"ada anak-anak ini ibarat roller coaster..", kata-kata awal kak Izma yang mencuri perhatian saya, sebelum di sambung, "..dan didikan ke atas mereka pula seperti layang-layang..".
Serius Liqo' PINTAR petang itu sangat menarik..!
Roller Coaster? Layang-Layang?
Anak-anak ini umpama Roller Coaster yang membuatkan kita teruja untuk naik (miliki) tetapi apabila kita sedang berada dalam fatrah itu, semua perkara bercampur baur.
Seronok. Teruja. Takut. Gerun. Pening. Berdebar-debar. Semua perasaan dirasai oleh mereka yang sedang berpusing-pusing di atas rail way tersebut.
*dan saya terfikir satu perkara tentang anak = roller coaster ini, iaitu pening, loya dan mual sepanjang mengandungkannya. ^^#.
Begitu juga anak-anak, memiliki anak memang suatu kebahagiaan tetapi sepanjang fatrah itulah (sudah pastilah seumur hidupnya) membuatkan kita sentiasa dalam kelabung berjaga-jaga agar anak-anak tidak tercicir dan tergelincir.
Debarnya hanya mereka yang pernah memiliki anak-anak sahaja yang tahu. =)
Dan proses Tarbiyatul Awlad itu umpama layang-layang yang dilepaskan untuk bebas tetapi talinya jangan pernah terputus dan pastikan sentiasa terikat.
Ketelitian dan hati-hati sangat perlu agar tali tidak terpisah dari tangan kita. Tarikan tidak boleh terlalu kuat jika angin sedang menderu ganas. Namun, saat bayu mula perlahan, dekatkan talinya untuk kita jinakkan.
Pesan kak Izma, "mendidik anak-anak perlukan kesabaran. Lembut dalam tegas.."
Tertarik dengan 2 ungkapan yang kelihatannya sama tetapi punya jurang besar sebenarnya, iaitu kata 'didik' dan 'ajar'.
Apa yang dimaksudkan oleh proses didikan anak-anak?
'Didik' itu adalah membentuk dan dilakukan bersama oleh ibu atau ayah anak-anak itu sendiri. Segala perkara yang kita mahu lazimi bersama anak-anak perlu dilakukan secara bersama seperti perlaksanaan ibadah itu sendiri, aktiviti mengemas, berdisplin dan sebagainya.
Berbeza dengan 'ajar' yang mengambil jalan, 'memberitahu'.
tolong didik saya jadi hamba Allah yang soleh, boleh?
^^
Perkara Yang Berkait Dengan Pendidikan.
Ada 3 perkara yang mengesani pendidikan anak-anak dari sudut peribadi anak-anak itu sendiri dan juga kaedah-kaedah perlaksanaan.
1) Perkahwinan Mithali.
"siapa suami kamu, itulah anak-anak kamu semua..". muqadimah kak Izma sebelum menjelajah tajuk ini.
Gulp.
(
Perkahwinan yang mithali ini terbina dalam 2 perkara, iaitu pensucian dan pemilihan.
Suci dari sudut pembinaannya agar terjaga dari sebarang kemaksiatan kepada Allah dan ketelitian dalam pemilihan pasangan yang akan bersama menjalani kehidupan.
Dan perkara ini sangat-sangat mempengaruhi anak-anak yang bakal dilahirkan dan dibentuk itu kerana pendidikan mereka bermula bukan hanya ketika keluarnya mereka ke dunia sebenar dari dunia rahim tetapi dari saat ibu dan ayahnya masih remaja.
Kemudian dibentuk semenjak awal kewujudannya di alam kandungan.
Pesan kak Izma, "9 bulan dalam kandungan itu, didiklah dia dengan baik.. Jangan kerana mahukan mudah dan sambil lewa dalam tempoh singkat (tapi akibat sakit, rasa lama 9 bulan itu), kamu merana seumur hidup.."
2) Naluri Keibubapaan.
Fitrah kasih sayang kepada anak-anak adalah hadiah dari Allah untuk membantu kita dalam perlaksanaan tarbiyatul awalad itu sendiri.
Bayangkan 9 bulan mengendong anak dengan segala kesakitan dan kepayahan. Pakej lengkap yang menyakitkan. Mual, loya, kurang selera makan, sakit tulang belakang, kekejangan malam-malam, letih dan sebagainya dalam masa yang sama perlu suami masih ada untuk dilayani dan didahulukan.
Kak Izma sempat membuat jenaka, "nanti kalau suami buat perangai, bagi dia beras 10kg. cakap, nah, cuba abang pula ikat beras ni dekat perut dan bawak selama 9 bulan. Baru abang tahu susahnya saya bawak anak-anak abang selama ni.."
^^. Comel idea tersebut.
Tidak termasuk peritnya bersalin.
Badan manusia hanya mampu menanggung kesakitan sehingga 45 Del. Tetapi semasa bersalin ibu akan mengalami sehingga 57 Del yang bersamaan dengan 20 tulang dipatahkan serentak.
*Pengsan*
Namun kerana fitrah rasa cinta dan sayang itulah yang menolak ibu dan ayah untuk menunaikan amanah mereka terhadap anak-anak yang merupakan saham besar di akhirat nanti.
3) Penyelewengan (Karenah) Anak-Anak.
Anak-anak ini manusia dan mempunyai karenah yang pelbagai. Maka didikan terhadap setiap satunya juga tidak boleh sama.
Ada anak, yang sekadar teguran lembut, sudah faham dan tidak mengulang. Dan ada anak, yang perlu ditangan-tangankan.
kepada bakal ayah dan ibu, sila jangan berangin dan suka buat perangai ya,
nanti anak-anak juga suka meragam.
Kongsi kak Izma, "ada anak, perlu digunakan rotan dalam mendidiknya, kerana itu Islam juga membenarkan rotan dalam beberapa perkara.."
Langsung teringat kaedah-kaedah bonda dalam mendidik kami. ^^.
Persediaan Sekarang Dan Sepanjang Fatrah.
Bercerita tentang anak-anak dan perkahwinan itu sendiri, memang sangat berat dan menakutkan. Namun, teringat pesan kak Izma sungguh-sungguh,
"kerana perkahwinan itu susahlah, Allah mengangkat darjat mereka yang berkahwin lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berkahwin.."
Betul.
Apatah lagi wanita yang apabila menjengah sahaja ke alam perkahwinan, bermakna hidupnya bukan miliknya sendiri.
Namun itulah mahar yang perlu dibayar untuk peroleh saham yang semoga dengannya mampu menjadi penyambung amal soleh kita iAllah.
Ada 4 perkara yang dikongsi oleh kak Izma sebagai persediaan:
1)Rohani dan Ilmu (Tarbiyah dan Fikrah): Hubungan dengan Allah.
2)Mental: Psikologi keibubapaan.
Anak-anak ini perlu disantuni mengikut psikologi umurnya dan sangat urgensi untuk ibubapa tahu agar tidak terlalu menekan atau terlalu sambil lewa dan mengambil mudah, tidak bersesuaian dengan tahap umur mereka.
Dalam hal ini, cara didikan anak dibahagikan kepada 4 peringkat:
peringkat pertama:
1-7 tahun: tahap ini digelar tahap bunga dan didikannya perlu dipenuhi dengan kasih sayang dan gurauan.
Pesan kak Izma, ibu bapa perlu kreatif mencipta gurauan seperti main kuda-kuda. (ayah-ayah yang perlu jadi kuda). Walaupun sesibuk mana sekalipun, pastikan cuba mengambil masa untuk anak-anak saat mereka sedang dalam fatrah ini.
*saya sangat teringat permainan ini kerana semasa adik kecil, saya yang menjadi kudanya. Lantaran ayah sibuk, bonda tidak larat untuk menjadi kuda manakala abang dan kakak sudah mula bersekolah. ^^#.
8-14 tahun: fatrah ini adalah fatrah disiplin dan tunjuk ajar. Ketika inilah corak pendidikan yang kita hajatkan untuk dilukiskan dalam warna warni kehidupan mereka bermula.
Contoh didikan, masuk waktu maghrib, semua mesti siap untuk solah berjemaah, kemudian duduk dalam lingkungan untuk halaqah alQura bersama, tilawah dan tadabbur.
Pesan kak Izma, usia dalam fatrah ini adalah usia untuk kita tanamkan anak-anak rasa hormat kepada ibu ayah.
15-21 tahun: fatrah ini adalah fatrah ibu ayah menjadi sahabat kepada anak-anak mereka. Fatrah ini sangat perlu untuk anak-anak percaya dan yakin kepada ibu ayah dan akan sentiasa dekat dengan mereka.
Jadilah ibu ayah yang menjadi tempat perkongsian segala perjalanan hidup seorang anak itu, kerana dari itulah kita tidak akan terputus dalam proses pendidikannya.
22 tahun dan ke atas: tahap anak-anak di lepaskan bebas untuk membuat keputusan dalam hidup dalam keadaan kawalan dan pemantauan kita.
Hal ini kerana, tarbiyatul awlad itu berakhir hanya ketika kita telah pergi atau anak itu sendiri yang pergi dahulu.
*
:'). Terima kasih bonda kerana mengizinkan hasna' berpeluang melalui kesemua teori-teori ini secara praktikal dalam hidup.
3)Fizikal: Cergas dan sihat.
"mendidik dan membesarkan anak-anak dalam keadaan perlu menguruskan rumah tangga sangat-sangat memerlukan stamina yang kuat.." pesan kak Izma, sambil menambah, "ye la, kalau umur dalam 1 lebih, dah pandai jalan..mula nak lari-lari..kita yang kena lari sama untuk kejar dia. Kalau ada 2-3orang anak membesar hampir sebaya, penat yang amat.."
4)Jasmani: Belajar memasak dan urus masa.
Pesan kak Izma, persediaan semasa mengandung, gandakan lagi ibadah dan jaga hubungan dengan Allah. Dalam masa yang sama jaga pemakanan, dan lakukan aktiviti yang menggalakkan otak berfikir.
Cabaran Yang Bakal Ditempuh.
serius mendidik anak tidak semudah menghias bilik mereka. T_T.
Titipan kak Izma yang sangat bermakna,
Elakkan dan jauhkan dari :
1) tiang vs potensi.
Awal-awal saya mendengar tentang tiang, memang sangat aneh tetapi selepas dijelaskan oleh kak Izma, serius saya sangat bersetuju.
Pernah tak semasa kecil-kecil dahulu atau sekarang, jika kita bersama anak-anak kecil yang baru belajar bertatih dan terlanggar tiang (atau kerusi), dan anak itu menangis, lantas kita mengacah-acah memarahi tiang tersebut dan menepuk-nepuknya sebagai tanda marah?
"tiang ni ya yang buat adik..tak baik ya tiang ni..kesian dekat adik..". sambil 'pap pap' tiang tersebut.
Pernah bukan? =)
Sebenarnya kaedah itu SANGAT SALAH kerana membina sikap menyalahkan orang lain dalam diri anak-anak kita tanpa kita sedar.
Kesannya akan membunuh potensi anak-anak kita dengan adanya sikap negatif tersebut.
2) terlalu lembut atau terlalu keras.
Bahagian ini sangat-sangatlah menuntut ibu bapa untuk tahu menggunakan kaedah psikologi agar tidak meninggalkan kesan buruk kepada keperibadiaan anak-anak.
Kak Izma ada berkongsi kaedah jika anak-anak meragam, contoh: nak permainan di kedai dalam keadaan yang tidak perlu. Mungkin pada kali pertama, boleh jika kita memberi cadangan dengan menawarkan benda lain seperti makanan atau gula-gula. Namun jika berulang lain, perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah seperti berikut:
pertama, nasihat dengan cara lembut,
kedua, tinggalkan anak tersebut. Biarkan sahaja dia menangis.
terakhir, gunakan sedikit kekerasan dengan kaedah 'tangan'. =)
Apa yang terpenting di sini ialah, ibu bapa perlu tahu peranan mereka dalam mengubah sikap anak-anak.
3) bezakan anak dan kurang berdoa.
4) kurang tegas yang akan membentuk sikap meremehkan.
Kak Izma memberi contoh,
"Faqih..! tutup tv dan pergi solat. Kalau tak, nanti ummi rotan.".
Sejam berlalu tanpa sebarang perubahan dari anak dan juga tindakan dari ibu. Maka anaknya akan memberi respons,
"tadi ummi kata nak rotan..tak rotan pun..".
Dari itulah akan membawa sikap kurang hormat kepada ibu bapa kerana anak-anak telah memandang remeh terhadap kuasa ibu bapa.
5) Hukuman yang tidak dinyatakan sebab.
Realitinya banyak ibu bapa yang garang dan pantas dalam mengambil tindakan terhadap kesalahan anak-anak mereka namun tidak membawa kepada kesan positif malah membuatkan anak-anak semakin membesni ibu bapa itu sendiri.
Kerana apa?
Kerana kita menghukum atas faktor melihat bahawa perkara itu adalah suatu kesalahan, tetapi tidak bagi anak-anak kita.
Kerana itu, menyedarkan bahawa apa yang dilakukan mereka itu salah adalah perkara terpenting sebelum menjatuhkan sebarang hukuman. Teringat dahulu, jika bonda mahu mendenda kami atas sesuatu kesalahan seperti bermain di padang bola dan pulang lewat maghrib
"mak nak rotan ni..tahu sebab apa?".
"tahu..."
"sebab apa?"
"sebab tak dengar cakap mak..balik lewat maghrib".
"betul ke tindakan mak nak rotang abang ni?"
"betul..."
"baik, meh tangan..".
Sebelum disambung beberapa minit atau jam, tazkirah ringkas.
=)
Ok. Saya sangat rindu kenangan itu.
Perkara ini sangat penting agar anak-anak tidak terpinga-pinga meski dijatuhkan hukuman berat.
Teori Untuk Diamalkan.
Beberapa tips untuk diamalkan juga semoat dikongsi oleh kak Izma, antaranya:
1) Teachable Moment.
-sebelum tidur: bed-time story dan doa.
Serius saya sangat bersetuju kerana kami membesar dengan kaedah ini. Setiap malam, bonda akan menceritakan kepada kami seerah-seerah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.
"mum, may you please tell me a story of al-Fill? I heard elephants came to Mekah to crush down the Ka'aba
during the year of our prophet s.a.w. was born, is it right mum?"
Dan dari perjalanan kisah-kisah itulah yang sangat meninggalkan kesan dalam hidup kami. :')
-semasa makan.
Menikmati waktu makan bersama sangat membantu dalam penyediaan waktu pendidikan anak-anak kerana di meja makanlah kita akan berkongsi cerita seharian.
2) Kualiti vs Kuantiti.
Bagi ibu ayah yang sibuk bekerjaya, pastikan kita tetap memperuntukkan waktu untuk anak-anak dan pastikan waktu itu benar-benar digunakan dengan penuh manfaat.
Pesan kak Izma kepada kakak-kakak 5th dan 6th year medical students yang dalam Liqo' PINTAR tersebut,
"walaupun mungkin dari sudut kuantiti waktu kita tidak mampu beri banyak kepada keluarga dan anak-anak, tetapi pastikan kita betul-betul menjaga kualiti waktu yang kecil tersebut.."
3) Air tangan ummi.
^^. Ok. Ibu-ibu sila berusaha untuk sediakan masakan air tangan anda untuk anak-anak dan suami kerana perkara tersebut memainkan peranan dalam tarbiyatul awlad mereka.
4) Marah vs Pujuk.
Perkara ini merujuk kepada pembahagian tugasan dalam sesuatu situasi. Jika ayah sedang memarahi anaknya, ibu jangan masuk campur. Tugas ibu kemudiannya ialah memujuk anak tersebut. Begitu juga sebaliknya.
=)
5) Ittifak (persefahaman) ummi abi.
Serius sangat setuju dengan point ini. Malah bagi saya, point ini sangat memainkan peranan TERBESAR dalam tarbiyatul awlad itu sendiri.
Lantaran percanggahan antara pasangan akan membuatkan anak-anak membesar dalam keadaan yang keliru dan terganggu emosi.
*ok. jujur, saya cakap berdasarkan pengalaman sendiri.
Pesan kak Izma, "suami isteri perlu berbincang dan setuju dengan satu guide dalam mendidik anak-anak.. dalam masa yang sama, suami isteri perlu sama-sama tahu untuk tidak berselisihan faham di hadapan anak-anak. Suami tidak boleh memarahai isteri jika anak-anak sedang melihat...begitu juga sebaliknya"
Mustahil akan tercapai matlamat Baitul Muslim yang melahirkan anak-anak diproses jika situasi dalam rumahtangga itu sendiri belum benar muslim (sejahtera).
6) Eksperimen.
Anak-anak ini perlu dilakukan eksperimen ke atas mereka untuk tahu bentuk keperibadian bagaimanakah mereka ini agar dapat dilakukan kaedah pendidikan yang sesuai dengan mereka.
Penutup: Tarbiyatul Awlad Itu Bukan Perkara Remeh.
"Cukuplah seseorang itu menjadi berdosa, apabila mensia-siakan orang yang mempercayakan sesuatu urusan kepadanya". (Riwayat Muslim)
Hadis ini membawa maksud betapa berdosanya kita, jika mengambil remeh dalam urusan Tarbiyatul Awlad sedang Allah telah mengamanahkan anak-anak itu kepada kita.
Jujur. Memiliki anak-anak itu memang mudah, tetapi memiliki anak-anak yang benar 'anak-anak' itu yang terlalu payah.
Paling penting buat waktu ini, dalam fatrah ke arah itu, ibu bapa itu sendiri perlu sungguh-sungguh memenuhi ciri-ciri seorang muslim mukmin yang benar. Jaga keberkatan hidup agar Allah sentiasa bersama dalam langkah kita insyaAllah..
nota kaki:
*sebahagian besar point-point yang dikongsi oleh kak Izma, diambil dari buku Tarbiyatul Awlad fil Islam tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan.
* Berbahagialah ibu bapa mereka..
*sebahagian besar point-point yang dikongsi oleh kak Izma, diambil dari buku Tarbiyatul Awlad fil Islam tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan.
* Berbahagialah ibu bapa mereka..
semoga mujahid-mujahid saya menjadi seperti ini juga suatu hari nanti iAllah..T_T.
*apabila menghadam tentang tarbiyatul awlad ini, sebenarnya ayah-ayah memainkan peranan yang tidak kurang sedikitpun besarnya dari ibu-ibu. Tetapi aneh, kenapa ya sangat kurang lelaki-lelaki yang faham dan sedar tentang hal itu?
*habis 3 paper untuk minggu ini sebelum disambung di minggu hadapan. Baru saya perasan, menulis ini sebenarnya boleh me'release'kan tension ya? =)
asslmkm...prkongsian yg mnarik...
ReplyDeletemhon share d FB...
syukran...
Assalamualaikum, Hasna'
ReplyDeletePerkongsian yang sangat baik buat abg Ali & Kak Yam. Banyak point dan ibrah yang boleh kami jadikan panduan.
Syukran
BroHamzah