Semalam semasa mengikuti tarawih di masjid jami3ah, ada seorang makcik bersama 4 orang anak duduk di hujung almari kasut. Setiap kali ada yang lalu di hadapan, ibu tersebut sambil mendukung anak yang paling kecil sekitar umur setahun lebih, berdoa “Allah memenuhi hajat bagi sesiapa yang memenuhi hajat manusia”..(lebih kurang).
Dan dari doanya saya tahu bahawa makcik itu sedang meminta ihsan.
….
Setiap kali berjalan di syari3 jami3ah, pasti akan ada anak-anak kecil atau makcik-makcik yang berbaju kotor datang menghampiri sambil menghulurkan tangan. Malah ada yang bertindak lebih agresif dengan mendesak sambil menarik beg atau baju.
Sehingga jujurnya saya fobia dan akan mengelak dari jauh jika terserempak dengan orang-orang seperti itu. Namun jauh di sudut hati, saya tahu bahawa mereka itu sedang meminta ihsan.
Persoalannya: Apakah semua itu terjadi dengan begitu sahaja?
Menyelak khabar saudara di Somalia, 29 000 kematian akibat kebuluran. 29 ribu !
Melihat wajah dan tubuh mereka satu persatu bagai melihat tulang-tulang yang berjalan. Satu persatu jatuh.
Wajah ibu menangis sambil mendukung bayinya yang telah senyap. Wajah kakak memeluk adiknya yang jelas garisan tulang belakang. Wajah mereka si kecil yang berdiri dan berbaris sambil memegang mangkuk kecil untuk mengisi teriakan perut.
Semua itu berlaku tiba-tibakah?
Natijah sistem jahiliyyah yang mencengkam.
Apakah itu sistem jahiliiyyah?Sistem jahiliyyah adalah sistem yang tidak mengambil nilaian Allah. Sistem yang langsung berbeza dengan sistem Islam. Mana-mana sistem dan cara hidup yang tidak selari dengan sistem Islam, merupakan sistem dan cara hidup jahiliyyah.
Dan itulah sistem yang diamalkan oleh dunia hari ini. Sistem sekular dan kapitalis yang mencengkam sehingga lahir masyarakat yang hidup tetapi tidak hidup pada hakikat sebenarnya.
Sistem sekular yang mengasingkan agama dan kehidupan. Segala aturan hidup tidak akan sama sekali mengambil nilaian agama sehingga lahirlah ‘matlamat menghalalkan segala cara’.
Sistem kapitalis yang memerah habis segala tenaga manusia. Yang kaya akan terus kaya dan selama-lamanya kaya generasi demi generasi manakala yang miskin akan ditindas dan terus ditindas generasi demi generasi.
Hilang kasih sayang. Hilang kepekaan. Hilang kemanusiaan.
Hasil Jahiliyyah tidak dapat diubat dengan Islam yang juz’ie.
Baru-baru ini di Malaysia heboh dengan kisah JAIS menyerbu gereja bagi membanteras kegiatan kebajikan gereja kepada sekelompok masyarakat Islam yang miskin.
Persoalannya di sini, apakah itu penyelesaian sebenar?
Islam penyelesaian yang Unik.
Islam tidak mampu dan tidak layak untuk menjadi ubat kepada kerosakan hasil jahiliyyah. Islam bukan untuk sekadar menjadi bancuhan simen bagi menampal lompong-lompong sebuah bangunan yang memang dibina dalam keadaan dhoif dan cuai.
Islam bukan sekadar pencantas-pencantas ranting yang kering hasil pokok yang memiliki akar yang telah mati.
Tetapi penyelesaian Islam hanya layak untuk sistem yang mengambil jalan Islam. Jika mahu mengambil penyelesaian Islam, korek habis pokok itu dan tanam pokok Islam.
Jika mahu mengambil penyelesaian Islam, robohkan langsung bangunan usang itu dan bina tapak dan dasar yang baru. Yang kukuh dan betul-betul mengambil nilaian Islam.
Gambaran realiti hari ini:
Pendedahan seks yang berleluasa. Iklan-iklan, cerekarama, filem-filem, muzik-muzik dan segala. Pergaulan bebas digalakkan seluas-luasnya. Pendedahan aurat di semua tempat.
Adab-adab tidak dijaga. Malah ada ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak dara tidur bergelimpangan di ruang tamu bersama abang-abang dan adik-adik lelaki.
Maka berlakulah banyak penzinaan dan sumbang muhrim.
Persoalannya adakah wajar jabatan agama Islam hanya menyediakan pencegahan dengan menyediakan beberapa orang petugas untuk menyerbu hotel-hotel murah?
Begitulah juga dengan keadaan yang berlaku dalam isu tersebut.
Saat penindasan pemimpin yang zalim terus menerus, harga barang yang semakin naik dan terus naik, saudara muslim yang hilang tanpa pernah peduli, pihak pengurusan zakat yang sewajarnya bersikap prihatin dan membantu mencipta birokrasi yang renyah serta pembahagian zakat yang tidak relevan, apatah lagi tidak ada suatu usaha sedikit pun ke arah penekanan akidah dalam kalangan masyarakat, maka tidak hairan berlaku banyaknya permasalahan murtad.
Penyelesaian yang sebenar ialah kembali kepada Islam secara total. Keseluruhan dan kesemuanya.
“wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (al-Baqarah [2]: 208-209).
Kesedihan hari ini membuatkan kerinduan pada kisah semalam.
Melihat realiti dunia saat ini, membuatkan mata menangis menyelak kisah agung zaman Islam. Saat Islam berjalan di setiap nadi kehidupan.
Sewaktu pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz yang digelar khulafa’ arRasyidiin ke4, merupakan zaman kegemilangan sistem zakat.
Setiap individu-individu muslim di dalam kerajaan Islam itu layak membayar zakat dan mereka berlumba-lumba untuk mengeluarkannya. Dan kutipan zakat berlimpah ruah sehingga tidak ada yang layak untuk menerima zakat kerana masing-masing sudah cukup sempurna perbelanjaan hidup.
Kemudian khalifah Umar meminta agar harta zakat diagih-agihkan di negara-negara jajahan khilafah. Mengikut catatan seerah, wang-wang tersebut dibawa ke tanah jajahan kerajaan Islam di kepulauan Afrika dengan hajat agar wang tersebut dapat dibahagi-bahagikan kepada mereka.
Namun, rupa-rupanya wang tersebut dikembalikan tanpa pengurangan walaupun sedikit kerana seluruh rakyat di sana telah mewah hasil pelaksanaan ekonomi Islam yang adil.
Akhirnya, wang zakat yang banyak tersebut diberi kepada semua pemuda-pemuda yang telah mencapai usia baligh dan layak untuk berkahwin sebagai belanja walimah mereka.
subhanAllah.
Tidak ada kata yang mampu dilahirkan melainkan kerinduan itu terus mencengkam.
Yakin, Masa Depan Milik Islam.Saat ini, saat melihat betapa rosaknya masyarakat dicengkam sistem jahiliyyah yang terlalu dahsyat dan halus, saat ini keyakinan kita pada Allah perlu lebih maksimum.
Islam pasti akan memayungi alam semula. Seluruhnya akan kembali sejahtera dalam naungan Islam.
Dari Tamim Addari , Rasulullah saw bersabda :
“Sungguh perkara ini ( agama Islam ) akan sampai ke tempat yang di jangkau oleh malam dan siang . Setiap rumah di kota atau desa , Allah akan memasukkan agama ini ke dalamnya dengan kemuliaan orang mulia atau kehinaan orang hina . Kemuliaan di mana Allah telah memuliakan Islam atau kehinaan di mana Allah telah menghina kekufuran .” (hadis riwayat Ahmad)
Berkenaan keyakinan ini, teringat pernah berkongsi dengan adik-adik alFateh (program anjuran PINTAR PERMAI), akan urgensi kita meyakini janji-janji Allah berkenaan masyarakat akan kembali sejahtera dengan kepimpinan Islam.
K 1)Keyakinan ini sangat perlu bagi mereka yang terjun dalam amal Islami sebagai suatu suntikan semangat.
Kita akan merasakan suatu kebahagian dan tenang saat meyakini bahawa kita ini hanyalah penyambung rantai-rantai perjuangan generasi awal dan akan ada generasi kemudian yang akan meneruskan risalah nubuwah ini. Bermakna jika bukan pada zaman kita, insya-Allah zaman generasi kemudian, akan terlaksananya janji Allah yang pasti.
Kita tidak akan kusut dan tertekan saat melihat amal Islami belum lagi membuahkan hasil dan masyarakat masih terus dalam jahiliyyah. Kerana kita yakin bahawa Allah tetap akan membuka jalan kemenangan suatu hari nanti dalam keadaan dan cara yang hanya Allah sahaja yang Maha Menengetahui.
2) 2)Keyakinan ini sangat perlu kerana merupakan suatu ugutan dari Allah dan ancaman jika kita berputus asa dan lemah.
Allah seakan-akan mengatakan bahawa , Islam pasti akan menang. Sama ada kamu mahu bersama atau tidak.
Justeru, jika kita tidak berhajat untuk berada dalam kelompok khafilah dagang ini, Islam tidak akan terusik walaupun sedikit. Tetapi hakikatnya kita yang berhajatkan kepada amal Islami ini untuk Allah nilai saat di Padang Mahsyar, di mana segala amal telah ditimbang dan tidak memberatkan sedikitpun amal kebaikan kita, saat itu kita akan berhajat kepada amal Islami yang akan menjadi bukti untuk meraih syafa’at baginda s.a.w.
Penutup: Bermula dengan apa?
Sungguh, melihat masyarakat hari ini bersama jiwa yang terluka, sedih dan pedih menunjukkan bahawa tidak pernah menunggu waktu untuk kita berfikir lagi dan lagi.
Justeru, apakah yang mampu kita lakukan sebagai pemula?
-Islah nafsaka, Wad’u ghairuka-
Mari sama-sama kita perbaiki diri dan mengajak mereka yang berada di sekeliling. Perlahan-lahan dan berterusan. insya-Allah, dari individu-individu muslim yang berkualitilah akan lahirnya keluarga-keluarga muslim yang terjaga seterusnya membentuk masyarakat muslim yang sejahtera. Sehingga akhirnya pemerintahan adil yang mengambil nilaian Islam.
Yakin. Tidak ada apa yang mustahil kerana bukankah Allah Yang Maha Meyusun Atur perjalanan dunia ini?
nota kaki:
-hidup sendiri membuatkan saya belajar untuk menjadi isteri yang kuat dan yang akan selalu ditinggalkan. Semua dilakukan sendiri. Fikir-fikir balik, rasa seronok pula kalau suami selalu on-call atau out station.
-satu lagi yang sedang belajar. Raya di perantauan. Bonda pesan, "jangan teghiyak (menangis) ya pagi raya nanti. Tak kira kita raya di mana, kita ada Allah".
saya jawab sambil senyum-senyum menahan panas di mata, "tak janji..tengok nanti macam mana".
-Setiap kali pejam mata terlelap, mesti akan mimpi bonda dan adik telah berada di Jordan. Cepatlah November datang..T_T.
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.