Semalam, program iftor jama'ie diisi dengan perkongsian berkenaan seni kematian. Olahan ringkas dari buku 'Design kematian anda' (kalau tak silap) tulisan akh Solihin Abu 'Izzudin dari seberang Indonesia.
Diam. Satu muhasabah terbesar.
Saat bila saya belajar tentang kematian.
Teringat selama kehidupan saya, kematian pertama yang saya belajar adalah kematian ayah. Lantaran, kami membesar tanpa tok atau tok wan atau datuk atau saudara-saudara berusia yang sakit. Bak kata bonda, kami ini miskin saudara.
Justeru, tidak pernah tahu apa itu kematian dan melihat kematian kecuali saat menziarahi kenalan-kenalan ayah atau bonda yang telah pergi dulu. Itu pun sekadar melihat sekujur tubuh yang telah dikafankan. Tanpa ada rasa apa-apa.
Tatapan Terakhir: Tidak pernah Terjangka bahawa itu yang Terakhir.
Teringat sekitar hujung Ogos dan awal September 2004. Ayah dimasukkan ke dalam hospital Pantai Puteri, Ipoh pada 31 Ogos 2004 malam dan denyutan jantungnya berhenti tepat jam 3.15 petang 3 September 2004 hari Jumaat.
Teringat ketika ayah awal-awal demam. Panas dan tidak kebah-kebah. Bonda pula perlu mengikuti rombongan ke Indonesia selama 4 hari (kalau tidak silap kerana ketika awalnya kami menjangka ayah hanya demam biasa dan ayah yang meminta bonda untuk pergi. Lalu, hanya kami 4 beradik yang menjaga ayah. 4 beradik yang tidak pernah belajar untuk menjaga orang sakit sebelum ini. Terkilan, kerana tidak mampu laksanakan tanggungjawab terakhir dengan baik.
Teringat ayah hanya duduk di dalam bilik di tingkat atas. Dipasangkan air cond bagi menghilangkan panas yang terlampau. Jika ada apa-apa hajat, ayah akan menelefon kami di bawah.
Teringat saya dan adik memujuk ayah untuk makan dengan kami berkelah di sebelah ayah. Namun, ayah tetap tidak berselera dan hanya mahukan oat.
Teringat kami semua aneh dengan sikap ayah yang mahu abang mandikan ayah sedangkan selama ini ayah yang kami kenal sentiasa bersikap berwibawa dan tidak pernah menunjukkan rasa lemah walaupun ketika sakit.
Teringat peristiwa aneh lain, ialah ketika ayah membenarkan abang memandu ayah ke klinik yang berdekatan buat kali kedua sedangkan ketika itu abang masih belum memiliki lesen. (apatah lagi ayah sangat susah membenarkan orang lain yang memandu dan ayah duduk di sebelah sekalipun bonda). Dan abang begitu teruja atas kepercayaan tersebut kerana selama ini, abang hanya curi-curi memandu tanpa pengetahuan ayah.
Teringat kami semua merungut kerana ayah masih cerewet seperti biasa walaupun ketika sedang terbaring. 3 peristiwa yang masih saya ingat jelas tentang cerewetnya ayah ketika itu ialah peristiwa ayah tidak mahu tuala yang ada sedikit kesan kotor (kesan yang tidak hilang walaupun telah dicuci beberapa kali), peristiwa ayah tidak mahu oat baru yang abang beli bagi menggantikan oat yang telah habis sedangkan oat tersebut sama sahaja (sebijik) dan juga peristiwa sebelum bergerak ke hospital pada malam 31 Ogos, dalam keadaan lemah dan lesu, suhu badan yang tinggi sehingga terpaksa dipapah oleh abang, ayah tetap tidak mahu mengenakan t-shirt yang sedikit berkedut dan meminta kami meng'iron' nya.
Saat semua itu menjelma kembali, tiba-tiba rasa sebak. Muncul penyesalan. Kenapa ketika itu saya tidak menjaga ayah baik-baik. Jika kami tahu bahawa penjagaan kami yang pertama itu adalah yang terakhir, pasti kami akan lakukan sehabis terbaik.
Tetapi, bukankah kematian itu rahsia?
Tatapan Terakhir: Tidak Pernah sedar 'dia' Sedang Menunggu.
Teringat beberapa hari sebelum ayah demam, ayah sempat membawa kami beriadah di bukit(tak ingat nama . Tempat orang suka jogging. Sekitar Batu Gajah kalau tidak silap). Sempat ayah berjenaka seperti setiap kali kami berjoging di situ iaitu ayah akan 'main tipu' dengan tidak menghabiskan track sehingga ke checkpoint atas. Ayah hanya akan joging sehingga kami hilang ke atas dan kemudian turun ke bawah dan akhirnya ayah yang akan sampai dulu di garisan akhir sebagai pemenang. ^^#.
Dan itu adalah yang terakhir.
Teringat ketika hari 31 Ogos, kami 4 beradik (yang sepatutnya abang, kakak dan saya perlu bersiap untuk pulang ke MATRI, tetapi tidak jadi kerana perlu menjaga ayah sementara menunggu kepulangan bonda), sedang menonton perarakan Merdeka di ruang television, kelihatan ayah turun perlahan-lahan dari tingkat atas dalam keadaan yang tidak stabil. Mungkin akibat suhu yang tinggi. Dan lekas-lekas abang memimpin ayah turun. Nampak ayah senyap dan duduk di ruang tamu sambil melihat halaman luar.
Dan malam itu adalah malam terakhir ayah di rumah dalam keadaan masih bernyawa.
Tatapan Terakhir: Pengalaman Pertama di Hospital.
Malam 31 Ogos. Saya dan adik tergerak untuk melihat ayah di atas. (kerana sebelum-sebelum ini kami diajar semenjak kecil untuk tidak sesekali mengganggu ayah yang sedang beristirahat). Teringat ayah sedang meracau. Lantas memanggil abang dan kakak.
Dan abang bergegas keluar memanggil jiran. Jiran sebelah, Pakcik Mukhlis membawa abang dan ayah ke Hospital Pantai Puteri kerana ayah tidak mahu ke government hospital. Tinggal saya , kakak dan adik di rumah.
Setelah menunggu lama, abang telefon, "ayah kena denggi berdarah".
"apa tu denggi berdarah?".Teringat soalan saya dan adik selepas kakak memaklumkan pada kami.
Lantaran ketika itu, tiada pendedahan berkenaan denggi akibat kerajaan tidak melancarkan kempen penularan wabak denggi tersebut . Kesannya, doktor-doktor tidak intabeh (tidak peka) meskipun ayah telah pergi ke klinik 2 kali dalam keadaan suhu yang panas. Selepas beberapa ketika kematian ayah dan berlaku pertambahan kematian, baru kerajaan melancarkan kempen dan kesannya sangat jelas. Jika ada sahaja pesakit yang demam tanpa selesema dan batuk, langsung doktor-doktor akan mengambil ujian darah.
*Perkara ini saya tahu dari doktor di Hospital Besar Ipoh yang merawat ayah.
Malam itu juga, nenek (mak ayah di KL) datang dihantar oleh paklong Zain (abang ayah). Dan pagi tersebut sempat menonton rancangan MHI kerana makcik Niza (kakak ayah) keluar di television. Lucu saat teringat semula betapa tidak tahunya kami akan bahayanya denggi berdarah. Terlalu positif yang ayah akan sembuh semula.
Kemudian baru nenek membawa kami 3 beradik ke Pantai Puteri dengan memandu kereta bonda. Teringat ketika melalui jalan besar di hadapan STAR (sekolah Tengku Abdul Rahman), bunyi seperti sesuatu yang dilanggar secara berderet. Dan orang-orang di sekeliling melihat kami sambil tersenyum. Rupa-rupanya nenek melanggar susunan panjang kon di sepanjang jalan besar tersebut. ^^#. Teringat jawapan nenek ketika kami ketawa, "mana nenek tahu..".
Sesampai kami di sana, kelihatan ayah terbaring di atas katil. Dan sahabat-sahabat mula datang menziarahi sambil menderma darah bagi darah jenis 'O' kerana kata doktor, simpanan darah jenis 'O' sangat kurang. Justeru memerlukan penderma bagi menggantikan stok yang diguna pakai.
Teringat lagi antara peristiwa lucu. Virus denggi memakan platelet yang menyebabkan darah menjadi cair. Justeru, ayah perlu dimasukkan (tidak tahu istilah medicalnya) platelet yang berwarna kuning, yang tergantung di atas tiang besi. Dalam masa yang sama, pesakit yang tidak mampu berjalan akan disediakan kemudahan membuang air kecil secara saluran. Saya yang begitu teruja pengalaman pertama di hospital bertanya kepada abang, sambil melihat satu lagi bungkusan di bawah tepi katil.
"itu pun platelet juga ke abang?".
"ish, bukanlah.. itu tempat kumbahan ayah". ^^#.
Dan Allah izin, ayah perlu ditukar ke Hospital Besar Ipoh akibat kekurangan kepakaran. (sedangkan bayaran semalaman begitu mahal. Sekitar rm 5000 kalau tidak silap). Alhamdulillah bonda sampai pada hari tersebut. Nampak bonda terkejut kerana tidak sangka demam yang tidak kebah-kebah rupanya demam yang bahaya.
Tatapan Terakhir: Pengalaman Pertama hidup bersama Kot Putih.
Ayah ditempatkan di CCU di tingkat 5 (ingat-ingat lupa) Hospital Besar Ipoh. Unit Jantung kata doktor. Dan bermulalah saya melihat dekat manusia-manusia berkot putih di sana sini.
Allah izin 1 dan 2 September, platelet ayah stabil. Malah ayah sempat berbincang urusan syarikat ketika kenalan-kenalan kerjanya datang menziarahi. Dan ayah minta abang pulang ke MATRI kerana 3 September, abang mempunyai peperiksaan kertas bahasa Arab Tinggi trial SPM.
Teringat ayah begitu ceria pada hari itu. Semua sahabat-sahabat yang datang ziarah dilayan sehingga bonda menasihati ayah untuk berehat. Dan ayah jawab, "eh, dah sihat dah ni..".
Nenek telah pulang ke KL manakala saya, kakak dan adik duduk di rumah. Sehingga kami menerima panggilan dari bonda seusai Maghrib. Nampak kakak cemas. Teringat kakak hanya mencapai jubah dan tudung di belakang pintu. Kata kakak, "cepat siap, nanti pakcik Mukhlis bawa kita ke hospital".
Dalam kereta, masing-masing senyap. Tidak tahu apa yang bakal dihadapi nanti.
Ketika sampai, terus berlari dalam keadaan ruang hospital telah gelap. Masuk berjumpa guard dan mengulangi pesanan bonda, "cakap dekat pakcik guard kata nak jumpa ayah, Hazni Binti Hashim".
Teringat ketika awal menapak di bilik CCU, langsung nampak ayah yang sedang diberi bantuan pernafasan. Dada ayah turun dan naik. Bonda sedang menangis. Baru ketika itu saya menangis. Akhirnya ayah senyap dan koma.
Ketika itu hanya ada saya, bonda, kakak, adik, mak tam (kakak mak) dan pakcik Mukhlis. Abang dalam perjalanan pulang ke Ipoh semula setelah mendapat panggilan dari bonda.
Tatapan Terakhir: Esok yang Terakhir.
Malam itu kami tidur di hospital. Dan abang sampai bersama Ustaz Khairul dan Ustaz Mahathir. Ayah masih koma.
Teringat bonda cerita, ketika lewat petang, selesai semua pulang dari menziarahi ayah, tinggal ayah dan bonda. Tiba-tiba ayah meracau dan mahu menanggalkan alat-alat bantuan yang ada di tubuhnya. Ayah nampak agresif. Bonda lekas-lekas memanggil doktor. Dan saat doktor datang, ayah telah senyap. Doktor 'check' kedua-dua mata ayah dan kelihatannya mata ayah telah kuning dan ada bintik-bintik marah. "ada pendarahan di kepala", kata doktor.
Saya yang ketika itu tidak faham hanya mendengar teliti.
Teringat ketika nenek sampai kembali, nenek terus ke tepi ayah dan mengulangi kata-kata redhanya. Teringat antara ayat nenek, "hazni, mak telah lama redha dengan hazni. Mak redha dengan susu yang telah hazni minum…". Dan ketika itu, ayah memberi respons dengan menggenggam tangan nenek. Seterusnya kami seorang demi seorang anak-anak pula meminta maaf dan memaafkan ayah. Teringat antara ayat saya ketika itu, "ayah, nurul minta maaf sebab tak mampu jadi anak yang solehah. Ayah maafkan nurul ya. Dan nurul juga maafkan semua kesalahan dan kesilapan ayah sebagai ayah".
…..
perkongsian menarik mengenai kematian..
ReplyDeletehanya bila mana kematian menjengah saudara dekat barulah ana dapat merasa ape itu kematian..
moga roh ayah saudari dicucuri rahmat..