Sehari suntuk semalam, saya mengikuti rehlah ke kota lama 'Ajlun dan Jarash bersama pelajar-pelajar markaz lughah sesi 2009/10. Rehlah ini dianjurkan sendiri oleh pihak University Yarmouk.
Sebelum kami bertolak, saya sempat menjengah mencari beberapa maklumat mengenai 2 tempat yang bakal saya lewati.
Kota 'Ajlun merupakan kota pertahanan semasa zaman Panglima agung Salahuddin alAyyubi. Dibina oleh anak saudaranya, Usamah Izzuddin dan menjadi lokasi pengintipan setiap pergerakan tentera salib. Dan untuk pengetahuan kalian, suatu ketika dulu, di situlah Richard The Lion Heart dipenjarakan untuk suatu tempoh sebelum ditebus oleh rakyatnya.
Ketika mata mula meyaksikan panorama perjalanan ke kota 'Ajlun, hati ini rasa sayu. Mengimbau kembali sejarah kehebatan Islam suatu ketika dulu. Palestin merdeka. Ummah terbela. Islam mulia. Suatu ketika dulu saat Islam diadaptasikan dalam kehidupan secara syumul.
Saat saya melewati lorong-lorong, bilik-bilik, tangga-tangga, dewan-dewan dan menara-menara, hati ini bagai ingin menjerit mengingatkan kembali diri betapa suatu ketika dulu, di atas tapak-tapak itu, tentera-tentera Islam sedang gah bersedia.
Di atas tapak-tapak yang sedang dipijak itu, mereka pernah berpijak sama tetapi dalam semangat dan syu'ur berbeza. Saya pijak sebagai seorang pelawat yang cuma mampu mengimbau kembali kenangan lama, yang cuma mampu menumpang bangga, yang cuma mampu menangis merindui kenangan itu tetapi mereka pijak dengan keazaman dan usaha maksima, dengan tawakkal sepenuh jiwa, dengan taqwa yang membara.
Mereka pijak dengan matlamat pembebasan Palestina. Tetapi saya? Cuma mampu berdiri di atas bumbung dan merasai angin Palestina yang berduka yang cuma berada di balik bukit sana.
Tambah sayu, saat menatap rakan-rakan yang cuma seronok bergambar dan cuma seronok menikmati kecantikan binaan dan pemandangannya tanpa sedar dan faham bahawa rehlah ini sepatutnya menjadi suatu peringatan bahawa ummah setia menunggu untuk dibebaskan.
Salahuddeen kedua tidak akan selamanya muncul. Tetapi yang ada hanya kita. Kitalah yang menentukan tempoh Palestin menderita.
Ketika bas bergerak meninggalkan kota itu, saya bisik pada teman "Kita tidak seharusnya mengucapkan selamat tinggal dan pulang dengan kenangan tetapi seharusnya kita tanam dalam diri dan tumbuhkan dalam hati bahawa kita mesti menjadi salah seorang pembebas Palestin"
"Kita tidak boleh selama-lamanya hanya rindu pada kenangan tetapi harus cuba untuk belajar mengulangi kenangan itu.."
Kemudian bas bergerak menuju ke kota Jarash atau dulu dikenali sebagai Pompeii of the Middle East. Suatu tempat di zaman kegemilangan Empayar Rom atau lebih tepat semasa zaman Alexender The Great.
Saya tidak berminat untuk menulis mengenai sejarah panjang kota lama itu. Cuma apa yang hajat saya kongsikan di sini, ketika saya mula menjengah pintu gerbang kota lama itu, saya dapat imaginasikan betapa hebat, kaya, megah dah gah Empayar Rom suatu ketika dulu. Tetapi jangan kalian lupa akan seerah yang membuktikan kekuatan muslim melangkau kekuatan mereka seperti dalam perang Mu'tah.
Bilang teman,"Rasa bebeza masa jalan dekat 'Ajlun dengan kat Jarash. 'Ajlun kita rasa syu'ur Salahudeen tetapi kat sini takda apa-apa.."
Sungguh. Saya rasai itu. Ketika berada dalam bangunan pertahanan itu, saya dapat membayangkan tubuh Salahuddeen yang sentiasa diliputi baju perang mundar-mandir dalam dewan, merancang strategi, mengatur langkah dan mengeluarkan perintah dengan wajah serius tanpa ketawa mahupun senyuman.
Saya teringat, ustaz AMY pernah menceritakan, Salahudden akan mempelajari hadis bersama ulama' dan ketika sampai kepada hadis mengenai senyum, dia meminta agar ditangguhkan dulu pelajaran hadis itu kerana dia bilang "Saya tidak boleh tersenyum selagi Palestin belum merdeka"
Tetapi kita bagaimana?
Dan ketika kami berada dalam tinggalan binaan-binaan yang indah di Jarash, saya cuma dapat membayangkan bandar itu dipenuhi dengan kemewahan, tari-menari, botol-botol arak, wanita-wanita pelacur dan segala macam keseronokan yang lain. Hidup kosong tanpa ada matlamat jauh.
Gambar-gambar sepanjang rehlah ini akan saya sertakan dalam post lain, insyaAllah..
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.