Friday, May 17, 2013

Ulasan Buku: Wanita, Antara alQur'an dan Realiti Muslim. Bahagian Akhir.


*Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya perlu membentangkan ulasan tentang buku tulisan Sheikh Rashid alGhounnusyi, yang sangat cantik, penuh hikmah dan adil. Dan pihak UTAM meminta untuk ditulis ulasan tersebut. Justeru, saya berminat untuk turut berkongsi dengan pembaca blog ini juga. Semoga bermanfaat! =)
Klik: Bahagian I.
Klik: Bahagian II.



Adakah Dibenarkan Kepimpinan Bagi Wanita?

“Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar” (atTaubah: 71)

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti” (alHujurat: 13)

“Lelaki (suami) pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya…” (anNisa’: 34)

“Tidak akan berjaya satu kamu, yang diperintah oleh wanita” (hadis).

Berikut merupakan antara ayat yang berkaitan dengan kedudukan wanita dalam masyarakat, yang selalu menjadi asas perbincangan keterlibatan wanita dalam pemerintahan.

Hakikatnya Islam memberi kesamarataan kepada lelaki dan wanita dalam beramal, yang menjadi pengecualian hanya dalam keadaan tertentu. Hal ini terbukti dengan catatan-catatan seerah generasi pertama didikan Rasulullah s.a.w. yang mana wanita-wanita mereka terlibat dalam membawa risalah Islam, pengiktirafan kepada lelaki dan wanita sebagai manusia yang sama darjatnya.

Dari Abdullah Bin Rafi’, Pernah Ummu Salamah terdengar Nabi s.a.w menyampaikan khutbah di mimbar dan ketika itu, beliau (Ummu Salamah) sedang bersikat, “Wahai sekalian manusia!”. Maka berkatalah Ummu Salamah kepada tukang sikat, “(segeralah) kamu menyelesaikan rambutku.” Balas pembantu perempuan tersebut, “yang dipanggil ialah lelaki, bukan wanita..”. Jawab Ummu Salamah, “Sesungguhnya aku ini manusia..” (Riwayat Muslim)

Perbincangan di sini ialah berkaitan:
-penglibatan wanita dalam dunia politik.
-penglibatan wanita sebagai calon dan wakil rakyat dalam parlimen.
-peluang penglibatan wanita sebagai Ketua Negara atau Perdana Menteri.

Hak Wanita Bahkan Kewajipannya Dalam Penglibatan Umum Dalam Dunia Politik.



Apabila kita membincangkan berkenaan kesamarataan antara lelaki dan wanita dari sudut beramal dalam Islam, maka tidak akan dapat diasingkan antara amal fardi dan amal kemasyarakatan serta pemerintahan. Sepertimana seseorang itu perlu bersungguh dan bergabung dalam deen Islam, begitu jugalah dia perlu bersungguh dan bergabung dengan gerakan Islam untuk membentuk tampuk pemerintahan yang baik. Tidak ada keterpisahan antara dakwah dan daulah.

Bahkan sohabiyah-sohabiyah terdahulu, mereka beriman, mereka berinfaq, mereka berdakwah, mereka berhijrah, mereka berjihad, mereka turut dianiaya oleh kaum kuffar, mereka terbunuh syahid, mereka terlibat dalam tanggungjawab-tanggungjawab penting seperti kehakiman dan ekonomi dan sebagainya.

Hal ini kerana asal hukum-hukum yang melibatkan lelaki dan wanita, adalah sama melainkan terdapat pengkhususan. Maka, wajiblah untuk seluruh wanita muslim terlibat dalam segala usaha ke arah membina yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar.

Justeru bagaimana boleh berlaku di beberapa tempat pengharaman penglibatan wanita dalam pilihanraya untuk mengundi kepimpinan mereka, bahkan untuk memandu sekalipun dalam keadaan wanita-wanita yahudi sedang rancak mengubah badandar-bandar kita?

Penglibatan Wanita Bukan Sekadar Pengundi, Tetapi Sebagai Calon yang Mewakili Sesuatu Golongan sama ada Daerah atau Bandar atau Badan Kewanitaan.


Kami dididik ayah dari kecil selepas peristiwa Reformasi 1998, untuk
menjadikan Nurul Izzah sebagai ikon.
Dan beliau sentiasa menjadi ikon saya sehingga hari ini insyaAllah.

Dalam perbincangan ini, Sheikh Abu A’la alMaududi melarang penglibatan wanita, tetapi Sheikh Muhammad alGhazali dan Sheikh Yusuf alQardhawi membenarkan.

Dalil larangan adalah kerana penglibatan wanita ini telah memasuki ketua umum (wilayah ammah) yang menyebabkan wanita tersebut lebih berkuasa dari lelaki, sedangkan dalam alQur’an sendiri menulis bahawa lelaki adalah lebih kuat (pelindung) berbanding wanita.

Mengulas sangkaan ini, ulama’ memberikan dua jawapan:

Pertama, calon wanita akan tetap dalam jumlah tertentu dan tidak mungkin akan melebihi lelaki. Hal ini menyanggah sangkaan bahawa wanita-wanita akan menguasai lelaki.

Kedua, ayat berkenaan lelaki lebih kuat (pelindung) berbanding wanita, ayat itu hanya boleh diaplikasikan dalam urusan rumahtangga kerana kemuliaan tersebut diberikan kepada lelaki atas faktor pemberian nafkahnya kepada isteri.

“Lelaki (suami) pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya…” (anNisa’: 34)

Manakala kepimpinan wanita di luar urusan rumahtangga, tidak termasuk dalam ayat ini.

Berkenaan hadis Bukhari, “Tidak akan berjaya satu kamu, yang diperintah oleh wanita” (hadis), larangan tersebut adalah berkaitan kerusi Ketua Negara ataupun Perdana Menteri, kerana hadis itu diucapkan semasa peristiwa kemtian Kisra Parsi yang kemudian digantikan oleh anak perempuannya.
Maka tiada halangan untuk wanita terlibat dalam menyatakan pandangannya yang diyakini benar, terlibat dalam melaksanakan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar serta terlibat dalam mengatakan mana yang benar dan mana yang salah, kerana tiada dalil larangan untuk wanita melibatkan diri dalam majlis sedemikian.

Berkenaan kata-kata bahawa tiada dalam seerah, wanita terlibat dalam majlis syura, berikut tidak boleh dijadikan dalil syara’ kerana ijtihad berubah mengikut zaman dan tempat. Dan tidak diperkatatkan syarat-syarat majlis syura sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

Namun bukanlah bermakna kebolehan penglibatan dalam perwakilan rakyat (parlimen) tersebut memberi kebebasan kepada wanita untuk bercampur secara tidak terjaga dengan lelaki yang ada, bahkan hendaklah diseimbangkan agar tidak ketinggalan urusan rumahtangga, suami dan anak-anak, juga terjaga dari segi adab-adab pemakaian, percakapan dan tingkah lakunya.

Doktor Yusuf alQardhawi mengeluarkan fatwa akan betapa pentingnya penglibatan wanita-wanita solehah dalam pilihanraya untuk berhadapan dengan ancaman kejahatan, dan hal itu termasuk dalam keperluan wnaita untuk keluar kepada masyarakat.

Dan kita melihat kepada desakan itu.

Hak Wanita Untuk Terlibat Sebagai Ketua Umum atau Perdana Menteri.

Sebahagian dari golongan khawarij membenarkan kepimpinan wanita jika pemerintahannya diangkat sendiri oleh rakyat.

Seerah Saidatina A’isyah r.ha pernah memimpin 3 ribu tentera yang di dalamnya ada para sahabat, sebahagiannya dijamin syurga secara jelas.
Golongan yang membenarkan ini mengambil perkiraan bahawa dalil umum yang memberi kesamarataan antara lelaki dan wanita adalah banyak, berbanding dalil khusus yang melarang. Apatah lagi, hadis yang diucapkan oleh baginda s.a.w. Tidak akan berjaya satu kamu, yang diperintah oleh wanita” (hadis), adalah khusus untuk peristiwa di Parsi yang mana, mereka pernah membunuh utusan Nabi s.a.w.. Dan hadis tersebut sama sekali bukanlah berkaitan dengan syarat kelakian.

Bagi sesuatu dalili yang umum, maka perkiraan hukumnya juga perlu umum, begitu juga bagi dalil yang khusus, maka perkiraan hukumnya juga perlu dinilai khusus.

Bermakna tiada larangan dalam Islam untuk wanita terlibat dalam pemerintahan, kecuali dari sudut kerusi Ketua Umum atau Perdana Menteri, yang mana khilaf berlaku dan kita memilih bersama jumhur iaitu tidak membenarkan.

Jelaslah di sini bahawa penglibatan wanita dalam pilihan raya, parti politik, mengetuai sebahagian sektor sama ada sebagai menteri dan kehakiman, adalah dibolehkan.

Seerah semasa peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, yang mana Ummu Salamah telah mencadangkan kepada Nabi s.a.w. untuk melaksanakan dahulu arahannya semasa para sahabat tidak berganjak dan pandangan itu diambil oleh baginda. Jika dikatakan wanita terkecuali dari politik, bagaimana mungkin Nabi s.a.w tidak mengingatkan Ummu Salamah bahawa itu adalah urusan politik?

Begitu juga semasa peristiwa selepas kewafatan Saidina Umar r.a, Abdul Rahman Bin ‘Auf r.a telah diamanah untuk membawa 6 calon sahabat dan mengambil kutipan undi dari kaum muslim di Madinah. Dan dikisahkan bahawa Abdul Rahman Bin ‘Auf r.a tidak meninggalkan satupun di Madinah melainkan dimasuki ke dalam khemah-khemah dan rumah-rumah mengutip suara dari sahabat dan sohabiyah semuanya. Justeru bagaimana boleh berlaku perbezaan hak antara lelaki dan wanita dalam urusan ini hari ini?

Jika beralasan bahawa wanita jahil dan tidak mengambil tahu berkenaan isu ini, kerana sibuk menguruskan rumahtangga dan tanggungjawab keibuannya, maka hari ini lebih banyak pemuda-pemuda di negara arab yang juga jahil dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku, dan pastilah perkara itu tidak pernah menjadi faktor mereka diharamkan dari melibatkan diri dalam pilihan raya.

Untuk mereka yang masih berfikiran dan bertindak secara jumud, melihat penghalangan wanita ini perlu bagi menghalang fitnah, menutup lorong-lorong yang membawa kepada kerosakan, perlulah menukar gaya fikir dari wanita sebagai makhluk fitnah kepada wanita juga sebagai manusia.

“Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar” (atTaubah: 71)

Sesungguhnya peluang wanita untuk melibatkan diri dalam politik adalah asas kesamarataan selagi tidak melanggar akhlak-akhlak Islam, kerana kelebihan dalam penciptaan, dalam beramal, dan berjihad tidak mengira jenis jantina dan warna kulit.

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti” (alHujurat: 13)



Islam itu Adil. Adil untuk manusia seluruhnya.
Dan bukankah wanita itu manusia?

Allahua'lam.

Tamat.

Nota kaki:
-minta maaf kerana saya mengulas dengan ringkas. Sedangkan sebenarnya buku ini sangat bagus dibaca semua. insyaAllah, ada masa dan tenaga, saya akan berusaha terjemahkan. =D

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.