Tuesday, December 23, 2014

Warkah Bonda I

Salam kesejahteraan ke atasmu anak kecil yang dinanti bonda dan baba, moga kamu sihat-sihat sahaja saat ini. 

Usiamu sudah memasuki fatrah minggu ke 29.  Alhamdulillah. Syukur, kamu sudah ditiup ruhnya, dan kamu sudah banyak bergerak. Menendang-nendang, menolak dan berpusing sehingga kadang-kadang perut bonda, kelihatannya senget. 

Senyum. Tidak sabar bonda menunggu untuk mendengar tangisan pertamamu nanti insyaAllah.

Anak bonda yang dikasihi,

Teringat ketika awal-awal fatrah muntah-muntah yang teruk di bulan Ramadhan yang lalu. Baba dan bonda sangka, muntah-muntah akibat silap makan atau angin akibat berpuasa. Lucu apabila teringat bonda disuruh baba mengambil 'eno' dan minuman bercampur halia yang ditumbuk. Juga baba berikan bonda minyak urut dan losyen panas bagi membuang angin di perut.

Senyum. Semua itu kenangan, nak. Apabila diusik paklong adi tentang anak saudara, baru kami mula terfikir kemungkinan tersebut. Baba singgah ke farmasi membeli alat urine pregnancy test senyap-senyap dan penuh debar bonda mengambil ujian tersebut.

MasyaAllah. Line merah kedua jelas kelihatan. "betul ke ni.. macam tak jelas..", komen baba penyedap hati. Lucu. Sedangkan warna sudah jelas, masing-masing masih gemuruh mencari alasan.





Lekas-lekas bonda kongsikan gambar keputusan tersebut bersama makngah yam, dan ucapan "alhamdulillah..! tahniah!", memberi bukti benarlah bacaan tersebut.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah pemilik segala kenikmatan.

Anak bonda yang soleh,


Tidak sangka Alah hadiahkan anak terus selepas bonda tamat sahaja mengambil pil perancang keluarga bagi mengelakkan kandungan dalam fatrah final sem kami berdua.

Kami melakukan perancangan, bukan bermakna kami menolak takdir. Tetapi bonda sangat percaya pada kebijaksaan muslim. Dan yang pasti, hukum mengamalkan perancangan keluarga TIDAK HARAM seperti yang masyarakat risaukan.

Mengamalkan perancangan keluarga tidak sama dengan menggugurkan kandungan. Menggugurkan kandungan adalah selepas proses jadian berlaku tidak kira sebelum atau selepas bayi ditiup roh. Dan perlakuan itu adalah haram KECUALI dalam situasi yang mendapat kepastian doktor yang pakar dengan masalah berikut bahawa jika diteruskan kandungan, maka akan memberi kemudharatan buat si ibu.

Manakala perancangan keluarga adalah ikhtiar awal yang dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah seperti untuk keluarga yang miskin, ibu yang bersalin melalui pembedahan bagi anak sebelumnya, situasi pasangan yang tidak mengizinkan dan sebagainya.


Bonda sedar, bonda tidak mampu untuk berhadapan alahan yang teruk sewaktu belajar. Sedangkan demam pun bonda sudah lembik, inikan pula untuk melalui fatrah muntah-muntah dan tidak lalu makan semasa semester akhir pengajian.

Justeru, selepas merujuk pakar ObGyn dan ahli farmasi, bonda berbincang dengan baba untuk mengamal perancangan keluarga meski cakap-cakap orang, kehamilan pertama jangan dirancang, takut tidak lekat di kemudian hari.

Sebenarnya tidak. Pakar ObGyn juga sahibah yang kita kasihi, Dr Mariam Ahmad memberitahu bahawa hormon dalam pil perancang tidak mengganggu hormon asal seseorang wanita. Jika aturan haid wanita terbabit teratur dan sememangnya subur, maka insyaAllah tidak akan terjejas kesuburan tersebut. Tetapi jika sememangnya tidak teratur dan tidak subur, maka wanita terbabit memang tidak digalakkan mengambil hormon dari pil perancang.

Alhamdulillah keyakinan bonda terbukti. Dan kini, bonda sedang tersenyum melalui hari-hari merasai tendanganmu di dalam perut ini. Syukur.


Anak bonda yang musleh,

Memasuki trimeseter ke-3 ini, perut bonda sudah semakin besar dan beban yang dibawa semakin berat. Tulang belakang selalu rasa sakit dan perut juga sudah selalu dirasai kepedihannya. Duduk bangun sudah payah. Malah untuk sujud juga sudah sukar. Bonda mengambil rukhsah dengan sujud secara menunduk kepala dalam keadaan duduk.

Untuk tidur di waktu malam juga sudah sukar dicari posisi yang selesa. Ditambah kekejangan kaki ketika sedang lena, membuatkan rehat malam tidak seperti dahulu.

Mujur Allah hadiahkan baba yang sangat pengasih dan semoga Allah terus menerus mengasihinya insyaAllah.


Meski baba sibuk menjalani hari-hari letih sebagai doktor pelatih, pulang lewat dan keluar awal, cuma dapat tidur hanya beberapa jam di malam hari, sekaligus itulah waktu rehat baba, namun setiap kali bonda terjaga menangis kekejangan kaki, baba pasti terbangun dan lekas-lekas membantu melakukan urutan sehingga kekejangan hilang.

Maha suci Allah yang menghadiahkan kebaikan buat bonda dengan kehadiran baba yang sangat membuatkan bonda selalu terharu. Sangat terharu.

Sungguh. Bonda senang untuk menceritakan kebaikan baba buatmu anak, agar nanti kamu terus menerus mencintai dan memuliakan baba seperti mana besarnya cinta bonda buat baba.

Anak bonda yang cerdas,




baby google =)

Bonda selalu mendoakan semoga Allah melindungimu dari segala kelemahan, kekurangan dan kemaksiatan bonda juga baba, agar kamu dapat membesar dewasa menjadi muslim yang lebih baik dari kami.

"Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMu" (2:128)

Semoga kelahiranmu dan keberadaanmu nanti menjadikan kami lebih beriman, bertawakkal dan bertaqwa kepada Allah, insyaAllah.

Bonda yang menunggumu penuh cinta,
Nurul Hasna' Hazni
23 Disember 2014
Rumah Kita, Sungai Petani.

2 comments:

  1. Semoga proses untuk melahirkan nnt selamat dan dipermudahkan, kak hasna'. Amin! ^^ Tak sabar nak tgok kak hasna' ada baby. hehe :D

    ReplyDelete

mohon pandangan.