Pertama kali saya melihat nama ini adalah apabila bonda menghadiahkan kami setiap seorang sebuah buku kecil dan nipis bertajuk, "Wahai Putera Puteriku".
Buku yang cuma kecil dan mungkin bisa disisip dalam kocek kecil beg sandang untuk dibawa merata. Tidak tebal. Tidak berat. Dan tidak berjilid-jilid seperti kitab-kitab fiqh yang saya tatapi hari ini.
Namun buku kecil yang ditulis oleh seorang ulama' agung itu, sangat memberi kesan kepada saya sehingga ke hari ini.
Dalam diam-diam, buku kecil itu telah beberapa kali dikhatam. Tidak pernah menjemukan. Bait-bait ayatnya dilakar dengan penuh santun dan setiap kali menjamahnya saya akan berimaginasi akan gambaran seorang bapa yang penuh usia dan hikmah sedang mencoretkan sesuatu di atas kertas dengan penuh cinta dan sayang terhadap anak-anaknya.
Seperti juga saya membayangkan dalam penulisan Dr. Abbas as-Siisie dan penceritaan keperibadian asSheikh Umar Tilmitsani. Tidak teragak untuk saya selami dari ulama'-ulama' ini gambaran lemah lembut dan pengasihnya sahabat terbaik seluruh alam, Saidina Abu Bakr asSiddiq.
شيخ علي الطنطاوي
Qudwah Keluarga Dakwah.
Saat itu saya teruja untuk mencari tulisan-tulisan lain Sheikh Ali Thontowi namun akibat tidak jumpa, maka semangat itu meluntur dan saya hampir terlupa. Malah keterujaan saya untuk mencari kisah kehidupan beliau juga berlalu seiring berlalunya waktu.
Namun Allah izin, baru-baru ini saya dipertemukan kembali dengan syu'ur kisah hidup ulama' mulia ini selepas terbaca berkenaan kisah kesyahidan anak perempuannya.
Banan Thontowi.
Kisah seorang isteri yang setia, mujahidah yang mulia dan contoh wanita yang sumbangannya dalam alam Islami setinggi darjat lelaki.
Ketika saya membaca coretan kehidupan anak beliau, asSyahidah Banan Thontowi, entah mengapa, mata jadi bergenang dan hati jadi sebak.
Rasa sungguh betapa hebatnya beliau sehingga mampu mendidik anak sehebat Banan dengan izin Allah. Beliau diberi kekuatan untuk menyampaikan dalam masa yang sama menghadiahkan qudwah untuk ummah. Bertambah-tambah membuatkan tokoh ulama' ini saya rasakan sangat dekat dengan jiwa.
Sedikit Kisah asSyahidah Banan.
AsSyahidah merupakan salah seorang anak perempuan Sheikh Ali Thontowi, ulama' kelahiran Syria. Dilahirkan pada tahun 1941 di Damascus Syria. Punya ayah ibu yang soleh solehah malah mujahid Islam, membuatkan keluarga mereka perlu hidup terbuang di luar Syria, lantaran menjadi buruan politik Hafez alAssad (ayah Bassyar alAssad).
Kemudian beliau berwalimah dengan Sheikh 'Isam al-Athar, seorang ulama', pemikir dan mantan muroqib 3am Ikhwanul Muslimiin.
شيخ عصام العطار
Syahid pada 17 Mei 1981 di bumi Jerman Barat selepas pasangan itu berhijrah dari ancaman bunuh kerajaan syiah Syria. Beliau dibunuh di dalam rumahnya dengan tembakan senjata oleh skuad khas yang diberi arahan terus oleh Hafez alAssad.
Banan syahid selepas menerima 5 das tembakan. Satu peluru di kening, satu peluru tembus di leher, dua peluru di dada dan satu terbenam di perut.
Selama beliau berhijrah ke Jerman, asSyahidah giat melaksanakan DnT di bumi barat sana. Menulis artikel, menyampaikan cermah dan mendirikan organisasi dakwah Islam. Sungguh. Dia wanita yang hebat.
Ucapan sang suami di hari pengebumian kekasih hati
20 Mei 1981.
Beliau menegaskan walau dilanda kesedihan yang dahsyat, perjuangan tetap tidak akan dihentikan
dan sama sekali tidak akan menyerah kepada rejim Hafez.
Beliau menegaskan walau dilanda kesedihan yang dahsyat, perjuangan tetap tidak akan dihentikan
dan sama sekali tidak akan menyerah kepada rejim Hafez.
T.T
Ayat-Ayat Cinta Terhebat Abad Ini.
Antara perkara yang mengikat hati saya berkenaan Banan ini ialah surat-surat cintanya kepada Sheikh 'Isam al-Athar sepanjang suaminya dipenjara oleh kerajaan alAssad. Surat-surat cinta yang bukan sahaja menjadi bunga mekar di hati suaminya, juga menjadi tinta emas dalam lipatan sejarah.
Coretan cinta pertama:
لاَ تَحْزَنْ وَ لاَ تُفَكِّرْ فِيَّ وَ لاَ فِي أَهْلِكَ وَ لاَ فِي مَالِكَ وَ لاَ فيِ وَلَدِكَ ..وَ لَكِنْ فَكِّرْ فِي دِينِكَ وَ وَاجِبِكَ وَ دَعْوَتِكَ .. فَإِنَّا وَ اللهِ لاَ نَطْلُبُ مِنْكَ شَيْئًا يَخُصُّنَا .. وَ إِنَّمَا نَطْلُبُكَ فِي ْالمَوْقِفِ السَّلِيمِ اْلكَرِيمِ الَّذِي يُبَيِّضُ وَجْهَكَ .. وَ يُرْضِي رَبَّكَ اْلكَرِيمَ .. يَوْمَ تَقِفُ بَيْنَ يَدَيْهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَ أَيْنَمَا كُنْتَ ..أَمَّا نَحْنُ فَاللهُ مَعَنَا .. وَ يَكْتُبُ لَنَا الْخَيْرَ .. وَ هُوَ أَعْلَمُ وَ أَدْرَي سُبْحَانَهُ وَ أَحْكَمُ
"Janganlah bersedih dan janganlah memikirkan aku, keluargamu, hartamu maupun anakmu. Tapi pikirkanlah agamamu, kewajibanmu dan dakwahmu!"
Demi Allah, kami tidak meminta darimu sesuatu yang istimewa untuk kami. Kami hanya meminta darimu sikap yang lurus dan mulia… kapan saja dan di mana saja engkau berada…sikap yang akan membuat wajahmu bersinar terang dan membuat Rabbmu Yang Maha Mulia redha….pada hari engkau berdiri di hadapan-Nya.
Adapun kami, maka Allah bersama kami dan Allah menetapkan kebaikan untuk kami. Allah swt lebih Tahu, lebih Mengerti dan lebih Bijaksana."
Allahu akbar, subhanallah, maa syaa Allah….
Coretan cinta kedua:
لاَ تَحْزَنْ يَا عِصَامُ وَ لاَ تَأْسَ
يَرْفَعُ اللهُ مَنْ يَبْتَلِيهِ
إِنْ عَجَزْتَ عَنِ السَّيْرِ سِرْتَ بِأَقْدَامِنَا
وَإِنْ عَجَزْتَ عَنِ الْكِتَابَةِ كَتَبْتَ بِأَيْدِينَا
وَاللهُ مَعَكَ اللهُ اللهُ مَعَكَ
وَلَنْ يَتْرُكَكَ وَلَنْ يُضِيعَ مَا أَنْتَ فِيهِ
"Janganlah engkau sedih, wahai Isham, jangan pula putus asa!
Allah akan mengangkat darjat orang yang diujinya
Jika engkau tak mampu berjalan (dengan kaki-kakimu), engkau bisa berjalan dengan kaki-kaki kami
Jika engkau tak mampu lagi menulis (dengan tanganmu), engkau bisa menulis dengan tangan-tangan kami
Allah senantiasa bersamamu, Allahu senantiasa bersamamu
Allah sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan sekali-kali tidak akan membiarkan keadaanmu."
Menitik air mata dan membunga rasa apabila membaca catatan cinta titipan sang isteri buat suami yang teruk diseksa di dalam penjara taghut yang zalim. Catatan yang menyegarkan jiwa selepas tubuh lumpuh dihimpit dera. Catatan yang membelai luka berdarah di hambat besi-besi membunuh.
Tidaklah mengalir kekuatan jemari yang mencoret itu melainkan datang dari hati yang penuh rasa cinta kepada Allah, Rasul dan syurgaNya, bukan?
T.T
Terlalu jauh diri ini berbanding kemuliaan mujahadahnya. Terlalu sangat jauh!
Tidak tertahan sebak Sheikh 'Isam menceritakan semula detik kesyahidan isterinya
sempana ulang tahun 30 tahun pemergian asSyahidah.
20 Mei 2011
Penutup: Keluarga Itu Kekuatan.
anak-anak adalah siapa kita hari ini.
Menyelamai kisah hidup dan kesyahidan Banan membuatkan semakin jelas betapa pentingnya pendidikan dalam sebuah rumahtangga itu terbina.
Pentingnya ibu bapa yang faham, sedar dan mengamalkan cara hidup Islam sekaligus menjadi qudwah buat anak-anak. Dan semua itu bukan bermula pada hari lahirnya anak ke dunia atau bermulanya pada hari doktor memaklumkan pengkhabaran gembira adanya kandungan dalam perut si isteri, tetapi bermula dari sekarang.
Ya. Sekarang. T.T
Dari anak yang bersama faham itulah maka dia akan meneruskan kerja-kerja amal Islami dan membentuk sebuah keluarga yang turut memiliki kesedaran yang sama.
Seterusnya membiak sehingga terbentuk kelompok-kelompok muslim yang sejahtera dan melangkah ke tangga-tangga yang seterusnya dengan izin Allah.
Dan paling penting, semua itu tidak mampu digerakkan melainkan dari pasangan yang sama-sama punya kesedaran urgensi DnT dalam realiti dunia hari ini.
Allahua'lam.
nota kaki:
-apabila menghayati kisah-kisah mereka, terasa diri cuma mampu melihat jauh sahaja rombongan itu, lantaran masih terlalu pudar dan rapuh apa yang ada pada diri berbanding mereka.
T.T
-terus doakan untuk saudara kita di Syria, Palestin, Rohingya dan di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.