Botol kecil yang cuma 30ml ini bernilai 17jod.
Terpaksa dibeli akibat kecuaian sendiri. haih.
Apabila kulit tercalar atau berbekas, lekas-lekas berusaha mencari ubat untuk merawat. Risau dan takut jika calaran atau bekas tidak hilang dan setia terzahir sehingga ke hujung nyawa.
Namun, luka dan torehan darah yang berlaku hari-hari pada hati kesan nafsu dan jahiliyyah selalu terlepas pandang. Sekali dua pertama, masih terasa pedih. Seterusnya berlalu dengan rasa biasa jika telah mati deria.
Nafsu Itu Fitrah Hamba.
Teringat ketika bulatan taman kami pada minggu yang lalu, kami mentadabbur ayat dari surah Yusuf:
"Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang". (Yusuf: 53)
Ayat ini berkait dengan ayat 24 dari surah yang sama:
"Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikiannlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih"
..........
Allah menukilkan dalam alQur'an tentang kisah hambaNya yang mulia, nabi Yusuf a.s., seorang nabi dan rasul yang sangat dekat dengan kisah penggodaan seorang wanita, isteri pembesar juga penjaga baginda a.s.
Apabila disebut tentang nabi, lazimnya lidah kita pantas mengelak, "ala.. dia nabi..aku manusia biasa. Mana boleh sama..".
Namun apabila diteliti semula, Allah menceritakan bahawa "Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya" bermakna nabi juga seorang manusia yang punya nafsu. Manusia yang berkehendak. Itu normal.
Dan diperingatkan pada ayat yang seterusnya, "sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikiannlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih" bahawa nabi Yusuf telah diselamatkan oleh Allah dari menuruti kehendak nafsu baginda yang sedang dibuka ruang oleh syaitan untuk terjun kepada kebinasaan.
Rahmat itu Penyelamat.
Jika bukti cinta Pencipta itu ke syurga,
bermakna bukti cinta sesama manusia juga perlu selari,
iaitu bersama melalui kehidupan untuk meraih syurga.
Rahmat adalah bukti cinta Sang Pencipta.
"kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku"
Rahmat yang membawa kepada rahmat terbesar iaitu syurga Allah, ialah terselamat daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Rahmat yang membuatkan kita terjaga daripada bertindak sehingga membawa kepada kemurkaan Allah.
Bukankah itu hadiah yang tidak ternilai?
Lantaran jujurnya, kita tidak akan mampu untuk menjaga hati dan diri kita dari bisikan syaitan yang sentiasa mendorong nafsu untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Nafsu sentiasa condong kepada perkara-perkara yang membuatkan kita semakin mendekati ancaman siksaan dan sentiasa membuatkan kita berat untuk meninggalkan keseronokan maksiat.
Lantas kita benar-benar berhajat kepada jagaan Allah. Sangat-sangat.
Persoalannya bagaimana?
Cinta Kita Bukti Kesungguhan.
Saya jatuh cinta pada sebuah hadis qudsi dari Abu Hurairah r.a, dari Aisyah r.ha, sabda baginda s.a.w.:
“HambaKu mendekat kepadaKu dengan (mengerjakan) sesuatu yang amat Aku sukai, iaitu apa sahaja yang Aku wajibkan kepadanya. hambaKu senantiasa mendekat kepadaKu dengan (mengerjakan) ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya.
Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi telinga yang ia pakai untuk mendengar, matanya yang ia pakai untuk melihat, tangannya yang ia pakai untuk berbuat, dan kakinya yang ia pakai untuk berjalan. Jika ia meminta kepadaKu, maka Aku pasti memberinya dan jika ia meminta perlindungan kepadaKu, maka Aku pasti melindunginya”. (riwayat Bukhari dalam bab Tawadhuk)
SubhanaAllah. =')
Kesungguhan kita dalam menjadi muslim mukmin itu yang sebenarnya mencuri cinta Allah dan apabila kita telah dicintai, maka Allah akan menjadikan seluruh anggota tubuh kita turut sama menjadi hamba-hamba yang muttaqin (hamba-hamba yang takut).
Apakah ada jaminan balasan cinta yang lebih mulia selain dari jaminan taqwa, nilai yang membuka kunci pintu di syurga?
Penutup: Jatuh Bangun Itu Lumrah, maka Rawatlah.
semoga kulit cepat sembuh. ameen.
Menjadi hamba yang memiliki hawa nafsu itu pastilah tidak pantas menjadi makhluk yang bersih dari dosa.
Nafsu itu tercipta dengan daya tarikan dosa. Itu lumrah. Namun kesungguhan kita dalam beramal untuk menjadi hamba Allah dan muslim yang terbaik itulah yang akan menyelamatkan kita dari terus terbunuh.
Rahmat Allah yang dicampakkan dalam hidup hambaNya yang bersungguh menjadi penawar yang merawat tikaman-tikaman dan torehan-torehan tersebut. Rahmat itu yang akan membalut lelehan darah.
Meski mungkin akan muncul luka baru, kerana kita manusia, namun tetaplah berusaha untuk terus merawat sehingga tertanggallah kesan-kesan calaran dan luka di lapisan kulit. Dan itulah yang dinamakan mujahadah.
Paling penting, selagimana setiap kali kita melakukan dosa dan kesalahan hati merintih dan jiwa tidak tenang, itu bermakna pandangan Allah masih ada melekat buat kita. Jangan sesekali dilengahkan pengaduan.
Sungguh. Fitrah nafsu adalah menjauhkan, dan fitrah iman selagi dijaga, akan tetap mendekatkan.
Semoga Allah menguatkan kita untuk terus istiqamah dalam usaha menjadi muslim mukmin yang istiqamah insyaAllah. =')
Doakan saya sahabat..
Nota kaki:
-mendapat khabar satu-satunya nenek yang kami ada sedang tenat. ='( Semoga Allah mengampuni dosa-dosa nenek.
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.