Sunday, May 29, 2011

Minda kelas keberapakah kita?

mahu tahu setakat mana kekuatan jiwa kita, bayangkan kita berada dalam situasi ini, diacu senjata oleh manusia berjiwa batu dan binatang. Apakah kita akan bangun melawan atau hanya bisu menuruti lantaran takut ditembaki.

Saya di sisi palestin

Saya di sisi palestin kini

Hari ini,

Semalam,

Dan esok.

Saya di sisi mereka selalu

Mereka saudara saya

Saya saudara mereka.

Saya di sisi al-Aqsa setiap masa

Kiblat pertama muslim

Dan Saya seorang muslim,

Saya di sisi bumi anbiya' sehari-hari

Bumi muqaddasah yang ternoda

Dan anbiya' adalah qudwah saya.

Saya senantiasa di sisinya

Selalu

Setiap masa

Sehari-hari

Senantiasa.

Persoalannya,

Apakah yang telah saya lakukan

Sebagai saudara

Untuk membela penganiyaan ke atas mereka.

Sebagai muslim

Untuk mempertahankannya dari pernodaan.

Sebagai pengikut

Untuk membebaskannya dari penjajahan.

Apakah yang telah saya lakukan?

Saturday 241009

2:03 pm

Palestine itu hidup bukan bermusim.

Penderitaan mereka, jihad darah mereka, qiyam mereka bersama senjata semata untuk menjaga keselamatan saudara-saudara muslim yang lain, munajat mereka, sangka baik mereka terhadap kita dan segala bukan hadir atas dasar semangat seperti mana ingatan kita terhadap mereka.

Semalam di Aqabah.

2 hari 2 malam yang lalu, saya bersama hampir 150 orang mahasiswa dan mahasiswi Yarmouk berada di bumi Aqabah kerana mengikuti rehlah 'Out station Tarbawi' anjuran Majlis Mahasiwa Yarmouk.

Dan ini merupakan kali ke3 saya di sana. Tidak ada apa-apa yang menarik untuk diceritakan. Cuma berhajat untuk menyentuh beberapa ibrah yang saya perolehi sepanjang menjadi biro Program bagi rehlah tarbawi ini.

Kepekaan itu semakin luntur.

Bagi menyahut cabaran presiden MMY dalam meningkatkan kualiti minda dan kepekaan dalam kalangan mahasiswa Timur Tengah terutamanya, sengaja diselitkan dalam program Treasure Hunt pada pagi Jumaat itu dengan check point 'Slot Mahasiwa'.

Dalam slot ini, para peserta diminta untuk menjawab beberapa soalan yang berkaitan subjek-subjek pembelajaran di University seperti hukum hakam, persoalan berkaitan dakwah masyarakat, I'rab petikan ayat dan pengetahuan umum.

Apa yang ingin disentuh ialah berkenaan soalan-soalan bahagian pengetahuan umum yang hakikatnya sengaja disusun bagi melihat sejauh mana keprihatinan mahasiswa-mahasiswa hari ini terhadap sejarah dunia dan sejarah Islam itu sendiri.

Soalan-soalan yang telah dipilih ialah:

1-ketika hari pembukaan kota Mekah, Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khutbah dan menyebut bahawa hari itu adalah hari:

2-siapakah pembuka pertama Kota Andalus?

3-siapakah komander ketenteraan Israel semasa berlakunya peristiwa Sabra Shatilla?

4-siapakah figure penting dalam kejatuhan Khilafah Uthmaniyah?

Melalui serangan luar:

Melalui serangan politik:

5-siapakah presiden Israel sekarang?

6-siapakah pemimpin kulit gelap muslim Amerika yang telah dibunuh kerana berpaling dari ajaran sesat Nation Of Islam NOI?

Menyedihkan, majoriti kumpulan (9 kumpulan akhawat) mampu menjawab dengan benar hanya 1 soalan iaitu soalan ke 5 dan majoritinya hanya menulis Netanyahu dan ada yang tersalah ejaan dan juga soalan 4 bahagian 'melalui serangan politik' iaitu Mustafa Kamal attarturk.

Sedangkan ini adalah soalan-soalan termudah yang dipilih dari jutaan sejarah yang perlu kita ambil berat dan prihatin.

Tingkatkan bacaan dan ambil tahumu, teman..!

Setiap kali berkongsi berkenaan saya telah menghabiskan bacaan buku 'Detik-Detik Hidupku tulisan Hassan alBanna' seawal usia 9 tahun, menghabiskan waktu terluang selepas tamat UPSR iaitu ketika berumur 12 tahun dengan bacaan buku tebal 'Sejarah Umat Islam' tulisan HAMKA dan 'Mereka Yang Telah Pergi' tulisan Abdullah 'Aqil serta betapa telah saya ikuti dan sanjungi sejarah latar hidup dan perjuangan Malcom X seawal usia 7 tahun, mereka pasti mengatakan kekaguman terhadap kecintaan saya pada sejarah.

Pernah, ketika saya ke kedai buku di Amman, dan begitu teruja dengan buku-buku tebal berbahasa Inggeris yang berisikan peradaban-peradaban dunia, sejarah-sejarah peperangan, kisah tokoh-tokoh, strategi-strategi pentadbiran dan serangan empayar-empayar dahulu, muraqib yang ada bersama begitu aneh,

"nak buat status fb la lepas ni. 'Hari ini, saya telah berjumpa dengan manusia yang paling aneh dalam dunia. Yang begitu suka dengan sejarah'..".

-_-#

Hakikatnya, saya yang berasa aneh dengan kalian.

Saya yang semenjak kecil dididik untuk mencintai seerah perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dan dididik untuk mengenal tokoh-tokoh Islam sehingga tumbuh rasa cinta ini terhadap mereka, sejujurnya aneh dengan kalian yang aneh dengan anak-anak muda yang menjiwai sejarah itu.

Bukankah dengan mengenal sejarah sesuatu perkara itu, membuatkan kita lebih menghargainya?

Lalu, bagaimanakah mungkin kita mengaku menghargai nikmat Iman dan Islam, menghargai keamanan, menghargai kemodenan, menghargai pencapaian dan segala tanpa mengambil tahu sejarah permulaan semua itu?

Bagaimana mampu kita menghargai kehebatan Islam tanpa menggali dan hidup dalam dunia yang menceritakan betapa pedih penderitaan, betapa hebat kebahagiaan, betapa manis kemenangan, betapa segar pengharapan, betapa hidup kekuatan yang mengalir sepanjang proses sehingga kita perolehi kenikmatan itu hari ini?

Bagaimana mampu kita menghargai kehebatan tentera-tentera Islam jika kita tidak tahu kehebatan dan kekuatan empayar-empayar yang mereka hadapi dalam pertempuran demi pertempuran sepanjang proses Islam itu berkembang?

Bagaimana mampu kita menjiwai keperibadian muslim itu jika kita tidak tahu ikon-ikon realiti yang memang hidup dalam ruh alQur'an dan akhirat itu?

Bagaimana mungkin kita mampu berhati-hati dari perancangan-perancangan syaitan dan tipu daya jahliyyah jika kita tidak tahu apakah kesan yang telah berlaku terhadap dunia Islam hasil semua itu?

Bagaimana mampu kita membentuk generasi berjiwa besar jika kita sendiri tidak memilikinya lantaran terlalu sibuk dengan hal-hal dan urusan-urusan yang remeh temeh?

Membentuk generasi mujahid bermula sekarang.

Pada saya, jika mahukan anak menjadi mujahid dan berada di barisan paling hadapan medan jihad itu, kita yang paling dahulu perlu tahu bagaimana strategi-strategi peperangan itu diatur. Kita yang perlu dalami, bagaimanakah perancangan yang telah diambil panglima Salahuddeen alAyyubi ketika beliau memilih untuk mengikuti strategi hijrah baginda s.a.w. iaitu melalui jalan jauh bagi mengelirukan musuh terhadap jejak perjalanan itu sendiri.

Pada saya, jika mahukan anak yang serius terhadap masa depan Islam, kita yang paling dahulu perlu serius dan bersungguh terhadap permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam dunia hari ini.

Palestine: menjadi titik tolak kepekaan kita.

Dalam program itu, sengaja saya ambil peluang bersembang-sembang dengan adik-adik dan menarik perhatian mereka terhadap sejarah Palestine memandangkan ketika kami bermain-main di pantai, di hadapan kami adalah Israel serta Mesir.

Buat kesekian kalinya, masih ramai yang belum prihatin bagaimanakah rupa bentuk bumi Palestine itu sendiri. Apatah lagi untuk mengetahui, di manakah terletaknya Ghazzah dan Masjidil Aqsa.

Mari menjadi malu. Malu kalau-kalau saudara-saudara kita di Palestine sana, yang terus menerus berjiwa besar dan semangat yang tidak pernah lentur semata-mata menjaga benteng terakhir umat Islam mendapat tahu betapa masih ramai umat Islam di luar ini terlalu cetek kepekaan mereka terhadap isu Palestine yang hakikatnya merupakan isu akidah kita sendiri.

Mari menjadi takut. Takut kalau-kalau saudara-saudara kita di Palestine sana, yang terus menerus berkorban segala memperoleh rahmat Allah kesemuanya sehingga syurga terhebat itu telah dipenuhi oleh jiwa-jiwa merdeka berbanding kita yang belum terbebas dari dunia dan tipu dayanya.

Semoga Allah tidak menolak kita jauh.

Semoga Allah terus mengurniakan kita jiwa yang besar, perancangan yang teratur, pemikiran yang ke hadapan dan kepekaan jiwa yang menyeluruh. insya-Allah..

Doakan saya sahabat..

Nota kaki:

Sesiapa yang nak jawab soalan-soalan tersebut, dipersilakan..

Tuesday, May 24, 2011

Proses->taqwa->syurga


adakah saya terlalu mahu yang terbaik?

Cuti telah bermula memandangkan imtihan saya tamat awal pada 22hb yang lalu. Dan peluang ini diambil untuk membedah beberapa buku yang sebelum ini hanya sempat dibuka beberapa kali sebelum perlu mengulangnya semula (akibat tidak ingat isi yang telah dibaca).

2 buku yang saya fokus untuk membedahnya pada cuti kali ini ialah:

1)Jalan Dakwah; Sheikh Mustafa Masyhur.

2)Tarbiyah Ruhiyah; Dr Abdullah Nashih Ulwan.


Dan jujur, saya terpukul banyak. Kadang-kadang kita asyik melihat jauh perancangan yang ke hadapan. Dan tercicir aspek penting yang jika tidak ada aspek ini, maka seluruhnya adalah KOSONG.

Tarbiyah Ruhiyah: aspek penting seorang muslim mukmin.

Dalam kita membawa kenderaan kehidupan, kita memerlukan terminal untuk mengumpul bekalan. Dan terminal ini adalah terminal IMAN dan TAQWA. Terminal yang jika kita manfaatkannya dengan tarbiyah dan mujahadah, nescaya terminal ini akan menjadi kekuatan yang akan membangkitkan ruh, melahirkan kemampuan mengkoreksi diri dan membuahkan motivasi dalam diri kita.

Malah, terminal ini merupakan motor utama yang menjadikan kita sensitif terhadap tanggungjawab, merupakan pembimbing dalam menelusuri jalan yang lurus (shirotol mustaqim) dan akan menjadi penasihat yang akan mengingatkan daripada kelalaian atau tersalah jalan.

TAQWA: berhati-hati; takut; pembeza antara Haq dan yang Bathil; waspada; kelembutan perasaan.

Antara definisi taqwa yang perlu difahami ialah:

1)hendaklah Allah tidak melihat kamu berada dalam larangan-laranganNya dan tidak kehilangan kamu dalam perintah-perintahNya.

2)Bertanya Sayidina Umar r.a kepada Ubai Bin Ka'ab berkenaan taqwa. Jawab Ubai:"Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?" "Ya", jawab Umar. "Apa yang anda lakukan saat itu?" "saya berjalan dengan berhati-hati". Jelas Ubai: "Itulah taqwa".

Hanya taqwa yang Allah nilai dan penjamin untuk terus beriman.

"hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu 'Furqan' dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai karunia yang besar" (anAnfal:29)

Sungguh. Saat kita melihat urgensinya kita untuk mendapat tempat kekal yang terbaik iaitu syurga Allah, maka kita akan melihat betapa urgensinya untuk kita meraih anugerah taqwa ini yang hanyaanya dengannya Allah pandang dan sentiasa bersama.

"kenikmatan tidak dapat diperolehi dengan kenikmatan"-Ibnu Qayyim-

Nikmat syurga Allah –yang terbat; tidak terjangkau dalam fikiran; kekal selamanya; matlamat wajib- hasil meraih kenikmatan menjadi muslim mukmin yang soleh tidak dapat diperolehi daripada proses kehidupan yang senang lenang.

Mesti berlakunya pembentukan dan melalui proses Tarbiyah Islamiyah yang menuntut supaya kita berpaling 180 darjah dari jahiliyyah kepada kepatuhan maksimum hanyasanya kepada Allah.

Justeru, perlu kita sama-sama fahami dan sedar bahawa, taqwa yang natijahnya hadiah ihsan dan cinta Allah sekali gus membawa maksud meraih syurga –yang tidak ada gunanya kita dihidupkan jika kehidupan tidak membawa kita ke sana- mustahil diperolehi tanpa proses pembentukan jiwa, keperibadian, fikiran dan seluruhnya yang panjang dan menuntut kesabaran.

Pedih hari ini, semoga menjadi mahar untuk selesa di sana.

Jujur, tidak ada detik yang dilalui dalam hidup ini melainkan kepedihan yang berpanjangan kerana pada setiap saat itulah terjadinya harbun antara jahiliyyah dan iman. Harbun antara ketaatan dan pengingkaran. Harbun antara keikhlasan dan pensyirikan. Harbun antara kebersihan dan kemaksiatan.

Semoga Allah redha. Semoga Allah nilai. Semoga Allah sentiasa bersama. Semoga Allah tidak pernah meninggalkan. Semoga Allah terus melimpahkan ihsan dan cintanya.

Penutup: belajar untuk terus menjadi matang.

Sejak akhir-akhir ini, atau setepatnya semenjak saya masuk ke alam separa dewasa ini, banyak susunan yang Allah atur menjadi didikan agar kedewasaan saya tertingkat. Satu demi satu berlaku. Dan semuanya adalah sebuah kehidupan itu sendiri.

Doakan saya sahabat..


Nota kaki:

-setiap kali saya berkongsi cerita yang Allah susun itu kepada bonda, bonda yang risau. Saya masih mampu bermain-main. Sampai bilakah saya mampu bertahan untuk tidak melihat ini sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius? Heih~

Thursday, May 19, 2011

.Maaf.


Maaf.

Entah,

Aku tidak pandai menyusun kata.

Apatah lagi berpuisi,

Mencipta madah dan segala.


Cuma yang aku tahu,

Bersama jiwa dan rasa rendah ini,

Dan bersamanya jua,

Berhajat semata redha dan ampunan Allah,

Kata 'maaf' itu ku ukir

Ukir dan terus diukir.


Sebagai tanda

Bersama jiwa dan rasa rendah ini

aku akui ketidaksempurnaan diri

Yang sememangnya perlu terus

Dan terus diproses.


Sungguh.

kamu,

Kalian,

Dan semua

Semoga terus bersama,

bersama aku melalui proses tersebut..


6.35 am

19 Mei 2011

Bayt Muhannad atThohir.


Puisi ini hadiah untuk semua.

Maaf, saya bukan manusia yang pandai mencipta sajak dan puisi yang cantik bermetafora. Hanya pandai menulis dengan ayat seperti batu. Namun berusaha sedaya upaya meresapkan bersama ayat-ayatnya jiwa dan perasaan, agar mereka yang membaca dapat merasai kehadiran hati di situ. ^^.

Terfikir untuk menulis ketika sesi muhasabah selepas subuh tadi. (muhasabah seorang diri)

Manusia itu belajar dari kesilapan.

Sungguh, seingat sepanjang 20 tahun menjadi manusia, sepanjang itu jugalah telah terlalu banyak saya melakukan kesilapan dan kesalahan.

Terus perbaiki dan perbaiki. Terus menampal sana sini. Terus belajar dan belajar. Terus menerima dan menerima. Terus dan terus.

Satu prinsip yang dipegang.

"terimalah kata-kata walaupun dari lidah musuh". (Imam alGhazali).

Sedangkan dari lidah musuh kita perlu prihatin dengan teguran atau cercaan yang secara normal pada hakikatnya sangat memedihkan, apatah lagi jika teguran-teguran itu datang dari mereka yang turut sama-sama berhajat dan bersama dalam kelompok 'amiliin Islam itu.

Teringat kami adik-beradik dididik oleh bonda untuk sentiasa berlapang dada menerima segala teguran. Bonda selalu tekankan,

"orang tegur tanda orang sayang. Kalau orang biar tu, itu yang bahaya".

Setuju. Lantaran itu, insya-Allah, saya akan sentiasa menunggu dan terus menunggu teguran-teguran dari kalian kerana saya yakin dan sedar, bahawa teguran merupakan elemen penting dalam proses pendidikan.

Teringat bonda selalu cakap,

"mak tak kisah kalau anak-anak mak nak menangis ke atau terasa ke sekarang ni. Sebab ini tanggungjawab mak. Mak taknak, nanti di akhirat, masing-masing salahkan mak sebab tak pernah tegur dulu".

Maafkan saya dan jangan berhenti untuk terus membentuk.

Sejujur-jujurnya, saya memang terlalu banyak kelemahan. Justeru, sangat mengharapkan kemaafan dari kalian –bagi sesiapa yang saya pernah melakukan kesalahan dengannya- dan jangan pernah berhenti untuk terus membentuk agar diri ini memenuhi kriteria-kriteria yang Allah kehendaki.

Sungguh. Tidak ada hajat di hati ini melainkan semata supaya Allah tidak pernah meninggalkan dengan bukti manusia membiarkan. Takut.

Penutup: belajar dan jangan pernah berhenti untuk belajar.

Firman Allah: "orang mukmin itu lelaki dan wanita sebahagiannya menolong sebahagian yang lain".

Firman Allah lain: "Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongannya dan dengan para mukminin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". (Al-Anfaal: 62-63).

Doakan saya sahabat..

Nota kaki:

Semalam exam 2 paper. Fiqh Aiman dan Dakwah.

Fiqh Aiman: saya tertinggal 1 dalil hadis untuk bab penggunaan tombak dalam berburu . hanya teringat "يدك" di belakang. ^^#. Kemudian satu lagi dalil alQuran berkenaan penyembelihan yang tidak sempurna, sekadar untuk mematikan bagi menyelamatkan haiwan yang dalam keadaan darurat (contoh: tersekat dalam perigi atau dilanggar dll) sepatutnya akhir ayat ialah" الا ما ذكيتم " tapi saya tulis "الا ما تذبح " sedangkan sembelih ذكية dan ذبح tu maksudnya korban. Haih..

Rasa pelik ketika tulis, tapi tak perasan sebab Allah izin memang terlupa ayat hujung dalil yang panjang tersebut, selepas dah hantar, baru teringat.. ^^#. Harapan untuk full mark terpaksa diucapkan selamat tinggal..T_T.

Dakwah: tidak pasti ayat yang bagaimana boleh digunakan untuk menggambarkan kertas ini melainkan saya rasa kepala seakan-akan terbakar. ^^. Soalan-soalan doktor lebih kepada aplikasi kaedah-kaedah (saya rasa. He he, minta maaf kalau salah ya kalau ada classmates yang baca)

2 paper lagi menyusul 21 dan 22, insya-Allah..

Sunday, May 8, 2011

Dia, manusia teristimewa

bidadari hidupku..

Awalnya saya tidak tergerak untuk memberi respons ketika melihat sahabat-sahabat di alam maya menulis pelbagai status dan puisi sempena menyambut hari ibu. Namun, baru beberapa minit yang lalu, hati terusik rindu pada bonda yang jauh dan lantas jari jemari ini bergerak.

Bonda yang hidup sendiri.

Bonda yang saya kenal adalah bonda yang semenjak di usia beliau 1 tahun, sudah kehilangan ibunya. Kata bonda, tok meninggal ketika melahirkan adik di bawahnya.

Membesar dengan jagaan mak jang (kakak kedua bonda) yang ketika itu sanggup mengambil keputusan terbesar dalam hidupnya berhenti dari Sekolah elit Tengku Kursiah seawal usia 13 tahun, semata-mata untuk menjaga bonda dan mak tam (3 tahun).

Cerita mak jang, ketika bonda baru belajar merangkak di awal kematian tok, bonda akan merangkak perlahan-lahan ke tempat tok bertarung nyawa seakan-akan mencari ibunya. Setiap malam. Sehingga akhirnya bonda penat. Sebak.

Kemudian, tok wan berkahwin lain ketika usia bonda mencecah 3 tahun, dan mak jang berpindah keluar mencari pekerjaan. Tinggal bonda dan mak tam di rumah.

Persis cerita ibu tiri -ibu tiri dahulu, bonda dan mak tam membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Segala pekerjaan rumah dilakukan sendiri. Deraan secara psikologi bagi kanak-kanak kecil seusia mereka.

Memasak untuk keluarga, membasuh baju untuk sekeluarga di telaga, mengemas rumah, menyediakan sarapan, pergi ke sekolah, belajar dan segala-galanya dilakukan sendiri.

Ketika bonda berusia awal 7 tahun, dalam persediaan untuk memasuki sekolah rendah, tok wan membelikan sepasang baju sekolah yang lebih besar dari saiz sebenar bonda. Sendirian bonda mengukur, memotong dan menjahit menggunakan mesin jahit tua tanpa sedar bahawa di usia itu kanak-kanak lain hanya duduk dan melihat ibu-ibu mereka melakukannya.

Teringat saya pernah menangis mendengar cerita bonda, ketika bonda sedang bersiap-siap untuk ke sekolah rendah, bonda terlihat jiran depan mengusap kepala dan mencium pipi anaknya di muka pintu sambil mengiringi anaknya ke sekolah. Terdetik di hati bonda, "eh, kepada mak dia buat macam tu? Kenapa mak tak buat pun macam makcik tu?".

Rembesan semakin laju, saat cerita bonda bertandang ketika suatu malam pernah bonda dan mak tam terdengar tok tiri menghasut adik-adik (sama ayah lain ibu) di rumah atas. Ketika itu, perlahan-lahan bonda dan mak tam, bergerak keluar, duduk di bawah rumah saling menangis berpelukan. Sambil bonda bertanya ,"kita tak ada mak, kan?".

Sungguh. Saya menangis ketika ini.

Sendiri itu mematangkan.

Meski bonda membesar dalam keadaan yang boleh dilakon layarkan, tetapi Allah hadiahkan bonda kecerdikan dan kematangan.

Membesar sebagai seorang kanak-kanak yang genius meski hidup penuh kekurangan. Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Jiwa, Sg Petani dan berjaya dianugerahkan pelajar terbaik seluruh Malaysia bagi SRP. Seterusnya mendapat tajaan Petronas.

Namun berlaku sedikit kecelaruan dalam pemilihan bidang pengajian. Bonda yang hakikatnya meminati bidang sains sosial dipujuk untuk meneruskan bidang sains sehingga ke alam IPT, bonda sekali lagi, diizinkan Allah untuk memilih bidang yang tidak sesuai dengan jiwanya (kata bonda ^^) iaitu 'Town Planning' di Universiti Teknologi Malaysia. Suatu jurusan di bawah fakulti seakan-akan engineering, QS, architecture dll.

Ketika baru menginjak usia 20/21 tahun, sekali lagi Allah membuktikan sayangnya kepada bonda dengan mengambil tok wan ketika bonda masih dalam pengajian.

Cerita bonda, ketika kelas malam, ada kerani datang mengirimkan telegram yang tercatat pesanan, "pulang, ayah kemalangan".

Dan ketika tiba di kampung, tok wan telah pun dikebumikan, meninggalkan bonda untuk dijaga oleh Allah sepenuhnya.

Sungguh. Saya menangis ketika ini.

Sendiri itu hadiah.

Bonda selalu berkongsi, betapa syukurnya bonda membesar tanpa ibu dan ayah. Kerana sendiri itu mendidik bahawa sebaik-baik penjaga adalah Allah. Tiada ibu ayah yang membuka luas peluang untuk rosak, tetapi Allah terus menerus menjaga bonda membuktikan bahawa "Cukuplah Allah bagiku. Cukuplah Allah bagiku. Cukuplah Allah bagiku..".

Dan sendiri itu membuka ruang luas untuk mencari dan mencari sehingga menemukan bonda dengan hakikat kehambaan sebenar. Sehingga bonda menemui fikrah Islamiyah harakiyah di bawah UDMZ.

Sendiri terus menerus.

Ketika memasuki alam rumah tangga, Allah menguji dengan lebih hebat. Dan sejarah semalam terus menerus mematangkan bonda untuk hidup sendiri hanya bersandar kepada Allah.

Bertemu dengan pasangan yang berbeza latar belakang. Ayah yang membesar di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dalam suasana kehidupan anak pegawai besar kerajaan. Dan ketika awal pernikahan mereka, nenek masih aktif dalam parti politik kerajaan sebagai ketua wanita.

Kata bonda, bukan sedikit air mata yang mengalir. Terlalu banyak calar yang menghiris. Dan kami (saya dan kakak) dewasa dengan cerita-cerita bonda yang mendidik serta penyaksian peristiwa demi peristiwa semenjak kecil membuatkan kami matang dalam melihat alam rumah tangga itu.

Terlalu banyak kisah. Terlalu banyak peristiwa. Yang membuatkan saya semakin dan terus menerus mengagumi bonda.

Pernah, saya melihat bonda dimarahi nenek kerana memakaikan kami tudung ketika kecil.

Pernah, saya beberapa kali menemani bonda pergi menziarahi beberapa kakak yang berkenan di hati bonda untuk dirisik sebagai madunya. Saya yang ketika itu tidak mengerti apa-apa. Dan ketika ini, ketika saya menjadi seorang wanita, tidak terbayang di hati betapa remuknya jika terpaksa pergi merisik wanita lain untuk dijadikan pasangan suami sendiri. Tetapi ketika itu, saya lihat, tidak ada sedikit pun riak kesedihan di wajah bonda.

Pernah, kami anak-anak memeluk erat bonda ketika bonda menangis. Melahirkan rasa bahawa kami sentiasa bersama bonda dalam apa jua keadaan.

Pernah, dan beberapa kami, saya terpaksa ditinggalkan sendirian beberapa hari di rumah Ipoh ketika usia rendah. Sedang bonda bertarung perasaan di utara.

Pernah, kami menangis bersama-sama ketika bonda menerima panggilan di awal pagi 13 Januari 2003.

Pernah, dan setiap kali, saya lihat kesedihan bonda setiap kali kami dibesarkan dalam majlis-majlis mewah dan aktiviti-aktiviti yang tidak seharusnya menjadi sebahagian dalam kehidupan seorang muslim itu.

Dan semuanya yang terlalu banyak.

Pedih itu langsung TIDAK pernah mematikan.

Meski bonda melalui sendiri kehidupan, yang SELALUnya akan membuatkan jiwa-jiwa mereka lemah dan akhirnya FUTUR. Tetapi tidak sama sekali bagi bonda.

Saya teringat, dan masih tersimpan kemas, modul-modul awal pembacaan kami yang disusun sendiri oleh bonda ketika kami baru belajar membaca. Bersama gambar-gambar dan warna-warna yang dihias penuh cinta dan harapan agar kami dewasa sebagai hamba Rabbani.

Saya teringat, saya membesar dalam keadaan melihat bonda aktif membawa halaqah-halaqah jiran. Paginya untuk suri rumah-suri rumah, petangnya untuk sahibah-sahibah dan penduduk taman yang bekerjaya di surau. Malamnya, tarbiyatul awlad kami anak-anak yang dicintai sepenuh hati.

Saya teringat, setiap kali tibanya cuti sekolah, ketika ayah out-station, bonda sibuk merangka kursus intensif untuk kami anak-anaknya. Direka modul-modul khas berbentuk hafalan ayat-ayat alQur'an atau seerah atau asas-asas fardu ain hanya semata untuk kami membesar mengenal dan mencintai Allah serta RasulNya.

Saya teringat, dalam apa keadaan sekalipun, bonda akan sentiasa memastikan kami menjaga syara' meski masyarakat sekeliling memandang kami aneh.

Saya teringat, betapa pekanya bonda terhadap perkembangan akhlak dan ibadah anak-anaknya. Tidak jemu terus menerus mendidik kami dengan ilmu-ilmu baru dalam halaqah rumah.

Saya teringat, kami belajar membaca huruf dan alQur'an serta menulis dan mengira dengan taman asuhan bonda.

Saya teringat, rumah kami dipenuhi dengan pelbagai tampalan kata-kata tarbawi dari alQur'an dan hadis mahupun ayat-ayat yang ditulis bonda.

Saya teringat, berpuluh-puluh ribu duit dihabiskan semata untuk menghadiahkan kami himpunan buku-buku tarbawi tidak kira berbentuk sains, teknologi, seerah, akidah, hadis dan sebagainya.

Saya teringat, terus teringat.

Awalnya sendiri, dan kini turut sendiri.

Teringat ketika ayah meninggal dan dimandikan di hospital kerana darah yang mengalir banyak akibat denggi berdarah.

Bonda membawa kereta Camry pulang bersama kami; kakak, saya dan adik. Abang menguruskan ayah di hospital. Orang hairan melihat betapa kuatnya bonda.

Dalam perjalanan, bonda tenang memberikan kata-kata semangat kepada kami yang masih seakan-akan berada dalam mimpi.

Ketika kereta membelok memasuki jalan hadapan rumah, bonda memarkingkan kereta dan saya masih ingat jelas, bonda menangis. Wajah bonda ditutup dengan telapak tangan. Dan makcik-makcik datang memapah bonda keluar.

Sungguh. Saya menangis ketika ini.

Bonda hari ini.

Meski orang lihat dan berfikir bahawa bonda semakin kasihan, tetapi saya melihat bonda semakin bahagia. Dan kami anak-anaknya, turut semakin bahagia kerana kami tahu bahawa apa yang menjadi impian bonda semenjak di awal penerimaan fikrah iaitu untuk membentuk Baitul Dakwah telah dimakbulkan.

Segala air mata dan jerih perih bonda telah Allah ganjarkan di dunia sebelum ganjaran yang berlipat kali ganda di akhirat.

Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul.

Sungguh. Tidak ada ganjaran yang mampu dibayar buat bonda mukminah melainkan terus menerus berusaha menjadi hamba yang Allah redha agar doa tidak terhijab, insya-Allah..

Bonda, sesungguhnya, anakmu menjadi saksi terhadap setiap kesabaran dan ketabahn yang telah bonda lalui selama ini. Semoga Allah redha dan terus menerus menghadiakan ihsan dan cintanya kepadamu..

Anakmu yang jauh,

Nurul Hasna' Binti Hazni.

Bayt Muhannad atThohir.


nota kaki:

*post pertama di rumah baru.

*terfikir lama dah, untuk menulis satu novel adaptasi dari kehidupan bonda, Cuma tidak berkesempatan lagi..

Sunday, May 1, 2011

B.M.:doa dan tawakal.


Bagaimanakah BD mereka sehingga melahirkan ratusan ribu mujahid?

Allah izin, semenjak saya terlibat sebagai salah seorang team sinergi fm bagi program Fiqh Medic anjuran PMK PERMAI (Pembangunan Minda Dan Kendiri PERMAI), saya jadi mesra dengan sebahagian kakak-kakak. Tidur sekali, makan sekali, bercerita sekali, perkongsian muhasabah sekali dan lain-lain. Sangat mencintai mereka.

Sungguh. Ta'aruf itu langkah terpenting dalam sesuatu pembinaan persaudaraan Islam. Dan saya akui, hasil ta'aruf ini membuatkan mereka telah mendapat tempat istimewa dalam hati ini.

Kata kakak-kakak., saya matang dan senang berkongsi pelbagai cerita. Alhamdulillah..^^#. Semoga saya benar-benar matang untuk menjadi tumpangan ummah, insya-Allah.

Seperti biasa, berbicara dengan mereka yang sudah menyedari bahawa mereka sedang berjalan ke fasa yang baru, tidak dapat lari dari mengetengahkan isu persediaan ke arah Baitul Muslim.

Baitul Muslim itu isu berat.

Mungkin sesetengah pihak akan ada yang memandang jengkel setiap kali mendengar isu ini dibincangkan seperti saya pada awal-awal dahulu. Namun, perlahan-lahan saya mula sedar bahawa hari ini saya sedang hidup bersama mereka-mereka yang sedang dewasa sekali gus mustahil diam dari membincangkan isu sensitif ini.

Alhamdulillah, saya belajar perlahan-lahan untuk memperkatakan isu ini dan mengaitkan sepenuhnya kepada keIMANanan dan setakat mana keyakinan kita kepada susunan Allah.

Sebelum itu, maaf bagi mereka yang silap faham. Pada saya mengetengahkan isu ini, bukan menceritakan lelaki apa yang kita minati atau bagaimana alam rumah tangga atau segala perkara berkaitan 'kahwin-kahwin', tetapi hakikatnya isu ini perlu dititik beratkan kerana isu ini membawa kepada DASAR PENUH terhadap TAWAKKAL dan REDHA kepada Allah.

Setakat perkongsian cetek bersama cerita-cerita dan keluhan mereka yang sudi berkongsi perasaan selama ini, majoritinya apabila membicarakan soal BM, masing-masing masih lemah dalam meyakini sepenuhnya susunan Allah.

"akak takut nak tolak lelaki ni, walaupun dia memang tak baik. Sebab takut, nanti kalau kakak tolak, ada lagi ke yang nak dekat kakak".

"akak, saya tahu couple tu dosa, tapi saya nampak hanya ni jalan yang memberi harapan untuk membawa saya kepada perkahwinan".

"akak tak pasti sama ada, betul ke tak prinsip akak untuk ada stand macam ni. Sebab kawan-kawan akak kata, tak payahlah tegas sangat".

Dan lain-lain.

Sungguh. Bagi saya, ini bukan isu main-main. Tetapi ini isu berat yang berkait rapat dengan asas keimanan kita.

Jagalah Allah, Allah akan Menjaga Kita.

Sejujurnya, saya juga masih belum mengetahui keadaan bagaimana yang telah Allah susunkan untuk saya. Dan insya-Allah, saya masih belum bersedia ke arah itu sekali gus membuatkan saya belum betul-betul serius memikirkannya. Allahua'lam.

Namun, keyakinan kepada kesempurnaan perancangan Allah MESTI ada. Yakin bahawa Allah itu terlalu sempurna dan suci untuk kita bersangka buruk terhadapNya.

"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabbmu.." (at-Thur: 48)

Allah yang maha Berkuasa menciptakan kita sama sekali tidak akan berlaku zalim terhadap hamba ciptaanNya. Yakin dengan itu.

"sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang menyucikan diri" (alBaqarah:222)


Yakin bahawa, pemilihan kita untuk meletakkan sepenuh tawakal kepada Allah dengan meminggirkan diri dari fitnah dunia itu, merupakan sesuatu yang sangat dicintai Allah.

Yakin dengan hadis:

"Jagalah Allah, Allah akan menjagamu".

Yakin bahawa apabila kita menjaga hak-hak Allah, Allah akan menjaga hak-hak kita. Masakan Allah yang punya sifat Maha Pengasih dan Maha Lemah Lembut itu akan membiarkan hamba-hambaNya yang tegar memilih jalan pembersihan jiwa yang perit dalam saat masyarakat sekelilingnya senang dan bahagia memilih jalan mudah kemaksiatan?

Dan pastilah semua itu mustahil untuk diimani melainkan kita meyakini penuh terhadap kesempurnaan Allah daripada segala kecacatan dalam urusan pentadbiranNya.

Titipan mak .

Baru-baru ini, mak menghantar ayat-ayat cinta buat anaknya yang masih belum matang dalam memikirkan isu masa depannya . (jujur ^^#).

"wahai hasna', setkan pemuda bagaimana yang kamu hajatkan untuk menjadi penemanmu di jalan Allah ini...kemudian kamu berusaha meluruskan dirimu agar menepati juga ciri-ciri pemuda idamanmu itu..selepas itu berdoalah kepada Allah swt agar kamu berdua diperjodohkan untuk membina baitul muslim/dakwah..barulah kamu berdua sesuai/sepadan/secocok untuk berjalan seiringan...tidak senget sebelah seperti jika seorang hebat, seorang lagi agak tenat.."

Saat membaca titipan bonda ini, langsung saya semakin sedar, bahawa BM ini adalah isu berkenaan setakat mana keseriusan kita dalam mencorak ummah akan datang dan paling penting, merupakan isu setakat mana kita mahu meletakkan keyakinan maxima kepada pengharapan kita terhadap susunan Allah.

Justeru, pembinaan kefahaman dan persediaan ke arah itu perlu digerakkan secara serius dan bersungguh bermula sekarang.

Semoga Allah terus memberi kefahaman yang benar kepada kita, insya-Allah.

Kesimpulan: BM berdasarkan kepada IMAN kita terhadap susunan Allah.

Mungkin ada yang aneh, mengapa saya suka membicarakan soal ini. Namun, berbalik semula kepada di awal perenggan,

1)saya sedang hidup dalam masyarakat remaja yang majoritinya memang akan sentiasa membicarakan isu ini. Dan hal ini merupakan peluang terbesar untuk membina komunikasi jangka masa panjang dengan mereka.

2)isu ini berkait rapat dengan isu keimanan. Justeru, saat melihat rapuhnya iman mereka dalam isu ini bermakna kita perlu serius dalam mengubat penyakit dasar mereka iaitu lemahnya iman mereka terhadap kesempurnaan susunan Allah. Dan bagi saya, itu bukan perkara main-main.

Sesungguhnya, meyakini sesuatu yang ghaib itu bukan perkara yang mudah apatah lagi saat melihat terbentang luasnya jalan senang pilihan syaitan.

Lalu sahabat, mari kita sama-sama nilai kembali setakat mana tawakal kita kepada penyusunan Allah. Allah sang Maha Pencipta mustahil sama sekali mempunyai kelalaian dan berlaku zalim dalam menyusun kehidupan hamba-hambaNya. Perbaiki diri dan jangan malu untuk meminta sesuatu yang terbaik buat kita, insya-Allah.


nota kaki:

*doakan saya sahabat. Semoga sentiasa menjaga hati saya dan hati-hati mereka.