Dalam kereta semalam, sewaktu perjalanan pergi ke Walimatul 3rus sepasang senior lulusan perubatan Jordan di Kulim Kedah, bonda pinta lagu ini didendangkan. Bilang bonda, lagu ini sangat mengusik jiwanya.
Meski kata bonda, "lagu ini bicara hati ibu-ibu tua di kampung..", namun sungguh, saat lagu ini memenuhi ruang kenderaan abang, air mata deras mengalir.
Bohong jika saya katakan saya tidak terpukul dengan puisi nukilan Dr. MAZA yang dinyanyi merdu oleh Aishah ini. Saya, anak perempuan kepada bonda. Kecil-kecil diasuh sempurna penuh sabar; nakalnya, sakit demamnya, degilnya, sedih dan gembiranya semua dipinta dari bonda untuk jenuh bersengkang mata menemani, mendidik dengan hukuman dan sayang. Saat meningkat remaja, bersama pula ragam dan karenah yang terus terusan mengerah bonda untuk melentur hikmah. Saat baru belajar berbakti, 4 tahun pula membesar jauh.
Kemudian bakal pula diambil pergi, berkhidmat untuk manusia lain selepas apa yang telah bonda korbankan segala untuk melahirkan siapa saya hari ini.
Bukankah Anak Perempuan Itu Pendinding Neraka?
Saat tangan bonda saya gapai dan kucup memohon maaf kerana tahu seakan-akan lagu itu adalah lagu bonda yang sunyi keseorangan ketika kami anak-anaknya berjauhan.
Tambah, saya tidak sempat untuk menjaga bonda selama ini dan akan datang juga, tiada jaminan.
Bonda tenang.
"Tidak mengapa, Allah Maha Adil. Meski anak-anak perempuan di kemudian hari perlu mentaati suami mendahului mak ayah sendiri, mak ayah tetap telah mendapat kebaikan iaitu hasil didikan kepada anak-anak perempuan sehingga mereka menjadi orang-orang yang beriman, beramal soleh, menjadi isteri yang solehah dan mentaati suami, dengan Allah menyediakan bagi mak ayah tersebut pendinding-pendinding neraka.
Itu yang mak pegang selama ini. Kalau ikutkan perasaan, memang akan rasa sedih, selama ini kita bersusah payah besarkan, apabila telah dewasa, keluar dari rumah tinggalkan kita, apabila sakit bersalin dan berpantang, balik ke rumah kita kemudian selesai sihat, keluar semula ke rumah dan sibuk semula menguruskan keluarga sendiri. Masa bilalah anak perempuan nak berkhidmat untuk mak ayah.. Sebab itu boleh berlaku perebutan antara mertua dan menantu sehingga menghimpit anak perempuan dalam dilemma.
insyaAllah, mak rasa lapang dada menyerahkan anak-anak perempuan mak untuk berkhidmat menjadi isteri-isteri yang solehah kerana mak yakin, segala apa yang telah mak curahkan selama ini akan Allah balas di sana insyaAllah.."
Air mata menitik lagi.
"Tapi anak lelaki lain ya.. Tanggungjawab ke atas ibu sepanjang hayat sehingga akhir nyawa ibu tersebut. Ingat tu zubair dan taha..", pesan bonda di akhir. Abang dan adik mengangguk. Moga benar-benar diserap fahamannya insyaAllah.
Entah, petang itu gemersik sayunya benar meruntun.
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka,nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”. Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?”. Rasulullah s.a.w menjawab,“Juga untuk seorang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Bonda ini, Bonda Kamu Juga.
Saya mungkin akan memiliki mak abah baru yang menjadi tanggungjawab suami saya nanti untuk memuliakan dan mendahulukan mereka lebih. Mungkin nanti, jika untuk menziarahi bonda sendiri, saya perlu meminta izin suami, apatah lagi untuk menjaga bonda. Bahkan, jika saatnya bonda memanggil dan dalam waktu yang sama suami saya memanggil, saya pasti perlu mendahulukan suami.
Kerana itu semua adalah apa yang diajar baginda, Rasulullah s.a.w.
Namun jangan pernah melupakan, bahawa baginda s.a.w juga mengajar kita untuk memuliakan mertua dan keluarganya. Betapa kasihnya baginda kepada setiap mertuanya dan betapa baginda memuliakan mereka seperti mana baginda memuliakan ibubapa baginda sendiri.
Apabila ikatan pernikahan memberi keistimewaan dalam hubungan antara menantu dan mertua seperti terangkatnya hijab aurat daripada aurat antara manusia-manusia asing kepada aurat antara anak dan ibu bapa dan tidak terbatalnya wuduk apabila bersentuhan makanya segala apa yang berkaitan tetap mengambil hukum yang sama. Begitu jugalah dalam hal apa yang dilarang kepada anak-anak untuk dilakukan kepada ibu bapa mereka sendiri.
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdia dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil” (Al-Israa’: 23-24)
"Dan sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan denganNya sesuatupun, dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kami berbuat baik, dan yang mempunyai tali kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan tetangga yang menjadi kerabat...."(An-Nisa’:36)
Rasulullah bersabda: “Adakah kalian mahu kuberitahu tentang dosa-dosa yang besar?”. Para sahabat menjawab: “Kami mahu, ya Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam sama sekali tidak pernah hadir tempang. Apabila datangnya satu kelebihan atau hak, makanya tanggungjawab akan hadir sama banyak. Apabila menantu yang baru dinikahi oleh anak perempuan itu mampu melihat bonda mertuanya tanpa berhijab, sedangkan anak jiran yang dikenali semenjak kecil tidak memperolehi hak yang sama, makanya tanggungjawab menantu terhadap mertua, pastilah tidak sekecil anak jiran yang mungkin hanya perlu bertanya khabar.
Penutup: Common Sense.
Islam adalah deen yang adil dalam hak dan tanggungjawabnya. Islam juga adalah deen yang menuntut common sense manusia.
Logik akal, apabila seorang suami itu menikahi isterinya, yang telah terdidik agamanya, yang telah faham ia akan imannya, ibadahnya, tanggungjawab muslimnya dan baik akhlaknya hasil didikan mak ayah mertua, bahkan telah tahu ia dalam pengurusan kehidupan hariannya daripada segi memasaknya, mengemasnya, menyediakan pakaiannya dan sebagainya, juga yang diasuh untuk selalu mentaati kata dan menurut perintah suami selagi tidak melanggar syara', semua itu, bukankah adalah separuh kesenangan dunia yang telah diperolehi?
Maka, hanya common sense yang telah mati sahaja tidak berterima kasih dan mengihsani sepasang lelaki wanita yang telah tua, yang dahulunya bersusah payah mendewasakan dan mendidik isteri itu.
Justeru lelaki, yang bakal menikahi isteri kalian yang tersedia untuk memberi khidmat, jangan pernah tercicir untuk mengasihi dan memuliakan ayah bonda kepada anak perempuan yang kalian sunting itu. Bukankah itu akhlak seorang muslim? =)
Nota kaki:
-terlalu lama berhenti menulis. Tepu banyak cerita tetapi jemari rasa keras.
-selalu berjanji pada diri untuk bersungguh belajar menjadi isteri yang baik, agar suami nanti belajar untuk menjadi anak yang baik buat bonda. insyaAllah.
-Doakan saya sahabat.
senyum baca post ni. =)
ReplyDelete