Thursday, December 30, 2010

Kuat itu dari proses yang panjang.

Kehambaan itu perlu serius

Angin di luar sejuk. Bermakna saya di dalam rumah hampir beku. Menggigil selalu. Syita' yang awalnya pening-pening kini menjadi syita' yang sebenar. Suhu menunjukkan 6 celcius. Masih belum cukup maksimum bagi turunnya salji di hadapan rumah.

Sudah lama saya tidak menulis secara konsisten. Ikut hati, sentiasa berhajat. Namun selalunya setelah beberapa huruf ditekan, tangan langsung memadam.

Kerana bagi saya, menulis ini memerlukan jiwa dan perasaan bersama. Kerana kita bukan mahu menulis biasa-biasa. Kita mahu biar penulisan ini menjadi penyentuh jiwa. Jiwa sendiri sepenuhnya dan jiwa-jiwa lain yang turut sama mencari.

Ada sahabat bertanya," Bagaimana kamu kuat untuk bergerak?".

Sungguh. Itu soalan yang sangat mendalam untuk dijawab. Apatah lagi bagi saya yang masih perlu digandakan lagi peningkatannya. Jujur. Saya masih belum cukup kuat dan masih banyak yang perlu ditampung sana-sini.

Namun biar saya jawab dengan kekuatan yang Allah hadiahkan dan semoga kekuatan itu menjadi darah daging kehidupan saya insyaAllah.

Kebencian itu melahirkan Cinta.

Perkara yang paling penting sebagai penolak kita adalah kebencian kepada jahiliyyah. Benci dengan penuh maksima.

Dan saya membenci jahiliyyah. Kerana sejujurnya saya pernah berada dalam longkang-longkang jahiliyyah dan merasai betapa pahitnya berada jauh dengan Allah.Perlu diingat, jahiliyyah itu bukan sahaja sistem yang besar tetapi juga keperibadian dan tingkah laku yang tidak mengambil iman sebagai tunjang.

Membesar dalam rahim Tarbiyah tidak bermakna kita terus diberi hidayah. Saya teringat semenjak kecil, saya merupakan anak yang nakal berbeza dengan kakak. Ibu selalu menangis dengan tingkah saya yang suka menjawab dan kuat memberontak.

Pernah ketika saya berusia 6 tahun, ibu sambil berlinangan air mata meminta saya untuk memilih mana-mana makcik yang saya kenal dan sayang untuk menggantikan ibu. Dan saya mula berfikir," Teruk sangatkah aku sehingga ibu bertindak begitu?". Malah sehingga kini, permintaan itu masih tergiang-giang.

Teringat ketika darjah 4 selepas dimarahi ibu, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Takut seandainya Allah menolak saya lantaran kemarahan ibu Sungguh. Ketika itu saya tahu akan kelemahan yang ada tetapi tidak cukup kuat untuk melawannya.

Saya cuba dan terus mencuba. Bukan sesuatu yang mudah. Ketika berusia 12 tahun, jiwa saya semakin hebat bertarung. Antara Allah dengan keseronokan remaja. Dan selalunya saya jatuh. Tetapi doa itu sentiasa ada. Doa semoga saya tidak dikembalikan sebelum saya benar-benar menjadi hamba.

Noktah paling penting yang merubah langsung kehidupan saya ialah selepas kematian ayah. Tetapi bukan berlaku secara serta merta. Masa yang panjang. Air mata yang banyak. Kepedihan yang menggigit.

Apa kekuatan saya untuk terus setia? Hanya semangat yang bersungguh untuk menjadi hamba yang luar biasa. Bersamanya ibu yang tidak pernah lelah membentuk serta kakak yang tidak pernah putus menjadi inspirasi.

Saya bina perlahan-lahan fitrah keimanan dalam diri.Yakin sepenuhnya kepada Allah. Berhajatkan secara maksima syurga Allah. Takut kepada pengakhiran yang akan mencampakkan diri ke neraka. Tingkatkan bacaan ilmiah. Dampingi dengan manusia-manusia yang soleh. Banyakkan berfikir sesuatu yang besar. Dan semua itu tidak dapat dibentuk melainkan dengan Tarbiyah Islamiyah Kamilah.

Bak kata-kata Mustafa Masyhur:
"Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah".

Dan kini, kebencian kepada jahiliyyah itu semakin kuat setiap kali teringat betapa payahnya saya untuk lari dari kepompong itu. Benarlah, kita tidak mampu melihat kejernihan Islam selagi belum mengikis habis jahiliyyah yang ada dalam diri kita.

Umpama ulat sampah yang setia di tong-tong sampah. Jika ditanya ketika itu, busukkah sampah itu? Pasti dijawab tidak. Tetapi apabila kita keluarkan dia dan mencuci bersih serta meletakkan wangian di tubuh ulat sampah itu kemudian menyoal kembali. "Adakah sampah itu busuk?". Pasti ulat akan menjawab ya.

Seperti itu juga fitrah manusia. Mustahil dia akan membenci sesuatu yang dia sedang bergelumang di dalamnya. Melainkan dia tekad untuk keluar dan membersihkan dirinya dari daki-daki kekotoran itu. Selepas itu, pasti dia akan benci untuk kembali ke sana.

Saya akan menangis setiap kali mengingat semula betapa susunan Allah yang mengizinkan saya untuk melalui kepayahan dalam usaha mencintaiNya. Tidak seperti manusia-manusia yang baik semenjak di usia kecil.

Saya akan menangis setiap kali lintasan "jika Allah menarik kembali hidayah ini", kerana saya pernah melalui suatu tempoh yang sangat gelap dan penuh kekacauan.

Saya akan menangis setiap kali saya menerima kata-kata syukur ibu "atas anugerah Allah Hasna' sebagai anak mak dan ayah penyejuk mata dan jiwa" kerana saya tahu betapa mahalnya harga untuk saya mendapat kata-kata redha itu.

Sungguh. Kebencian kepada jahiliyyah yang menghitam membuatkan saya mencintai Tarbiyah atau proses keimanan kepada Allah ini.

Tidak ada jaminan dalam keimanan.

Kenikmatan Iman dan Islam yang kita miliki hari ini sama sekali tidak punya jaminan untuk kekal. Allah pemiliknya bila-bila masa mampu menarik kembali dan membiarkan kita dalam kesesatan (na'uzubillah min zalik).

Namun kita ada harapan. Iaitu dengan berada dalam suatu proses pendidikan yang panjang dan berterusan. Proses pendidikan yang sistematik dan lengkap. Dan semua itu hanya bisa diperolehi dengan Tarbiyah Islamiyah yang diaplikasikan seumpama dengan madrasah Tarbiyah Rasulullah s.a.w.

Kita bergerak bukan untuk manusia lain. Tetapi kita perlu bergerak kerana melihat urgensinya Tarbiyah dalam pembinaan keperibadian muslim. Kita melihat urgensinya Tarbiyah dalam menjaga kebersihan hubungan kita dengan Allah dalam kondisi jahiliyyah yang maha dahsyat sedang berombak di luar sana.

Kita soleh hari ini belum tentu kita soleh hari esok. Namun insyaAllah, selagi mana kita tekad untuk duduk dalam proses ini sehingga ke akhir hayat, Allah akan selalu bersama.

Syurga itu mahal.

Saya tidak mengaku bahawa saya telah cukup beriman kerana manusia itu tidak pernah kuat untuk istiqamah. Tetapi dengan proses keimanan ini, akan selalu membuatkan kita bangun semula.

Syurga Allah itu mahal. Lalu maharnya juga pasti mahal. Mustahil kita mampu memilikinya dengan usaha yang kecil, bukan?

Doakan semoga kita dikurniakan kekuatan untuk terus hidup dalam pemerhatian luar biasa dari Allah, insyaAllah.

Wallahua'lam.

*Imtihan nihaie semakin menghitung. 3-13 January.
*Berkongsi dalam rangka untuk memberitahu;"semua manusia mampu berubah daripada tidak baik menjadi baik malah dari baik menjadi lebih baik. Hanya perlu anjakan daripada dalam dirinya sendiri dan proses Tarbiyah yang berterusan".

2 comments:

  1. ya. syurga itu mahal, hanya org yg hebat layak memilikinya

    jadi kita kena berusaha, supaya kita jd hebat & dapat melangkah ke syurga nan abadi.

    dan org yg hebat tentulah akan teruji kan?

    p/s : bittaufiq wannajah fil imtihan (=

    salam ukhuwwah dari bumi mesir (=

    ReplyDelete
  2. semoga Allah permudahkan segala urusan kita.
    tapi,bukankah semakin sukar ujian yang datang, semakin dekat kita kepada Allah...
    susahnya nak kluar dari kepompong jahiliah..
    moga Allah membimbing kita semua ke syurga Nya.. amen..insyallah..

    ReplyDelete

mohon pandangan.