Thursday, March 29, 2012

Turning to 21st.


*Post peribadi sempena 21 tahun menjadi hamba. Dialu-alukan untuk tidak membacanya.


29 Mac 1991-29 Mac 2012.


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Allah masih mengizinkan untuk saya mencelikkan mata dan melihat lagi kehidupan hari ini. Memulakan hari baru sebagai hamba yang telah berlalu 20 tahun usianya. Tidak pasti jika telah ditapis segala, mungkin hanya sekadar angka kecil yang berbaki untuk dijadikan mahar perhambaan untuk dinilai Allah.
Dan dalam 21 tahun ini, telah diizinkan Allah untuk saya lalui dengan pelbagai warna dan perasaan hasil ukiran cerita yang telah disusun oleh Sang Maha Pengatur kehidupan.

Jujur, sehingga ke hari ini, setelah melalui pelbagai fasa dan kenangan, tidak ada satu pun yang terlintas untuk diungkapkan melainkan rasa syukur dan redha untuk semuanya.

Maha suci Allah yang Maha Hebat dalam kekuasaannya.

My Wishes: Generally.

Semoga 20 tahun yang telah berlalu diberkahi setiap detiknya. Teringat kata-kata kak Rohana, “Umur kita bukan dinilai pada bermulanya kehidupan jasad, tetapi pada usianya Iman kita hidup..”.
Takut disangka telah bekerja banyak, tetapi sebenarnya dinilai kosong oleh Allah lantaran terlalu banyak compang camping yang mencacatkan amal.

Dan semoga terus diistiqamahkan untuk terus kuat di atas jalan yang menuntut semaksima bersih dan fokus ini.

Teringat kata-kata cikgu Mai dalam halaqah khas di MATRI dahulu,
“ketelitian kita dalam membawa amal Islami ini kepada Allah, samalah seperti kita sedang membawa semangkuk susu dan sedang melintasi titi tali yang halu, dalam keadaan air sungai yang mengalir deras. Dan kita perlu melindungi susu itu dari dimasuki walaupun setitik air yang melompat dari derasnya arus..”.

SubhanAllah.

Juga, semoga terus mampu menjadi anak solehah kebahagiaan ayah dan bonda. Membahagiakan bonda di dunia, juga membahagiakan mereka di sana dengan ganjaran syurga terindah atas setiap amal soleh yang punya banyak saham mereka di dalamnya.

Sangat mustahil untuk dibayar atas segala yang telah mereka korbankan untuk melihat kami, anak-anak membesar dan dewasa dalam kenikmatan Iman dan Islam. Hanya Allah, Sang Pemilik kerajaan langit dan bumi yang mampu mengganjari mereka insya-Allah.

Semoga Allah sentiasa bersama dalam langkahan yang berbaki ini.

*Jazakillahukhairan katsira bonda untuk semuanya. :') Hanya syurga yang selayaknya untukmu..

My Wishes: Specifically.

Ada banyak jika disenaraikan. Namun sekadar mahu berkongsi seperkara yang sedang saya lalui sekarang ini.

Allah izin, berpeluang untuk melalui  satu lagi fasa baru yang agak besar sebelum melangkah kepada fasa yang lebih besar. Jujur.  Sangat menakutkan sebenarnya.

Melalui fasa ini yang rata-rata menggambarkan sebagai fasa yang akan berlaku banyak pergolakan dan ujian, membuatkan saya sungguh-sungguh berharap dan mendoakan agar saya dapat melaluinya dengan rasa tenang yang membahagiakan.

Biarlah fasa ini menjadi salah satu fasa yang baik tanpa ada terasa hati, atau prasangka, atau rajukan atau apa-apa yang membuatkan semakin tidak tenteram dan memenatkan.

Sebelum ini , mungkin sekadar membaca dari sudut teori tetapi sekarang sedang mempraktikalkannya dan sungguh, sudah melihat ada perubahan dalam diri yang tidak pernah dialami selama ini. Perubahan yang saya kira ada dua kesannya.

Secara positif, Alhamdulillah, selama ini yang tidak pernah memikirkan tentang apa itu isteri dan rumah tangga, sekarang sudah mula perlahan-lahan bertatih untuk menyelami besarnya peranan seorang isteri dan tuntutan-tuntutan ke atasnya untuk dipenuhi secara wajib. Tidak dilupa, belajar untuk membenihkan nilai-nilainya seperti setia, menyokong, percaya, hikmah dan lain-lain yang serius selama ini berada di luar kotak fokus saya. (baru faham, nak jadi isteri cerdik yang solehah itu susah rupanya. Patutlah ganjarannya syurga)

Secara negatifnya pula, saya perasan sesuatu. Selama ini tidak berpengalaman dengan ‘perasaan’ yang halus itu. Agak kekok apabila sifat kanak-kanak seperti ‘rasa nak merajuk tanpa sebab’ sipi-sipi muncul.  Jujur, pengalaman ini membuatkan semakin sedar bahawa saya adalah seorang wanita dan memiliki fitrah jiwa dan perasaan kewanitaannya yang sungguh-sungguh perlu ditenun dengan baik agar tidak terjerumus kepada masalah.

Justeru, mendoakan agar Allah terus menguatkan untuk teliti dan berhati-hati dalam pembinaan perkara besar ini. Semoga rasa takut dan tawakal menjadi bekal yang baik insya-Allah.

Penutup: 21 Tahun Itu Perlu Seiring Kematangan.

Sultan Muhammad alFateh, dalam banyak riwayat mengatakan telah membuka Kota Konstatinople ketika usia 21 tahun. Dan catatan memberitahu bahawa ketika itu beliau telah berkahwin dan memiliki anak.

Saya terfikir sesuatu. Ketika manusia lain melihat kehebatan Sultan alFateh, saya teruja untuk mengenali  siapa isterinya dan bagaimanakah keperibadiannya kerana sangat mustahil beliau mampu menjadi hebat sebegitu tanpa sokongan dan dokongan isterinya yang pastilah usia sekitar sebaya atau mungkin lebih muda.

Dan pastilah kehebatan yang menjadi tongkat manusia yang hebat itu tidak akan dibentuk melainkan dengan kematangan.

Sungguh. Semoga mampu matang sebagai hamba Allah yang rabbani, matang dalam menjadi anak yang solehah, matang dalam memenuhi amanah seorang pelajar yang perlu mencintai dan menjiwai ilmu, matang dalam muamalah bersama masyarakat, matang dalam menguruskan amanah, matang dalam persediaan menjadi sayap kiri serta murabbiah dalam madrasah anak-anak, matang dalam membuat keputusan, matang dalam menjadi muslim mukmin yang bermanfaat dan sebagainya.

Peringatan buat diri, walau apa pun warna kehidupan yang mahu dicorakkan, pakukan sungguh-sungguh, bahawa hanya syurga itu destinasi yang benar.

“Apakah kamu lebih redha dengan kehidupan dunia ini dari kehidupan akhirat sedangkan kehidupan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit” (30:9)


Semoga Allah terus redha insya-Allah.

Nota kaki:

-fakta yang paling menarik ialah, Sultan alFateh juga dilahirkan pada 29 Mac 1432. ^^.
-Terima kasih untuk semua atas ucapan-ucapan di wall, inbox, live serta hadiah dan kek-kek. Dan ucapan yang terbaik pada tahun ini ialah dari Nafeesa Ayesha semasa meeting PINTAR semalam. Jazakillahukhairan katsira ya nafeesa atas ucapan yang sangat dalam dan bermakna, malah ke hadapan. ;)
-Buat mereka yang berada di Malaysia, yang mampu dan dibenarkan ke GMJ pada 30 hb ini, semoga kalian memanfaatkan peluang tersebut insyaAllah.


Global March to Jerusalem


No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.