Thursday, February 26, 2015

Warkah Bonda 2


Salam sejahtera bersamanya rahmah dan barakah dari Allah untuk anak bonda yang kini sudah berusia 37 minggu 3 hari di dalam kandungan.

Semoga Allah terus memeliharamu anak sehingga saatnya anak keluar melihat dunia dan terus menerus di bawah jagaanNya hingga anak dewasa insyaAllah.

Anak bonda yang dicinta,

Menghitung hari untuk bergelar baba dan bonda buat kami berdua adalah debaran yang sedang kami lalui. Melihat pengalaman-pengalaman mereka yang telah dan sedang melalui parentinghood, membuatkan kami selalu menyoal diri, adakah kami telah bersedia?

Bersedia untuk melalui keletihan berjaga malam, menjaga sakit demam, menghadapi karenah, tersenyum dalam lelah dan paling penting, bersediakah kami mendidik dan menjadi qudwah hasanah untukmu anak?

Kerna kelak, anak-anak tidak mengikut apa yang dibicara oleh ibu ayah, tetapi apa yang dilihat mata perlakuan dan tindak tanduk ibu ayah mereka. Semoga Allah melindungi keaiban dan kelemahan kami dan menjadikanmu muslim yang lebih-lebih baik dan berakhlak dari kami insyaAllah.

Anak bonda yang dikasih,


gambar bonda dan makngah yam sewaktu kenduri paklong bai.
3 january. Bayangkanlah sekarang bonda bulat mana. hehe.

Hari-hari bonda kini selalu ditemani sakit-sakit contraction sebagai tanda-tanda awal dalam menyambut kelahiranmu. Saat bonda menaip ini juga, beberapa kali terpaksa ditahan pedihnya bahagian perut dan ke bawah. Tidak terbayang nanti sakitnya contraction sebenar ketika di labour room. 

Kata orang, sakit melahirkan adalah kesakitan kedua selepas sakratul maut. Allahu a3lam. Gusar bercampur takut menghantui.. Doa bonda, semoga Allah permudahkan dan menjadikan kesakitan yang teramat sangat itu nanti sebagai asbab pengampunan dosa-dosa bonda yang terlalu banyak. Biarlah bonda bersih sebelum memulakan hari dalam menggalas amanah menjadi bonda sekaligus madrasah pertama buatmu anak.

=')

Anak bonda penyejuk hati,


baba dan abang dhiya'.
(anak paklong adi)

Malam semalam, baba diberi kesempatan untuk meluangkan waktu duduk-duduk dan sembang-sembang dengan bonda kerana malam kelmarin baba oncall (jadi pulang tengah hari). Bukan selalu dan payah-payah sebenarnya untuk menghabiskan waktu sebegitu dengan baba lantaran baba sibuk berkhidmat di hospital. Jika pun pulang ke rumah, selalunya dalam keletihan yang amat dan terus berehat. (sebab itu, bonda teruja menanti teman bonda si comel ini. ^^)

Kami berbual pelbagai cerita. Antaranya ialah perancangan kewangan keluarga yang memasukkan topik insurans kesihatan dan perkiraan simpanan untuk masa depan.

Sungguh. Bonda benar-benar berasa sebak saat melihat mata baba yang bersemangat. Membayangkan wajah itu yang akan bersama bonda melihat anak-anak membesar dewasa, menempuh jatuh bangun rumahtangga, melalui detik-detik usia dan menemani hingga melangkah ke syurga nanti insyaAllah.

Tidak terbayang jika nanti bonda ditinggal sendiri jika kematian yang menceraikan kami. ='( Menangis.

"Ya Allah, panjangkanlah usia kami dalam keimanan dan berkahilah pernikahan ini hingga ke syurga". Doa bonda sungguh-sungguh dalam diam.

Benarlah pernikahan itu adalah kemuliaan dan kebahagiaan insan di dunia. Ikatan yang kuat, janji dengan Allah yang dipegang utuh. Pernikahan adalah sesuatu yang berat. Kerana itu, selayaknya rejam bagi mereka yang mengkhianati pernikahan yang mulia ini.
Matlamat sesebuah pernikahan ialah menenangkan jiwa manusia. Kerana itu Prof Dr. Yusuf Qardawi dalam fatwanya mengenai poligami menyentuh perihal tersebut.

"Para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Ini adalah sesat lagi menyesatkan. Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim ialah BERKAHWIN SATU, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga, tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan al-Quran. (Markazul Mar'ah fil hayati Islamiyah, h.118).

Ingatlah itu wahai anak. Kerana itu, kelak nanti anak dewasa, muliakanlah pasanganmu, cintailah dia sepenuh hatimu dan terimalah dia kesemuanya. Jangan pernah mengganggap pernikahan ini sesuatu yang remeh dan tempat untuk menerima layanan sempurna.

Namun begitu perjalanan rumahtangga baba dan bonda masih terlalu muda. Belum teruji dan sungguh, bonda meyakini bahawa ujian Allah mengikut kemampuan hamba-hambaNya. Allah Maha Tahu kelemahan dan kekurangan kami. Justeru bonda berdoa sungguh-sungguh moga Allah terus melimpahi keluarga kita ini dengan mawaddah dan rahmahnya sentiasa insyaAllah.

Anak bonda pengubat duka,

Cukup buat kali ini. Mungkin post yang bakal ditulis kemudian adalah selepas kewujudanmu di alam dunia yang luas ini insyaAllah. =)

Doa bonda, semoga Allah ketemukan kita dalam kesejahteraan dan kesihatan.

Bonda yang menantikanmu hari-hari,

Nurul Hasna' Binti Hazni.
9.20am.
26 Februari 2015.
Rumah kita, Sungai Petani, Kedah.

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.