Wednesday, October 28, 2009

Semakin indah..

Semalam saya bertemu Dr. Asyraf di bilik pejabat beliau. Terketar-ketar saya melangkah dengan penuh gemuruh. Takut. Cemas.

Beliau tenang saja. Mungkin saya yang khuatir lebih. (",) Hanya beberapa soalan yang muncul kerana tergagap.. Habis lupa masalah-masalah yang ingin saya kemukakan dalam madah qawa'id tersebut..

Selepas keluar, saya duduk di taman. Jam masih awal. 1.45 petang. Hadharah saya bermula jam 3 petang. Bermakna masih berbaki waktu panjang yang perlu dimanfaatkan.

Saya buka buku semula. Baru saya perasan yang masih banyak persoalan yang tidak difahami. Awalnya, saya cuba tela'ah sendiri. Semakin pening. Menunggu Albab, agak mustahil kerana dia ada hadharah pada waktu itu. Menunggu Hadeel juga mustahil kerana jam masih awal.

Mata melilau mencari siapa-siapa yang yang boleh saya mohon bantuan. Tampak masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Izin Sang Pencipta, satu kelibat muncul. Seorang pelajar perempuan memakai buqa' duduk agak jauh. Tampak dia lenggang. Awalnya, hati berbalah sama ada mahu pergi atau tidak.

Keputusan nekad. Saya melangkah takut-takut.
"Assalamua'alaikum. Lauh samahti ya ukth, yumkin as aluki 'an muskilah fi ma'na hazihi kalimah?"

"Wa'alaikumussalam warah matullah hiwabarakatu..insyaAllah.."

Bermula dari situ, dia bersyarah panjang. Subhanallah.. Daripada hanya satu makna perkataan yang saya tanya, dia menghurai panjang segala kemusykilan yang menghantui saya selama ini..
Dengan sabar dia bercerita. Sekali, saya tidak faham. Lagi sekali, saya tidak faham. Sekali lagi, saya tidak faham. Hingga kali keempat, baru saya faham..(",)

Sungguh. Dia mera'i saya. "Ya habibati". Itu panggilan dia untuk saya sepanjang saya bertalaqqi dengannya. Lebih-lebih lagi dia tahu bahawa saya tahun satu.

Sepanjang itu, kami berta'aruf ringkas. Namanya Abeer, pelajar tahun 4 Kuliah Inggeris. Tetapi jangan terperanjat, dia tidak mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Itu lumrah di sini.

Kami bertukar nombor telefon. Bilang ukht Abeer, telefon saja dia jika saya ada masalah dalam pelajaran, insyaAllah dia akan cuba membantu..

Sungguh. Saya rasa indah. Semakin menebal keindahan yang saya rasa, semakin bersemangat untuk saya menguasai bahasa syurga ini.

Doakan saya teman..

Sunday, October 25, 2009

Cukup sebulan..

Kelmarin, sudah cukup sebulan saya tinggal di bumi Ratu Rania ini..Dan cukup sebulan saya melihat kehidupan masyarakat arab serta cukup sebulan saya menghirup udara tinggalan medan Yarmouk..

Sebelum saya menjejakkan kaki di bumi urdun ini, selalu saja hasil tulisan Ustaz Hasrizal 'Rindu bau pohon tin' saya tela'ah dan saya hayati. Senang mencari dan menyelusuri pengalaman suka duka beliau di bumi yang mana saya pijak kini..

Dan ada tulisan beliau yang menceritakan bahawa di bumi ini ada positive dan negativenya. Ya, saya lihat jelas kini. Lebih-lebih lagi dalam kotak hitam jahiliyyahnya. Sakan kami ditembusi rancangan satelite ala-ala astro dan mempunyai lebih daripada 450 siaran. Ya, lebih daripada 450 siaran. Dan bermacam-macam rancangan yang memenuhi serta mewarnainya.

Kami (ahli sakan saya) memperuntukkan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari peng'improve'an bahasa. Pada hari-hari tersebut kami akan menonton filem bagi meningkatkan kemahiran membaca dan mendengar. Kemahiran mendengar bagi cerita yang bertutur dalam bahasa arab dan kemahiran membaca bagi cerita yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Bukan itu yang ingin saya kongsikan sebenarnya. Apa yang hajat saya coretkan di sini ialah kecelaruan dalam pengisiannya. Majoriti siarannya berunsurkan hiburan dan cerita porno. Namun dalam itu, ada siaran yang mengalunkan bacaan alQur'an sepanjang hari dan ada rancangan yang berkisar tentang Masjidil Haram dan Masjil Nabawi sepanjang hari serta beberapa rancangan bicara ulama' sepanjang hari. Terdapat juga beberapa rancangan yang dikelolakan oleh golongan mazhab syia'ah.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, benarlah ini bumi anbiya' dan jangan lupa ini juga bumi umat yang durhaka pada nabi dan rasul mereka. Sungguh. Rasa sedih sebenarnya. Meskipun saya tinggal dekat benar dengan bumi Palestin, syu'ur itu tidak tampak di sini.. Di atas medan pertempuran para salafussoleh suatu ketika dulu..

Kelmarin, semasa sedang mencari siaran yang sesuai, Allah mengizinkan saya melihat satu fenomena yang memalukan. Satu fenomena bukti kejayaan zionis dalam memutuskan rasa keprihatinan terhadap penderitaan saudara-saudara di Palestin dengan hidangan kemaksiatan. Ya, itu salah satu daripada beribu yang saya saksikan.

Di atas pentas, seorang penyanyi wanita arab menyanyi sambil menari serta didampingi oleh penari-penari gelek berpakaian seksi. Dan siapa penontonnya? Ratusan lelaki arab yang semuanya berpakaian jubah serta serban tradisi putih. Mereka turut menari dan menyanyi. Seronok.

Jika fenomena itu saya lihat di Britain yang mana penontonnya berambut punk dan berwarna warni, saya tidak kisah sebenarnya. Itu memang natijah daripada gaya hidup yang menolak Allah. Tetapi fenomena ini saya saksikan di bumi anbiya' serta mereka itu berpakaian mengikut apa yang suatu ketika dulu Kekasih tercinta memakainya.. Mereka menggunakan bahasa yang sama dengan baginda dan wajah arab mungkin seiras..Tetapi, akhlak? na'uzubillah min zalik..

Berada di sini saya terjumpa segala jawapan yang selama ini saya cari..Mengapa Palestin masih belum merdeka? Kerana itu, CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI.. Saya tidak kata siapa, tetapi pada diri saya sendiri.. Diri saya yang kian hilang syu'ur keprihatian saudara seislamnya.. Bagaimana tidak, tidak ada hebahan tetang khabar dari Palestin di sini, tidak ada bicara tentang Palestin di sini dan laman Palestin turut tidak boleh dijengah menerusi internet di sini (markaz lughah) kerana bilang sistem security, "terrorist and military". Di kaca-kaca televisyen, hanya hiburan yang mewarnai sehari-hari. Di syari' (jalan), manusia yang tidak merokok dianggap aneh dan hingga kini saya masih mencari pemuda-pemuda arab yang tidak ada putung rokok di celah jarinya. Minuman pepsi dan coca cola bagai hidangan air masak. Sehingga ada teman bicara, "Bila la nak mati depa ni, merokok pastu minum air gas macam air masak..". Sindiran yang ganas tapi itu yang benar.

Saya jadi malu. Hati ini nekad memilih Jordan kerana saya ingin berada hampir dengan alQuds, agar semangatnya lahir dan meresap dalam jiwa saya. Itu yang saya simpan dulu. Di Malaysia. Tetapi kini saya lihat, semakin lama saya di sini, semakin kurang pendengaran hati saya akan jeritan alQuds..

Doakan saya teman..

Monday, October 19, 2009

sekadar membuang sawang..

Maaf kerana telah lama tidak mengupdate blog ini..Masa yang terlalu 'kedekut' begitu mencemburui..
Sekali lagi, saya masih menggunakan internet di makmal lughah kerana sakan saya masih tidak dapat ditembusinya atas alasan-alasan yang seakan-akan tidak wujud..(",)

Maha suci Allah yang banyak membantu dan memudahkan sepanjang kaki saya bertapak di bumi urdun ini.. Maha hebat Allah yang memeiliki segala kekuatan dan keagungan. Sungguh. Sejujurnya saya sudah cinta pada jalan ini. Saya sudah yakin bahawa pilihan yang saya lakukan dan pengorbanan yang telah saya korbankan selama ini berbayar dengan satu rasa penuh cinta terhadap bahasa para penyampai wahyu ini..

Meskipun susah, meskipun payah, insyaAllah..Allah sentiasa ada..

Saya mengajak diri ini dan kalian agar sentiasa menyuburkan rasa cinta dan rasa terlalu ingin menerima dan mempelajari bahasa ini walaupun perlu merempuh sejuta halangan dan kepayahan kerana di situ akan muncul rasa indah dan bahagia..insyaAllah..

Ingat kawan, muslim perlu senantiasa mencintai bahasa alQur'an..

Wednesday, October 7, 2009

Sahabat dari Korea..

Hari ini masuk hari keempat Allah mengizinkan saya berpeluang menggunakan internet di makmal markaz lughah memandangkan di sakan saya masih tidak boleh dimasuki 'wireless'..

InsyaAllah, saya berhajat untuk berkongsi kisah 6 orang sahabat dari Korea yang banyak membantu menguatkan hati dan azam saya dalam mendalami ilmu bahasa arab di sini..Zainah (Yi Ji Yeong) , jika ditanya, mengapa dia memilih untuk bersusah payah mendalami bahasa yang payah ini? Dia hanya tahu untuk menjawab, "bahasa arab penting untuk masa hadapan.."

Jawapan mereka tampak tidak punya alasan kukuh untuk mereka mem'bazir'kan masa memerah otak menghafal dan mengingat qawa'id-qawa'id yang langsung berbeza dan tidak sama dengan bahasa ibunda mereka sendiri..Namun, itulah mereka..Senantiasa gigih dan aktif dalam kelas..Selalu melakukan yang terbaik dan positif.

Tetapi kita (atau sebenarnya saya) ? Yang sedar dan yakin bahawa bahasa ini adalah bahasa para anbiya' dan bahasa aljannah, selalu saja merungut dan cepat mengalah.. Sedangkan bukanlah kita tidak pernah mendengar bahawa seharusnya atau sewajibnya dalam hidup seorang muslim itu, dia memperuntukkan sedikit waktu untuk memahami bahasa alQur'an.. Yang lucu, ada pelajar lelaki dari Korea menulis dalam karangannya antara sebab dia mempelajari bahasa arab adalah kerana itu bahasa alQur'an dan bahasa Islam..Sungguh. Saya tersindir dengan kalimah itu..

Semoga Allah membantu saya, insyaAllah..Saya senang dengan mereka..Senang dengan tingkah mereka di dalam kelas.. senang melihat mereka ternganga mendengar istilah-istilah baru dalam bahasa arab..

Kadang-kadang, saya jadi malu..Saya yang telah mempelajari bahasa ini selama 5 tahun punya standard yang sama dengan mereka yang baru mengenalinya tidak lebih dari 2 tahun..(",)

Doakan saya sahabat..Saya turut mendoakan kalian..insyaAllah..

Tuesday, October 6, 2009

bingkisan cinta dari bonda..

Semalam saya menangis sungguh-sungguh. Selesai berdoa, saya letakkan kepala di hamparan sejadah, dan saya bisik perlahan,"Ya Allah, izinkan aku melabuhkan kepalaku di pangkuanMu.."
Saya mengongoi bak si kecil yang lemah dan tidak berdaya. Terasa Allah membelai dan memujuk. Sungguh. Hanya Allah yang saya ada..

Esak tangis menenggelamkan saya dalam lena. Saat terjaga saya rasa lapang. Sungguh-sungguh lapang. Dan saya perasan di kaca mobile, tertera nama bonda mengirimkan bingkisan..

"Askm, apa khabar orang Jordan, semoga hati terikat dengan Rabbnya..
Bergantung harap hanya kepadaNya satu-satunya. Dialah Allah yang memiliki asma'-asma' yang agung..Mohonlah anakku kepadaNya dengan merendahkan diri diiringi rasa penuh cinta serta mengagungkanNya nescaya hatimu akan bahagia dan tenang tenteram merasai nikmat hidup dalam naungan rahmat dan pemeliharaanNya, merasa selamat kerana yakin tiada sesuatu dapat mengalahkan jika berada di bawah lindunganNya..Itulah yang dikatakan HDA (hubungan dengan Allah) itu indah bagi yang benar-benar merasainya...mak dah poskan barang-barang Nurul Hasna', tak banyak dapat masuk sebab dah cukup kg. Mak dan abang bair mula puasa hari ni, insyaAllah mak akan doa untuk kita sekeluarga.. banyak-banyak bersabar, berdoa dan teruskan usaha tanpa henti.. daripada mak yang meredhaimu insyaAllah.."
Air mata ini tumpah lagi. Seakan jawapan dari Allah melalui bingkisan cinta bonda.. Sungguh. Mengapakah diri ini masih tidak mahu menyerahkan sepenuh jiwanya kepada Allah? Bukankah Allah itu penuh dengan sifat cinta dan kasih buat hamba-hambaNya?
Sekali kita melangkah, berlari Allah mendakap kita. Itu janjiNya yang pasti...
Oh ya, doakan saya ya kerana petang ini, saya akan mengikuti kembali kelas qawa'id fi usul fiqh yang saya ceritakan semalam..Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada saya, insyaAllah..

Monday, October 5, 2009

mencelah..

Salam alaikum buat kalian..
Saya mencelah waktu rehat di markaz lughah untuk menjengah sebentar ruang yang sedikit hilang habuknya..(",)
Alhamdulillah, Maha hebat Allah yang di tanganNya segala aturan dan susunan kehidupan setiap jiwa hamba-hambaNya. Sungguh. Saya lebih menyakini itu di sini.

Semalam adalah kelas pertama saya. Semasa tasjil madah, Allah telah mewujudkan beberapa kesulitan sehingga membuatkan saya terpaksa mengambil madah yang hanya saya seorang pelajar Malaysia. Sungguh. Saya menangis saat itu. Terasa berat untuk menerima. Namun, bukankah Allah itu Maha Mengetahui?

Ketika pertama langkah menjejakkan kaki dalam bilik kuliah, kerusi-kerusi dipenuhi oleh pelajar-pelajar arab. Hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa sayu hati ini. Terasing asing yang terlampau. Saya memilih kerusi kosong di barisan ke4.

Lebih menakutkan, saya mendapat tahu bahawa rata-rata pelajar dalam kuliah itu adalah pelajar-pelajar tahun 2, 3 dan 4. Lahaulawala quwwata illah billah hil'aliyyil 'adzim..

Ketika saya menyapa jiran saya itu, pelajar di hadapannya menoleh dan tampak wajahnya tersenyum. Kemudian dia lekas mengubah lokasi tempat duduknya ke sebelah saya. Kami berta'aruf ringkas. Rupa-rupanya dia adalah pelajar dari Palestin! Namanya Albab. Dan berumur 18 tahun. Subhanallah.. Bukankah Allah Maha Mengetahui apa-apa yang tidak kita ketahui? Bukankah Allah Mengetahui lebih dari apa yang kita ketahui?

Sungguh. Albab banyak membantu. Sepanjang kelas berlangsung, saya hanya mampu menahan air yang penuh di tubir mata dari tumpah kerana sejujurnya saya langsung tidak memahami sepatahpun. Rata-rata pelajar memberikan renspons positif, mereka saling berbincang, menyoal, mengkritik, berdebat dan lain-lain. Percakapan mereka sangat laju dan menggunakan bahasa 'ammiyah.

Akhir kelas, saya langsung ke meja pensyarah iaitu Dr. Asyraf. Dengan muka yang penuh kesedihan, saya menjelaskan diri saya yang punya bahasa arab yang teruk. Saya bilang, saya dari Malaysia dan meminta bantuan beliau agar memperlahankan percakapannya dalam kelas. Alhamdulillah, Dr. Asyraf memberikan renspons yang baik. Beliau bertanya kembali, adakah saya ingin agar dia mengulang pembelajarannya sehingga saya dapat memahaminya? Lekas-lekas saya mengangguk dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Ketika kami keluar, Dr. Asyraf menyoal sama ada saya pelajar tahun satu. Saya menjawab ya dan menambah, saya adalah pelajar baru.
"MasyaAllah.."
"Ma takhassusik?"
"fiqh wa usulluhu.."
"MasyaAllah.." riak wajahnya tampak terkejut. Kemudian beliau senyum dan meminta agar Albab membantu saya. SubhanaAllah..

Kami berbual sepanjang perjalanan pulang. Rumah Albab berhampiran Babul Iqtisod manakala sakan saya berhampiran Babul Janub. Jadi kami berpisah di Duar Syari'ah.

Saat itu saya merasakan bahawa Allah senantiasa dekat dan hampir..

Saturday, October 3, 2009

Allah...akhirnya ku temui jua...

Alhamdulillah..betapa penuh rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.a.w., pencipta dan penyusun kehidupan ini kerana setelah seminggu melalui kehidupan di bumi Urdun ini, akhirnya ketemu juga saya dengan internet!

Setibanya kaki menapak di bumi ashabul kahfi ini, sejuta perasaan menghimpit dan meronta-ronta untuk diluahkan sebagai perkongsian, tetapi apa kan daya setelah seminggu hari-hari yang penuh indah dan 'derita' itu berlalu baru hari ini berpeluang menatap kembali ruang siber yang sudah penuh bersawang. Dan sudah semestinya, semua kenangan yang ingin dikongsi itu turut 'ingat-ingat lupa'..

Sungguh. Di sini saya belajar banyak. Terlalu banyak. Mungkin sukar untuk saya berkongsi dalam post kali ini kerana saya hanya menumpang di rumah senior. Allah izin, sakan saya masih tidak boleh dimasuki internet atas sebab-sebab tertentu yang saya sendiri tidak tahu mengapa.

Doakan saya, sahabat..doakan saya..sungguh-ssungguh saya perlukan doakan kalian.. Kerana kadang-kadang terbit lintasan jahat, apakah benar jalan yang saya pilih ini? Terasa terlampau banyak yang perlu saya rempuh untuk meraih kemanisannya. Sungguh. Cukuplah Allah sebagai tempat ku mengadu dan berlindung..