anak-anak murid saya
Mungkin kerana setiap kali saya menatap wajah anak-anak murid saya (yang seusia dengannya), saya akan teringatkan adik.
Sungguh. Baru saya sedar bahawa dia adalah teman saya selama ini. Walaupun kami selalu bergaduh, tetapi kerana dia, saya memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi. Masih ingat, kami selalu ditinggalkan hanya berdua. Kadang-kadang berhari-hari kerana ibu mengikuti kursus di luar.
Dan masih saya ingat, antara peristiwa yang tak mungkin saya lupakan, saat kami tinggal berdua, adik demam panas. Dan malam itu saya ada persembahan sebagai watak utama dalam lakonan anjuran kakak-kakak lepasan. Kisah kesyahidan Sumaiyah. Kisah yang berat bagi saya. Memerlukan penghayatan yang penuh.
Adik tidak kebah-kebah. Langit pula basah. Hujan lebat dan angin sangat sejuk. Mana mungkin saya tinggalkan adik. Seusai solat Maghrib, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Benar-benar saya rasa sayu. Bagai si yatim piatu yang tiada penggantungan melainkan hanya ada Sang Penciptanya sahaja. Ketika itu, saya menangis mengalahkan tangisan si bayi yang pinta didodoikan. Benarlah Allah adalah sebaik-baik pendengar.
Mujur ibu dapat pulang malam itu juga walaupun agak lewat. Nak tak nak saya terpaksa membungkus adik dan membawanya bersama ke MATRI kerana adik takut untuk tinggal sendirian di rumah walaupun sekejap. Saya membekalkannya selimut dan memakaikannya dengan baju hujan agar dia tidak basah. Hati saya benar-benar sedih mengenangkan kepayahan yang perlu dialaminya dalam usia yang masih kecil.
Sepanjang perjalanan, air mata saya tahan keras agar tidak tumpah. Meredah malam gelap, tanpa bumbung, terus dibasahi hujan yang deras bersama-sama perasaan yang tidak tertahan, saya kira itu adalah malam yang paling sayu yang pernah saya lalui. Baru ketika itu, saya sedar bahawa saya adalah seorang kakak yang kuat.
Adik pulak tidak mahu naik ke dewan makan, tempat semua pelajar puteri MATRI akan berkumpul malam itu. Jadi dengan berat hati, saya terpaksa tinggalkannya di musolla. Banyak perkara yang saya tinggalkan sebagai pesanan. Takut demamnya semakin teruk.
Kemudian, saya ke asrama untuk latihan akhir. Dengan hati yang masih kacau, saya tetap meneruskan tugasan. Dan Allah izin, lakonan saya pada malam itu walaupun tanpa latihan yang cukup tetapi lahir dari hati saya yang sedang berduka berjaya membuatkan penonton dan hakim menangis. Saya sendiri terharu. Mungkin kerana saat Sumaiyah merasai pergantungan Allah ketika dia diseksa dapat saya rasai dalam hati saya. Sungguh. Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.
Dan syukur Alhamdulillah kerana ibu selamat tiba dan membawa adik pulang. Bagi diri saya, apa yang telah saya lalui malam itu, benar-benar membuatkan saya semakin sayang kepada Allah dan membuatkan saya rindu kepada adik ketika dia jauh dari saya. Sungguh. Saya sayang adik. Semoga dia dewasa menjadi anak yang soleh kebanggaan ibu.
sadis la entry hasna kali ni..
ReplyDeletehuhu
moga Allah jaga anti & mereka yg disayangiNya~
Wa.. subhanallah... adik2ku sudah semakin dewasa... barakallahufikuma, my deary siblings.. i-allah, kita jumpe kat urdun nanti, ye sis..!
ReplyDelete