Monday, August 29, 2011

percaya dan yakin.


Jika memilih untuk menolak, siapa pula yang akan membela?


Maaf ini post peribadi. Saya hajat untuk hadiahkan kepada seseorang. Sila abaikan jika rasa tidak berkenaan.

Saya menulis ini dengan satu rasa sungguh-sungguh. Dan dalam hati juga saya doa sungguh-sungguh. Buat kamu agar kuat untuk percaya kepada kemampuan diri.

Saya tidak mampu berkata panjang. Hanya mampu untuk menyampaikan dari jauh,

"Saya yakin dan percaya dengan kamu."

Tidak ada manusia yang sempurna dan bebas dari melakukan dosa, tetapi selagi mana kita berusaha sungguh-sungguh, Allah tidak pernah meninggalkan.

Hanya perlu ada, pasakkan dalam hati:

Yakin, berusaha dan tawakkal.

Yakin.
Yakin bahawa cinta, rahmat dan ihsan Allah itu terlalu luas. Sifat keampunan Allah terlalu tinggi.
"Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (azZumar:53)

Tidak cukup lagikah kata-kata pujukan Allah ini?

Berusaha.
Kemudian, berusaha bersungguh-sungguh dengan keyakinan terhadap ampunan Allah itu. Tingkatkan amal soleh dan jauhi kemaksiatan.

Bilamana kita tidak bersungguh-sungguh, bermakna kita telah berputus asa dan hanya pasrah kepada hawa nafsu. Lantas, mari sama-sama kita menjauhi sifat lemah itu dan berdoa sungguh-sungguh semoga Allah terus menguatkan kita dalam usaha menjadi muslim mukmin yang Allah redha.

Tingkatkan bacaan bahan-bahan yang membina kefahaman kita. Rasa cinta itu lahir selepas kita mengambil tahu. Lalu, untuk melahirkan rasa cinta kepada Sang Pemilik, tidak boleh dengan mudah-mudah.

Tawakkal.
Akhirnya, tawakkal sungguh-sungguh. Allah Sang Maha Pencipta tidak akan pernah ada kepentingan untuk menzalimi hamba-hambaNya.

Selangkah kita bertatih kepada Allah, seribu langkah Allah berlari menyambut kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah berfirman:'Wahai anak Adam, sesungguhnya selama engkau mahu berdoa kepadaKu dan mengharap rahmatKu, maka Aku akan mengampunimu atas segala kesalahanmu dan Aku tidak mempedulinya".

Tidak perlu merasakan bahawa kita tidak memberi apa-apa. Mustahil. Sama sekali mustahil.

” Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan(yang mempunyai) arasy yang mulia” (al-Mukminun:115-116)

Sungguh. Saya, kamu dan mereka mampu untuk memberi sesuatu. Yakin dan percaya pada diri.

Penutup: Bukankah kamu juga bakal perlu memimpin suatu hari nanti?

Setiap daripada kita tidak pernah tahu apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Jika tidak memimpin dunia, bukankah kita perlu memimpin dan mendidik keluarga? Apatah lagi seorang ketua keluarga.

Lalu, bermula dari mana kita mampu berlatih dan belajar?

Dari sekarang, bukan?

nota kaki:
-bimbang melihat fenomena rijal-rijal yang lesu mengisi waktu lapang dengan bermain game dan menonton movie. Jika bakal-bakal ayah tidak dibentuk, bagaimana pula dengan bakal-bakal anak ya? T_T.
(dilihat melalui status-status facebook)

Sunday, August 28, 2011

.Ramadhan.


اللهم انصر الاسلام والمسلمين والمجاهدين الذين يجاهدون في بلاد هم

Air mata mengalir deras mengaminkan setiap bait doa Sheikh Ma'mun, imam utama masjid Yarmouk University. Satu-satu diamin sungguh-sungguh.

Tidak tertahan sebak untuk melangkah keluar dari masjid tadi. Apakah akan bertemu lagi dengan suatu tempoh di mana pintu keampunan dibuka seluas-luasnya?

Apakah akan bertemu lagi dengan suatu tempoh dimana doa-doa didengari secara terus?

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka ampuni kami.
agar bisa keluar sebagai hamba yang bersih..

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka kuatkan kami.
agar bisa menjadi hamba yang berhati-hati..

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka jadikanlah pewaris bagi kami.
Yang bisa menjadi pembawa Risalah yang lebih baik dari kami..

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka satukanlah jiwa-jiwa kami.
agar bisa bersama mereka, mujahidiin sana
meski bukan di dunia
tetapi di akhirat
lantaran doa-doa kami yang sentiasa ada buat mereka.

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka hadiahkanlah kesedaran dalam hati kami
hati saudara-saudara kami
agar terus bersungguh
menjadi hamba Rabbani yang Engkau redhai.

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Andai ini Ramadhan terakhir, maka jadikan setiap nafas kami diberkahi.
Dan kuatkan kami untuk menempuh bulan-bulan yang mendatang
bersama bekal taqwa.

Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..
Makbulkanlah doa-doa kami Ya Allah..


Akan merindui malam-malam yang tenang bersama perasaan rasa dilimpahi rahmat. Semoga diizinkan untuk bertemu Ramadhan yang mendatang. Dan paling penting, semoga tidak menjadi hamba Ramadhani, hamba yang sekadar merindui tetapi menjadi hamba Rabbani, insyaAllah.

sincerely never regret to be here.


Wahai adik, kamu telah perolehi syurga, sedang kami belum tentu mampu lari dari belitan api neraka..
Berbahagialah anda wahai adikku..

Tuesday, August 23, 2011

Izinkan aku mencintaiMu.


Tangisan itu menitik lagi.
Dan bisikan itu kuulangi lagi.
Lagi dan lagi.
Wahai Pemilik diri,
Izinkan aku mencintaiMu
Sepenuh hatiku.

Jangan pernah tinggalkan
walau sekelip mata
atau masa yang lebih pendek dari itu.

Sungguh.
Izinkan aku mencintaiMu
Dalam seluruh hidupku.
Dan hanya itu yang aku tagih.

11.45pm
230811

sungguh. Kebaikan manusia kepada kita yang sedikit pun telah membuatkan kita tersentuh dan terhutang budi, bagaimana pula dengan kehidupan yang telah Allah hadiahkan?

Kadang-kadang takut jika kita terlalu mengagungkan manusia sehingga mengabaikan hak Allah yang selayaknya menjadi priority utama dalam semua perkara.

"Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu" (hadis ke19)

Apakah Hak Allah yang Paling Besar?

Hak Allah yang paling terbesar yang terlalu sukar untuk dipenuhi ialah keikhlasan kita dalam beramal. Iaitu penyerahan kita secara total hanya kepada Allah dan semata-mata mengharapkan ganjaran dari Allah. Berhajatkan hanya nilaian Allah dan hanya pandangan permerhatian Allah.

Jujur, terlalu mudah tercemar. Kemaksiatan dan pensyirikan yang masuk secara halus. Sehingga kadang-kadang kita tidak sedar bahawa amal itu sia-sia dan kosong.

Takut. Semoga Allah tidak menolak kita ke jauh.

......

nota kaki:
Mode rindu datang lagi.


3 adik beradik: kakak, abang dan adik.
rindu nak mendengar cerita-cerita abang di meja makan.

abang dan sepupu. (macam ayah dan anak ^^ cuma lain bentuk muka dan warna kulit. he he)

adik, mak dan abang. (gambar 'eid fitri tahun lepas)
rindu dengan gelagat abang setiap kali di hadapan kamera. (tak pernah nak matang ^^#)

mak dan adik.
lekas-lekas lah Nov..T_T

Doakan saya ya sahabat..

Sunday, August 21, 2011

missing my home.

mum, i'm in the red scarf.
program Iftor anak Perak Irbid
(tak semua ada, sebab banyak yang dah pulang bercuti)

Setiap kali pulang dari program BKAPJ, saya seperti pulang dari kenangan.

"duduk mana ya?"
"Ipoh."
"Ipoh area mana ya?"
"dekat Simpang Pulai, Taman Pinji Mewah".
"oo.."

Dan segalanya akan terimbau kembali. Rumah, ayah, lorong-lorong, sekolah, kedai-kedai dan segala.

Jujur, tidak ada tempat yang meninggalkan kenangan terindah melainkan di sana.

ayah, i'll be back iAllah..(rasa nak menangis)

nota kaki:
-kata mak, kalau nak rumah Ipoh, elok kawin dengan orang Perak, senang. (erm,boleh difikirkan)
-rasa nak tulis satu post untuk anak-anak, detik-detik akhir ayah.


Friday, August 19, 2011

Keyakinan itu penting,

ini salah satu usaha kita.

Semalam semasa mengikuti tarawih di masjid jami3ah, ada seorang makcik bersama 4 orang anak duduk di hujung almari kasut. Setiap kali ada yang lalu di hadapan, ibu tersebut sambil mendukung anak yang paling kecil sekitar umur setahun lebih, berdoa “Allah memenuhi hajat bagi sesiapa yang memenuhi hajat manusia”..(lebih kurang).

Dan dari doanya saya tahu bahawa makcik itu sedang meminta ihsan.

….

Setiap kali berjalan di syari3 jami3ah, pasti akan ada anak-anak kecil atau makcik-makcik yang berbaju kotor datang menghampiri sambil menghulurkan tangan. Malah ada yang bertindak lebih agresif dengan mendesak sambil menarik beg atau baju.

Sehingga jujurnya saya fobia dan akan mengelak dari jauh jika terserempak dengan orang-orang seperti itu. Namun jauh di sudut hati, saya tahu bahawa mereka itu sedang meminta ihsan.

Persoalannya: Apakah semua itu terjadi dengan begitu sahaja?

Menyelak khabar saudara di Somalia, 29 000 kematian akibat kebuluran. 29 ribu !

Melihat wajah dan tubuh mereka satu persatu bagai melihat tulang-tulang yang berjalan. Satu persatu jatuh.

Wajah ibu menangis sambil mendukung bayinya yang telah senyap. Wajah kakak memeluk adiknya yang jelas garisan tulang belakang. Wajah mereka si kecil yang berdiri dan berbaris sambil memegang mangkuk kecil untuk mengisi teriakan perut.

Semua itu berlaku tiba-tibakah?

Natijah sistem jahiliyyah yang mencengkam.

Apakah itu sistem jahiliiyyah?

Sistem jahiliyyah adalah sistem yang tidak mengambil nilaian Allah. Sistem yang langsung berbeza dengan sistem Islam. Mana-mana sistem dan cara hidup yang tidak selari dengan sistem Islam, merupakan sistem dan cara hidup jahiliyyah.

Dan itulah sistem yang diamalkan oleh dunia hari ini. Sistem sekular dan kapitalis yang mencengkam sehingga lahir masyarakat yang hidup tetapi tidak hidup pada hakikat sebenarnya.

Sistem sekular yang mengasingkan agama dan kehidupan. Segala aturan hidup tidak akan sama sekali mengambil nilaian agama sehingga lahirlah ‘matlamat menghalalkan segala cara’.

Sistem kapitalis yang memerah habis segala tenaga manusia. Yang kaya akan terus kaya dan selama-lamanya kaya generasi demi generasi manakala yang miskin akan ditindas dan terus ditindas generasi demi generasi.

Hilang kasih sayang. Hilang kepekaan. Hilang kemanusiaan.

Hasil Jahiliyyah tidak dapat diubat dengan Islam yang juz’ie.

Baru-baru ini di Malaysia heboh dengan kisah JAIS menyerbu gereja bagi membanteras kegiatan kebajikan gereja kepada sekelompok masyarakat Islam yang miskin.

Persoalannya di sini, apakah itu penyelesaian sebenar?

Islam penyelesaian yang Unik.

Islam tidak mampu dan tidak layak untuk menjadi ubat kepada kerosakan hasil jahiliyyah. Islam bukan untuk sekadar menjadi bancuhan simen bagi menampal lompong-lompong sebuah bangunan yang memang dibina dalam keadaan dhoif dan cuai.

Islam bukan sekadar pencantas-pencantas ranting yang kering hasil pokok yang memiliki akar yang telah mati.

Tetapi penyelesaian Islam hanya layak untuk sistem yang mengambil jalan Islam. Jika mahu mengambil penyelesaian Islam, korek habis pokok itu dan tanam pokok Islam.

Jika mahu mengambil penyelesaian Islam, robohkan langsung bangunan usang itu dan bina tapak dan dasar yang baru. Yang kukuh dan betul-betul mengambil nilaian Islam.

Gambaran realiti hari ini:

Pendedahan seks yang berleluasa. Iklan-iklan, cerekarama, filem-filem, muzik-muzik dan segala. Pergaulan bebas digalakkan seluas-luasnya. Pendedahan aurat di semua tempat.

Adab-adab tidak dijaga. Malah ada ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak dara tidur bergelimpangan di ruang tamu bersama abang-abang dan adik-adik lelaki.

Maka berlakulah banyak penzinaan dan sumbang muhrim.

Persoalannya adakah wajar jabatan agama Islam hanya menyediakan pencegahan dengan menyediakan beberapa orang petugas untuk menyerbu hotel-hotel murah?

Begitulah juga dengan keadaan yang berlaku dalam isu tersebut.

Saat penindasan pemimpin yang zalim terus menerus, harga barang yang semakin naik dan terus naik, saudara muslim yang hilang tanpa pernah peduli, pihak pengurusan zakat yang sewajarnya bersikap prihatin dan membantu mencipta birokrasi yang renyah serta pembahagian zakat yang tidak relevan, apatah lagi tidak ada suatu usaha sedikit pun ke arah penekanan akidah dalam kalangan masyarakat, maka tidak hairan berlaku banyaknya permasalahan murtad.

Penyelesaian yang sebenar ialah kembali kepada Islam secara total. Keseluruhan dan kesemuanya.

“wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (al-Baqarah [2]: 208-209).


Kesedihan hari ini membuatkan kerinduan pada kisah semalam.

Melihat realiti dunia saat ini, membuatkan mata menangis menyelak kisah agung zaman Islam. Saat Islam berjalan di setiap nadi kehidupan.

Sewaktu pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz yang digelar khulafa’ arRasyidiin ke4, merupakan zaman kegemilangan sistem zakat.

Setiap individu-individu muslim di dalam kerajaan Islam itu layak membayar zakat dan mereka berlumba-lumba untuk mengeluarkannya. Dan kutipan zakat berlimpah ruah sehingga tidak ada yang layak untuk menerima zakat kerana masing-masing sudah cukup sempurna perbelanjaan hidup.

Kemudian khalifah Umar meminta agar harta zakat diagih-agihkan di negara-negara jajahan khilafah. Mengikut catatan seerah, wang-wang tersebut dibawa ke tanah jajahan kerajaan Islam di kepulauan Afrika dengan hajat agar wang tersebut dapat dibahagi-bahagikan kepada mereka.

Namun, rupa-rupanya wang tersebut dikembalikan tanpa pengurangan walaupun sedikit kerana seluruh rakyat di sana telah mewah hasil pelaksanaan ekonomi Islam yang adil.

Akhirnya, wang zakat yang banyak tersebut diberi kepada semua pemuda-pemuda yang telah mencapai usia baligh dan layak untuk berkahwin sebagai belanja walimah mereka.

subhanAllah.

Tidak ada kata yang mampu dilahirkan melainkan kerinduan itu terus mencengkam.

Yakin, Masa Depan Milik Islam.

Saat ini, saat melihat betapa rosaknya masyarakat dicengkam sistem jahiliyyah yang terlalu dahsyat dan halus, saat ini keyakinan kita pada Allah perlu lebih maksimum.

Islam pasti akan memayungi alam semula. Seluruhnya akan kembali sejahtera dalam naungan Islam.

Dari Tamim Addari , Rasulullah saw bersabda :

“Sungguh perkara ini ( agama Islam ) akan sampai ke tempat yang di jangkau oleh malam dan siang . Setiap rumah di kota atau desa , Allah akan memasukkan agama ini ke dalamnya dengan kemuliaan orang mulia atau kehinaan orang hina . Kemuliaan di mana Allah telah memuliakan Islam atau kehinaan di mana Allah telah menghina kekufuran .” (hadis riwayat Ahmad)

Berkenaan keyakinan ini, teringat pernah berkongsi dengan adik-adik alFateh (program anjuran PINTAR PERMAI), akan urgensi kita meyakini janji-janji Allah berkenaan masyarakat akan kembali sejahtera dengan kepimpinan Islam.

K 1)Keyakinan ini sangat perlu bagi mereka yang terjun dalam amal Islami sebagai suatu suntikan semangat.

Kita akan merasakan suatu kebahagian dan tenang saat meyakini bahawa kita ini hanyalah penyambung rantai-rantai perjuangan generasi awal dan akan ada generasi kemudian yang akan meneruskan risalah nubuwah ini. Bermakna jika bukan pada zaman kita, insya-Allah zaman generasi kemudian, akan terlaksananya janji Allah yang pasti.

Kita tidak akan kusut dan tertekan saat melihat amal Islami belum lagi membuahkan hasil dan masyarakat masih terus dalam jahiliyyah. Kerana kita yakin bahawa Allah tetap akan membuka jalan kemenangan suatu hari nanti dalam keadaan dan cara yang hanya Allah sahaja yang Maha Menengetahui.

2) 2)Keyakinan ini sangat perlu kerana merupakan suatu ugutan dari Allah dan ancaman jika kita berputus asa dan lemah.

Allah seakan-akan mengatakan bahawa , Islam pasti akan menang. Sama ada kamu mahu bersama atau tidak.

Justeru, jika kita tidak berhajat untuk berada dalam kelompok khafilah dagang ini, Islam tidak akan terusik walaupun sedikit. Tetapi hakikatnya kita yang berhajatkan kepada amal Islami ini untuk Allah nilai saat di Padang Mahsyar, di mana segala amal telah ditimbang dan tidak memberatkan sedikitpun amal kebaikan kita, saat itu kita akan berhajat kepada amal Islami yang akan menjadi bukti untuk meraih syafa’at baginda s.a.w.


Penutup: Bermula dengan apa?


Sungguh, melihat masyarakat hari ini bersama jiwa yang terluka, sedih dan pedih menunjukkan bahawa tidak pernah menunggu waktu untuk kita berfikir lagi dan lagi.

Justeru, apakah yang mampu kita lakukan sebagai pemula?

-Islah nafsaka, Wad’u ghairuka-


Mari sama-sama kita perbaiki diri dan mengajak mereka yang berada di sekeliling. Perlahan-lahan dan berterusan. insya-Allah, dari individu-individu muslim yang berkualitilah akan lahirnya keluarga-keluarga muslim yang terjaga seterusnya membentuk masyarakat muslim yang sejahtera. Sehingga akhirnya pemerintahan adil yang mengambil nilaian Islam.

Yakin. Tidak ada apa yang mustahil kerana bukankah Allah Yang Maha Meyusun Atur perjalanan dunia ini?


nota kaki:

-hidup sendiri membuatkan saya belajar untuk menjadi isteri yang kuat dan yang akan selalu ditinggalkan. Semua dilakukan sendiri. Fikir-fikir balik, rasa seronok pula kalau suami selalu on-call atau out station.

-satu lagi yang sedang belajar. Raya di perantauan. Bonda pesan, "jangan teghiyak (menangis) ya pagi raya nanti. Tak kira kita raya di mana, kita ada Allah".

saya jawab sambil senyum-senyum menahan panas di mata, "tak janji..tengok nanti macam mana".

-Setiap kali pejam mata terlelap, mesti akan mimpi bonda dan adik telah berada di Jordan. Cepatlah November datang..T_T.

Friday, August 12, 2011

Unfortunate Event



"we hope to have you back in arms, darlings..but in case this letter arrives before our return, know that we love you. It feels with prides to know that no matter what happens in this life, that you feel you'll take care each other with kindness and bravery and matter where we are . know that sons, you're having each other, you have your family and you're home.. your lovely parents"

surat akhir yang ditulis oleh ibubapa Violet Baudelaire, Klaus Baudelaire dan Sunny Baudelaire.

Jujur, cerita ini menjadi movie kegemaran saya selain movies seperti Welcome To Dongmakgol, Saving Private Ryan dan Lucunya Negeri Ini.

Awal saya menonton filem ini adalah ketika tahun 2005, iaitu tidak sampai setahun pemergian ayah. Dan sepanjang menontonnya pipi sentiasa basah dengan lelehan air mata.

Islam dan Kemuliaan Anak Yatim.

Menonton filem tidak dapat tidak, hati bagai tercarik melihat betapa pilu mereka terpaksa kuat berhadapan dengan pelbagai ujian meski baru bergelar yatim piatu.

Dan ketika itu baru saya semakin faham dan sedar mengapa Islam begitu mengangkat darjat anak yatim.

"Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang" (adDhuha:9)
262- وعن سهلِ بن سعدٍ رضي اللَّه عنه قال : قال رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : «أَنَا وكافلُ الْيتِيمِ في الجنَّةِ هَكَذَا » وأَشَار بِالسَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى ، وفَرَّجَ بَيْنَهُمَا » . رواه البخاري.

Dari Sahl ra. Ia berkata : Rasulullah SAW Bersabda : “Saya dan orang yang menanggung anak yatim berada di surga seperti begini” Beliau memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkan sedikit antara kedua jari tersebut. (H.R Bukhari)

و « كَافِلُ الْيتِيم » : الْقَائِمُ بِأُمُورِهِ .

Kafilul yatim ialah orang yang menanggung segala perkara yang diperlukan oleh anak yatim - baik makan, minum, kediaman, pakaian dan pendidikannya, juga lain-lainnya pula.

263- وعن أَبي هريرة رضي اللَّه عنه قال : قال رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : «كَافِل الْيتيمِ لَهُ أَوْ لِغَيرِهِ . أَنَا وهُوَ كهَاتَيْنِ في الجَنَّةِ » وَأَشَارَ الرَّاوي وهُو مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ بِالسَّبَّابةِ والْوُسْطى . رواه مسلم .

Dari Abu Hurairah ra. Ia berkata : Rasulullah SAW Bersabda : “Orang yang menanggung anak yatim baik anak yatim itu ada hubungan famili ataupun tidak, maka saya dan dan orang yang menanggungnya seperti dua jari ini, di dalam surga.” Malik bin Anas perawi hadis itu mengatakan, beliau memberi isyarat dengan jari telunjuk dari jari tengah. (H.R Muslim)

Mengapa Anak Yatim dimuliakan?

Jujur. Saya pernah merasai perasaan mereka yang kehilangan ayah. Dan saya belajar betapa Islam ini adalah agama yang mengambil berat.

Anak yatim ini secara fitrahnya mempunyai perasaan yang sangat halus dan sensitif. Mungkin kerana mereka merasakan betapa mereka ada kekurangan berbanding masyarakat yang lain.

Benar. Mereka tidak ada ayah sebagai tempat bergantung harap atau mereka tidak punya ibu sebagai tempat berkongsi rasa dan cerita. Dan kehilangan itu bukan sesuatu yang kecil.

Teringat ketika saya di tingkatan 3, setiap kali menjelang 'eid fitri, sekolah akan mengadakan agihan duit raya kepada anak-anak yatim atau yang tidak berkemampuan. Dan tahun itu nama saya dikecualikan.

Sedangkan ada kawan yang mempunyai 10 orang adik beradik namun masih memiliki ibu ayah terpilih. Rasa aneh membuatkan saya bertanya akan hal itu kepada guru yang terlibat. Sekadar untuk kepastian.

"hasna' anak yatim orang kaya, tak layak dapat". jawab cikgu tersebut sambil senyum-senyum. Langsung terbit suatu perasaan pedih dan saya menahan air mata. Ketika pulang, saya menangis sungguh-sungguh pada bonda.

Bukan duit raya itu yang menjadi asbab kerana duit tersebut tidak banyak malah bonda boleh berikan berkali-kali ganda lebih dari jumlah tersebut, Tetapi saat itu jiwa terlalu hiba dan sedih kerana melihat manusia menilai bahawa kasih sayang seorang ayah yang hilang dapat diganti dengan erti 'kaya'.

Apakah kehilangan ayah saya tidak sama dengan kehilangan ayah-ayah yang lain?. Ayah tetap ayah yang sama. Hanya ada satu dan setelah ayah pergi, saya tidak punya ayah lagi sehingga hari ini.

Teringat lagi, ketika cikgu-cikgu mengadakan lawatan ke Kelantan dan Terengganu pada tahun 2007 iaitu semasa saya di tingkatan 4.

Kami bermalam di Sekolah Rendah Ibnu Qayyim, Terengganu. Adik terpisah dari kami kerana dia perlu tidur bersama kaum lelaki manakala saya dan ibu di kawasan perempuan.

Esok pagi, selesai sarapan, kami berkumpul di dalam bas untuk bergerak ke tempat lain. Adik yang ketika itu baru berumur 11 tahun mengadu kepada bonda bahawa dia mengantuk.

"taha tak tidur ke malam semalam?".
"tak..banyak nyamuk.."
"semalam taha tidur dengan siapa?"
"sorang-sorang. mula-mula taha main dengan ****. pastu ayah **** panggil **** untuk tidur sebelah pakcik. Tinggal taha sorang-sorang.."
"tak ada mana-mana pakcik yang ajak taha tidur sekali?" tanya mak dengan nada terkejut.
"tak..". jawapan adik dengan nada yang meruntun hati. Saya masih ingat riak wajah si kecil itu.

Hanya Allah Maha Tahu betapa saat itu air mata mahu mengalir deras. Betapa tidak pekanya mereka terhadap si kecil yatim ini. Saya menangis dalam diam.

Tidak tergambar betapa sanggup mereka menyelimutkan anak masing-masing dan tidur bersama dalam masa yang sama meninggalkan adik keseorangan. Tidakkah mereka tahu betapa hati si kecil ini terluka? Dia tidak punya ayah untuk menyelimutkannya dan memastikan dia terhindar dari gigitan nyamuk. Dan semestinya dia tidak pernah minta untuk kehilangan ayahnya.


adik dan ayah


Anak Yatim dan Penekanan Hubungan Dengan Allah.

Masyarakat hari ini melihat kumpulan anak yatim hanya ketika menjelangnya Ramadhan dan Hari Raya. Ketika itu duit raya dan kuih muih atau jika untung sedikit bekalan makanan akan diagih-agihkan.

Mungkin juga anak-anak yatim ini akan dipanggil ke jamuan-jamuan berbuka puasa bersama pembesar masyarakat atau sebagainya.

Namun, apakah itu sebenarnya erti menyantuni dan mengihsani anak-anak yatim?

Apakah cukup sekadar bermesra dan menghulurkan sekeping dua wang kertas?

Sungguh. Sewajarnya bagi anak-anak yang kehilangan tempat pergantungan ini perlu lebih diihsani dan diberi penekanan tumbesaran keyakinan mereka kepada aturan Allah. Meyakinkan mereka bahawa Allah itu tidak pernah sesekali menzalimi hamba-hambaNya. Dia tidak punya sebarang kepentinganpun malah bagi mereka kemuliaan yang tidak punya pada orang lain.

Anak-anak yatim ini membesar dan dewasa dengan jagaan Allah secara terus. Itu yang perlu atau sangat perlu mereka diberi kesedaran.

Apatah lagi ketika suatu saat mereka berhadapan dengan konflik yang mana kawan-kawan mereka mampu pulang dan mengadu kepada ayah atau ibu masing-masing dan meminta perlindungan atau bantuan, dan mereka tidak mempunyai kesempatan itu sama sekali, ketika itulah mereka perlu yakin bahawa mereka punya Allah, Pemilik dan Pengatur kerajaan langit dan bumi.

Kerana jika mereka tidak ditanam kesedaran tersebut, akan lahirlah rasa ketidak adilan Allah dan mereka akan membesar secara tidak fitrah.

Ketika mereka merasakan suara kecil mereka tidak didengari dalam kalangan manusia, ketika itulah mereka perlu yakin bahawa Yang Bersemayam di 'Arasy sana sentiasa Maha Mendengar dan menunggu-nunggu pengaduan mereka.

Ihsani mereka dengan mengembalikan mereka kepada fitrah dan nilai-nilai Iman.

Wahai adik-adik, kalian tidak berkurang sedikitpun malah kalian dimuliakan !

Saya punya keluarga angkat yang mempunyai 5 orang adik beradik dan paling bongsu berusia 5 tahun saat ini. Ketika awal kami bekenalan, Nur Ain Sakinah masih kecil, 2 bulan iaitu sekitar tamat pantang. Dan ketika itu dia telah kehilangan ayahnya.

Ain tidak pernah melihat ayahnya tetapi dia selalu melihat gambar pakcik sambil tersenyum, "ini abi.."

teringat juga Husna, kakak Ain yang berumur 3 tahun lebih tua. Ketika awal pemergian pakcik, Husna selalu meminta ummi untuk menghantar message kepada abinya untuk lekas-lekas pulang. "cakap, Husna dah rindu".

Sungguh. Tampak zahir dan mungkin terbit dalam hati mereka ketika kawan-kawan sepermainan yang lain bermanja dengan ayah masing-masing, meraka akan rasa kekurangan.
Tetapi ketahuilah adik-adikku, Allah mengambil ayah dari kalian tetapi Allah menghadiakan kalian sesuatu yang tidak ada tolok bandingnya iaitu dekat dengan Allah.. !

Bukankah itu lebih bernilai? Baginda s.a.w. juga yatim malah yatim piatu namun ketika itulah baginda melalui proses pentarbiyahan sebenar. Proses pentarbiyah terus dari Allah.

Penutup: Bukan Unfortunate Event tetapi Fortunate Event.

Pada saya kehilangan ayah bukan suatu musibah tetapi suatu tarbiyah. Kerana dari kehilangan itu saya belajar banyak perkara dan paling panting saya belajar erti kematangan dan erti memahami kehidupan dan kepayahan manusia lain.

Jujur, mungkin jika ayah masih ada, saya tidak seperti saya hari ini malah mungkin saya tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki di bumi gurun sahara ini.

Allahua'lam.

nota kaki:
-menulis kerana melihat fenomena raya dan anak-anak yatim.

Wednesday, August 3, 2011

Hebat sayang Allah.

Zuberto. Buah hati yang telah pergi.

Tadi petang, duduk-duduk sembang dengan housemate, kak Adnin. Membincangkan banyak benda. Merenung banyak perkara.

Dan Allah susun, masuk topik tentang kehebatan Allah yang memiliki kehebatan tunggal. Tidak ada Penguasa, Pemilik, Penyusun, dan Pengatur selain Dia.

Bukti hebatnya Allah: cinta dan Kasih sayangNya.

Perasan atau tidak, betapa hebatnya Allah terpancar dalam cinta dan kasih Dia kepada setiap hamba-hambaNya.

Uniknya cinta Allah, begitu melimpah sama rata dan memenuhi kekosongan jiwa kita tanpa berkurang walaupun sedikit. Sehingga ketika kita sedang mengadu pada Allah, kita merasakan bahawa Allah hanya menumpukan sepenuhnya untuk mendengar keluhan kita. Sedangkan ketika kita menangis itu, masih terdapat jutaan hamba yang menangis dan mengadu sama seperti kita.

Kita merasakan kepuasan betapa telitinya Allah yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui. Betapa kita merasakan betapa terasingnya kita ketika itu dari dunia luar lantaran asyiknya kita. Kita merasakan bahawa hanya kita dan Allah sahaja yang sedang berantara.

Sedangkan ketika itu, Allah masih Allah yang sama yang memiliki jutaan bilion jiwa-jiwa yang lain. Masih Allah yang menyusun dan menjaga orbit-orbit galaksi. Masih Allah yang mentadbir syurga dan neraka. Masih Allah yang segala sesuatu di dunia ini dan di luarnya, semua di bawah aturanNya.

Hebat bukan?

Allah, tidak pernah memerlukan kita TETAPI kita yang sentiasa berhajat kepada Allah.

Saat menghayati semua itu, mentadabbur akan betapa hebatnya Allah, maka semakin jelas dan semakin terang, betapa kerdilnya kita pada pandangan Allah.

Berimannya kita atau kufurnya kita, tidak ada sekelumit kesan dalam kekuasaan Allah. Bahkan jika seluruh bumi bermuafakat untuk mensyirikkan Allah, tidak berlaku sekelumitpun pengurangan dalam kekuasaan dan kehebatan Allah. Begitu juga, jika seluruh isi bumi berpakat untuk beriman kepada Allah, tidak berlaku sedikitpun penambahan dalam pentadbiran kerajaan Allah.

Tetapi, kita yang sangat-sangat memerlukan Allah. Sangat-sangat dan sentiasa berhajat kepada ihsan dan cinta Allah. Lantaran tanpa semua itu, hidup kita KOSONG. Menjadi bahan bakar api neraka. Na3uzubillah minzalik.

Penutup: Mari bersungguh meraih cinta Allah.

Allah tidak pernah memerlukan kita. Tetapi kita yang sentiasa dan sangat memerlukan Allah. Justeru, pernahkah kita bersungguh-sungguh?

"Berdoalah kepada Rabbmu dengan berendah diri dan bersuara yang lembut" (alA'raf:55)

Jom manfaatkan Ramadhan ini insyaAllah..

*tulisan untuk diri sendiri sepenuhnya.


nota kaki:
-4hb last paper untuk final exam. 'Aqad Zawwaj. Semoga Allah permudahkan.
-mak dan adik akan bersama di bumi Jordan selama sebulan bermula 1Nov-1Dec. Ada sesiapa yang sudi menumpangkan adik dan mencarikan untuknya cikgu alQur'an bagi mengisi waktu lapangnya di sini?