Monday, January 24, 2011

Amal itu tidak pernah cuti.

Maaf kerana sudah lama tidak menulis. Awalnya sibuk periksa akhir. Kemudian berlangsung Tamrin Dakwah dan Amal selama 2 hari 1 malam. Seterusnya program anjuran Majlis Mahasiswa Yarmouk (MMY) di bawah kelolaan Akademi Syariah MMY (ASM) iaitu sebuah kursus intensif mengenai ilmu faraid yang Alhamdulillah dilalui selama 4 hari yang penuh ilmiah dan bermanfaat.

3 malam 2 hari pertama.

Ustaz Abu Bakr dan zaujah, kak Zizi yang merupakan teman baik kak Ha (Fatimah Syarha) bersama si comel, Abdullah Mujahid datang dari bumi sempadan sana, tanah Syams Syria semata untuk bersama kami.

Kak Zizi bermalam di Bayt Abu Ubaidah dan bermakna selama 3 hari 2 malam itu, kami diceriakan dengan keletah si Mujahid yang insyaAllah bakal menjadi mujahid suatu hari nanti.

Dari kiri atas: k 'dnin, k Pipah, k Zizi, k Syu, Athiroh, Mujahid, Asma' dan k Halimah.
Dari kiri bawah: k Timah, saya, k Ninah, k Yam dan Izzah.
Tiada dalam gambar: Pipah dan k Izzah.
Tidak dapat hadir: k Iffah.

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan hati-hati kami untuk duduk bersama dalam rangka untuk beriman dan mematuhi setiap amal yang telah Allah tetapkan. Bersama berusaha menjadi pemuda muslim mukmin yang terbaik mengikut nilaian Allah.

Sepanjang 3 malam 2 hari ini, sempat mencedok banyak perkongsian dengan kak Zizi yang nyata berpengalaman luas dalam DnT di UIA dahulu. Sempat berbincang beberapa perkara dan merangka beberapa perkara.insyaAllah..

Antara perkongsian Ustaz Abu Bakr:

  • "Kita beramal Islami bukan kerana Allah tetapi kerana kita yang perlukan Allah".
  • "Berdasarkan surah alAsr (Demi masa..), Allah memberitahu bahawa seluruhnya berada dalam kerugian. Semuanya. KECUALI. Digariskan 3 ciri-ciri yang mengeluarkan manusia daripada kerugian itu. 1. yang beriman. 2. beramal soleh. 3. berpesan-pesan kepada kesabaran dan berpesan-pesan kepada kebenaran."
  • "Iman itu wajib memberi kesan kepada sekeliling. Iman itu boleh digambarkan seperti api dan ais batu. Api yang panas mampu memanaskan ruang. Begitu juga ais batu yang sejuk dan mampu menyejukkan".

Banyak lagi sebenarnya, tetapi cukuplah dikongsi 3 point penting tersebut.

Pada hari terakhir, dalam slot resolusi, senior Hilal Asyraf ada menyentuh perkara asas berkenaan setakat mana kita mahu melihat keseriusan urgensi Tarbiyah. Sungguh. Kita tidak mampu memperuntukkan walau sedikit waktu dalam hidup untuk berada dalam taman-tanam keimanan kepada Allah jika kita tidak nampak urgensinya menjadi muslim mukmin itu. Sejujurnya tidak ada jaminan kepatuhan kepada Allah melainkan keistiqamahan kita untuk terus mendidik keimanan.

Seterusnya dalam kalimah akhirah, senior Aiman Majdi merangkap mas'ul kami di bumi Jordan ini, menyentuh berkenaan Jiddiyah dan keseriusan. Walaupun cara penyampaian yang santai tetapi beberapa point disentuh serius.

  • "Kita selalu mendengar 'Belajar nombor 1, DnT bukan nombor 2', kerana DnT itu sememangnya tidak perlu ada nombor. DnT mesti menjadi darah daging kita".

Tamrin tamat sekitar tengah hari hari Sabtu. Sempat bermain dengan Abdullah Mujahid sebelum saya bergegas ke mesyuarat AMT dan AMM MMY. Pulang lewat malam dengan ketiadaan Abdullah Mujahid yang menceriakan rumah kami selama 3 malam 2 hari ini membuatkan sunyi itu menusuk. Rasa macam nak menangis..T_T"

perkongsian k Pipah berkenaan tamrin klik.

4 hari seterusnya.

Kelas ilmu faraid iaitu ilmu mengenai pembahagian harta pusaka yang berlangsung di Bayt PERMAI dengan tenaga pengajar scorer MMY, senior Syukri Ali dan senior Izaan Azalan.

Saya mula mengenali ilmu faraid ini ketika ibu sedang sibuk menguruskan harta peninggalan ayah. Mengikut ibu sekali sekala ke KWSP dan ke mahkamah syariah, melihat dan mendengar serba sedikit berkenaan ilmu faraid.

Tetapi apa yang saya tahu sebelum ini hanya sedikit memandangkan Allah mudahkan urusan kami dengan kecukupan furu' waris iaitu pewaris asal (anak lelaki dan anak perempuan). Justeru Alhamdulillah kali ini, kami didedahkan berkenaan keluasan ilmu Allah yang sangat hebat.

Pelbagai kemungkinan masalah yang dirangka oleh para sahabat dan fuqaha' mengikut nas alQur'an dan hadis Rasulullah s.a.w yang secara normalnya jarang-jarang berlaku tetapi berkemungkinan untuk terjadi membuatkan ilmu faraid ini begitu unik dan sistematik. (dan agak memeningkan sedikit..=_=")

Kelas tamat pada hari Khamis. Sejujurnya rasa sedih untuk meninggalkan suasana pembelajaran yang seronok.

Hari-hari seterusnya.

[maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) FUJUR dan TAQWA. Beruntunglah mereka yang mensucikannya dan merugilah mereka yang mengotorinya: asSyams; 8-10]

Fitrahnya manusia itu punya turun dan naik. Dan dalam cuti ini, saya juga punya tempoh jatuhnya. Semoga Allah tidak menolak saya jauh.T_T.

Iman itu perlukan ancaman.

Semalam Alhamdulillah, buat kali pertama berlangsungnya halaqah Q bagi pihak sahibah sekaligus bergabung dengan pihak Q sahabat kerana bersambung dengan mesyuarat bagi menyambut Q dari Malaysia insyaAllah pada bulan Februari yang akan datang.

Dan pengisian diisi oleh senior Sahel. Berikut merupakan beberapa point yang dapat dikongsi.

  • "Kehidupan itu sendiri merupakan Tarbiyah kerana Iman tidak akan lahir tanpa Tarbiyah"
  • "Masyarakat melihat maksiat sebagai nikmat. Kerana hari ini kita berada dalam kondisi 'harb fikry iaitu peperangan dengan keyakinan dan kefahaman. jika kita meninggalkan kerja-kerja Islam dalam kondisi masyarakat hari ini bermakna kita BERDOSA -MM-"
  • "Pernah ditanya kepada UDMZ, apakah rahsia untuk istiqamah dalam beramal, jawab ustaz: sibukkan diri kita dengan Dakwah"
  • "Pesanan yang sempat dititipkan oleh Abu Amar (MAarR) ketika kami bertanya soalan yang sama, jawab Abu Amar (khusus kepada pelajar Timur Tengah):1. Fasihkan bahasa Arab.2. Sibukkan diri dengan D. 3. Kaji qadiyah Palestin dan Qadiyah Iraq."
  • "Mukmin memandang dosa walaupun kecil ibarat batu besar yang menghempap manakala munafiq melihat dosa itu umpama lalat yang hanya dikibas-kibas".
  • "Mana mungkin kita yang membawa manusia kepada Allah, sedang kita sendiri JAUH dengan Allah. Mana mungkin kita yang membawa risalah-risalah suci ini, KOTOR".
  • "Jalan ini mendidik kita untuk membersihkan diri."
  • "Tarbiyah tanpa D, tidak akan ke mana-mana. D tanpa T sia-sia -UDMZ-"
  • "Tarbiyah dan pembersihan jiwa umpama semaian pokok. Jika tidak dibajai dan disirami, pokok akan layu dan kering. Jika dibajai, pokok akan subur -MM-".
  • "Rukun-rukun khusus untuk pemuda yang digariskan oleh IHAB: 1.IMAN. 2.keIKHLASan 3.Semangat yang berkobar-kobar.4.Amal. Kita boleh check kembali diri kita, apakah kita benar-benar memenuhi tuntutan seorang pemuda itu."

Sungguh. Malam itu umpama saya ditampar-tampar. Mata tidak mampu menahan. Titik jernih itu mengalir. Allah hadiahkan peringatan yang keras ini setelah saya hampir jauh. Malunya dengan Allah..

UDMZ..murabbi mithali qudwah kami

Ditambah ketika senior berkongsi akan kisah-kisah di hujung usia UDMZ. Betapa ustaz sehingga ke detik nafas terakhirnya memikirkan tentang DnT. Tidak pernah terhenti. MasyaAllah.. Benarlah rehat bagi seorang mukmin itu hanya ketika menemui sang Pencipta.

Semoga Allah menguatkan kami untuk istiqamah di atas jalan ini, insyaAllah..

Penutup.

Sebenarnya, saya dalam kesedihan baru-baru ini. Sedih dan pedih lantaran tidak mampu menjadi pelajar muslim yang terbaik. Dididik oleh Allah untuk berusaha keras lagi. Dan tarbiyah itu yang menguatkan. insyaAllah, akan maksima fokus selepas ini.

Doakan saya sahabat. Semoga kita kuat untuk menjadi yang terbaik dalam nilaian Allah, insyaAllah..

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.