Sunday, August 30, 2009

Titipan bonda yang penuh bermakna...


Pagi tadi kami buat lingkungan atau pun lebih mesra dipanggil halaqah keluarga..
Sebenarnya, saat-saat manis seperti itu sudah lama tidak disuburkan dek kesibukan setiap ahli keluarga. Payah sungguh mencari ruang waktu yang sesuai. Selalunya halaqah hanya berlangsung secara tidak formal di meja makan.

Sungguh. Banyak yang saya dapat walaupun pengisiannya berulang-ulang.

Kata ibu, dalam ketidakwujudan khilafah hari ini, maka rumah adalah benteng terakhir untuk kita laksanakan Islam. Rumah adalah kubu terakhir untuk iman kita bertahan setelah diasak oleh gelombang jahiliyyah yang ganas di luar. Jika dalam sesama keluarga sendiri kita tidak dapat melaksanakan amal ma'ruf dan nahi mungkar, maka itu bermakna kota pertahanan telah hancur dan jahiliyyah telah berjaya menguasai setiap jiwa-jiwa dalam ahli tersebut.

Petik ibu daripada ayat alQuran (maaf,saya tidak ingat surah apa) yang mana mafhumnya berbunyi; "lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada siksa neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia" (na'uzubillah min zalik..)

Tambah ibu lagi, kerana itulah baitul dakwah itu penting untuk dilaksanakan. Bait yang dapat mendidik setiap ahli-ahlinya agar bergerak dan terus maju menjadi mukmin yang mosleh. Mukmin yang bukan sekadar soleh tetapi boleh membawa masyarakat kepada Islam.

Tegas ibu, ketika ini, kita tidak nampak mengapa perlu kita saling menegur sesama ahli tetapi ketika mana kita sedang berdiri di Padang Mahsyar, ketika mana kita telah menyaksikan betapa indahnya syurga dan betapa dahsyatnya neraka, ketika mana hati kita dipenuhi rasa ingin berlari ke syurga dan diletupkan dengan rasa ngeri dan takut akan azab neraka, maka ketika itulah, kita tidak akan lagi mengenal siapa keluarga kita, siapa ibu kita dan siapa ayah kita. Kita masing-masing akan berusaha sedaya upaya untuk menyalahkan orang lain agar kita terlepas dari pedihnya siksa neraka. Ketika itulah bibir kita akan menyalahkan sesiapa sahaja tanpa mengira dia ibu, dia ayah atau dia anak.
"mak akulah yang tak tegur aku.."
"bapa akulah tak pernah larang aku pun..."
"mak aku dulu suruh ja tapi tak pernah paksapun aku solah.." dan macam-macam lagi alasan yang cuba kita berikan kepada Allah yang Maha Mengetahui agar diri kita terlepas.

Tambah ibu lagi, kasih sayang yang sebenarnya adalah kasih sayang yang boleh membawa kita jauh dari neraka Allah..kerana itu, nak tak nak ibu bapa wajib menasihati anak-anak dan untuk hal-hal tertentu, mereka wajib bertegas.

Ibu juga mengingatkan kami tentang mulianya Ramadhan yang merupakan hadiah dari Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Ramadhan adalah bulan yang diumpamakan oleh ulama' sebagai seorang pengembara yang bersafir di padang pasir yang luas selama berbulan-bulan. Dia terputus bekalan air dan makanan. Dan suatu ketika dia bertemu dengan taman hijau yang dipenuhi buah-buahan segar, sungai-sungai yang mengalir dan makanan yang banyak. Itulah Ramadhan. Maka apakah si musafir itu akan mensia-siakan taman tersebut? Pasti dia akan mengumpulkan sebanyak-banyaknya bekalan untuk dibawa semasa meneruskan perjalanan nanti kerana dia sedar taman itu hanya persinggahan dan bukan destinasinya.

Begitulah mukmin dengan Ramadhan. Tambah ibu lagi dengan mengambil sabda junjungan teragung, yang mafhumnya berbunyi; "Barangsiapa yang keluar dari Ramadhan tanpa punya perbezaan dengan bulan-bulan yang sudah maka celakalah ia..." (na'uzubillah min zalik..)

Ibu juga menceritakan tentang hawa nafsu yang selalu menyusahkan. Kata ibu yang dipetik dari buku Ibnu Qayyim (kalau tak silap saya), nafsu ini umpama kanak-kanak yang telah menjangkau usianya 2 tahun, yang mana dia perlu dipisah dengan susu badan. Cerita ibu, sungguh payah sebenarnya untuk memujuk dan memerlukan hikmah dan kesabaran yang tinggi. Kanak-kanak itu sudah perlu dikhabarkan sejak berbulan-bulan sebelum tempoh pemberhentian agar dia tidak terkejut. Dan sebagi seorang ibu, kita perlu tabahkan hati melihat anak-anak menangis untuk hanya beberapa tempoh. Tetapi bagi ibu yang malas mendengar tangisan anaknya yang hanya beberapa hari itu membuatkan anaknya terus menyusu badan sehingga ada yang menjangkau umur 7 tahun!

Begitulah nafsu yang mesti disekat nak tak nak walaupun payah dan memerlukan kesabaran dan himmah yang tinggi.

Sebenarnya banyak lagi yang dititipkan ibu. Mungkin sekadar ini yang dapat saya kongsikan dengan kalian..

Sungguh. Dari bicara ibu, tersimpan permata agung yang akan selalu saya pegang walau ke mana saya pergi..insyaAlah..

Friday, August 28, 2009

Kenapa perlu pergi jauh?


Kenapa saya berhajat benar untuk pergi jauh?

Bukan tidak ada IPT-IPT yang bagus di sini.. Bukan tidak ada suasana yang baik di sini..

Sungguh. Mengapa ya?

Lebih-lebih lagi, bukan sedikit rasa takut yang muncul dalam hati.. bukan tidak wujud rasa risau dengan penerimaan budaya sana..Sungguh. Saya gusar sebenarnya.

Tetapi, kenapa ya saya sungguh nekad untuk pergi jua?

Sejujurnya, saya ingin belajar menghargai dan menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur..

Ya. Saya ingin belajar untuk menghargai kehadiran insan-insan yang selama ini menjadi tulang belakang dalam kehidupan saya..Saya ingin benar-benar belajar untuk menghargai mereka.. Menghargai setiap apa yang telah mereka corakkan sepanjang umur saya membesar ini.. Sungguh. Menghargai pemilik rumah kecil saya dulu. Pemilik tubuh yang telah perit mengeluarkan saya untuk melihat besarnya dunia ini. Menghargai manusia-manusia yang membesar bersama-sama saya. Bersama bermain, bersama belajar, bersama bergaduh dan bersama lena bergelimpangan di atas tilam..

Sungguh. Saya mahu lebih menghargai mereka…

Doakan saya ya..

Thursday, August 27, 2009

packing...packing..

Minggu ini saya sudah mula mengemas barang-barang yang akan saya bawa ke Jordan.. huhu bukan tidak sabar untuk meninggalkan bumi Malaysia tetapi kerana saya khuatir nanti kalut di kemudian hari.


my really big luggage and lappy bag


my hand luggage


actually, rumah saya tidak ada penimbang berat badan..
so kena la pakai ini..huhu

Perasaan saya bercampur baur setiap kali tangan menyusun barang di dalam bagasi-bagasi ini.. Terbit rasa sayu, rasa gembira, rasa sedih, rasa takut, rasa tak sabar-sabar, rasa bimbang dan macam-macam..

Kadang-kadang, rasa macam tak percaya pula yang saya akan meninggalkan keluarga dan sahabat-sahabat di sini.. Sungguh. Hati ini rasa pedih.

Pagi tadi, ketika saya sedang menyusun list peralatan yang sudah lengkap, sahabat baik saya yang tersayang, Nurul Izza Binti Md Kamil menghantar pesanan ringkas yang cukup membuatkan saya ingin menangis..

"Seorang teman bila berjauhan, dia akan menangis kerana rindu.. Dan apabila dekat, dia akan menangis kerana takut berpisah. Jika hari ini insyaAllah datang, jangan biar ia berlalu pergi, jika esok ia bertandang, jangan harap ia kembali lagi. Sesungguhnya yang indah itu PERTEMUAN, yang manis itu KEMESRAAN, yang pahit itu PERPISAHAN, yang tinggal hanyalah KENANGAN..mana mungkin dapat lupakan sahabat yang setia dalam perjuangan. Sesungguhnya RINDUKU ini tidak dapat diungkap melalui kata-kata.. hanya DOA yang mampu ku kirim buat sahabat tercinta! Salam perjuangan. Moga dalam redha Allah selalu..."

Allah..saya rindukan kalian, sahabat... Insan-insan penting yang telah mencorak kenangan semalam saya.. Insan-insan yang telah bersama saya dalam susah dan senang.. Insan-insan yang bersama saya dalam membina imaginasi esok.. Sungguh. Moga Allah mempertemukan kita lagi dalam kemanisan Iman dan Islam..insyaAllah..

Doakan saya ya..




Saturday, August 22, 2009

Bangsa atau agama?

Alhamdulillah, sudah selesai hampir seminggu saya menghadiri kursus Bina Negara anjuran Biro Tatanegara, Jabatan perdana Menteri untuk pelajar-pelajar yang akan ke oversea..

Kursus ini diadakan di Kem BTN Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak. Seramai 98 orang peserta telah menjalani proses pem'brainwash'an dari 17-21 hb Ogos 2009.

17hb Ogos.

Saya menumpang rombongan di bawah Jabatan Agama Islam Kedah yang bertolak pada jam 9 pagi. Bas bertolak dari Masjid Zahir dan singgah mengambil peserta lain di Sungai Petani dan Sungai Dua. Singgah lagi di R&R untuk makan tengah hari.

Kami tiba sekitar 2 petang di tapak kursus. Saya kira kami adalah rombongan pertama. huhu..terpaksa menunggu kaunter pendaftaran dibuka pada jam 2.30 petang. Duduk beramai-ramai di pondok yang panas sambil berkongsi cerita gerun mengenai pengalaman kenalan-kenalan dalam BTN.

Sungguh. Sangat takut ketika itu.

2.30 petang, kami diminta untuk berdaftar. Memandang peserta kursus yang ada masih belum habis, kami diminta untuk berdaftar di bawah pondok bersebelahan dengan surau. Selepas solat dan peserta kursus yang ada telah mengosongkan asrama, kami diminta untuk merehatkan diri dan mengemas barang sebelum diminta berkumpul semula pada jam 5.30 petang.

Dalam taklimat, kami diterangkan Encik Asrizal, ketua fasilitator tentang peraturan-peraturan kem serta serba sedikit tentang objektif, misi dan visi kem ini dijalankan. Lagu tema kem ini ialah lagu 'Warisan' yang sungguh 'perkauman'...

Selesai taklimat, kami makan malam, solat maghrib dan 'isyak serta sedikit kuliah maghrib, maka bermulalah sesi pembentangan kertas kerja 1 oleh Encik Asrizal yang bertajuk 'Tanah Air'. Huhuhu pembentangan yang penuh dengan semangat 'patriotik' dan dicampur dengan semangat perkauman yang melampau...

18hb Ogos.

Hari ini adalah hari yang sangat membosankan dan mengantukkan. Juga adalah hari yang sungguh membuatkan saya beristighfar panjang..

Pembentangan kertas kerja 2 disampaikan oleh En Wan Rahim yang bertajuk 'Kerajaan'. Seterusnya selepas rehat pagi selama 30 minit, pembentangan kertas kerja 3 diteruskan dengan tajuk 'Rakyat' oleh saudara Khairi Yusman. Berehat untuk makan tengah hari dan solat zohor kemudian disambung semula sesi pembentangan kertas kerja 4 pada jam 2.30 petang oleh En Khalid yang bertajuk 'Kedaulatan dan Rumusan'. Memandangkan En Khalid ini agak terbuka dan baik berbanding yang lain sekaligus petang itu adalah sesi pembentangan terakhir, maka sesi soal jawab dipenuhi dengan soalan-soalan yang panas. Ada peserta yang mempertikaikan objektif kem itu dilaksanakan kerana hujah beliau, sepanjang kem ini dijalankan, para peserta ditanamkan dengan sifat perkauman dan turut diancam sebagai penderhaka jika tidak menyebelahi krjn. Apa yang boleh disimpulkan, pembentangan berbeza dengan objektif kem.

Huhu.. Saya no comment.

Petang itu, riadah diisi dengan ujian fizikal. Sangat memalukan saya kira. Terpaksa melompat, berpusing, pumping(maaf saya tidak tahu mengejanya) dan lain-lain di depan peserta lelaki. Dan keputusan psysiologynya, saya berumur 45 tahun! huhu.. Sejujurnya, saya mengaku yang saya paling malas bersenam. (",)

Program malam itu adalah ice breaking. Pada saya, objektifnya adalah untuk menghilangkan rasa malu para peserta sehingga langsung tidak punya malu. Di dalam satu dewan, kami menjalani aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pencampuran bebas, menggalakkan wanita untuk tampil ke hadapan melakukan aksi-aksi yang sangat memalukan bagi saya. Oh ya, saya terlupa untuk mengkhabarkan pada kalian yang BTN kali ini memang untuk pelajar-pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir dan majoritinya adalah pelajar-pelajar yang akan mengambil bidang agama atau diringkaskan ustaz-ustazah.

Malam itu, saya sungguh kelat. Tidak bisa senyum kerana rasa terlampau malu melihat bakal ustaz-ustazah gembira diperbodohkan. Seronok dengan aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan akhlak dan moral mereka. Majoriti yang berpakaian tudung labuh seronok menjerit-jerit dan menyanyi riang. Alhamdulillah saya dinasihatkan kakak untuk memakai tudung bidang.

19hb Ogos.

Hari ini bermulalah sesi dalam kumpulan. Alhamdulillah, saya mendapat ahli kumpulan lelaki yang agak pemalu. Sekali lagi saya bersyukur kerana mendapat fasilitator yang terbuka iaitu En Khalid yang pernah saya ceritakan. Beliau menganggap kami anak-anaknya dan setiap pertanyaan kami dianggap sebagai pertanyaan orang yang tidak tahu apa-apa. Dan saya lah yang selalu bertanya dan memberi renspon yang baik dalam setiap aktiviti...huhu.

Aktiviti-aktiviti LDK lebih berbentuk permainan yang bermotifkan politik. Saya hanya memberi renpons baik untuk mendapatkan markah..(",)

Petang itu, kami sekali lagi perlu menjalani ujian fizikal. Dan kali ini lebih menyeksakan kerana kami diminta untuk berlari sejauh 4km (2km pergi, 2km balik) . Bukan jalan rata tetapi bukit curam! huhu.. Alhamdulillah saya hanya mengambil masa 15minit 50 saat. Markah lulus bagi lelaki ialah 18 minit dan untuk perempuan 24 minit. Bermakna saya lulus..huhu. Agak mengejutkan.

Selesai ujian, kaki kami bagai nak tercabut semuanya.

20hb Ogos.

LDK diteruskan seperti biasa. Dan pagi tadi, semasa sesi perbarisan pagi, kami mempelajari asas-asas mempertahankan diri. Sungguh melucukan dan seronok.

Saya terlupa memberitahu yang kami perlu bersama kumpulan dalam apa-apa jua aktiviti seprti kawad kaki, makan dan kedudukan dalam dewan. Bayangkan kawad kaki bersama lelaki! Kawad kaki dengan sahibah-sahibah dulupun saya tidak suka..

Malam ini adalah malam persembahan kumpulan. Kami diminta untuk menyanyikan lagu-lagu patriotik dan kumpulan saya mendapat lagu Jalur Gemilang. Huhu..kumpulan saya bukan berlatih pun dan kami mendapat tempat ke2 terakhir..

Selesai aktiviti persembahan, kami diisi dengan satu lagi permainan iaitu menyambung keratan-keratan kertas yang telah dipotong. Kami dilarang untuk bercakap dan berjalan tapi boleh bergerak. Diringkaskan cerita, kertas-kertas itu dicantum membentuk sekeping kertas benar yang berisi ikrar. Dan kami diminta untuk mengelilinginya dan membacanya beramai-ramai.

Kemudian kami diminta untuk menyaksikan tayangan bergambar yang entah saya tidak ambil peduli kerana dipenuhi unsur-unsur politik. Cuma yang membuatkan saya menitiskan air mata hanya apabila ditayangkan penderitaan saudara-saudara saya di Palestin dan di Iraq sana.

Selepas itu, semasa sesi rumusan, kami dihamburkan dengan bermacam-macam ugutan dan ancaman. Lebih-lebih lagi peserta-pesrta kem kali ini termasuk saya telah dicopkan sebagai pro pembangkang. Kami juga diminta mengucapkan dua kalimah syahadah dan berkali-kali diingatkan agar jangan sesekali menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Nadanya sangat memaksa.

Malam itu kami habis hampir pukul 1 pagi.

21hb ogos.

jam 8.30 pagi, kami perlu menjalani ujian. Kemudian kami minum pagi dan berkemas. Jam 11 pagi, kami diminta untuk berkumpul semula di dalam dewan untuk sesi penutup. Masih sama, pelbagai pesanan telah 'dititipkan'.

Jam 12.30 tengah hari, kami makan dalam kumpulan buat kali terakhir. Bas rombongan kami tiba jam 1 petang dan kami pun berangkat pulang selepas singgah sebentar di bandar diraja Kula Kangsar untuk membeli cenderahati kenang-kenangan..

Apa yang dapat saya simpulkan dari kem ini ialah, bangsa itu lebih penting daripada agama.

Saya teringat tentang salah satu soalan yang telah saya utarakan dalam LDK, jika suatu ketika nanti ada seorang melayu yang tidak mengamalkan Islam dan seorang lagi cina muslim yang amalkan Islam, mana yang patut kita pilih sebagai PM kerana melalui apa yang ditegaskan oleh penceramah, kita jangan sesekali benarkan bangsa lain selain melayu daripada memegang tampuk pemerintahan. Yang lucunya, fasilitator saya tidak dapat memberikan jawapan kerana jawapannya mesti berbalik kepada ISLAM.

Ingatlah, ikatan akidah itu lebih penting daripada ikatan kekeluargaan, ikatan bangsa ataupun ikatan saudara.

Saya juga teringat, kami ditekankan untuk merujuk kepada perlembagaan dalam apa-apa jua keadaan dan apa-apa yang ada dalam perlembagaan tidak boleh sesekali dipersoalkan. Saat itu, ingin saja saya menyoal si penceramah, di manakah alQuran jika anda hanya mengagungkan perlembagaan? Bukankah perlembagaan itu hanya ciptaan manusia yang tidak pernah tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan?

Macam-macam lagi yang kami terima (paksa terima) di sana. Saya tahu, sesiapa yang pernah mengikuti kem BTN pasti faham situasi yang telah saya alami ini. Situasi yang menyedarkan saya bahawa jahiliyyah masih tertanam utuh dalam diri masyarakat sekeliling saya.

Sungguh. Ini pengalaman paling berharga buat saya. Lebih-lebih lagi pada masa akan datang, saya akan menjadi tabib masyarakat, maka elok benarlah saya tahu apakah penyakit yang sedang berulat menyerang mereka.

Doakan saya. Doakan semoga saya istiqamah di atas jalan ini..

Thursday, August 13, 2009

masa yang semakin...

Sekadar berkongsi perasaan yang semakin 'nervous' ini..
Alhamdulillah, saya akan bertolak ke bumi Amman pada 23 September ini iaitu pada hari raya Aidilfitri yang keempat pada jam 11 malam, insyaAllah..
Berlepas dari Pulang Pinang dan transit di Bangkok sebelum terus ke bumi Jordan menaiki Jordan Airlines (kalau tak silap..)

Doakan semoga Allah selalu menguatkan saya dan menghadiahkan saya sekeping hati yang hanya bergantung harap kepadaNya semata..

p/s: doakan juga kekuatan untuk saya melalui seminggu di BTN minggu depan..(",)

Monday, August 10, 2009

Saya tidak tahu mahu bilang apa..


Teruk. Menyesatkan. Tidak punya mesagge. Menghina Islam.
Saya tidak tahu mahu bilang apa lagi bagi menggambarkan betapa dasyatnya filem arahan musuh Islam ini.
Filem arahan Hanung Bramantyo ini jelas menggambarkan betapa Islam meletakkan kedudukan wanita serendah-rendahnya.

Filem ini sesungguhnya mengkhabarkan pada dunia bahawa Islam itu kejam, mendera wanita, menyiksa wanita, memaksa wanita melayani suami walaupun dalam keadaan haid dan mengandung 9 bulan, wanita tidak boleh melanjutkan pelajaran, wanita haram meminta cerai pada suami walaupun suaminya berlaku zalim terhadap dirinya, wanita tidak punya hak sama sekali untuk diperlaku baik oleh suami, wanita tidak boleh itu, wanita tidak boleh ini dan macam-macam lagi.

Tegasnya, Islam sama sekali tidak begitu..Sama sekali bukan begitu.

Saya tidak tahu mahu bilang apa cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini daripada komen-komen yang ditulis ternyata, ramai sudah terpesong dan mempersoalkan apakah benar ajaran Islam seperti ini?

Cuba kalian simpulkan, anNisa (watak utama) didera oleh orang yang selalu memakai serban, dia dicekik ketika ditangkap di kandang kuda dengan serban, dia dizalimi oleh kedungunan orang-orang yang memakai serban, dan ketika akhir cerita, saat dia menemui kebebasan melalui fahaman sekular, dia menjatuhkan serban. Apakah maksud yang ingin ditonjolkan dalam kisah ini? Apakah yang sebenarnya ingin diberitahu bahawa serban itu sinonimnya keganasan, penderitaan, kesengsaraan dan penghinaan menjadi seorang wanita dalam Islam?

Kisah ini menekankan bahawa Islam tidak punya penyelesaian untuk memberi hak wanita, yang boleh menolong cuma Woman Care Centre ( seakan-akan Sisters in Islam) yang pekerja-pekerjanya sama sekali tidak bertudung dan langsung tidak punya kefahaman tentang Islam. Mereka itulah golongan yang membantu wanita-wanita tertindas dek fahaman-fahaman Islam yang kolot.

Saya tidak mahu bilang apa lagi. Jika kalian ingin menontonnya, makan tontonlah melalui kaca mata Islam dan Iman. Jangan tontoninya melalui kaca mata jahiliyyah yang cuma menitik beratkan soal kecantikan pemandangan, kepandaian pelakon-pelakon memainkan mimik-mimik muka, keindahan suasana desanya dan soal remeh temeh yang lain. Tetapi pandanglah bersama hati yang ingin menyelamatkan masyarakat daripada kesesatan akidah.

Sungguh. Ini soal akidah.

Semoga Allah melindungi kita..

Sunday, August 9, 2009

Saturday, August 8, 2009

Ramadhan dan Palestine...



Ramadhan kian hampir.. Sudah bersiapkah kita?
Madrasah yang sempurna hadiah dari Allah.

Tetapi kenapa ya, bila tiba Ramadhan langsung terlintas indahnya Syawal. Sedangkan natijahnya belum tentu lulus minima. Apakah Ramadhan kali ini berhasil kita raih sebanyak-banyaknya?

Sungguh. Ramadhan punya cerita dengan di Palestin sana..


Ramadhan mengajak kita untuk pohon sesungguh-sungguhnya pada Sang Maha Mengetahui agar khilafah kembali tertegak, agar Palestin dan dunia amnya tenang dalam lingkungan Islam...



Ramadhan mengingatkan kita betapa kerdilnya kita menyambut kehadirannya. Kita sambut dengan kepenatan puasa cuma tetapi mereka sambut seakan sama seperti zaman Rasulullah s.a.w. Mereka sambut dengan usaha dan tawakkal yang lebih keras kepada Allah. Mereka sambut dengan jihad berganda. Mereka sambut dengan munajat kemenangan yang hebat.. Sama sekali tidak sama dengan kita.



Ramadhan mengetuk hati kita dengan persoalannya. Apakah kita tegar menyambutnya dengan semangat berkobar-kobar moga Allah ampunkan tetapi dalam masa yang sama tidak ambil peduli apakah yang sedang dan sentiasa berlaku dalam kehidupan hari-hari saudara muslim kita yang dibunuh, yang diseksa, yang dihina, yang diperkosa, yang dicuri kehormatannya, yang diceraikan kasih sayang antara keluarganya, yang dilempar akidahnya secara paksa dan banyak lagi yang langsung tidak kita sedar..

Sungguh. Apakah kita benar-benar menghayati kehadiran Ramadhan?

(post ini untuk saya sebenarnya)

Friday, August 7, 2009

Saya yang tak punya hati..


Akhir-akhir ini, saya perasan yang saya tidak punya hati..

Bukan hati yang bewarna merah dalam tubuh manusia itu. Tetapi hati yang hadir setiap kali menjelajah kekhusyukan pertemuan dengan Allah, hati yang bersama saat menatap baik-bait kalam Allah dan hati yang turut serta pada setiap pengkhabaran kematian. Ya, hati yang punya rasa cinta, rindu, harap dan takut kepada Allah..

Itu yang saya maksudkan..

Saya teringat surat seorang pemuda kepada asSyahid Imam HAB yang mengadu kepada beliau tentang masalah ini. Sungguh. Masalah ini adalah masalah yang berat.

Semoga Allah tidak menolak saya tepi..Saya sangat takut itu.

Doakan saya, semoga saya menemui semula hati yang hilang..

p/s: Tolong doakan sekali semoga surat BTN saya cepat sampai ya..

Tuesday, August 4, 2009

fourth August


Saya menulis kali ini dengan hati yang berhajatkan kekuatan. Bukannya hati ini sedang bergoyah, cuma ingin bersandar pada dahan yang kukuh..sebagai tempat berehat mungkin.

Sejujurnya saat saya memutuskan untuk mengambil bidang deeniyah, bukan sedikit tentangan yang diperolehi. Kawan-kawan dan guru-guru memandang berat keputusan saya itu.

Ya, saya yang tidak pernah nampak ciri-ciri budak deeniyah dan lebih menonjol dalam bidang kira-kira dan seni. Mana tidaknya subjek matematik saya dari pendidikan rendah tidak pernah tercicir memperolehi gred A. Sebaliknya bahasa Arab saya, semenjak dari tingkatan satu cuma cukup-cukup makan dan hanya dengan izin Allah, berkat didikan tegas dan suasana yang menakutkan dari Sheikh Ibrahim saya memperoleh gred A dalam PMR.

Begitu juga ketika saya dalam pendidikan menengah atas, tidak banyak yang berubah. Allah izin markah subjek matematik selalu berkisar sekitar 90 ke atas. Yang paling menonjol ialah perbezaan markah addmath (Alhamdulillah, saya dalam kalangan top 3) dan BAT saya. Untuk subjek addmath, paling sedikit yang pernah saya dapat ialah 64 manakala untuk bahasa Arab paling tinggi saya pernah peroleh hanya 60! Huu.. (",)

Sepanjang saya menongkah kehidupan bergelar palajar, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk saya memilih bidang ini. Namun susunan Allah itu sangat cantik.

Hati saya mula berubah ketika saya mengikuti lawatan kakitangan MATRI ke Kelantan dan Terengganu pada tahun 2007. Kami menziarahi KTD. Cikgu Razali yang menyampaikan taklimat mengkhabarkan bahawa subjek-subjek KTD-KUIS masih tidak punya wakil 'sahabat' sebagai lecturernya.

Apabila pulang, hati saya sudah mula berbolak balik. Terasa benar ingin memilih jalan itu tapi masih tidak punya kekuatan.

Alhamdulillah, ketika keputusan peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 5 keluar, saya telah mendapat B untuk kali kedua bagi subjek addmath kerana kurang memberi tumpuan. Saat itu, dengan alasan kecewa kerana tidak dapat mempertahankan A secara berterusan membuatkan hati saya bulat untuk berpisah dengan subjek yang paling saya gemar itu.

Riuh juga waktu itu. Bukan sedikit sahibah-sahibah tersayang yang marah (marah sayang). Banyak sungguh cubaan yang menggugah keputusan drastik tersebut.

Mujur Allah sentiasa menguatkan. Selepas berpisah dengan addmath, saya semakin sayang kepada bahasa arab. Daripada gred E, meningkat kepada gred C seterusnya dengan izin Allah berjaya memperolehi B ketika peperiksaan percubaan. Hajat sungguh ingin memecah rekod sendiri bagi mendapatkan gred A dalam SPM tapi tidak berjaya. Mungkin Allah tidak mahu terlalu gembira.

Namun Alhamdulillah, setiap apa yang telah Allah susun telah mengubah persepsi saya bahawa Allah itu tidak pernah sesekali mensia-siakan usaha hamba-hambaNya. Saya pegang itu.

Justeru, doakan saya moga dikurniakan Allah kekuatan untuk terus tegar dalam mengharungi jalan yang dipilih atas izin Allah ini. Ya, jika dilihat daripada kaca mata semalam, sangat mustahil untuk saya duduk bersama teman-teman mentela'ah kitab-kitab arab yang tebal-tebal. Tetapi tidak akan sesekali mustahil jika Allah izinkan sesuatu itu berlaku. Bukankah Allah itu pencipta yang hebat?

huhu..mungkin masa yang akan datang, Allah izinkan pula saya mentela'ah kitab-kita Jepun? Tidak mustahil bukan? (",)

Monday, August 3, 2009

third August

Semalam kami berbual panjang dengan kakak. Banyak cerita yang dikongsi. Macam-macam. Awalnya, melalui telefon rumah. Kemudian dipanjangkan ke Video camera. Kakak kongsi gambar-gambarnya di sana. Cantik. Huu.. rasa sedikit cemburu. (",)

Sebenarnya kakak selalu saja telefon tapi selalunya dia hanya berbual panjang dengan ibu. Tapi kali ini dengan Zuberto sekali kami ajak bersembang.



Zuberto

Kakak ada titipkan nasihat untuk saya. Antaranya mengenai persiapan rohani dan emosi saya. Kata kakak, manusia-manusia yang akan saya temui nanti tidak sama dengan yang ada sekarang. Keadaan yang akan saya hadapi nanti mustahil sama dengan yang saya lalui sekarang. Suasana masyarakat, suasana budaya, suasana pembelajaran, suasana kawan, suasana permukaan bumi dan lain-lain sangat berbeza.

Justeru, kata kakak dan diakui ibu, bahawa saya jangan hanya fikir yang seronok-seronok sahaja. Saya harus fikir kemungkinan-kemungkinan lain yang mungkin menyeksakan atau mengecewakan atau mungkin yang menakutkan.

Saya juga harus bersedia untuk berubah ketika dalam keadaan yang perlu diubah. ( seperti contoh, berubah dalam penggunaan air kerana Jordan sangat sedikit air yang ada.)

Hu...Sungguh. Sejujurnya saya takut dan teruja menanti harinya..

Semoga Allah kuatkan saya..amin..


Buat kalian terutama saza s, maaf kerana mungkin catatan Himpunan Medik itu tidak dapat saya coretkan atau mungkin sangat lewat..maaf sekali lagi ya..