Wednesday, April 25, 2012

Cintai Dia Dengan Taqwa

*ini adalah post hadiah untuk sahabat-sahabat, senior-senior dan junior-junior saya yang tidak lama lagi akan dan sedang melayari sebuah amanah terbesar. ^^. Semoga Allah redha.






SEJUTA ALASAN CINTA
Jika aku mencintaimu kerana sifatmu yang ceria,
Menjadi semangat yang menyala dalam hatiku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Bila keceriaan itu kelam dirundum duka,
Seberapa muram cintaku padamu akan ada?

Jika aku mencintaimu kerana kecantikanmu,
Meredupkan pandangan di mataku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat kecantikan itu memudar ditempuh usia,
Seberapa pudarkah kelak cintaku padamu?

Jika aku mencintaimu kerana keramahanmu,
Memberi kehangatan dalam setiap sapaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kiranya keramahan itu tertutup kabut prasangka,
Seberapa mampu cintaku memendam praduga?

Jika aku mencintaimu kerana cerdasnya dirimu,
Membuatku yakin pada setiap pekerjaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Tika kecerdasan itu hilang meniti usia,
Seberapa bijak cintaku untuk tetap bersamamu?

Jika aku mencintaimu kerana sifat berdikari yang kau miliki,
Menyematkan rasa banggaku padamu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Di saat sifatmu yang manja menjengah,
Seberapa besar cintaku padamu untuk dibanggakan?

Jika aku mencintaimu kerana sifat egomu,
Menambatkan rasa kagumku pada utuhnya pertahananmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Andai tembok keegoaan itu berjaya kuruntuhkan,
Seberapa kuat cintaku yang tinggal?

Jika aku mencintaimu kerana pengertian yang kau berikan,
Menumbuhkan ketenangan dengan kepercayaan yang kau tanam,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kelak pengertian itu ditelan ego sesaat,
Seberapa banyak mampu ku mengerti cinta ini?

Jika aku mencintaimu kerana luasnya kesabaranmu,
Menambah dalamnya rasa cinta semakin ku mengenalmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Mungkin kesabaran itu mencapai batasnya suatu hari nanti,
Seberapa besarkah cintaku mampu memaafkan?

Jika aku mencintaimu kerana keteguhan imanmu,
Bagai siraj yang benderang mengantarkan cahaya,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kala iman itu jatuh merundum,
Seberapa berkurang akhirnya cintaku padamu?

Jika aku mencintaimu kerana engkau yang telah kupilih sebagai cintaku,
Yang kan kupegang sepanjang hayat,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat hati ini tergoncang,
Seberapa mantapkah cinta ini untuk tetap setia?

Biarpun sejuta alasan,
Tetap tidak mungkin cukup,
Membuat cintaku tetap bersamamu,
Melainkan jika aku mencintaimu kerana Ilahi,
Kerana Dia kan selalu ada,
Untuk menjaga keutuhan cinta ini,
Hingga kelak ku tak mampu lagi mencintaimu,
Kerana cintaku… berpulang padaNya.




Pendahuluan.




Sebelum ini pernah membaca bab 19 dalam buku 'Jalan Dakwah' tulisan Sheikh Mustafa Masyhur iaitu 'Tegakkanlah Rumahtangga Muslim' yang dalamnya ada tercoret pesan MM;


"hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan atas dasar TAQWA".


Dan huraiannya menceritakan betapa urgensinya setiap pasangan itu memahami peranan masing-masing dalam membungakan suasana Taqwa dalam rumahtangga itu sehingga melahirkan generasi yang mencintai Allah dan Rasul serta tidak terkecuali dalam melibatkan diri dalam amal Islami.


Baik.


Huraian seperti ini selalu dibaca dalam mana-mana bahan yang menekankan urgensi pembinaan Baitul Muslim dan Baitul Dakwah.


Dan Allah izin beberapa hari yang lalu, saya ditemukan dengan artikel di atas.


Ringkas. Sekadar luahan hati dalam coretan kata. Tetapi membawa makna yang sangat dalam. Malah di luar kotak fikiran saya.




Cinta: Rumahtangga Itu Bukan Sekadar Di Waktu Muda Dan Bahagia.




Saya masih muda. Dan belum mendirikan rumahtangga. Tetapi saya senang untuk belajar dengan melihat fenomena dari manusia-manusia di sekeliling.


Antara yang selalu membuatkan saya tertanya ialah, apa ya kekuatan pasangan suami isteri itu jika tiba-tiba suatu hari nanti, cinta yang mewarnai alam rumahtangga itu tiba-tiba hilang tidak muncul-muncul?


Tambah-tambah untuk pasangan yang memilih untuk berkahwin awal. Maka tempoh rumahtangga itu akan semakin panjang.


Lantaran menjadi lambakan isu penceraian hari ini adalah akibat cinta yang menjadi tunggak itu roboh lazimnya selepas tempoh bulan madu yang indah itu berlalu. Maka timbul rasa jemu, bosan, ternampak kecacatan, muncul percikan perselisihan sehingga menjadi api yang membara, pudar kecantikan pasangan sehingga kecantikan luar mencuri perhatian dan sebagainya.


Kerna rumahtangga itu bukan sentiasa tenang dan nyaman. Ribut, taufan, ombak dan gunung berapi sentiasa mencuri intai untuk menggoncang menguji. Bahkan, pasangan kita bukan robot yang statik kebaikannya dan muda selama-lamanya. Mereka tetap manusia yang punya mood turun naik, jatuh bangun sekaligus semakin dibaham usia.


Lantas apa ya kekuatan untuk menjadikan ikatan itu tidak putus-putus selamanya dengan izin Allah?





serius antara fenomena yang sangat comel ialah melihat pasangan warga emas yang masih saling setia 
melengkapi kehidupan masing-masing ^^.


Cinta: Asaskannya Dengan Pasak Taqwa.


Jawapannya saya dapat daripada artikel di atas, iaitu cintailah dia (pasangan anda) dengan taqwa. 


Taqwa yang akan membuatkan kita sentiasa takut untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah dengan menzalimi pasangan kita. 


Taqwa yang membuatkan kita sentiasa berhati-hati menutup diri agar tidak berlaku curang kepada pasangan meski kelihatannya yang di luar lebih indah.


Taqwa yang membuatkan kita sentiasa mahu memberikan yang terbaik lantaran yakin akan ganjaran syurga di sisiNya dan bukan sekadar melihat perkahwinan sebagai tiket untuk menerima sebanyak-banyaknya. 


Taqwa yang membuatkan kita teliti dalam menjaga hati pasangan meski ada ketikanya tindakannya tidak kita gemari.


Taqwa yang membuatkan kita bersungguh-sungguh menyuburkan rasa cinta kepada pasangan meski jika suatu saat itu apinya makin malap lantaran kita tahu bahawa tuntutan untuk mencintainya itu adalah ibadah.


Taqwa yang membuatkan kita mahu menjalani kehidupan sebagai seorang muslim bersamanya sepanjang hayat sehingga melangkaui dimensi iaitu bersamanya di dalam syurga Allah nanti.


Taqwa yang membuatkan kita melihat rumahtangga itu sendiri adalah sebahagian daripada kewajipan sebagai seorang muslim (yang telah berkahwin) yang perlu dilaluikan dengan penuh syu3ur iman sepertimana kita melaksanakan kewajipan-kewajipan lain seperti solat, puasa dan haji.


Dan bagaimanakah untuk meraih taqwa ini?


Pastilah dengan kembali kepada Allah dalam seluruh 3ubudiah kita. Sangat mustahil jika kita mahukan keyakinan dalam keadaan hubungan kita dengan Allah lemah dan kontang.





mengikut alQurtubi yang mencatatkan komentar Ibnu Abbas r.a. mengenai maksud mawaddah ialah:
"cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya" dan rahmah membawa erti "cinta itu rahmah bukan sampai menderita dan mengalami kesusahan".

membuatkan saya terfikir, adakah lelaki ini memang kasihnya susah untuk setia? sehingga ayat yang lazim kita ucapkan dalam sebuah rumahtangga iaitu mawaddah wa rahmah ditujukan untuk mereka sebenarnya? hm.

Penutup: Cinta Dan Sayang Itu Bukti Kebesaran Allah.  

"Dan antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan berpasang-pasangan bagimu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa aman kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir" (21: 30)


Telah jelas dalam titipan cinta Allah bahawa perasaan kasih dan rasa sayang itu adalah salah satu bukti kebesaran dan kehebatan kuasa Allah.

Malah Dia lah yang menciptakan pasangan-pasangan manusia, lelaki dan wanita untuk saling cenderung, saling mententeramkan serta saling melengkapi.

Itulah fitrah penciptaan.

Bermakna, fitrah rasa cinta dan kasih itu adalah SEBENARnya sebagai daya tolak untuk lebih menjadi hamba kepada Allah, Pemilik diri kita dan Pemilik dunia ini sekaligus memacakkan rasa kerdil dalam diri kita. Bukan untuk kita kotori dengan kemaksiatan kepada Allah. Apatah lagi untuk kita lihat hanya sebagai noktah pendek yang tamat dengan  sebuah perkahwinan. Selesai berkahwin, maka telah memenuhi matlamat cinta.

Tidak. Bukan itu sama sekali.

Maka, mari sama-sama kita mulakan dengan sungguh-sungguh menjadi hamba Allah yang sebenar dalam ketaatan, kepatuhan, dan 3ubudiah.

Semoga Allah redha insyaAllah.



sayang itu tidak perlu seperti kopi yang menyelerakan ini. Cantik dan sedap. 
Namun, selesai dicicip habis, maka habislah kopi.




nota kaki:

-satu doa saya untuk kalian:


"semoga tangan yang digenggam ketika majlis itu digenggam sungguh-sungguh untuk selamanya iAllah. ^^."

Dan minta maaf jika hasna'/akak lebih gemar berkongsi kemungkinan-kemungkinan negatif yang mungkin di luar jangkauan kalian apabila kalian meminta pandangan dan perkongsian kerana tidak mahu kalian terkejut suatu hari nanti.

and much of the stories, were based on my own stories. 

"Baitul Muslim itu bukan perkara remeh. Seharusnya bermula dari semenjak baligh anak-anak perlu diberi pendedahan berkenaan BM agar mereka sedar urgensi untuk menjaga diri masing-masing supaya tidak menjadi faktor yang merosakkan generasi..", antara sembang-sembang kami dalam bulatan gembira Liqo' Mentor bulanan 2 minggu lalu bersama kakak-kakak mutazawwijaat. 

Semoga belum terlambat.

Angel is to special to be ask for and to value to be dreamed of. An angel is someone, he just could secretly admire her high 
and will be heart-fully appreciated if soon he get it.

And, I wish if I'm an angel through his eyes.

-doakan final paper bermula 3 May ini iAllah. Kemudian 17, 22 dan 23. lagi 2 paper masih belum keluar tarikhnya.

Friday, April 20, 2012

Art Of Emosional

Pulang dari program Fiqh Medic siri akhir bagi sesi 11/12 malam tadi, membuatkan saya terfikir berkenaan satu soalan menarik yang dikemukakan oleh seorang syabab.

"kami diberitahu bahawa orang perempuan ini jika didatangi haid, maka emosinya akan kurang stabil. Boleh jelaskan? Kami mahu tahu untuk membantu kami menghadapinya nanti..". (ayat yang lebih kurang).

Serius saya sangat terharu dengan syabab itu atau mana-mana lelaki yang sudi untuk prihatin terhadap hal ehwal wanita sekaligus sebenarnya mengambil tahu untuk mengambil berat kondisi pendamping kehidupannya suatu hari nanti.

Dan itulah seni yang mencuri hati seorang wanita sebenarnya.

Sifat Istimewa Itu Melengkapi.

Tidak dinafikan wanita ini lazimnya sangat mudah dipengaruhi oleh emosi sebelum rasional. Dan ini adalah fitrah.


"emosi wanita ini umpama lalang yang ditiup angin.
Beralun mengikut cuaca namun cuma sekejap-sekejap"

Allah telah menciptakan pasangan manusia ini dengan 2 sifat berbeza yang melengkapi. Lelaki dengan ego mereka manakala wanita dengan emosi mereka.

Emosi ini bukanlah sekadar yang selalu kita imaginasikan seperti hanya tahu menangis, sedih dan murung tetapi juga mencangkupi sayang, kasih, rindu, dan cinta.

Mahu tahu mengapa boleh disimpulkan bahawa 2 sifat ini sebenarnya saling melengkapi?

Lantaran hakikatnya seorang lelaki itu adalah pemimpin yang memimpin keluarganya kepada redha Allah. Pemimpin yang perlu menuntun tangan-tangan ahli keluarga nya dengan penuh hikmah, sabar dan istiqamah. Ada ketika perlu ada ketegasan menggaris dan ada ketika lainnya perlu lembut melentur. Dan Allah menciptakan ego itu menjadi miliknya untuk dia jadikan dirinya pemimpin yang berkrediabiliti dan dihormati oleh isteri serta anak-anaknya.

“Kaum lelaki (suami) adalah qawwamun (pemimpin) atas kaum perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (suami) memberi nafkah dari harta mereka...”. (anNisa': 34)

Manakala wanita sesuai dengan emosinya yang beralun bayu akan menjadikan cintanya kepada suami sebagai dasar kukuh untuk setia menyokong apa yang sedang dibawa oleh suaminya serta memenuhi perintah Allah untuk mentaati suaminya selagi tidak melanggar syara'. Begitu juga rasa sayang dan kasihnya buat anak-anak membuatkan seorang wanita itu sanggup mengorbankan apa sahaja demi mereka setelah sejuta kesakitan mengandungkan, melahirkan, menyusukan serta sebagainya yang telah dikorbankan untuk anak-anak itu.

Itulah 2 sifat yang melengkapi secara fitrahnya. Bermakna hakikatnya tidak salahkan jika wanita itu beremosi dan lelaki itu punya rasa ego? ^^. Cuma MESTIlah disalurkan dan digunakan pada jalan yang benar dan waktu yang betul.

Dan amatlah malang jika 2 sifat ini dijadikan tiket untuk menghalalkan sebarang keburukan akhlak lelaki dan wanita itu sendiri.


Suami yang memukul isteri adalah suami yang lebih kejam dari pemerintah yang zalim.

Lantaran jika lelaki silap menakhoda bahtera rumahtangganya dengan ego, maka sifat itu akan membuatkan dirinya menjadi ditaktor yang memijak dan mengongkong. Malah berlaku kasar dan menzalimi hak-hak isteri  serta ahli keluarganya sendiri. Sedangkan ego itu adalah untuk menjadi pemimpin yang melindungi mereka bukan untuk dijadikan mereka mangsa keadaan.


Memang hati binatang bagi lelaki yang tidak kasih kepada isterinya.
bagaimana mungkin dia sanggup memukul wanita yang dia paksa untuk ditiduri di waktu malam?



وَعَنْ اَبِى هُرَ يرَةًَرَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ:قَالَ رَسُولُ الله صَلىَ الله عَلَيْهِ وَسَلَمَ:
اَكْمَلُ ا لمؤمِنِيْنَ اِيْمَانًااَحْسَنُهُمْ خُلُقًا,وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَا ئِهِمْ.
(رواه التر مدى)

Dari Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW bersabda:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya itu orang yang paling baik budi pekertinya diantara mereka,dan orang yang paling baik diantara kamu sekalian yaitu orang yang paling baik terhadap istrinya.”


Begitu juga wanita yang dikuasai emosi tidak waras yang mampu menjadikan sebuah keluarga kacau bilau dan porak peranda. Emosinya itu akan membuatkan suaminya tertekan dan tersempit dengan sikap cemburunya yang melampau hanya di bawah alasan 'terlalu sayang' atau dengan sifatnya yang cepat merajuk sehingga rasional sebuah perbincangan tidak wujud. Malah emosi yang negatif akan membuatkan dirinya dikuasai oleh penyakit psychiatric yang bahaya.

Hakikatnya, perkara terpenting untuk menjadikan 2 sifat berbeza yang dimiliki oleh 2 makhluk berbeza ini agar terus menjadi fitrah dan saling melengkapi ialah nilai TAQWA hasil didikan iman graduan madrasah Tarbiyah Islamiyah yang teratur. Hasilnya maka akan terbentuk satu gabungan kerja yang menjayakan pembentukan sebuah rumahtangga yang penuh sakinah mawaddah warRahmah serta mencapai matlamat objektif pembinaan Baitul Muslim itu sendiri.

Kitaran Ombak Emosi.

Namun, fitrahnya angin emosi wanita tidak selalunya cantik penuh bahagia. Ada waktu mendung di kala matahari masih siang. Ada waktu hujan ketika sebelumnya langit biru menawan. Ada waktunya juga terlalu berjeli lembik sehingga jika cuma jari tersentuh sudah terusik bagai ada batu yang menghempap hancur.

Ombak emosi ini lazimnya jelas berlaku seiring kitaran haid, sewaktu mengandung dan juga ketika fatrah lemah berpantang. (Rujuk di sini berkenaan gangguan prahaid).

Detik-detik itu adalah detik di mana seorang wanita akan mudah terusik jiwanya untuk cenderung kepada rasa diabaikan, tidak disayangi, tersinggung, rasa marah, murung, cemburu dan sebagainya.


comel ok. ^^#

Lantaran itulah seorang suami itu perlulah merupakan seorang lelaki. =) Bukankah lelaki ini manusia yang rasional? Rasional untuk cuba memahami ombak emosi pasangannya sekaligus mempercepatkan ombak itu lekas segera kembali natural dan tenteram.

Caranya mudah, kalian cuma perlu diam memerhatikan ketika si isteri sedang meluahkan, kemudian selesai itu, hampirilah dia membelai lembut serta bisikkan kata-kata sayang. insyaAllah isteri kalian akan kembali tenang dan sangat menghargainya.

*ok. first time puji lelaki.

Itu adalah fitrah setiap wanita cuma, dibezakan oleh kekerapan dan kesensitivitian seseorang wanita itu. Dan 2 point perbezaan ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh kematangan dan kestabilan daya fikir wanita itu sendiri.

Tips Untuk Wanita Yang Dilanda Emosi Tidak Stabil.


Sedikit tips yang baik untuk diamalkan jika kita berhadapan dengan serangan mendung emosi.


1. Sentiasalah mengingati Allah swt dalam susah dan senang. Keyakinan kita dengan ayat Allah yang akhirnya akan melahirkan perasaan tenang itu sendiri untuk mengawal emosi.Dzikir dan membaca Al-quran.
2. Ibadah sunat dijaga apatah lagi ibadah wajib yang sepatutnya tidak diabaikan langsung.Jaga diri dari dosa-dosa kecil dan perkara-perkara yang melalaikan.
3. Melatih diri membaca kisah-kisah sahabiah dan kisah -kisah teladan yang mampu menguatkan jiwa.
4. Menyedari akan hakikat jalan sebuah kehidupan yang meletihkan,panjang,penuh onak duri. Proses Tarbiyyah yang akan membantu mendidik hati-hati kita.
5. Banyakkan berdoa moga Allah terus memelihara hati-hati kita agar terus kekal harmoni. Jangan lokek untuk berdoa kepadaNya kerana Allah swt tidak pernah bosan untuk mendengar segala rintihan kita.Merintih dan mengadulah sepuas-puasnya kepadaNya.
6. Sibukkan diri dengan urusan2 Allah swt. Manusia ini,jika tidak disibukkan dengan perkara2 yang haq,akan disibukkan dengan perkara2 yang batil dan remeh. Tiada pertengahan. Perkara-perkara remeh yang akan banyak menganggu emosi kita.

Paling penting, setkan di minda bahawa manusia berjiwa besar tidak akan mudah jatuh dalam ombak emosi. Meski mungkin sipi-spi kita akan terpalit, tetapi lekas-lekas berenang semula ke tepi agar tidak terus lemas. Tanamkan bahawa fitrah ini jika tidak ditenun molek, maka dia akan menjadi ujian hebat yang merosakkan.

*Tips ini saya ambil dari sini dan dioleh di beberapa ayat.

Penutup: Men From Mars, Women From Venus.


Unikkan ciptaan Allah? ^^

Bukan sekadar keunikkannya dalam bentuk penciptaan jasad secara jelas tetapi juga mencangkupi keunikkan emosi ruhi yang tidak nampak.

Justeru, bagi mereka sedang merancang ke alam rumahtangga, perdalamkanlah ilmu tentang psychology  manusia terutama berkenaan jantina pasangan kita lantaran kita akan bertemu, hidup dan tinggal bersama makhluk yang datang dari planet yang jauh berbeza bak kata John Gray,

"Men From Mars, Women From Venus.." =)

Lantaran yang membuatkan sebuah rumahtangga itu bertahan bukanlah atas faktor cinta semata tetapi atas kesediaan setiap pasangan untuk saling memahami antara satu sama lain. Allahua'lam.


"When men and women are able to respect and accept their differences 
then love has a chance to blossom"-John Gray


nota kaki:
-Komentar housemates baru-baru ini, "eh, hasna' dah pandai ada emosi wanita la..". lol. =='
Tiba-tiba terdetik, "adakah saya benar-benar alien sebelum ini?". heh.


Wednesday, April 18, 2012

Hikmah Yang Tercicir.

"negara kita mesti wajib laksanakan hukum hudud..!".

"betul..! Bukti sebuah negara Islam mesti dengan perlaksanaan hukum Allah..!"

...

"kebangkitan rakyat..! Gulingkan kerajaan dengan revolusi..!".

"Revolusi anak muda..!". 

"Wajib untuk kita gunakan segala cara untuk gulingkan kerajaan. Ke arah menubuhkan kerajaan Islam..!"

...

Antara jeritan yang lazim kita dengar dan baca, bukan?

Persoalannya, adalah perlaksanaan setiap hukum Islam itu perlu berlaku secara terus?

Pendahuluan: Islam Itu Cantik, Berseni, Teratur Dan Halus.

Sem ini saya mengambil subjek Qawaid Fiqhiyyah yang merupakan antara tajuk terpenting bagi bidang ilmu Fiqh. Subjek yang agak 'tough' tapi menyeronokkan sebenarnya insyaAllah. ^^.

Mahu tahu apa point paling terpenting yang saya peroleh hasil mencedok ilmu ini?

Saya baru belajar melihat betapa sempurnanya Islam sebagai deen jalan hidup yang tersusun, cermat, rapi dan indah. Tersusun dari sudut penurunan hukum hakamnya, dan juga cermat dari sudut kaedah-kaedah perlaksanaannya.

Lantaran itulah subjek ini diberi nama:

Kaedah-kaedah Dalam Menentukan Sesuatu Hukum Fiqh (Qawaid Fiqhiyyah).

Namanya sahaja sudah menawan, bukan? ^^.

Dalam subjek ini kita akan belajar bagaiman sesuatu hukum itu boleh dilaksanakan atau boleh ditangguhkan atau boleh diangkat atas beberapa faktor.

Qawaid Fiqhiyyah: Aplikasi Sebuah Kehidupan Panjang.

Ok, saya cuba menulis berdasarkan beberapa situasi.

1) Kebangkitan Revolusi.

Teringat ketika di awal kebangkitan rakyat Syria, Sheikh Ramadhan alBhutti, pernah mengeluarkan kenyataan menghalang dan meminta supaya rakyat Syria tidak terlibat.

Ketika kenyataan itu dikeluarkan, banyak orang mengutuk beliau malah, kitab-kitabnya ada yang dibakar sebagai tanda protes terhadap ulama' muktabar itu. Beliau dikatakan sebagai pendokong pemerintah yang zalim dan munafiq. (astaghfirullahal 3adzim)

Namun sesungguhnya ijtihadnya benar (ketika itu. Iaitu sebelum terjadinya hari ini).

Lantaran Sheikh Ramadhan melihat jangka masa panjang, iaitu jika rakyat Syria bangkit menentang Basyar al-Assad, maka Basyar selaku thaghut yang kejam dan binatang tidak akan teragak-agak untuk membunuh kesemuanya.

Sheikh Ramadhan melihat, ketika itu, meski Basyar memang seorang yang zalim tetapi kezalimannya tidak secara menyeluruh iaitu hanya menindas pihak-pihak tertentu tetapi jika revolusi dilakukan, maka pembunuhan akan melibatkan semua lapisan masyarakat seperti apa yang berlaku hari ini.

Kerana itu, Sheikh Ramadhan mengambil langkah mengeluarkan ijtihad awal berdasarkan beberapa kaedah, antaranya:

1. اذا تعارض مفسدةان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

Iaitu jika bertembung dua kefasadan, maka hapuskan (elakkan) dahulu kefasadan yang paling besar.

Kerajaan Basyar al-Assad tidak sama dengan mana-mana kerajaan yang lain, itu menurut rakyat Syria sendiri. Dia bukan sekadar seorang pemerintah yang kejam, tetapi seluruh sistem pemerintahannya telah dipegang cengkam.

Strateginya telah lama bermula dengan membina sebuah negara tertutup dari sebarang campur tangan luar. Sumber ekonominya dihasilkan secara sendiri dan dijana ke luar, maka mereka tidak perlu bergantung pada bahan import .

Justeru, untuk menumbangkannya bukanlah suatu perkara yang mudah apatah lagi dengan tangan kosong tanpa penyusunan.


Allah ma3akum ya ikhwanana..T_T

Lantaran itu, Sheikh Ramadhan cuba untuk mengajak rakyat Syria dari terjun ke dalam kefasadan yang lebih hebat iaitu pembunuhan beramai-ramai. Bukan bermakna diam itu kaku, tetapi diam dalam bergerak secara halus.

2.  الضرر يزال

Iaitu, kemudharatan menanggalkan hukum-hukum asal. Dalam kaedah ini ada lagi 4 cabang kaedah yang memperincikan kaedah ini.

Redha dengan pemerintahan yang zalim adalah sesuatu kemungkaran. Tetapi jika dengan usaha untuk keluar dari pemerintahan yang zalim itu bakal membawa kemudharatan yang lebih besar kepada orang lain secara amnya, maka dibolehkan untuk senyap.

Senyap dari menonjol tetapi bukan senyap dari terus bekerja dalam DnT.

Dan itulah yang dilihat oleh alMujtahid Sheikh Ramadhan alBhutti. Apatah lagi, beliau sedia maklum, jika berlaku pertumbuhan darah, dunia arab Islam yang lainnya sangat mustahil untuk turun membantu.

Bermakna semangat untuk menegakkan khilafah yang wajib hukumnya itu bukanlah sekadar atas faktor semangat yang berkobar-kobar, tetapi mestilah dengan teliti perancangannya, lengkap persediaannya, kuat ketahanannya dan tersusun gerak kerjanya.

*tetapi selepas pembunuhan ke atas saudara kita telah berlaku, ijtihad ini tidak wajar dijadikan alasan untuk kita menyalahkan mereka. Kerana perkara TELAH BERLAKU.

Apa yang perlu kita lakukan adalah menyelamatkan setiap dari nyawa-nyawa mereka.


jangan pernah lupakan pembebasan mereka dari kezaliman dalam doa-doa kita.

*kerana itu saya agak gusar mengikuti berita politik Malaysia jika anak-anak muda mahu membawa revolusi seperti revolusi-revolusi dalam catatan sejarah lantaran pada saya sistem Malaysia masih demokrasi untuk kita perbaiki dengan keprihatinan dalam pilihan raya.

2) Pelaksanaan Hukum Hudud Di Malaysia.

Kita selalu digempar gempurkan bahawa negara Islam itu MESTIlah negara yang ada dalam kehakimannya pelaksanaan hukum hudud.

Benar. Tetapi kita selalu terlupa bahawa Islam itu lebih besar dari sekadar hukum hudud. Islam tertegak dengan hikmah, fitrah, kebajikan dan keadilan.
Antara kaedah yang boleh di letakkan dalam situasi di Malaysia, yang mana kita telah sedia maklum bahawa suasana Islam itu tidak wujud sama sekali, antaranya selain 2 kaedah sebelum ini ialah:

1. مر اتسعاذا ضاق الأ

Iaitu, jika sesuatu perkara itu sempit (sukar) maka perluaskanlah.

Jika sesuatu pelaksanaan hukum itu membawa kepada kemudharatan dan menyukarkan (sukar kerana suasana tidak membantu menghalang kejahatan itu), maka kelonggaran boleh diambil tetapi memadai dengan sekadar menghilangkan kemudharatan tadi.

Seperti yang berlaku di Malaysia, kerajaan masih bukan kerajaan yang adil apatah lagi yang melaksanakan Islam. Rakyat masih tertindas dengan kemiskinan akibat ketidak adilan yang menghasilkan ancaman penipuan, riba, rasuah dan kecurian. Segala unsur-unsur lucah dan zina dilebar luaskan dalam semua media massa sehingga membawa kepada kemaksiatan demi kemaksiatan berlaku.

Maka, bagaimanakah hukum hudud itu dapat terlaksana dengan baik?

Teringat Dr. MAZA pernah menyebut dalam Wacana Perdana anjuran PERMAI baru-baru ini,

“tidak selayaknya dalam sebuah negara itu, berlaku hukuman potong tangan ke atas rakyat biasa akibat mencuri di sebuah kota kecil atau kampung sedangkan dalam masa yang sama, raja dan pemerintahnya nyaman bersenang lenang di dalam istana bersama emas dan kekayaan serta diperkukuhkan oleh undang-undang yang tidak membenarkan sama sekali kedudukan dan harta mereka dipertikaikan oleh rakyat..”

2. اذا زال المانع عاد الممنوع 

Iaitu, jika gugurnya penghalang kepada sesuatu hukum, maka hukum itu boleh dilaksanakan.

Asal pelaksanaan hukum hudud adalah hak Allah yang mesti ditunaikan. Dan situasi hari ini bukanlah bermakna kita mempertikaikan untuk dilaksanakan di Malaysia lantaran itu boleh membawa kepada kufur lantaran Allah lebih Maha Tahu terhadap setiap penyusunanNya.

Cuma apa yang kita perlu fikirkan ialah wujudnya penghalang-penghalang ke arah pelaksanaan tersebut seperti masih wujud ketidak adilan, tidak terjaga kebajikan, perbezaan kasta masyarakat dan sebagainya yang membuatkan hukum tersebut menjadi terhalang.

Lantaran tanpa gambaran Islam yang benar, maka dikhuatiri (dan memang telah berlaku pun) akan membawa kepada fitnah yang lebih besar akibat masyarakat yang tidak pernah melihat contoh yang baik pada Islam akibat kepincangan pelaksanaan ajaran Islam oleh muslim itu sendiri, ditakut-takutkan oleh hukum-hukum Allah.

Islam bukanlah deen yang diutuskan untuk memperbaiki kerosakan dan kehancuran akibat sistem yang tumbuh dari ideologi jahiliyyah. Tetapi Islam adalah penyelesaian kepada masyarakat yang mahu mengambil Islam secara syamil dan kamil.

Qawaid Fiqhiyyah: Islam Itu Untuk Yang Berfikir.

Ada orang pernah bertanya, "jika dikatakan alQur'an ini kalam Allah yang sempurna..kenapa perlu ada ilmu lain untuk mentafsir setiap ayat-ayatNya? Kenapa perlu ada hadis, qiyas dan ijma' dalam menerangkan hukum hakam di dalamnya?"

Dan dipetik jawapan dari ucapan Dr Toriq Ramadan berkenaan soalan seperti ini. Mahu tahu apa jawapan beliau?

"kerana deen Islam ini hanya untuk mereka yang mahu berfikir..".


Islam itu pokok yang subur.

Justeru, Allah menurunkan kata-kataNya tidak secara terperinci berjilid-jilid tebal untuk menjadi kitab-kitab rujukan kita dalam setiap helaian kehidupan. Tetapi Allah menurunkan alQur’an bersama contoh kehidupan baginda s.a.w dalam ilmu hadis dan sunah untuk kita mengambil point dalam merangka sebuah pemikiran.

Islam terbina dengan kaedah berfikir bukan menurut secara membuta tuli.

Lantaran, bukankah Islam itu adalah deen yang fitrah?

Penutup: Hikmah: Asas Penting Yang Selalu Tercicir.

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها " .
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana[1], di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”

Sungguh. Hikmah adalah sesuatu yang telah hilang dalam realiti hari ini. Sedangkan hikmahlah sesuatu harta yang sangat bernilai untuk masyarakat kembali kepada Islam secara jelas dan benar.

Hikmah yang dapat menyelamatkan dari kekeliruan dan rasa kabur terhadap kebenaran itu sendiri.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (alBaaqarah: 269)

Justeru, mari bersama kembali kepada Islam secara total, agar sisipan hikmah dapat kita kutip kembali seterusnya menyelamatkan kita dari terus terburu-buru menghukum dan hancur.

Buat mereka yang suka berfikir dan selalu diancam dengan, “jangan fikir sangatlah.. hukum Allah tu hukum Allah la. Nanti berdosa kalau asyik fikir macam-macam sangat. Tahu tak.?!”,

Pesan saya, Islam tidak pernah menyekat kita untuk berfikir kerana bukankah aqal itu sendiri telah diciptakan Allah untuk kita mentadabbur dan mencipta soalan?


Hak otak adalah berfikirkan? =)

Teruskanlah berfikir dan mencari tetapi dalam pada itu, jangan pernah lupa untuk membawanya bersama hati yang benar-benar ingin mencari sebuah jawapan bukan hati yang semakin ingin membongkar kesalahan. Lantaran takut, nanti-nanti akan membawa kepada pertikaian kepada sebuah ilmu dan kebenaran itu sendiri.

=)

Nota kaki:

-Well done guys..! seriously, what an awesome video within a great message..^^


Tuesday, April 10, 2012

Something I Missed

Semalam saya merasakan ada satu kekosongan yang besar dalam hidup saya selama ini. Suatu kehilangan yang hanya dimiliki oleh mereka yang bersungguh dan disiplin. Suatu nilai yang mengangkat darjat seorang hambaNya di pandangan Penciptanya.

Sungguh. Sepanjang program berlangsung, air mata deras mengalir. Mendengar ucapan Siti Fatimah Binti Ismail, graduan pertama Akademi azZikr (entiti tahfiz di bawah Pembangunan Rohani  PERMAI) yang khatam 30 juzuk. Seorang pelajar tahun 3 dentistry dan juga merangkap Ketua Helwi kami dalam PERMAI. Betapa hebatnya Allah menciptakannya dengan cuma mengambil tempoh 3 tahun untuk menghafal keseluruhan alQur'an dalam keadaan kesibukan memimpin persatuan PERMAI yang berjumlah 1200 orang ahli serta dalam pengajian yang menuntut fokus peperiksaan berderet.

SubhanaAllah. MasyaAllah 3alaiha. :')

Sebelum disambung selepas isyak oleh Sheikh Ma'mun as-Syimali, ma'mun Masjid Jami'ah Yarmouk yang amat kami kasihi.

Ucapannya ringkas. Tetapi terus menerus membuatkan air mata laju. Penuh indah gambaran hamalatul Qur'an di sisi pandangan Rabb.


alQur'an: Jangan Pernah Mencipta Alasan.

Tim berkongsi, "kadang kala kita senang untuk mencipta alasan dan sayaitan akan membuakan kita senang dengan alasan-alasan itu.


Apatah lagi ketika kita down, kita akan rasa, 'tak apalah, membaca alQuran lebih baik kalau aku membaca dengan sungguh-sungguh. Oklah ni, aku baca juga..' Dan ketika itu syaitan akan meniup rasa selesa untuk kita yakin dengan tindakan kita..


Sedangkan apakah ada yang lebih baik daripada menjadikan alQuran sebahagian dari diri kita?"

Sambung Tim lagi, "kita mesti sentiasa meletakkan matlamat yang tertinggi dalam hidup dan mesti konsisten dan bersungguh untuk mencapainya. Jangan pernah rasa selesa dengan sesuatu keadaan.."

Allah..T_T


alQuran cuma mahu bercinta dengan orang yang benar-benar mahu mencintainya

alQur'an: Nilaian Allah Adalah Yang Tertinggi.

Senior Azzam selaku mc malam itu menambah: "mari kita hanya mengambil pandangan Allah, hebat di sisi Allah..bukan pandangan hebat dalam kalangan manusia, dengan menjadi hamalatul (pembawa) Qur'an...

Jika dibandingkan dengan 1000 tahun, dan kita mengambil kiraan umur kita 60 tahun, sangat kecil. Malah terlalu kecil. Apakah kita mahu mensia-siakan umur yang terlalu kecil ini tanpa mahu memperolehi sesuatu yang besar selama-lamanya nanti?"

T_T.

Serius saya selama ini selalu mendengar berkenaan nilaian Allah yang tertinggi, tetapi malam itu adalah kali pertama disambung , "..dengan menjadi hamalatul Qur'an..".

Selama ini dirasakan sudah cukup dengan berusaha sungguh-sungguh untuk istiqamah dalam amal Islami dan menggerakkan DnT, namun rupa-rupanya ada yang lebih besar dari itu. Sesuatu yang besar tetapi tidak ada pada saya.

Namun masih belum terlambat bukan? T_T

Penutup: Doa Itu Kekuatan.

Teringat Tim berkongsi, antara doa ibu ayahnya dari dahulu ialah "anak-anak yang soleh dan solehah serta hafiz dan hafizah.."


Malah ibu ayahnya yang bersungguh-sungguh memujuk anak-anak mereka supaya menghafal meski mereka cuma biasa-biasa sahaja. Itulah yang dinamakan impian dan cita-cita yang besar boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Sangat mengagumi. SubhanaAllah. Betapa jauh perancangan yang telah mereka letak.

Dan saya tahu, saya juga tertinggal di belakang dalam hal itu.

Lalu, dalam post ini, izinkan saya untuk memohon bonda sungguh-sungguh.

"Tolong doakan hasna' ya mak..semoga Allah mudahkan dan lapangkan untuk menjadi hamalatul Qur'an.. Tambahkan dalam doa lazim untuk anak-anak mak menjadi soleh dan solehah, istiqamah dalam amal Islami dengan satu potong doa lagi, agar mereka bisa menghadiahkan mahkota buat mak dan ayah di syurga nanti insyaAllah dengan menjadi mereka yang meletakkan alQuran sebahagian dari diri mereka.. Semoga belum terlambat.." T_T


nota kaki:
-mahu melahirkan anak-anak yang hafiz dan hafizah, ibu dan ayahnya dahulu perlu bersungguh ke arah itu.

-sebak mendengar doa khatam alQuran di hari yang penuh bahagia itu. Betapa tinggi darjat mereka.. Sungguh, malam itu saya merasakan bahawa saya tidak ada nilai sedikitpun berbanding dengan kemuliaan yang mereka miliki.

-Pesan Tim, "mujahdah memang sangat perlu..bukan sesuatu yang mudah..".

Monday, April 9, 2012

Syria vs Kony 2012


Syria: Catatan Duka Mereka Yang Ditulis Dakwat Darah.

 



 
قصص إغتصاب حرائر سوريا !!!.. أيــن المعــــــــتصم !!!؟؟؟؟.....

Kisah perogolan sutera-sutera Syria (lambang gadis-gadis Syria yang dimuliakan maruahnya). Di manakah Mu'tasim?!

قصص وحوادث مروعة لحالات الإغتصاب والاعتداء على الأعراض التي حصلت..
منها ما أستطيع كتابته لكم ومنها مالا أستطيع.. لمرارته وشدته وعدم إمكانية أي إنسان أن يتحمله....
من الأشياء التي أستطيع كتابتها...

Kisah kejadian tragedi ngeri perogolan dan kekejaman seksaan yang berlaku.
Darinya (kisah-kisah itu) ada yang terdaya untuk aku menulisnya dan ada yang tidak terdaya lantaran kepedihan dan kekejaman yang mustahil untuk manusia menanggungnya. Dan ini adalah sebahagian yang termampu untuk aku coretkan:

هو جمع خنازير الأسد للنساء والفتيات في أماكن معينة مثل صالة الزراعي بشارع الحولاني القريب من المؤسسة الاستهلاكية في حي باباعمرو والتي كانت صالة افراح سابقا وتحولت الى ملجأ ايام القصف لأنها تحت الارض وتحولت الى معتقل بعد اقتحام الحي ومكان لاغتصاب الفتيات بعد جمع الفتيات يبدأ خنازير الأسد بالتناوب على كل فتاة منهن الواحدة بعد الأخرى....


(Dalam suatu kejadian) Telah mengumpulkan khinzir-khinzir Assad (lambang kehinaan dan jijik) wanita-wanita dan gadis-gadis di suatu kawasan seperti Dewan Pertanian di Jalan alHawlani (mungkin nama jalan) berdekatan dengan Pusat Khidmat Pengguna di Baba Amru yang merupakan suatu dewan serbaguna yang meriah (sebelum tercetus peperangan), sebelum ditukar menjadi kawasan perlindungan dari pengeboman lantaran kedudukannya di bawah tanah. Namun telah bertukar menjadi pusat tahanan selepas (Baba Amru) diserang kejiranannya malah turut menjadi kawasan perogolan gadis-gadis selepas khinzir-khinzir Assad mengumpulkan mereka sebelum dirogol secara bergilir-gilir setiap seorang dari mereka, seorang demi seorang.

في إحدى المجموعات كانت بين النسوة والفتيات طفلة عمرها 14 عام أصيبت بحالة انهيار عصبي واختلاجات عصبية لهول ما تعرضت له فتركوها بعد أن هتك عرضها اثنين من أوغاد البعث...
وهناك فتيات تم قتلهن بعد ان امتنعوا بشدة وانهاروا عصبيا ولا يعلم أحد أين صارت جثثثهن...
كانت الفتيات والنسوة يكلمنني وهنَّ يبكين بحرقة وبعضهن لم تستطع أن تكمل مأساتها...
ياالله...
ياالله...
ماذا حل بأعراضنا...
ماذا حل بنسائنا....
وأنا أشهد الله أنهن أطهر من الطهر..


Dalam salah seorang dari mangsa-mangsa wanita dan gadis-gadis itu adalah kanak-kanak yang baru berusia 14 tahun, dan mengalami kerosakan saraf serta penyakit sawan. Apa yang menakutkan (mengecewakan), apabila mereka meninggalkannya selepas terdedah aibnya (ditelanjangkan) oleh 2 orang dari tentera Ba'ath (Assad).

Dan ada gadis-gadis yang dibunuh selepas bergelut dengan keras (mempertahankan maruah). Mereka dikelar sehingga tidak diketahui mana satu anggota badan mereka yang tercerai.

Gadis-gadis dan wanita-wanita itu menceritakan kepadaku dan mereka menangis dengan hati yang terbakar (hancur), dan sebahagian dari mereka tidak mampu menyempurnakan (kisah) tragedi tersebut.

Ya Allah..
Ya Allah..
Apakah yang telah berlaku kepada keadaan-keadaan (hina) kami..
Apakah yang telah berlaku kepada wanita-wanita kami..

Dan aku bersaksi di hadapan Allah bahawa mereka adalah (wanita-wanita) yang paling suci daripada yang suci.

كنت أنتقل من قصة لقصة ومن جرح لجرح وقلبي يبكي دما...

Sungguh. aku berpindah dari satu kisah kepada satu kisah, dari satu luka kepada luka yang lainnya dan hatiku terus menangis darah..

و قصة أخرى : سيدة سورية: نحن نحمل في أحشائنا أبناء الاغتصاب من جنود بشار الاسد

Dan kisah yang lainnya: Seorang puan (isteri) dari Syria: "Kami mengandungkan dari perut kami, anak-anak perogol dari kalangan tentera Basyar al-Assad".

سيدة سورية تدعى سلمي بويلات اغتصابها ، وهي تبكي بحرقة : "شكوناهم إلى الله الواحد الأحد، الذي لا يظلم عنده أحد، أدركونا أيها المسلمون، نحمل في أرحامنا أبناء الزنا والاغتصاب".

Seorang puan Syria yang bernama Salma, mengadu kisah perogolan ke atas dirinya, dan dia menangis sungguh-sungguh, "Kami adukan tentang (kekejaman) mereka kepada Allah, satu-satunya yang Maha Satu, yang tidak zalim kepada setiap sesuatu. Kami memberitahu kepada (kamu) wahai sekalian muslimun, kami sedang mengendong di dalam rahim kami anak-anak zina dan rogol..!".

وتقول سلمى : 36 امرأة تم اغتصابهن عند اقتحام الجيش النظامي لهذه البلدتين التان يتعرضا لعملية القصف بالدبابات لها على بعد كيلومترات فقط.

وتشير سلمى ذات الوجه الشاحب والجسد الهزيل:"لا أستطيع تصور ذلك أو تذكره… نحن نحمل في أحشائنا أبناء الزنا".

وتوضح سلمى : "أبلغ ثمانية وعشرين سنة ومتزوجة من الشهيد.. وأنا أم لأربعة أطفال، ثلاث بنات وولد، كنا نعيش حياة هادئة في قريتنا…

إلى أن
جاء يوم الجمعة الثاني والعشرين شباط الماضي عند بداية القصف علينا في الصباح الباكر، أعطينا نصائح عبر مكبر صوت المسجد بالتزام المنازل في الأقبية والمخابئ الأرضية لتجنب قذائف القصف، ومن استطاع الخروج إلى البرية والجبال فليفعل".

Salma memberitahu, "sebanyak 36 orang wanita telah dirogol semasa tentera kerajaan (Assad) merempuh masuk ke 2 bandar ini yang ditakluk dengan pengeboman dari jarak yang cuma beberapa kilometer sahaja."

 
Wajah Salma tergambar pucat lesu dengan tubuh yang tersandar, "aku tak terdaya untuk menggambarkannya apatah lagi untuk mengingatinya..kami mengandungkan dalam perut kami anak-anak zina.."

 
Salma memberitahu, " aku baru mencapai usia 28 tahun dan telah berkahwin dengan seorang syahid (yang telah terbunuh). Aku adalah ibu kepada 4 orang anak, 3 anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kami hidup dalam kehidupan yang tenang di kampung kami.

Sehingga tiba suatu hari Jumaat, 22 Februari yang lalu, apabila terdengar bunyi pengeboman di awal pagi disusuli dengan pengumuman suara dari corong suara Masjid menasihati kami untuk tetap di rumah serta berlindung di bilik bawah tanah bagi mengelakkan serangan mortar. Barangsiapa yang mampu lolos keluar dari kampung ke gunung-gunung, boleh berbuat demikian (untuk menyelamatkan diri)."

الشبيحة: يا بشار لا تهتم إحنا رجالك نشرب دم…

وتشير سلمي : هذه العصابات هاجمت زوجي وسمعت ابني يبكي و لم أتمالك نفسي أن أبقى الذي كنت اختبئ فيه وتركت بناتي في القبو وخرجت مسرعة ، وأنا أتوسل إليهم وأستحلفهم بكل ما هو غال عندهم أننا مدنيون، ليس لنا أي ذنب، وأننا لا نأوي الثوار وجيش التحرير.

Para hantu (tentera-tentera Asaad) "Wahai Basyar, kami adalah orang-orang kamu yang tidak kisah untuk meminum darah.."

Salmi memberitahu lagi, "orang-orang itu menyerang suamiku. Dalam masa yang sama, aku mendengar esakan anak lelakiku. (anak lelakinya bersama suami) Dan tidaklah aku terdaya menahan diri cuma menangis lantaran aku berada di dalam bilik persembunyian. Aku tinggalkan anak-anak perempuanku di tingkat bawah tanah, dan aku keluar dengan segera. Aku merayu kepada mereka dan bersumpah dengan segala-galanya bahawa kami hanyalah orang awam yang tidak berdosa. Dan kami tidak melakukan pemberontakan serta bukan tentera pembebasan."

وتقول :رد علي واحداً منهم :"أنتم تواجدكم على الأرض تهمة بحد ذاتها، لقد أخطأ من خلقكم معنا أيها الحثالة".

وتضيف: "كنت أرى زوجي ممددا على الأرض وهم فوق جسده يقفزون وهم يقولون له أين ربكم؟".

Salmi menambah: salah seorang dari mereka menempelakku, "kalian tak layak untuk wujud di atas muka bumi ini, dan kesilapannya lagi ialah penciptaan kalian bersama kami, wahai sampah..!".

aku melihat suamiku terbaring di atas tanah dan mereka memijak jasadnya sambil menyoal, "di manakah Rabbmu?"

وقالوا لي :" إذا أردت أن نعفو عنك، فلا بد أن نفعل بك ما يحلو لنا نحن الخمسة أمام مرآى ومسمع من زوجك وولدك، رفضت هذا وقلت لهم أنا أختكم، أنا سورية حرة، أيطيب لكم قلب أن تفعلوا بأختكم هذا؟ ليضربني بعدها شخص على رأسي بأخمص الرشاش وتسيل دمائي مرددين أنتم لستم إخواننا، سمعت إطلاق نار من مسدس على جسدي زوجي الممدد في الأرض، لتسيل دماءه، وبعدها أخذ أحدهم ابني وأخرج سكينا من سترته ليذبحه، رجوته أن يفعل ما يشاء على أن لا يقتل ابني".

Mereka berkata kepadaku, "jika mahu kami mengampuni kamu, wajib untuk kami memperlakukan kamu dengan apa-apa yang menghiburkan kami berlima. Biar disaksikan dan didengari oleh suami dan anak lelaki kamu".

Aku merayu dengan berkata, aku ini saudara perempuan kalian, dan aku adalah rakyat Syria merdeka. Adakah hati kalian sanggup memperlakukan sedemikian terhadap saudara perempuan sendiri?". Salah seorang dari mereka memukul kepalaku dengan pistolnya dan mengalirlah darahku sambil menempelak, "kalian bukan saudara kami!".

Dalam ketika itu, aku terdengar bunyi das tembakan yang ditujukan kepada jasad suamiku yang telah terbaring di atas tanah. Mengalirlah darahnya. Kemudian, mereka mengambil anak lelakiku sambil mengeluarkan pisau untuk menyembelihnya. Aku merayu sungguh-sungguh kepada orang tersebut, "lakukanlah apa sahaj asalkan jangan kamu membunuh anakku..!"

تقول سلمى: "شقوا ثيابي بوحشية، تداول على الاعتداء علي والاغتصاب خمسة من الجنود النظاميين، وبعد انتهائهم من الفعلة، قالوا إذا جئنا مرة أخرى إلى هنا ووجدناك فسيكون مآلك الذبح ".

وهنا تبكي سامى بهستيريا وتقول :"أيها المسلمون أدركونا ،ألا تعقلون حالنا؟ هل حقيقة أنكم تجهلون ما يفعله بشار وجنوده بنا؟ نحن أخواتكم، سيحاسبكم الله على خذلانكم لنا، نشكوك إلى الله وحده يا بشار ومن معك، اللهم خذ حقنا منه".

Bercerita Salmi lagi: Dengan biadapnya mereka mengonyak bajuku, maka jadilah aku mangsa perogolan 5 orang askar kerajaan. Selepas mereka selesai dengan perbuatan terkutuk itu, mereka mengancamku, "jika sekali lagi kami datang ke sini dan kami menemui kamu, maka kamu akan menjadi mangsa sembelihan".

(Ketika cerita ini diceritakan), Salmi meraung histeria, dan menyeru, "wahai kaum muslimiin, beritahulah kepada kami, apakah kalian tidak memikirkan keadaan kami ini? Adakah benar bahawa kalain tidak tahu apa yang sedang diperlakukan oleh dia, si Basyar dan tentera-tenteranya ke atas kami?

Kami saudara-saudara perempuan kalian. Dan kalian akan dihisabkan di hadapan Allah ke atas ketidak endahan kalain terhadap kami.

Aku adukan kejahatan kamu kepada Allah satu-satunya, wahai Basyar dan sesiapa sahaja yang bersama dengan kamu. Allahumma, rampaslah hak-hak kami darinya..!"

منقول
__________________________________________________
أنشروووووووووووووها في كل مكان لعلها تصل الى المعتصم ..
____________________________________________________

لا حول و لا قوة الا بالله

 
Syria: Hari Ini Bagi Kita, Hari Ini Juga Bagi Mereka.


Ketika menterjemah tulisan ini, terbayang saatnya saya sedang menaip, peristiwa ini masih sedang berlaku ke atas mereka.


Tidak terjangkau dek akal, bahawa saya sedang melalui hari yang sama dengan hari mereka, jam yang sama dengan jam mereka, detik yang sama dengan detik mereka, tetapi keadaan yang langsung tidak sama dengan keadaan mereka.


Darah. Ketakutan. Jeritan. Sembelihan. Dentuman bom. Percikan api tembakan senjata. Kesakitan dirogol secara paksa. Tubuh terkoyak. Kepedihan luka-luka dan segalanya. Semua yang selalu saya saksikan dalam kisah-kisah lakon layar sebuah catatan peperangan.


Dan semua itu sedang dilalui oleh saudara-saudara saya yang cuma di atas sana.



rakyat Syria (tersempit) antara kerajaan yang zalim, pihak berkuasa yang tamak 
dan kebisuan negara-negara arab.


Matahari yang sama. Terang cahaya siang yang sama. Malam yang sama. Putihnya cahaya bulan dan bintang yang sama. Awan lalu yang sama. Angin bertiup yang sama.


Tetapi jiwa dan perasaan sama sekali tidak sama.


Syria: Di Manakah Nilai Kepekaan Kita?


Baru-baru ini dan masih sedang berlangsung di seluruh dunia ialah, kempen 'Kony 2012' iaitu sebuah kempen yang digerakkan secara besar-besaran agar semua masyarakat peka terhadap isu yang berlaku di Uganda.


 

Kempen ini sangat penting kerana menjadi syarat untuk kerajaan US membincangkan perihal penghantaran bantuan ketenteraan bagi menangkap Joseph Kony yang merupakan penjenayah nombor 1 yang paling dikehendaki oleh Mahkamah Antarabangsa. Syarat kerajaan US ialah, mereka akan membincangkan hal tersebut di dalam parlimen jika isu ini menjadi isu rakyat Amerika. Justeru NGO yang terlibat di bawah seorang relawan, Jason Russell begitu bersungguh-sungguh menyebarkan kesedaran ini kepada seluruh masyarakat Amerika.


Yang paling membuatkan saya serius terdiam dan berfikir dalam, segala usaha Jason ini bermula dengan janjinya terhadap seorang kanak-kanak Uganda, untuk membebaskannya dari cengkaman Kony.


SubhanaAllah.


Sedangkan jika dilihat logik akal, tidak ada sebarang kepentingan pun untuk dia mengambil berat akan urusan manusia lain dan bersusah payah ke arah itu lantaran tidaklah mereka terikat atas dasar saudara seakidah, atau sebangsa atau senegara, atau sebenua dan sebagainya. Melainkan semata atas dasar kemanusiaan.



Kony yang mula saya tahu kisah kejahatannya dari filem Blood Diamond 2006.

Berbalik kepada isu kita dan saudara kita sama ada di Palestin dan Syria mahupun mana-mana wilayah sauadara Islam yang lain, bagaimana pulakah kepekaan dan kesungguhan kita ke arah itu?


Penutup: Ambil Tahulah..!


Minima sikap yang perlu ada bagi seorang muslim itu ialah mengambil tahu perihal dan keadaan apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Dan itu adalah salah satu bukti bahawa dia sedang hidup.

"Perumpamaan orang-orang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan demam." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim )

Apakah kita benar merasakan bahawa kita ini dari satu tubuh yang sama? Jika tidak, pastikan kita melihat semula diri kita, takut-takut sebenarnya kita telah menjadi anggota yang tercerai lama.
Na'uzubillah minzalik.

Semoga Allah tidak mencampak kita jauh.

nota kaki:
-minta maaf kepada pakar lughah jika terjemahan ada kesilapan.

-Saya mula perasan beberapa artikel saya telah mula diambil dan diletakkan dalam blog tanpa pemberitahuan bahawa itu adalah artikel yang tidak asli.

Pesan saya cuma satu, jadilah diri anda sendiri. Jika anda mewujudkan blog hanya cuma untuk copy paste artikel orang lain, atau dengan bahasa yang kurang baik, mencuri artikel orag lain pada saya tutup sahaja blog anda.

Blog adalah suatu medan untuk kita melatih mengeluarkan idea sendiri dan membina kemahiran penulisan sendiri. Jika anda masih baru mencuba, boleh sahaja jika anda mengambil artikel orang lain, dan mengulasnya. Itu lebih baik.

-setelah 2 tahun tidak berpijak di bumi Malaysia, saya telah semakin homesick. T_T