Kenangan 8 Nov 2011: Ibrah Karak.
Bermalam dengan penuh selesa di rumah kak Afifah Zaki, Alhamdulillah.^^. Kemudian pagi-pagi mendapat jemputan dari rumah salah seorang bekas anak murid bonda untuk bersarapan di rumah beliau.
Selepas menjamah santapan berserta sembang-sembang bonda bersama bekas anak-anak murid bonda yang lain, kami bertolak ke Ma'rakah (medan tempur) Mu'tah.
Ma'rakah Mu'tah.
Hanya sebuah kawasan lapang yang tidak dijaga dengan baik. Sampah sarap berselerak. Ada bongkah bangunan yang roboh dan juga tunggul binaan catatan yang pecah.
Jujur. Jika saya buta sejarah, mungkin saya akan lebih mengagumi hamparan rumput yang cantik di Stadium Old Trafford berbanding tanah kosong yang kotor dan berdebu ini.
medan Mu'tah yang terbentang tanpa cinta
Sedih melihat realiti yang sedang dilalui, iaitu tercabutnya roh penghayatan seerah sekali gus mencantas habis kecintaan kepada generasi alQur'an unik. Jika tidak cinta, masakan kita mampu untuk mengambil mereka sebagai suri teladan hidup bukan?
Seperti biasa, setiap kali menapak di kawasan yang pernah menapak manusia-manusia agung, maka bicara buat bakal si penghuni tidak akan pernah ditinggalkan.
Lucu saat adik menyoal bila melihat saya diam di hadapan robohan binaan.
"kak hasna' buat apa?"
"doa sambil pegang rahim. Untuk anak-anak...".
"taha pun nak doa dekat rahim juga la..". heh.-_-#.
Saat mengimaginasikan 3000 anggota tentera muslim berhadapan dengan 200 000 tentera Rom bersama tentera arab musyrik di atas hamparan tanah itu, sebak datang tiba-tiba.
Memandangkan kesuntukan masa untuk menulis berkenaan sejarah Perang Mu'tah, jadi disertakan link ini dan ini untuk bacaan bagi mereka yang hajat untuk tahu. Semoga memberi manfaat, insya-Allah.
Berkenaan perang Mu'tah ini juga, ketika Khalid alWalid membawa pulang tentera Muslimin, sejumlah penduduk Madinah mentsabitkan mereka sebagai lari dari medan tempur. Lantas Rasulullah menidakkannya.
Kaedah dalam Fiqh Jihad.
Mempelajari Fiqh Jihad membuatkan kita memahami tindakan Khalid r.a. tersebut lantaran antara hak-hak mujahidin ialah pemilihan ketua yang bijak dan salah satu ciri seorang ketua yang bijak ialah kebijaksanaannya menjaga nyawa tentera-tenteranya.
Tersebut dalam kaedah umpama menjaga seorang kekasih:
فعلى قائد الجيش ان يحافظ على جنده كما يحافظ على حبة عينه
Malah Sayidina Umar alFarouq juga tidak membenarkan perlantikan Bara' Bin Malik alAnsari sebagai komander dalam mana-mana batalion tentera Muslimin kerana boleh membawa kehancuran kepada tentera Islam. (Bara' Bin Malik terkenal sebagai seseorang yang terlampau berani boleh rujuk seerah Perang Yamamah yang mana Bara' meminta dirinya dipanah masuk ke dalam benteng tentera Musallamah alKazab)
Kemudian kami bergerak ke Maza yang menjadi tempat persemadian 3 orang sahabat sekali gus panglima perang Mu'tah.
Makam 3 Syuhada'.
Meski telah menapak di bumi pesemadian ini berkali-kali, namun angin yang menyapa pada setiap kali menjengah tetap sama. Angin yang membuatkan diri rasa terlalu kerdil. Dan persoalan itu muncul buat kesekian kalinya, 'mustahil sama cinta Allah buat mereka dengan cinta Allah buat diri ini'. Semoga Allah tidak pernah menolak jauh.
bonda dan adik di makam Abdullah Bin Rawahah
Teringat sempat memberi peringatan buat diri sendiri dan adik, berkenaan jihad mereka adalah jihad darah, dan kita hanya jihad hawa nafsu.
"siapa lagi kuat?".
"depa la..".
"ha, jadi kita ada contohkan untuk jadi kuat kan? Kuat untuk lawan hawa nafsu kita..".
"ada..ada..". jawab adik sambil sengih.
makam Zaid Bin Harithah
Melihat bonda yang begitu teruja membuatkan kenangan bedtime story hadir dalam ingatan. Teringat semua cerita-cerita seerah yang bonda sampaikan kepada kami adik-beradik sebelum terlena. Dari kesungguhan itu, diizinkan Allah hari ini, kami mengenal dan menjiwai kecintaan kepada setiap titis darah yang mengalir dari tubuh-tubuh generasi aQur'an yang unik itu.
Semoga Allah mengganjari bonda dengan ganjaran yang terbesar iaitu dapat bersama-sama mereka di dalam syurga Firdaus nanti insya-Allah. Amen.
Kota Karak.
Tiba di Kota Karak yang pernah mencatat sejarah pengepungan panglima Salahuddin alAyyubi selama berbulan-bulan dalam rentetan Perang Salib sehingga raja yang mengetuai batalion tersebut menyerah diri.
Boleh rujuk sini. (kes malas menaip)
3 beranak di Kota Karak
Ketika awal sampai di pintu kota, ada pengunjung sedang berdiri di puncak atas. Kata bonda penuh semangat, "mak nak panjat sampai atas.."
bonda dan adik di celah lubang memanah.
Dan Alhamdulillah, kami berjaya. ^^.
Sangat comel saat melihat wajah gembira bonda di puncak setelah berpusing di dalam tubuh kubu.
bonda yang berjiwa muda. ^^.
binaan dan alat yang digunakan.
Terpaksa pulang ke kawasan penempatan pelajar Malaysia kerena salah seorang muroqib tertinggal dokumen penting.
Selesai solat, terus bergerak ke Wadi Rum.
Wadi Rum.
Perjalanan yang panjang dan bergerak lewat membuatkan Allah izin kami tiba lewat di Wadi Rum. Langit telah hitam. Mustahil mampu melihat debu-debu halus Wadi Rum yang unik.
Jadi, hanya mampu menyelusuri di awal jalan masuk sebelum bergerak ke Aqabah. Sedikit kecewa.
Sempat berkongsi keistimewaan Wadi Rum dengan bonda.
- Bongkah-bongkah tanah yang muncul hasil pergerakan bumi.
- Terdapat kesan tinggalan kaum Tsamud yang berpusat di Petra.
- Menjadi lokasi penempatan dan perancangan Lawrence of Arabia dalam usahanya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah bersama kelompok besar bangsa arab (yang bodoh).
(sesiapa yang tidak tahu tentang LoA, boleh mula kaji. Kerja rumah untuk anda)
*mula-mula bonda tidak kisah terlepas peluang melihat cantiknya Wadi Rum, tetapi saat bonda melihat gambar-gambar saya di sana, tiba-tiba bonda teruja untuk pergi. ^^. (tandanya bonda akan datang lagi la ya? iAllah..)
Aqabah.
Selamat tiba di tanah hujung Selatan Jordan.
Sesak. Cuti Adha yang diisytiharkan oleh kerajaan Jordan menjadikan bandar Aqabah dibanjiri lautan manusia. Malah sejumlah besar pelajar Malaysia juga kami temui di sini sehingga salah seorang muroqib membuat kesimpulan ,"rasanya pelajar Malaysia Irbid dekat aqabah malam ni lebih ramai dari yang dekat Irbid sekarang ni".
Selepas selesai menemui tempat bermalam (terima muroqib kerana sudi berjalan mencari) dan mengisi perut, sempat bonda mencari cenderahati untuk cikgu-cikgu MATRI.
"mak kena cari cenderahati untuk 50 orang ni..". ayat bonda selagi tidak menemui buah tangan untuk dibawa pulang. Comel.
Bersambung..
nota kaki.
*Alhamdulillah, selesai 2 paper untuk minggu ini. Menanti 1 lagi di minggu hadapan.
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.