"negara kita mesti wajib laksanakan hukum hudud..!".
"betul..! Bukti sebuah negara Islam mesti dengan perlaksanaan hukum Allah..!"
...
"kebangkitan rakyat..! Gulingkan kerajaan dengan revolusi..!".
"Revolusi anak muda..!".
"Wajib untuk kita gunakan segala cara untuk gulingkan kerajaan. Ke arah menubuhkan kerajaan Islam..!"
...
Antara jeritan yang lazim kita dengar dan baca, bukan?
Persoalannya, adalah perlaksanaan setiap hukum Islam itu perlu berlaku secara terus?
Pendahuluan: Islam Itu Cantik, Berseni, Teratur Dan Halus.
Sem ini saya mengambil subjek Qawaid Fiqhiyyah yang merupakan antara tajuk terpenting bagi bidang ilmu Fiqh. Subjek yang agak 'tough' tapi menyeronokkan sebenarnya insyaAllah. ^^.
Mahu tahu apa point paling terpenting yang saya peroleh hasil mencedok ilmu ini?
Saya baru belajar melihat betapa sempurnanya Islam sebagai deen jalan hidup yang tersusun, cermat, rapi dan indah. Tersusun dari sudut penurunan hukum hakamnya, dan juga cermat dari sudut kaedah-kaedah perlaksanaannya.
Lantaran itulah subjek ini diberi nama:
Kaedah-kaedah Dalam Menentukan Sesuatu Hukum Fiqh (Qawaid Fiqhiyyah).
Namanya sahaja sudah menawan, bukan? ^^.
Dalam subjek ini kita akan belajar bagaiman sesuatu hukum itu boleh dilaksanakan atau boleh ditangguhkan atau boleh diangkat atas beberapa faktor.
Qawaid Fiqhiyyah: Aplikasi Sebuah Kehidupan Panjang.
Ok, saya cuba menulis berdasarkan beberapa situasi.
1) Kebangkitan Revolusi.
Teringat ketika di awal kebangkitan rakyat Syria, Sheikh Ramadhan alBhutti, pernah mengeluarkan kenyataan menghalang dan meminta supaya rakyat Syria tidak terlibat.
Ketika kenyataan itu dikeluarkan, banyak orang mengutuk beliau malah, kitab-kitabnya ada yang dibakar sebagai tanda protes terhadap ulama' muktabar itu. Beliau dikatakan sebagai pendokong pemerintah yang zalim dan munafiq. (astaghfirullahal 3adzim)
Namun sesungguhnya ijtihadnya benar (ketika itu. Iaitu sebelum terjadinya hari ini).
Lantaran Sheikh Ramadhan melihat jangka masa panjang, iaitu jika rakyat Syria bangkit menentang Basyar al-Assad, maka Basyar selaku thaghut yang kejam dan binatang tidak akan teragak-agak untuk membunuh kesemuanya.
Sheikh Ramadhan melihat, ketika itu, meski Basyar memang seorang yang zalim tetapi kezalimannya tidak secara menyeluruh iaitu hanya menindas pihak-pihak tertentu tetapi jika revolusi dilakukan, maka pembunuhan akan melibatkan semua lapisan masyarakat seperti apa yang berlaku hari ini.
Kerana itu, Sheikh Ramadhan mengambil langkah mengeluarkan ijtihad awal berdasarkan beberapa kaedah, antaranya:
1. اذا تعارض مفسدةان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما
Iaitu jika bertembung dua kefasadan, maka hapuskan (elakkan) dahulu kefasadan yang paling besar.
Kerajaan Basyar al-Assad tidak sama dengan mana-mana kerajaan yang lain, itu menurut rakyat Syria sendiri. Dia bukan sekadar seorang pemerintah yang kejam, tetapi seluruh sistem pemerintahannya telah dipegang cengkam.
Strateginya telah lama bermula dengan membina sebuah negara tertutup dari sebarang campur tangan luar. Sumber ekonominya dihasilkan secara sendiri dan dijana ke luar, maka mereka tidak perlu bergantung pada bahan import .
Justeru, untuk menumbangkannya bukanlah suatu perkara yang mudah apatah lagi dengan tangan kosong tanpa penyusunan.
Allah ma3akum ya ikhwanana..T_T
Lantaran itu, Sheikh Ramadhan cuba untuk mengajak rakyat Syria dari terjun ke dalam kefasadan yang lebih hebat iaitu pembunuhan beramai-ramai. Bukan bermakna diam itu kaku, tetapi diam dalam bergerak secara halus.
2. الضرر يزال
Iaitu, kemudharatan menanggalkan hukum-hukum asal. Dalam kaedah ini ada lagi 4 cabang kaedah yang memperincikan kaedah ini.
Redha dengan pemerintahan yang zalim adalah sesuatu kemungkaran. Tetapi jika dengan usaha untuk keluar dari pemerintahan yang zalim itu bakal membawa kemudharatan yang lebih besar kepada orang lain secara amnya, maka dibolehkan untuk senyap.
Senyap dari menonjol tetapi bukan senyap dari terus bekerja dalam DnT.
Dan itulah yang dilihat oleh alMujtahid Sheikh Ramadhan alBhutti. Apatah lagi, beliau sedia maklum, jika berlaku pertumbuhan darah, dunia arab Islam yang lainnya sangat mustahil untuk turun membantu.
Bermakna semangat untuk menegakkan khilafah yang wajib hukumnya itu bukanlah sekadar atas faktor semangat yang berkobar-kobar, tetapi mestilah dengan teliti perancangannya, lengkap persediaannya, kuat ketahanannya dan tersusun gerak kerjanya.
*tetapi selepas pembunuhan ke atas saudara kita telah berlaku, ijtihad ini tidak wajar dijadikan alasan untuk kita menyalahkan mereka. Kerana perkara TELAH BERLAKU.
Apa yang perlu kita lakukan adalah menyelamatkan setiap dari nyawa-nyawa mereka.
jangan pernah lupakan pembebasan mereka dari kezaliman dalam doa-doa kita.
*kerana itu saya agak gusar mengikuti berita politik Malaysia jika anak-anak muda mahu membawa revolusi seperti revolusi-revolusi dalam catatan sejarah lantaran pada saya sistem Malaysia masih demokrasi untuk kita perbaiki dengan keprihatinan dalam pilihan raya.
2) Pelaksanaan Hukum Hudud Di Malaysia.
Kita selalu digempar gempurkan bahawa negara Islam itu MESTIlah negara yang ada dalam kehakimannya pelaksanaan hukum hudud.
Benar. Tetapi kita selalu terlupa bahawa Islam itu lebih besar dari sekadar hukum hudud. Islam tertegak dengan hikmah, fitrah, kebajikan dan keadilan.
Antara kaedah yang boleh di letakkan dalam situasi di Malaysia, yang mana kita telah sedia maklum bahawa suasana Islam itu tidak wujud sama sekali, antaranya selain 2 kaedah sebelum ini ialah:
1. مر اتسعاذا ضاق الأ
Iaitu, jika sesuatu perkara itu sempit (sukar) maka perluaskanlah.
Jika sesuatu pelaksanaan hukum itu membawa kepada kemudharatan dan menyukarkan (sukar kerana suasana tidak membantu menghalang kejahatan itu), maka kelonggaran boleh diambil tetapi memadai dengan sekadar menghilangkan kemudharatan tadi.
Seperti yang berlaku di Malaysia, kerajaan masih bukan kerajaan yang adil apatah lagi yang melaksanakan Islam. Rakyat masih tertindas dengan kemiskinan akibat ketidak adilan yang menghasilkan ancaman penipuan, riba, rasuah dan kecurian. Segala unsur-unsur lucah dan zina dilebar luaskan dalam semua media massa sehingga membawa kepada kemaksiatan demi kemaksiatan berlaku.
Maka, bagaimanakah hukum hudud itu dapat terlaksana dengan baik?
Teringat Dr. MAZA pernah menyebut dalam Wacana Perdana anjuran PERMAI baru-baru ini,
“tidak selayaknya dalam sebuah negara itu, berlaku hukuman potong tangan ke atas rakyat biasa akibat mencuri di sebuah kota kecil atau kampung sedangkan dalam masa yang sama, raja dan pemerintahnya nyaman bersenang lenang di dalam istana bersama emas dan kekayaan serta diperkukuhkan oleh undang-undang yang tidak membenarkan sama sekali kedudukan dan harta mereka dipertikaikan oleh rakyat..”
2. اذا زال المانع عاد الممنوع
Iaitu, jika gugurnya penghalang kepada sesuatu hukum, maka hukum itu boleh dilaksanakan.
Asal pelaksanaan hukum hudud adalah hak Allah yang mesti ditunaikan. Dan situasi hari ini bukanlah bermakna kita mempertikaikan untuk dilaksanakan di Malaysia lantaran itu boleh membawa kepada kufur lantaran Allah lebih Maha Tahu terhadap setiap penyusunanNya.
Cuma apa yang kita perlu fikirkan ialah wujudnya penghalang-penghalang ke arah pelaksanaan tersebut seperti masih wujud ketidak adilan, tidak terjaga kebajikan, perbezaan kasta masyarakat dan sebagainya yang membuatkan hukum tersebut menjadi terhalang.
Lantaran tanpa gambaran Islam yang benar, maka dikhuatiri (dan memang telah berlaku pun) akan membawa kepada fitnah yang lebih besar akibat masyarakat yang tidak pernah melihat contoh yang baik pada Islam akibat kepincangan pelaksanaan ajaran Islam oleh muslim itu sendiri, ditakut-takutkan oleh hukum-hukum Allah.
Islam bukanlah deen yang diutuskan untuk memperbaiki kerosakan dan kehancuran akibat sistem yang tumbuh dari ideologi jahiliyyah. Tetapi Islam adalah penyelesaian kepada masyarakat yang mahu mengambil Islam secara syamil dan kamil.
Qawaid Fiqhiyyah: Islam Itu Untuk Yang Berfikir.
Ada orang pernah bertanya, "jika dikatakan alQur'an ini kalam Allah yang sempurna..kenapa perlu ada ilmu lain untuk mentafsir setiap ayat-ayatNya? Kenapa perlu ada hadis, qiyas dan ijma' dalam menerangkan hukum hakam di dalamnya?"
Dan dipetik jawapan dari ucapan Dr Toriq Ramadan berkenaan soalan seperti ini. Mahu tahu apa jawapan beliau?
"kerana deen Islam ini hanya untuk mereka yang mahu berfikir..".
Islam itu pokok yang subur.
Justeru, Allah menurunkan kata-kataNya tidak secara terperinci berjilid-jilid tebal untuk menjadi kitab-kitab rujukan kita dalam setiap helaian kehidupan. Tetapi Allah menurunkan alQur’an bersama contoh kehidupan baginda s.a.w dalam ilmu hadis dan sunah untuk kita mengambil point dalam merangka sebuah pemikiran.
Islam terbina dengan kaedah berfikir bukan menurut secara membuta tuli.
Lantaran, bukankah Islam itu adalah deen yang fitrah?
Penutup: Hikmah: Asas Penting Yang Selalu Tercicir.
وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها " .
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana[1], di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”
Sungguh. Hikmah adalah sesuatu yang telah hilang dalam realiti hari ini. Sedangkan hikmahlah sesuatu harta yang sangat bernilai untuk masyarakat kembali kepada Islam secara jelas dan benar.
Hikmah yang dapat menyelamatkan dari kekeliruan dan rasa kabur terhadap kebenaran itu sendiri.
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (alBaaqarah: 269)
Justeru, mari bersama kembali kepada Islam secara total, agar sisipan hikmah dapat kita kutip kembali seterusnya menyelamatkan kita dari terus terburu-buru menghukum dan hancur.
Buat mereka yang suka berfikir dan selalu diancam dengan, “jangan fikir sangatlah.. hukum Allah tu hukum Allah la. Nanti berdosa kalau asyik fikir macam-macam sangat. Tahu tak.?!”,
Pesan saya, Islam tidak pernah menyekat kita untuk berfikir kerana bukankah aqal itu sendiri telah diciptakan Allah untuk kita mentadabbur dan mencipta soalan?
Hak otak adalah berfikirkan? =)
Teruskanlah berfikir dan mencari tetapi dalam pada itu, jangan pernah lupa untuk membawanya bersama hati yang benar-benar ingin mencari sebuah jawapan bukan hati yang semakin ingin membongkar kesalahan. Lantaran takut, nanti-nanti akan membawa kepada pertikaian kepada sebuah ilmu dan kebenaran itu sendiri.
=)
Nota kaki:
-Well done guys..! seriously, what an awesome video within a great message..^^
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.