Seminggu hanya berkampung di rumah akibat peperiksaan yang masih berbaki 2 paper. Cuma bonda yang ditemani anak-anak muridnya ke Balad mencari satu dua barang (salah satunya kasut). Berkesempatan bonda dan adik berpijak di tapak musta'mal (bundle) Irbid yang hanya pernah saya pergi 2 kali sepanjang 3 tahun di sini. Serik.
Kemudian Khamis malam Jumaat itu, Allah izin berkesempatan menyusun program qiyamullail sahibah-sahibah dan berkuliah subuh bersama bonda. Sebelum bergegas bersiap dijemput jam 7.30 pagi.
Jerash.
Jerash merupakan kompleks terlengkap di luar Itali. Luas. Meski sebahagian besar binaannya hanya tinggal pecahan bongkah-bongkah batu, tetapi imaginasi Dunia Roman itu tetap lahir saat menyusuri celahan lorong dan jalan.
di gerbang masuk.
Melangkah ke satu binaan ke satu binaan.
Comel melihat reaksi bonda di salah sebuah coliseum kecil (North Theater) yang bergema bunyi jika kita berdiri di centre point. Terhibur.
antara model salah satu binaan di dalam bandar Jerash
Jam 10.15 pagi akan ada persembahan Gladiator di Hippodrome. Adik terlalu teruja untuk pergi namun kasihan ketika jam menandakan waktu itu, kami masih jauh dari lokasi tersebut. Muroqib memberi cadangan, "nanti balik, boleh buka youtube..search dalam tu persembahan gladiator ni..". ^^#.
Alhamdulillah adik bukan lagi kanak-kanak kecil yang meragam. Boleh sabar dan terima walaupun mulut mengomel. ^^.
Penjelajahan terakhir, kami singgah di South Theater. Hanya duduk-duduk kerana bonda telah letih.
Mendapat satu soalan fiqh. Ragu-ragu untuk menjawab.
"macam mana nak grad ni..", komentar salah seorang muroqib. Dush.
Jama' dalam musafir (bukan qasar kerana jarak tidak memenuhi syarat) dalam hari Jumaat bagi lelaki.
Setakat apa yang saya pelajari, jama' boleh dilakukan dalam mana-mana keadaan yang sulit (masyaqqah) sama ada musafir, istihadhah , sakit, pertindihan waktu kelas, hujan, musim sejuk dan sebagainya.
Tetapi yang sulitnya, ialah soalan itu ditanya untuk pihak lelaki bagi hari Jumaat yang mana musafir itu keluar dari rumahnya selepas waktu Subuh hari tersebut dalam keadaan jarak yang tidak mencukupi .
Jama' solat Jumaat dengan solat Asar, memang boleh. Tetapi menjadikan solat Jumaat sebagai solat Zuhur dan menjama'kannya dengan solat asar, itu saya tidak berani memberi komentar kerana berbalik kepada konsep safar itu sendiri.
Tadi sempat merujuk 4 kitab dan konklusi yang diperolehi adalah seperti berikut:
Kitab Fiqh alManhaji tulisan Dr Mustafa Bugha, Dr Mustafa alKhan dan Sheikh 'Ali alSyurbajiy serta kitab Muqaddimah alHadharamiyah tulisan Dr Mustafa Dhib alBugha (kedua-duanya mengambil mazhab Imam Syafie) mengatakan solat Jumaat hanya terbatal ke atas lelaki apabila mereka keluar bermusafir sebelum Subuh.
Manakala mengikut kitab Fiqh asSunnah tulisan Sheikh Sayid Sabiq dan kitab Fiqh Ibadaat (Qisim Awwal: Fiqh Thoharah wasSolah) tulisan Dr Abdul Majid Mahmud Solihiin mengatakan bahawa solat Jumaat terbatal kepada musafir secara umum berdasarkan dalil:
Dari Ibnu Umar dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,
لَيْسَ عَلَى الْمُسَافِرِ جُمْعَةٌ
"Tidak ada kewajiban atas musafir (untuk menunaikan) sholat Jum'at" [HR Ad-Daruquthni.II/4]
Konklusinya, jika mengambil pandangan kedua, ijtihad kita betul la ya? ^^. Alhamdulillah..
gambar yang bakal mengalirkan air mata..T_T
Ajloun.
Singgah di kedai makan kecil di pinggir pekan Ajloun. Naik ke tingkat atas. Bagai stor usang. Namun akibat masing-masing lapar, tempat yang kusam menjadi selesa.^^.
Kota Ajloun merupakan kota yang pernah menjadi kubu yang digunakan dalam salah satu rentetan perang Salib.
Boleh rujuk di sini.
Kabus menemani kami di puncak bukit. Bumi Palestin di balik bukit langsung tidak nampak, malah awan betul-betul penuh. Bergambar bersama latar putih di belakang.
Turun ke bawah selepas panjat naik dan turun kota yang pernah dipijak oleh komander-komander Islam suatu ketika dulu. Sempat berimaginasi situasi peperangan. Sungguh. Betapa jauh berbeza. Hanya datang untuk mengutip sisa-sisa ibrah yang ditinggalkan mereka. Sedang mereka sedang menikmati ganjaran syurga di sana.
Keluar melalui pintu belakang dengan memanjat pagar rendah membuatkan bonda terlupa untuk membeli cenderahati di kedai yang terletak di pintu masuk utama. ^^.
Bergerak ke Masjid Abu Ubaidah dan kabus mengucapkan selamat tinggal, diganti oleh renyaian hujan nipis.
Makam Abu Ubaidah alJarrah.
Sungguh. Jika ditanya
adakah saya pernah jatuh hati?
Jujur, saya akan menjawab, ya.
Semenjak kecil menjiwai seerah membuatkan saya jatuh hati kepada 2 orang pemuda. Yang tidak sempat saya jumpa, malah yang tidak mampu saya imaginasikan wajah mereka. Tetapi terlalu sungguh hati ini tidak malu untuk mengagumi dan 'jatuh cinta'.
2 pemuda itu adalah Khalid alWalid yang digelar Saifullah dan Abu Ubaidah Amir alJarrah yang digelar Aminul Ummah.
Saat menapak ke dalam kawasan masjid seusai menunaikan solat jama' Maghrib dan Isyak, suatu rasa muncul tiba-tiba. Entah. Rasa malu-malu, rasa takut-takut, rasa debar, rasa terharu dan segala bercampur aduk. Bagai mahu berjumpa dengan bakal pengantin mungkin.
Sehingga tubuh kaku berdiri berhadapan dengan bongkah yang di bawahnya tersimpan jasad pemuda yang selalu saya cinta kisah kehidupannya. hanya mampu memandang dari luar lantaran ada cermin yang menghalang. Namun Alhamdulillah itu sudah sangat memadai.
Kantong itu saya usap buat kesekian kalinya. Perlahan-lahan berdoa buat bakal penghuni-penghuninya suatu hari nanti.
"semoga dari rahim ini, lahirnya pemuda seperti mana pemudanya Abu Ubaidah alJarrah..ameen.".
Air mata yang menitik lekas disapu kerana adik muncul di sebelah.
"taha pun nak doa juga", sambil mengusap perutnya. Lucu.
Sempat berdiskusi sebelum bersiap untuk pulang.
Awalnya bercadang untuk menziarahi tapak tinggalan perang Karamah iaitu peperangan antara Israel, Jordan dan Pelastin pada tahun 1968 namun Allah tidak mengizinkan dengan saranan penduduk yang memberitahu bahawa jalan menuju ke lokasi tersebut adalah sangat bahaya di waktu malam.
Tentang Battle of Karamah, boleh rujuk di sini.
Lalu, kami pulang meski tercalit sedikit kecewa.
Bersambung..
Sukanya tengok blog catatan perjalanan di rantau orang!
ReplyDeleteYa Allah betapalah nk sangat p sana.... nk tengok tempat2 sejarah Islam.....
kena doa banyak2 neh!! Ya Allah sampaikanlah diriku kesana~