadi fitnah kepada lelaki semata. Bahkan lelaki juga merupakan fitnah kepada wanita berdasarkan hadis “ujian bagi lelaki adalah wanita dan ujian bagi wanita adalah lelaki”.

Justeru, antara suami (lelaki) dan isteri (wanita), perlulah saling memelihara diri masing-masing agar tidak menjadi fitnah kepada satu sama lain. Dan salinglah menyumbang untuk melengkapi kebaikan.

“Sesungguhnya wanita itu saudara bagi lelaki”. (hadis Muslim)

“Rahmat Allah ke atas lelaki yang bangun malam kemudian solat dan mengejutkan isterinya untuk solat. Jika isterinya payah untuk sedar, dia merenjiskan air ke wajahnya (isteri). Dan Allah merahmati isteri yang bangun waktu malam kemudian solat dan mengejutkan suaminya untuk solat. Jika suaminya enggan (liat) untuk bangun maka dia merenjiskan air ke wajahnya (suami).” (Riwayat Abu Daud)

Dan itulah ‘ibrah pernikahan yang sempurna dan penuh ketenangan.




Bersambung...



Nota kaki:
-final masih berbaki 3 papers. Doakan ya. =)

Sunday, May 5, 2013

Never Stop To Fight



Kita tetap menang.
Menang di hati keadilan.
Menang di bibir kesungguhan
yang menitip doa getar.
Semoga langkah tidak berhenti.
Semoga diri terus meniti.
Agar sejahtera generasi.

505


Nota kaki:
-Semoga Allah hadiahkan ganjaran kebaikan dan pahala buat semua yang turut serta menyokong dan mendokong keadilan. Biar mereka menang berdusta, tetapi kita tetap ada Allah yang Berkuasa.

-Sebak dan terkilan. Baru hajat untuk memulakan hidup baru bersama kerajaan baru.

-Apa-apa, jangan lemah. Itu petanda kita perlu gandakan usaha mengislahkan masyarakat, agar jiwa-jiwa pencinta kebenaran akan terus subur insyaAllah.

Wednesday, April 24, 2013

Mumu The Sweetie Pie.


Hye, I'm Mumu, who's keep haunting my aunt's mares. She blames me for my cuteness and cheeky smiles. 

hehe.

I'm gonna have a new play-mate soon iAllah. But still, ummi can't tell me
either the baby in her tummy is a boy or a girl. Huu.. No matter, who's gonna be out, I'm really excitedly awaiting for him/her! =D

Kindly, do pray for me!
I want to be as solehah as my ummi and my aunt (?). 

And do pray for my aunt too. 
I can smell she (who's typing this post) is missing me badly. =D







Nota kaki:
-sorry for a nonsense post. I'm just can't hide my feeling towards this cheeky little pie. Setiap hari, ada satu rutin yang akan dilakukan tanpa jemu, iaitu menonton video2 dan gambar2 Mumu. 
Semoga terus tabah. huk.
-minta maaf membiarkan blog bersawang. Otak terlalu tepu dengan pelbagai isu sehingga tersekat untuk menulis. Mungkin.
-final exams akan bermula pada 6, 12, 15, 16 dan 22 Mei. Lagi satu, belum keluar tarikh. Doakan ya. =)

Saturday, March 30, 2013

.Terus Hidup.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Tiada kata yang mampu diucapkan setelah mencecah usia 22 tahun meminjam roh dan jasad, menghirup udara, melihat alam, berfikir sebagai sorang manusia selayaknya, melalui sejuta rasa kehidupan yang pelbagai warna dan perisa, juga paling penting mencecah 22 tahun menjadi hamba Allah yang diberi izin dan peluang lahir sebagai seorang muslim dari rahim keluarga dan suasana yang berhajat kepada kebaikan dan syurga.

Jujur, setelah semakin membesar dewasa ini Allah telah mencampakkan satu jiwa untuk terus meyakini, bahawa tidak pernah ada satu titik yang dinoktahkan dalam catatan lauh Mahfuz agar terjadi, tanpa ada tabir rahsia yang disengajakan oleh Sang Pencipta untuk kita perolehi hikmahnya.



"Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan semua itu dengan sia-sia. 
Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka". (Ali Imran: 191)

Sejuta cerita bersamanya sejuta pengajian dan pengajaran. Sungguh. Tidak logik dan mustahil sama sekali untuk seorang manusia kerdil melaung kuat, menghebah dunia bahawa dialah yang paling teruk diuji, atau dialah yang paling terbeban dengan keperitan, atau dialah makhluk yang paling bertuah dan paling gembira, kerana ujian dan kenikmatan manusia itu sama timbangannya namun datang dalam pelbagai rupa.

Justeru, kehidupan apa sekalipun yang telah dilalui, sedang dilalui, dan yang akan dilalui, laluilah dengan suara yang terus menerus meyakini bahawa, manusia lain juga melalui kehidupan yang sama. Hanya kita yang perlu bijak mengutip dan membina kebahagiaan dari lorong sebuah kehidupan itu. Benar?


..........



semoga Allah ampunkan dosa-dosa sepanjang 22 tahun kehidupan yang lalu.

Pagi 29 Mac itu, bonda menghantar message balas untuk ucapan terima kasih yang saya titipkan sebelum terlena. Ada genang dalam binar-binar di takung mata.

"Alhamdulillah atas nikmat umur, dapat meneruskan 'ubudiyah mencari redhaNya. Hadiah dari mak ialah kemaafan, keredhaan dan cinta kasih khas untukmu wahai anak penyejuk mata hatiku..tiada perkataan yang sesuai untuk diungkapkan tanda kesyukuran mak atas anugerah Allah seorang anak sepertimu. Kasihmu semakin mengusik kalbuku. Semoga terus istiqamah di atas jalanNya insyaAllah. Sayang dari bonda, doakan adikmu selalu.."

Air mata menitik. Cinta bonda, tidak pernah melesukan.

Juga ucapan-ucapan dan doa yang dihantar melalui message phone, whatssupp, PM facebook, wall dan ucapan face-to-face yang telah mula datang dari malam sebelum banyak membuatkan diri lebih merasai bahawa, kadang kala kekuatan kita untuk terus istiqamah di atas jalan kebaikan dan amal soleh ini adalah dari doa-doa dan sangkaan baik orang ramai.

Semoga Allah terus menguatkan insyaAllah.

Harapan saya setelah menjengah tahun baru ini, setelah semakin terasa berat tanggungan yang perlu dipikul, setelah semakin terasa takut untuk terus melangkah, setelah semakin bimbang untuk terus melihat dan setelah semakin merasai bahawa hanya kematianlah kerehatan yang sebenar, sungguh-sungguh saya berharap, semoga Allah tidak pernah meninggalkan.

Dunia semakin menakutkan. Kehidupan semakin menyakitkan. Masa depan semakin galau jika tanpa ada Allah bersama dalam setiap langkahan.

Maka, apakah ada pengharapan yang lebih besar dari itu? Takut. Takut jika dirasakan amal telah banyak, namun hakikatnya pada pandangan Allah hanya umpama debu-debu yang berterbangan. T.T


..........

Tsauban radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

"Sekelompok manusia daripada umatku akan dikenali kerana mereka datang pada hari Kiamat dengan amal kebaikan yang umpama gunung Tihamah. Lalu Allah menjadikan (kebaikan mereka itu) debu-debu yang berterbangan."

Tsauban berkata: "Wahai Rasulullah, ceritakan ciri-ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk dalam kalangan mereka tanpa kami sedari."

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: "Mereka itu adalah saudara kamu, daripada jenis kamu. Mereka beribadah pada waktu malam sebagaimana kamu beribadah pada waktu malam. Tetapi, mereka adalah kelompok manusia yang apabila dalam keadaan bersendirian, mereka melanggar larangan Allah (melakukan maksiat)."


[Sunan Ibn Majah, Kitab az-Zuhud, hadis no: 4245, dinilai Sahih oleh Al-Albani]



..........

Doakan saya sahabat semoga terus istiqamah dalam kebaikan ini iAllah. Semoga sifat-sifat positif yang menyenangkan terus subur dalam hidup insyaAllah. =)

Allahua'lam.


Friday, March 22, 2013

Jangan Mati

"hasna', nanti jangan matikan cita-cita besar hasna' dengan sebab perkahwinan ya..".

Ada sungguh dalam nada Nafeesa. Saya cuma senyum, dan mengulang, "insyaAllah..nafeesa doakan ya".

Saya selalu cuba untuk mempositifkan diri walaupun jujurnya, diri dikabung takut. Takut saya temui noktah selepas peralihan fasa kehidupan nanti.

Dan setiap kali saya dan sahabat baik, Nafeesa Ayesha yang memiliki kecenderungan dan minat yang sama bertemu dan berbual-bual isu semasa, pasti selalu Nafeesa titipkan harapannya agar kami terus bersama dengan cita-cita yang sama-sama kami pegang selama ini.

Ya. Mempunyai cita-cita membuktikan kami juga manusia seperti makhluk lelaki, namun hakikatnya wanita tetap tidak dapat lari dari sebuah dilema.

Isu: Dilemma Have It All.



Saya mengagumi asSyahidah Yoyoh Yusrah, mantan ahli parlimen Indonesia di bawah 
Partai Keadilan Sejahtera dan memiliki 13 orang anak.
Tetapi saya lebih lagi mengagumi suaminya yang sangat memahami
dan menjadi daya penolak Allah yarhamha Ustazah Yoyoh untuk terus melaju.


Saya tertarik dengan arus baru feminisme kebelakangan ini, iaitu isu 'Can Women Really 'Have It All'?" dengan mengetengahkan perbincangan-perbincangan seputar permasalahan besar bagi wanita iaitu, -bukan masalah dalam pengurusan antara kerjaya dan keluarga- tetapi lebih besar dari itu, iaitu wanita-wanita yang takut untuk bercita-cita.

Seorang journalist wanita menulis dalam akhbar 'The Atlantic', berkenaan sebuah tajuk menarik, iaitu "We Need To Tell Girls, They Can Have It All (even if they can't)", dan dikisahkan pernah berlaku semasa Anne Mulchahy, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu dijemput untuk memberikan ucapan di Harvard Business School, ada seorang peserta bertanyakan soalan, "what it took to be CEO?". Dan beliau menjawab, beliau perlu berhenti daripada menangis di tepi jalan ketika berhadapan dengan situasi tekanan business dan rumahtangga.  Jawapan tersebut membuatkan topik perbincangan dan soalan peserta bertukar dari topik business leadership kepada work-life balance, hanya kerana peserta lebih tertarik untuk mengenali bagaimana mampu seorang wanita memenuhi cita-citanya.

Gayle, journalist tersebut menimbulkan soalan, "Is all of this talk about our personal lives undermining women? And do we spend as much time encouraging girls to excel as we do helping them balance work and family?".

Saya tidak menafikan bahawa memiliki cita-cita dan kesungguhan ke arah mencapai cita-cita bagi seorang wanita, menjadi antara dilema terbesar dalam hidup. Saya sendiri tidak terkecuali.

Lantaran kita dimomokkan oleh pemikiran masyarakat yang penuh ugutan seperti, "perempuan tinggi manapun dia, ceruk dapur juga nanti", "jangan banyak sangat bersuara, nanti tiada lelaki nak", "perempuan tak payah sibuk urusan luar, nanti keluarga cerai berai" dan momokan-momokan lain yang negatif. Sehingga peratus wanita yang berjaya memenuhi cita-cita sebenar yang diburu dalam masa yang sama berkeluarga adalah sangat kecil.

Tertarik mengikuti perbincangan-perbincangan seputar, "Do women find it hard to be ambitious due to guilt and pressure to raise a family?".

CNN telah mengadakan temu bual bersama 10 orang tokoh wanita yang terdiri dari kalangan senator, CEO, perancangan strategi bagi parti politik, mantan timb. presiden saluran ESPN, dan sebagainya di bawah topik, "Our Struggle To Have It All".

Konklusi yang dapat saya simpulkan dari responder-responder ada 4, iaitu:

1- soalan tersebut tidak patut timbul hanya bagi wanita, mengapa lelaki juga tidak ditanya? Bukankah jika lelaki boleh mempunyai kerjaya, mencapai cita-cita, mempunyai keluarga dan anak, wanita juga punya hak untuk diberi peluang yang sama?
2- masalah akan timbul apabila lelaki tidak berubah seiring perubahan yang dialami oleh wanita. Apabila lelaki-lelaki masih selesa ditakuk tradisional, memandang wanita sebagai orang gaji dan pelayan di rumah, pulang ke rumah mahu telah terhidang air panas maka penindasan terhadap wanita akan berlaku.
3- 'have it all' bukanlah sebagai matlamat sebenar, tetapi yang sebenarnya ialah mempunyai peluang untuk membuat keputusan dalam pemilihan seperti mana lelaki juga diberi peluang.
4- sokongan pihak luar, adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan terutamanya stereotype masyarakat yang masih banyak negatifnya.

Sungguh. Saya tertarik dengan kesedaran bahawa wanita juga adalah manusia. Maka bukankah setiap manusia itu punya impian dan hak untuk diberi peluang membuat keputusan dalam hidup?

Hanya segelintir wanita yang diizinkan Allah untuk beruntung memiliki pasangan yang memahami dan bertolak ansur sepertimana yang selayak dan sepatutnya dilakukan oleh setiap pasangan.

Believe in Yourself and Negotiate For Yourself. 

Arus baru feminisme ini dipelopori oleh seorang tokoh, Sheryl Sandberg, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Facebook, juga merupakan mantan Timbalan Presiden Global Onlines Sales and Operation bagi syarikat Google dan tersenarai sebagai salah seorang dari 100 orang tokoh berpengaruh seluruh dunia oleh majalah TIME.



boleh tonton ucapannya dalam ruangan TED berkenaan tajuk,
"Why we have too few women leaders".

Sheryl cuba mengetengahkan 3 point penting bagi golongan wanita untuk melihat kehidupan yang lebih jauh.

Point 1: Sit at the table.

Hakikatnya, wanita sendiri yang perlu memiliki keberanian dari dalam untuk merobohkan benteng inferiority terhadap lelaki lantaran sebenarnya antara lelaki dan wanita, tahap intelektual dan gerak kerja adalah sama, tiada apa yang membezakan. 

Gender tidak sepatutnya menjadi isu kerana kredibiliti, wibawa, kesungguhan dan nilai-nilai positif yang lain seharusnya yang menjadi kayu ukur dalam menilai kehebatan.

Makanya wanita harus berani untuk 'sit at the table', sebaris lelaki dalam membawa isu dan bidang yang menjadi kepakarannya.

Point 2: Make your partner a real partner.

Ketenteraman dan toleransi dalam rumahtangga sangat memainkan peranan. Jujurnya fitrah seorang wanita, keluarga adalah segala-galanya. Ikatan tali keluarga kadang kala menjadi faktor wanita perlu berhenti malah berundur dari terus menapak.

Justeru, memilih dan memiliki pasangan yang memahami merupakan satu anugerah yang membantu seorang wanita memenuhi cita-citanya.

Pandangan masyarakat harus diubah untuk lebih menghargai pilihan suami yang membantu isteri malah sewajarnya tindakan-tindakan baik sebegitu menjadi suatu fenomena biasa.

Point 3: Don't leave before you leave.

"Don't leave before you leave. Stay in. Keep your foot on the gas pedal, until the very day you need to leave to take a break for a child- and then make your decisions. Don't make decisions too far in advance, particularly ones you're not even concious you're making".

Seriously, kesan didikan momokan tanpa mengira dalam kalangan masyarakat barat dan timur, telah mencipta satu pemikiran dalam kalangan anak-anak muda wanita untuk melihat rumahtangga sebagai matlamat utama meski ketika itu mereka masih terlalu awal dan sedang berpotensi besar untuk terus menyumbang.

Saya melihat perkara ini adalah sesuatu yang bahaya kerana hasilnya, lambakan anak-anak muda wanita dibazirkan dengan kesibukan  berhias dan mencari cinta. Dan terhasillah satu kelompok masyarakat wanita yang takut untuk ke hadapan, berfikir, bersuara dan bertindak asing dari kepompong biasa pemikiran masyarakat, bimbang dilihat aneh.

Dan kekurangan serta kesilapan dalam memenuhi 3 point inilah yang membuatkan terciptanya darjat antara manusia yang sama, sekadar dibezakan oleh jantina lelaki dan wanita.


Penutup: True Feminism is Make Men the Real Men.

Jujurnya sepanjang saya melihat dunia dan manusia serta mengikuti perbincangan dan ideologi feminisme, saya menyimpulkan satu simpulan akhir iaitu, "the true feminisme is make men the real men".

Saya tidak melihat feminisme sebagai satu perjuangan kesama-rataan wanita dan lelaki dari sudut bentuk fizikal, tetapi perjuangan sebenar adalah mendidik lelaki untuk memiliki kesedaran meletakkan wanita pada kemuliaan dan kebebasan sepertimana yang telah diletakkan oleh Islam.

Sedangkan dalam hal penyusuan -yang lazimnya dilihat sebagai memang tugasan seorang ibu- tetap disyaratkan untuk mendapat persetujuan ibu itu sendiri, "..Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan pemusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya.." (alBaqarah: 233) apatah lagi dalam perkara-perkara berkaitan kehidupan seorang wanita itu sendiri.

Tidaklah saya melihat kepada perlunya wanita semua keluar menjadi pemimpin dan bekerjaya -lantaran saya sendiri cenderung untuk melebihkan keluarga- namun perkara yang perlu dilihat di sini ialah, masyarakat dan terutamanya kaum lelaki perlu memiliki kesedaran untuk memberi peluang dan sokongan kepada wanita-wanita yang hidup di sekeliling mereka untuk memiliki cita-cita, memenuhi cita-cita dan membuat keputusan dalam hidup mereka sendiri.

Bukankah wanita juga manusia?



Nota kaki:

- Saya sangat mengagumi Ustazah Yoyoh. Semoga ketemu di syurga insyaAllah..=')





Saturday, March 16, 2013

Rest in Peace Dear Nenek

"Grandmother to my children, eldest sister of my aunts and uncles, confidante of her friends and followers, my mother... Breathed her last today at 11am. May Allah grant her peace and serenity, and allow her to join the ranks of the rightly guided. Inna lillahi wainna ilaihi rajiun - "Surely we belong to God and to Him shall we return" -Zekri Hashim-

..........

Air mata mengalir deras. Hajat hati untuk meneruskan bacaan bagi menghadapi peperiksaan pada pagi tadi, cuba diteruskan tetapi bagai cuma membuka album keluarga.

Satu persatu wajah nenek, ayah dan ahli keluarga yang lain muncul membuatkan roh bagai sedang berada dalam suasana berkabung di sana.



Gambar terakhir nenek yang sempat diambil semasa pulang 
pada bulan Ogos tahun lalu.
She's 100% chinese blood adopted by malay's family.

"mak..tolong cium nenek untuk hasna'. she's the only one nenek I've..". Message dihantar kepada bonda yang berada di samping nenek hingga ke saat-saat akhir. Sungguh. Saya sangat berharap agar dapat berada di sisi nenek, memegang tangannya seperti mana saya pernah memegang tangan sejuk ayah dahulu.

Nenek.

Kami cuma punya seorang nenek dalam hidup, iaitu di pihak ayah. Datuk telah meninggal lama ketika ayah masih di bangku universiti. Bagi sebelah bonda pula, bonda telah kehilangan ibunya semenjak di usia setahun dan menjadi yatim piatu menjelang umur 20 tahun. 

Bermakna, semenjak kami melihat dunia, hanya panggilan nenek yang digunakan.

Nenek yang kami kenal, jauh berbeza dengan gambaran nenek-nenek dalam cerita buku yang duduk di kampung, bermesra dengan tanaman sayur, dusun, ternakan dan lain-lain. Apatah lagi cerita nenek yang sama-sama duduk dalam kelambu, berkongsi 'bedtime stories' dengan cucu-cucunya, atau nenek yang membawa basikal menyelusuri denai-denai sawah, dan seribu cerita rakyat yang lain tentang seorang nenek.


nenek yang sedang mengendong salah seorang cucunya.
Tidak pasti sama ada itu adik atau siapa.

Nenek dalam hidup saya ialah seorang wanita yang sangat kuat, bersemangat, tidak pernah menyerah, tegas dan banyak mengajar saya untuk melihat hidup dengan berani.

Nenek yang saya kenal, sibuk dengan pertemuan-pertemuan dan mesyuarat-mesyuarat. Nenek adalah wanita yang berani bersuara, berani berhujah, dan tetap pendirian. Seingat saya, nenek pernah menjadi pencabar bagi kerusi ketua wanita UMNO Malaysia sekitar tahun 1980an sebelum beransur-ansur mengurangi karier politiknya. Namun masih, sepanjang kami membesar, rumah nenek acap kali menjadi 'balairong' mesyuarat UMNO dan rutin nenek masih sibuk dengan majlis-majlis dan mesyuarat-mesyuarat. Tujuan nenek cuma satu, membela nasib rakyat. Lantaran itu, antara faktor nenek mengurangi penglibatannya dalam politik adalah selepas tidak bersetuju dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO terutamanya di zaman Tun Mahathir Mohamad.

Nenek kehilangan datuk ketika usia masih muda, sekitar umur awal 30an. Tidak seperti wanita-wanita lain yang akan semakin diam selepas sebelah tongkat kehidupan mereka hilang, nenek malah menjadikan kehidupannya lebih  membangun dan bergerak lebih laju dalam hidup.

Nenek semakin jauh berjalan dan semakin aktif bermasyarakat.

Lucu, apabila saya mendapat tawaran ke Jordan, mungkin bagi sebahagian orang, mereka perlu menceritakan tentang Jordan kepada opah dan atok mereka, tetapi terbalik untuk saya. Nenek yang pernah menjejakkan kaki ke Jordan lebih dari sekali pula yang menceritakan keadaan masyarakat, bandar-bandar di Jordan, Syria, Turkey dan negara-negara sekitarnya yang telah dilihatnya dahulu.

Begitu juga ketika kakak menyambungkan pengajiannya di UK, nenek yang telah beberapa kali sampai di sana, malah pernah menetap di London ketika datuk dihantar untuk melanjutkan pengajian, pula yang membuat pencerahan kepada kakak.

Itulah nenek. 

Nenek yang banyak mengajar kami untuk melihat dunia yang lebih luas. 


Kematian Itu Menjemput.


bonda dan adik di kubur ayah.

Jujur, semenjak kecil, kami tidak biasa terdedah dengan kematian. Lantaran tidak punya saudara mara yang telah tua ketika itu. Tambahan, kata bonda, kami miskin adik beradik. Sebahagian besarnya telah meninggal awal dan kami tidak sempat melihat atau menjaga mereka.

Kematian pertama yang dididik Allah terus ialah kematian ayah sendiri yang mengejutkan.

Teringat ketika menemani ayah di hospital selama 3 hari, saya masih kuat meyakini bahawa ayah akan sembuh semula. Tanpa sedar bahawa tanda-tanda tenat dan nazak itu telah tiba.

Sehingga ketika nafas ayah terhenti bersama darah yang memenuhi katil serta darah yang masih panas mengalir dari mulut ayat akibat virus denggi berdarah yang memakan 'platlets' , ketika itu baru saya percaya bahawa ayah telah tiada.

Dan hampir 2 tahun saya sangat fobia untuk menziarahi mana-mana pesakit di wad kecemasan yang memakai alat bantuan penafasan.

Kematian pertama itu sangat mengejutkan dan merubah 180 darjah kehidupan kami. Benarlah kematian adalah sebaik-baik pengajaran.

Dan hari ini, Allah mendidik lagi. 

Manusia yang sangat dekat di hati kami telah dijemput sebelum sempat doa saya termakbul. Saya mendoakan agar nenek sempat menghadiri hari bermakna saya, namun Allah adalah sebaik-baik Perancang dan Penyusun kehidupan.

Penutup: Semoga Allah mengampuni nenek.

Seperti manusia biasa, nenek juga punya banyak kesalahan dan kesilapan. Selalu bonda mengingatkan kami,

"kalau sayang nenek, doakan nenek untuk terus berada dalam kebaikan dan diampuni dosa-dosanya".

Dan itulah yang akan terus dilakukan sepertimana kami mendoakan ayah dan bonda.

insyaAllah, selagi mana kita masih dalam kebaikan dan keimanan kepada Allah, pasti akan ada hari pertemuan semula selepas hari penghisaban.

"Dan orang-orang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikitpun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya". (atTur: 21)

Doakan saya dan nenek, sahabat! ='(




nota kaki:
-Alhamdulillah, walaupun menjawab periksa dengan mata sembab kesan menangis dan tidur lewat, Allah telah bantu memudahkan subjek yang susah.

-rupa-rupanya ucapan "hasna' sayang nenek", di akhir panggilan telefon sebelum berlepas ke Jordan tempoh hari adalah ucapan sayang terakhir. ='( Nenek, I love and will always miss you..

Thursday, March 14, 2013

Scar

Palmer's Cocoa Butter Scar Serum 1oz

Botol kecil yang cuma 30ml ini bernilai 17jod.
Terpaksa dibeli akibat kecuaian sendiri. haih.


Apabila kulit tercalar atau berbekas, lekas-lekas berusaha mencari ubat untuk merawat. Risau dan takut jika calaran atau bekas tidak hilang dan setia terzahir sehingga ke hujung nyawa.

Namun, luka dan torehan darah yang berlaku hari-hari pada hati kesan nafsu dan jahiliyyah selalu terlepas pandang. Sekali dua pertama, masih terasa pedih. Seterusnya berlalu dengan rasa biasa jika telah mati deria.

Nafsu Itu Fitrah Hamba.

Teringat ketika bulatan taman kami pada minggu yang lalu, kami mentadabbur  ayat dari surah Yusuf:

"Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang". (Yusuf: 53)

Ayat ini berkait dengan ayat 24 dari surah yang sama:

"Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikiannlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih"
..........

Allah menukilkan dalam alQur'an tentang kisah hambaNya yang mulia, nabi Yusuf a.s., seorang nabi dan rasul yang sangat dekat dengan kisah penggodaan seorang wanita, isteri pembesar juga penjaga baginda a.s.

Apabila disebut tentang nabi, lazimnya lidah kita pantas mengelak, "ala.. dia nabi..aku manusia biasa. Mana boleh sama..".

Namun apabila diteliti semula, Allah menceritakan bahawa "Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya" bermakna nabi juga seorang manusia yang punya nafsu. Manusia yang berkehendak. Itu normal.

Dan diperingatkan pada ayat yang seterusnya, "sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikiannlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih" bahawa nabi Yusuf telah diselamatkan oleh Allah dari menuruti kehendak nafsu baginda yang sedang dibuka ruang oleh syaitan untuk terjun kepada kebinasaan.

Rahmat itu Penyelamat.


Jika bukti cinta Pencipta itu ke syurga,
bermakna bukti cinta sesama manusia juga perlu selari,
iaitu bersama melalui kehidupan untuk meraih syurga.

Rahmat adalah bukti cinta Sang Pencipta.

"kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku"

Rahmat yang membawa kepada rahmat terbesar iaitu syurga Allah, ialah terselamat daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Rahmat yang membuatkan kita terjaga daripada bertindak sehingga membawa kepada kemurkaan Allah.

Bukankah itu hadiah yang tidak ternilai?

Lantaran jujurnya, kita tidak akan mampu untuk menjaga hati dan diri kita dari bisikan syaitan yang sentiasa mendorong nafsu untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Nafsu sentiasa condong kepada perkara-perkara yang membuatkan kita semakin mendekati ancaman siksaan dan sentiasa membuatkan kita berat untuk meninggalkan keseronokan maksiat.

Lantas kita benar-benar berhajat kepada jagaan Allah. Sangat-sangat.

Persoalannya bagaimana?

Cinta Kita Bukti Kesungguhan.

Saya jatuh cinta pada sebuah hadis qudsi dari Abu Hurairah r.a, dari Aisyah r.ha, sabda baginda s.a.w.:


“HambaKu mendekat kepadaKu dengan (mengerjakan) sesuatu yang amat Aku sukai, iaitu apa sahaja yang Aku wajibkan kepadanya. hambaKu senantiasa mendekat kepadaKu dengan (mengerjakan) ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya.
Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi telinga yang ia pakai untuk mendengar, matanya yang ia pakai untuk melihat, tangannya yang ia pakai untuk berbuat, dan kakinya yang ia pakai untuk berjalan. Jika ia meminta kepadaKu, maka Aku pasti memberinya dan jika ia meminta perlindungan kepadaKu, maka Aku pasti melindunginya”. (riwayat Bukhari dalam bab Tawadhuk)


SubhanaAllah. =')

Kesungguhan kita dalam menjadi muslim mukmin itu yang sebenarnya mencuri cinta Allah dan apabila kita telah dicintai, maka Allah akan menjadikan seluruh anggota tubuh kita turut sama menjadi hamba-hamba yang muttaqin (hamba-hamba yang takut).

Apakah ada jaminan balasan cinta yang lebih mulia selain dari jaminan taqwa, nilai yang membuka kunci pintu di syurga?


Penutup: Jatuh Bangun Itu Lumrah, maka Rawatlah.


semoga kulit cepat sembuh. ameen.

Menjadi hamba yang memiliki hawa nafsu itu pastilah tidak pantas menjadi makhluk yang bersih dari dosa.

Nafsu itu tercipta dengan daya tarikan dosa. Itu lumrah. Namun kesungguhan kita dalam beramal untuk menjadi hamba Allah dan muslim yang terbaik itulah yang akan menyelamatkan kita dari terus terbunuh.

Rahmat Allah yang dicampakkan dalam hidup hambaNya yang bersungguh menjadi penawar yang merawat tikaman-tikaman dan torehan-torehan tersebut. Rahmat itu yang akan membalut lelehan darah.

Meski mungkin akan muncul luka baru, kerana kita manusia, namun tetaplah berusaha untuk terus merawat sehingga tertanggallah kesan-kesan calaran dan luka di lapisan kulit. Dan itulah yang dinamakan mujahadah.

Paling penting, selagimana setiap kali kita melakukan dosa dan kesalahan hati merintih dan jiwa tidak tenang, itu bermakna pandangan Allah masih ada melekat buat kita. Jangan sesekali dilengahkan pengaduan.

Sungguh. Fitrah nafsu adalah menjauhkan, dan fitrah iman selagi dijaga, akan tetap mendekatkan. 

Semoga Allah menguatkan kita untuk terus istiqamah dalam usaha menjadi muslim mukmin yang istiqamah insyaAllah. =')

Doakan saya sahabat..



Nota kaki:

-mendapat khabar satu-satunya nenek yang kami ada sedang tenat. ='( Semoga Allah mengampuni dosa-dosa nenek.








Saturday, March 2, 2013

It Takes So Long



Pertama kali saya mendengar nama tokoh ini adalah semasa saya mengikuti perkembangan revolusi Tunisia Dec 2010.

Merupakan seorang tokoh muslim yang berwibawa. eh.

Sheikh Rasyid alGhunnushi yang dilahirkan pada 1944 telah dibuang negeri oleh rejim pemerintah Tunisia yang lalu, Zain alAbidin selama 22 tahun. 

Bermakna mujahid muslim ini telah 22 tahun tidak berpijak di bumi kelahirannya. Namun bukanlah sesuatu yang menghalang beliau dari terus menguatkan gerakan Islamist di sana. Sebelum tercampak keluar, pengalaman dihumban ke dalam penjara menjadi kebiasaan. Sheikh Rasyid pernah dimasukkan ke dalam penjara sebanyak 2 kali dan memakan masa bertahun-tahun di dalamnya.

Beliau merupakan pengasas Parti anNahdah, parti Islam yang dikaitkan dengan fikrah Ikhwanul Muslimin. Juga tersenarai oleh majalah TIME sebagai antara 100 tokoh yang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2012, serta sebagai antara 100 orang tokoh pemikir antarabangsa oleh Polisis Antarabangsa.

Buku ini sangat bagus.

Mengupas isu permasalahan manusia yang merendahkan wanita terutama bagi masyarakat muslim. Beliau menjawab dengan tafsiran ayat-ayat alQur'an yang juga menjadi dalil sebahagian ulama' untuk mencipta ideologi penghinaan tersebut.

Maha hebat Allah yang menciptakan tokoh pemikir yang mulia ini.


..........

eh, apa kaitan dengan tajuk?

Awal-awal dihubungi oleh pihak terlibat bagi jemputan membedah buku ini, saya bertanya,

"buku tu dalam english ke arab?".

"arab.."

"heh. Bagi saya tempoh sebulan lah macam tu!".

Actually im not finishing it yet. Still trying to force myself before the date line. Sedangkan cuma 175 muka surat. haih.

Membaca buku "Killing in the name of Honour" yang setebal 238 muka cuma mengambil sekitar seminggu dicampur tolak segala kesibukan lain. Apatah lagi novel-novel english yang lain, kadangkala cuma memakan masa beberapa hari untuk habis.

But seriously it takes so long when it comes to arabic! Kalau bonda tahu, mesti bonda komen, "haih, kata pelajar syariah..". lol.

Dan tiba-tiba saya semangat untuk terjemahkan buku ini, memandangkan saya kira tiada lagi terjemahan buku ini dalam bahasa melayu. insyaAllah mungkin ketika cuti akan datang. (semoga saya ingatlah azam ini insyaAllah. ^^#)

Baik. Doakan saya sahabat!



nota kaki:
-angin musim imtihan awal sudah mula tiba. 6, 12, 16, 18 dan 21 Mac. Satu lagi subjek, belum diketahui tarikhnya.

Bittawfeeq untuk semua! =)