Wednesday, September 21, 2011

Entri Istimewa: Ayah ii

daddy, you're now having a son-in-low and you'll be a grandpa sooner..^^.

sambungan.

Pagi itu, pagi Jumaat. Saya, bonda dan kakak pulang untuk bersiap. Teringat ayat bonda ketika itu, "bersiap untuk satu hari yang panjang. Kita tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku".

Jujur, meskipun ayat bonda itu seperti peringatan untuk penyediaan mental dan emosi yang cukup, tetapi saya sebenarnya saat itu masih merasakan ayah akan bangun lagi. Mungkin lantaran tidak pernah melihat kematian di hadapan mata.

Jam 7 lebih, semasa tiba di jalan berdekatan pejabat lama ayah, Wisma Taiko, mendapat panggilan dari abang yang meminta kami segera sampai.

"badan ayah dah keluar darah".

Setibanya kami di hospital, kelihatan sudah ramai kenalan ayah tiba. Dan saluran alat bantuan pernafasan ayah telah bertukar dari alat biasa kepada saluran seperti paip yang masuk ke dalam badan. Kata abang, doktor maklumkan, saluran-saluran darah ayah telah pecah. Justeru, alat itu bagi menyambung terus ke jantung ayah.

Sepanjang hari tersebut, kami meneruskan bacaan alQur'an yang bermula semenjak ayah koma. Dan kenalan-kenalan kerja ayah serta sahabat sahibah seluruh Malaysia semakin ramai dan memenuhi ruang koridor tingkat 5. Sehingga pakcik guard naik kerana aneh terlalu ramai yang datang menziarahi ayah.

Darah mula mengalir keluar dari ruang-ruang roma ayah. Tilam basah dengan darah. Kaki ayah mula sejuk. Bonda tidak berganjak dari sudut sebelah ayah.

Teringat pekerja ayah bahagian accounting (kalau tidak silap) Miss Liau(tidak ingat apa namanya tapi muka ingat) meminta izin untuk berdoa di gereja. "Tuan Hazni seperti bapa saya. saya mahu minta pada Jesus supaya dia sihat kembali. " Lucu pun ada juga bila makcik yang duduk di sebelah berbisik perlahan, "tak apa, biarkan ja dia doa, macam jesus tu ada". Kalau tidak silap, nama makcik tersebut Makcik Raja Maryam.

Tatapan Terakhir: Bukan kami di sisi.

Sedikit terkilan, ketika ayah pergi, kami sekeluarga tidak ada di sebelah.

Teringat selepas solat Jumaat, orang semakin ramai datang dan mereka tidak pulang-pulang. Justeru, memang penuh koridor panjang di tingkat 5. Dan pak su (abang mak), menyuruh kami sungguh-sungguh makan dan sememangnya kami tidak menjamah apa-apa dari semalam. Awalnya agak berat, tetapi bonda membenarkan maka kami 4 beranak turun ke kantin hospital. Dan pakcik Rosdi Baharom menggantikan tempat kami membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah.

Selepas makan, ketika sedang menaiki lif, bertemu dengan bonda di tingkat 3 (ingat-ingat lupa) dan bonda nampak cemas. "Tadi masa mak solat, nenek call".

Ketika sampai di tingkat 5, orang ramai memanggil dan meminta kami bergegas. Saya yang membawa bungkusan air yang banyak (paksu beli untuk diberi kepada orang yang menunggu ayah di koridor), masih sempat mengagih-agihkan bungkusan air tersebut sehingga abang Syafiq panggil, "Nurul, cepat..!". Dan langit mula basah dengan renyai-renyai hujan.

Dan ketika saya masuk, saya sempat melihat tubuh ayah di balik tutupan langsir (langsir tidak menutupi habis bahagian kepala sebab ada banyak mesin) terangkat tinggi akibat kejutan elektrik. Beberapa kali. Sehingga saya nampak garisan hijau di tepi berbunyi panjang berserta garis lurus.

Dan ketika itu doktor membuka langsir dan mengatakan sesuatu pada bonda. Ringkas. Tetapi membuatkan bonda menangis sambil memeluk kakak. Abang juga menangis. Tinggal adik terpinga-pinga di tepi. Adik tanya, "kenapa ni cik niza?".

Teringat adik menjerit, "ayah..! ayah…! ayah…!" selepas makcik Niza maklumkan bahawa ayah telah tiada sebelum mak cik Niza memeluk adik. Manakala saya pula, entah makcik mana yang datang mengangkat saya dari terjatuh. Hanya mampu menangis sambil mengulangi, "makcik, ayah dah tak ada..ayah dah tak ada..".

Tatapan Terakhir: Kucupan Terakhir Itu.

Teringat selepas habis nurse-nurse mencabut alat-alat yang melingkari tubuh ayah, kami anak-beranak menghampiri ayah. menatap wajah itu buat kali terakhir. Sejuk dahi ayah ketika saya kucup. Dan darah bertakung di mulut ayah.

Teringat ketika mengangkat tangan ayat, tilam merah. Begitu juga ketika nurse-nurse mengalihkan tubuh ayah untuk diuruskan, tilam basah dengan warna darah. Seperti air.

Baru ketika itu saya tahu, apa itu denggi berdarah.

Dan ayah dikebumikan malam itu juga diiringi rembesan air yang menitik dari langit.

Sungguh. Kematian itu Ibrah Terbesar.

Selepas kematian ayah, saya mula belajar untuk memahami sebuah kematian. Dan paling penting, saya mula belajar apa itu husnul khatimah.

Seminggu selepas ayah meninggal, Allah izin, mak tam terbaca buku berkenaan kematian tulisan Imam alGhazali (sedangkan buku tersebut telah lama di perpustakaan rumah). Dan beberapa perkara telah kami temui dalam kematian ayah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

-Diambil nyawa pada hari Jumaat.

-Diiringi dengan ramainya orang. (hanya Allah yang Berkuasa menggerakkan hati-hati mereka). Teringat, ada yang datang dari Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Perlis, dan lain-lain sehingga salah seorang kenalan kerja ayah berkata, "kalau orang lain meninggal, tak seramai ni".

-Kematian bersama orang soleh. Ketika ayah meninggal, bukan kami di sisi (mungkin kami belum cukup soleh) tetapi sahabat hebat, pakcik Rosdi yang sentiasa membisikkan kalimah tauhid di telinga ayah sehingga kata pakcik Rosdi, "sehingga ana nampak denyut hazni berhenti sebelum panggil doktor".

-hujan renyai-renyai mengiringi saat kematian dan saat dikebumikan.

-peluh terpercik di dahi ketika sedang menghadapi sakaratul maut. Kata bonda, awalnya bonda aneh, kenapa dahi ayah seperti terpercik peluh sedangkan bilik wad sejuk ber 'air cond'.

-ramai yang bersedih dan merasai kehilangannya.


Yang lain, saya tidak ingat. Harap maaf.

Saat melihat sesuatu yang membahagiakan ini insya-Allah, saya secara peribadinya mula belajar mengorek apa yang tersimpan dalam kehidupan ayah yang selama ini hanya saya kenali sebagai seorang ayah yang sibuk dan kurang bersama kami anak-anak.

Penutup: 3 September 2004-3 September 2011, 7 Tahun Yang Telah Berlalu.

Jujur. Tidak dinafikan sebenarnya saya terlalu bersyukur dengan pengambilan ayah di awal usia. Ketika masih mentah. Lantaran dari situ, saya belajar bertatih mencari kematangan.

Paling penting, saya mengenal sebuah kematian di awal usia sehingga dengan kematian itu titik kehidupan saya berubah 180 darjah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Dan saya belajar untuk bersungguh mencorak seni kematian untuk dihadiahkan saat bertemu Allah nanti.

Teringat kata-kata Dr. Abdul Aziz Rantisi, mas'ul HAMAS selepas Sheikh Ahmad Yassin,

"Jika ditanya kepadaku kematian yang bagaimana aku inginkan, kematian biasa atau apache (helikopter Israel) maka aku memilih apache."

Teringat juga ketika asSyahid Syed Qutb dijatuhkan hukuman gantung sehingga mati, sahabat IM yang lain memberi cadangan untuk membawa lari Syed Qutb keluar dari penjara, tetapi jawab asSyahid,

"usah, biarkan aku bertemu dengan Rabbku. Ini kerehatan bagiku".

*ayat yang lebih kurang.

Sungguh. Selama 7 tahun ini, saya belajar dari tarbiyah sebuah kematian.


Nota kaki:

-setelah 7 tahun berlalu, saya hampir-hampir terlupa bahawa saya pernah mempunyai seorang ayah lantaran telah terlalu lama tidak memanggil gelaran itu.

-semoga Allah rahmati dan ampuni ayah. amen.




1 comment:

  1. Alfatihah dr pakcik kepada al marhum,
    Pak cik kenalinya dan besahabat semasa menetap di Ipoh tahun 1997an. Pernah tinggal dan kerumahnya berhalagah....

    ReplyDelete

mohon pandangan.