*Post peribadi sempena 21 tahun menjadi hamba. Dialu-alukan
untuk tidak membacanya.
29 Mac 1991-29 Mac 2012.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Allah masih mengizinkan untuk saya mencelikkan mata dan
melihat lagi kehidupan hari ini. Memulakan hari baru sebagai hamba yang
telah berlalu 20 tahun usianya. Tidak pasti jika telah ditapis segala,
mungkin hanya sekadar angka kecil yang berbaki untuk dijadikan mahar perhambaan
untuk dinilai Allah.
Dan dalam 21 tahun ini, telah diizinkan Allah untuk saya
lalui dengan pelbagai warna dan perasaan hasil ukiran cerita yang telah disusun
oleh Sang Maha Pengatur kehidupan.
Jujur, sehingga ke hari ini, setelah melalui pelbagai fasa
dan kenangan, tidak ada satu pun yang terlintas untuk diungkapkan melainkan
rasa syukur dan redha untuk semuanya.
Maha suci Allah yang Maha Hebat dalam kekuasaannya.
My Wishes: Generally.
Semoga 20 tahun yang telah berlalu diberkahi setiap
detiknya. Teringat kata-kata kak Rohana, “Umur kita bukan dinilai pada
bermulanya kehidupan jasad, tetapi pada usianya Iman kita hidup..”.
Takut disangka telah bekerja banyak, tetapi sebenarnya
dinilai kosong oleh Allah lantaran terlalu banyak compang camping yang
mencacatkan amal.
Dan semoga terus diistiqamahkan untuk terus kuat di atas
jalan yang menuntut semaksima bersih dan fokus ini.
Teringat kata-kata cikgu Mai dalam halaqah khas di MATRI
dahulu,
“ketelitian kita dalam membawa amal Islami ini kepada
Allah, samalah seperti kita sedang membawa semangkuk susu dan sedang melintasi
titi tali yang halu, dalam keadaan air sungai yang mengalir deras. Dan kita
perlu melindungi susu itu dari dimasuki walaupun setitik air yang melompat dari
derasnya arus..”.
SubhanAllah.
Juga, semoga terus mampu menjadi anak solehah kebahagiaan
ayah dan bonda. Membahagiakan bonda di dunia, juga membahagiakan mereka di sana
dengan ganjaran syurga terindah atas setiap amal soleh yang punya banyak saham
mereka di dalamnya.
Sangat mustahil untuk dibayar atas segala yang telah mereka
korbankan untuk melihat kami, anak-anak membesar dan dewasa dalam kenikmatan
Iman dan Islam. Hanya Allah, Sang Pemilik kerajaan langit dan bumi yang mampu
mengganjari mereka insya-Allah.
Semoga Allah sentiasa bersama dalam langkahan yang berbaki
ini.
*Jazakillahukhairan katsira bonda untuk semuanya. :') Hanya syurga yang selayaknya untukmu..
My Wishes: Specifically.
Ada banyak jika disenaraikan. Namun sekadar mahu berkongsi
seperkara yang sedang saya lalui sekarang ini.
Allah izin, berpeluang untuk melalui satu lagi fasa baru yang agak besar sebelum
melangkah kepada fasa yang lebih besar. Jujur. Sangat menakutkan sebenarnya.
Melalui fasa ini yang rata-rata menggambarkan sebagai
fasa yang akan berlaku banyak pergolakan dan ujian, membuatkan saya
sungguh-sungguh berharap dan mendoakan agar saya dapat melaluinya dengan rasa
tenang yang membahagiakan.
Biarlah fasa ini
menjadi salah satu fasa yang baik tanpa ada terasa hati, atau prasangka, atau
rajukan atau apa-apa yang membuatkan semakin tidak tenteram dan memenatkan.
Sebelum ini , mungkin
sekadar membaca dari sudut teori tetapi sekarang sedang mempraktikalkannya dan
sungguh, sudah melihat ada perubahan dalam diri yang tidak pernah dialami
selama ini. Perubahan yang saya kira ada dua kesannya.
Secara positif,
Alhamdulillah, selama ini yang tidak pernah memikirkan tentang apa itu isteri
dan rumah tangga, sekarang sudah mula perlahan-lahan bertatih untuk menyelami
besarnya peranan seorang isteri dan tuntutan-tuntutan ke atasnya untuk dipenuhi
secara wajib. Tidak dilupa, belajar untuk membenihkan nilai-nilainya seperti
setia, menyokong, percaya, hikmah dan lain-lain yang serius selama ini berada
di luar kotak fokus saya. (baru faham, nak jadi isteri cerdik yang solehah
itu susah rupanya. Patutlah ganjarannya syurga)
Secara negatifnya
pula, saya perasan sesuatu. Selama ini tidak berpengalaman dengan ‘perasaan’
yang halus itu. Agak kekok apabila sifat kanak-kanak seperti ‘rasa nak merajuk
tanpa sebab’ sipi-sipi muncul. Jujur, pengalaman
ini membuatkan semakin sedar bahawa saya adalah seorang wanita dan memiliki
fitrah jiwa dan perasaan kewanitaannya yang sungguh-sungguh perlu ditenun
dengan baik agar tidak terjerumus kepada masalah.
Justeru, mendoakan
agar Allah terus menguatkan untuk teliti dan berhati-hati dalam pembinaan
perkara besar ini. Semoga rasa takut dan tawakal menjadi bekal yang baik insya-Allah.
Penutup: 21 Tahun Itu
Perlu Seiring Kematangan.
Sultan Muhammad
alFateh, dalam banyak riwayat mengatakan telah membuka Kota Konstatinople
ketika usia 21 tahun. Dan catatan memberitahu bahawa ketika itu beliau telah
berkahwin dan memiliki anak.
Saya terfikir sesuatu.
Ketika manusia lain melihat kehebatan Sultan alFateh, saya teruja untuk
mengenali siapa isterinya dan
bagaimanakah keperibadiannya kerana sangat mustahil beliau mampu menjadi hebat
sebegitu tanpa sokongan dan dokongan isterinya yang pastilah usia sekitar
sebaya atau mungkin lebih muda.
Dan pastilah kehebatan
yang menjadi tongkat manusia yang hebat itu tidak akan dibentuk melainkan
dengan kematangan.
Sungguh. Semoga mampu
matang sebagai hamba Allah yang rabbani, matang dalam menjadi anak yang solehah,
matang dalam memenuhi amanah seorang pelajar yang perlu mencintai dan menjiwai
ilmu, matang dalam muamalah bersama masyarakat, matang dalam menguruskan
amanah, matang dalam persediaan menjadi sayap kiri serta murabbiah dalam madrasah
anak-anak, matang dalam membuat keputusan, matang dalam menjadi muslim mukmin
yang bermanfaat dan sebagainya.
Peringatan buat diri,
walau apa pun warna kehidupan yang mahu dicorakkan, pakukan sungguh-sungguh,
bahawa hanya syurga itu destinasi yang benar.
“Apakah kamu lebih
redha dengan kehidupan dunia ini dari kehidupan akhirat sedangkan kehidupan di
dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit” (30:9)
Semoga Allah terus
redha insya-Allah.
Nota kaki:
-fakta yang paling
menarik ialah, Sultan alFateh juga dilahirkan pada 29 Mac 1432. ^^.
-Terima kasih untuk
semua atas ucapan-ucapan di wall, inbox, live serta hadiah dan kek-kek. Dan
ucapan yang terbaik pada tahun ini ialah dari Nafeesa Ayesha semasa meeting
PINTAR semalam. Jazakillahukhairan katsira ya nafeesa atas ucapan yang sangat
dalam dan bermakna, malah ke hadapan. ;)
-Buat mereka yang berada di Malaysia, yang mampu dan dibenarkan ke GMJ pada 30 hb ini, semoga kalian memanfaatkan peluang tersebut insyaAllah.
Global March to Jerusalem