Tuesday, June 23, 2009

ayah..

Kalimah pendek itu sudah lama tidak dilaung oleh bibir ini. Mungkin ada sesekali disebut dalam cerita atau perkongsian kisah lama. Entah, agak ganjal untuk memanggil seseorang dengan panggilan ini kerana sudah 5 tahun hal itu tidak berlaku.

Sungguh. Saya sendiri tidak tahu mengapa ya saya tergerak untuk menulis post dengan tajuk tersebut. Mungkin kerana saya lihat rata-rata blogger sudah melampirkan kalimah 'Selamat Hari Bapa' atau 'Terima Kasih Ayah' di paparan post mereka. Justeru saya turut berhajat berbuat demikian tanpa saya tahu untuk siapa ucapan tersebut. Ya, untuk siapa?

Semoga Allah merahmati ayah dan menempatkannya bersama-sama dengan kelompok manusia yang soleh.

Sejujurnya, saya sangat bersyukur dengan ketentuan Allah yang telah menjemput ayah pulang dalam waktu yang awal. Saya tidak berbohong. Ayah pergi ketika saya dalam tingkatan satu. Ketika saya masih belum berhajatkan didikan Islam sebenar. Selalu saja saya melawan kata-katanya. Saya memilih untuk berkawan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah di MATRI. Dan saya rasa bangga berkelakuan buruk.

Sungguh. Allah ambil ayah ketika saya berasakan bahawa pelajaran itu tidak penting. Saya hanya bermain dan belajar sambil lewa. Ya, untuk apa belajar ketika saya boleh mendapatkan apa yang saya hajatkan. Saya lalui hari-hari yang langsung tidak pernah memikirkan masa depan.

Benarlah, Allah uji mengikut kemampuan hamba-hambaNya. Ayah meninggalkan kami kerana dijangkiti demam denggi berdarah tanggal 3 September 2004 tepat jam 3.15 petang di Hospital Besar Ipoh. Sejujurnya, saat itu saya hanya menangis tanpa benar-benar merasai kesedihannya.

Pada awal saya melangkah ke tingkatan 2, baru saya betul-betul merasai kehilangan seorang insan yang bergelar ayah. Baru ketika itu saya menyesali setiap dosa-dosa yang telah saya lakukan kepadanya. Malangnya, saya masih tidak pandai memilih cara yang benar untuk melepaskan rasa sedih dan bersalah saya. Saya mengalami migrain yang teruk kerana terlalu memikirkan masalah itu. Saya asyik menangis dan menangis. Tetapi yang anehnya, dalam masa yang sama saya masih belum berubah kepada apa yang ayah hajatkan.

Ketika menginjak usia tingkatan 3, baru saya sedar kesilapan saya dalam memilih jalan selama ini. Saat itu saya mengambil keputusan drastik dalam memilih hala tuju akhir saya iaitu untuk berada dalam kalangan orang-orang yang faham dan yakin dengan Islam. Saya kira itu adalah keputusan terbesar yang telah saya lakukan dalam hidup. Menentukan sama ada berada di atas jalan menuju ke syurga atau ke neraka.

Dan ketika itu, bermulalah episod saya mula bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan DnT. Meski punya banyak kelemahan dan sering kali mengalami peristiwa turun dan naik, saya selalu berdoa semoga Allah tetapkan hati saya di atas jalan yang tidak punya pilihan ini.

Dan ketika usia saya menjangkau 18 tahun ini, baru saya sedar bahawa menjadi anak yang soleh dan mosleh adalah hadiah terbesar dalam kehidupan ibubapa. Ayah tidak memerlukan tangisan dan ingatan saya tetapi ayah memerlukan bekalan cahaya doa dan amalan soleh saya. Saya juga sedar dan yakin bahawa mempunyai ibubapa sekalipun tetapi tanpa rasa keindahan mencintai Allah tidak membawa sedikitpun keuntungan untuk kehidupan akhirat. Biarlah Allah mengambil ayah tetapi Allah telah menghadiahkan saya peluang untuk hidup dalam kenikmatan merasai nikmatnya Iman dan Islam..

Sungguh. Semoga setiap apa kebaikan yang saya buat di sini dapat membantu ayah dan sekaligus dapat menebus kesalahan saya terhadap ayah..Sungguh. Saya sayang dan rindu ayah!

3 comments:

  1. salam
    setiap sesuatu kejadian itu ada hikmah yang tersembunyi,hanya akal yang waras dan iman yang mantab saja dapat menilainya

    ReplyDelete
  2. kekuatan yang sebenar lahir daripada keinginan yang kuat.Jadi untuk kuat mestilah kita INGIN kuat...InsyaAllah biar tiada sesiapa di sisi kita...selagi kita memperjuangkan Islam...Allah ada bersama-sama kita.Salam takziah

    ReplyDelete
  3. syukran katsira buat sekuntum mawar berduri dan saza s. semoga dengan perkongsian ini kalian mendapat manfaat yang banyak,iA..

    ReplyDelete

mohon pandangan.