Saturday, May 30, 2009

program SMKPs

Semalam saya mengikuti program takhsin alQuran anjuran Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis sebagai fasilitator. Program ini diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis. Bas datang mengambil kami di MATRI sekitar pukul 7.30 pagi.

Para fasilitator seramai 23 orang (12 lelaki dan 11 perempuan) telah diamanahkan untuk bersama-sama ahli kumpulan sepanjang program ini berjalan. Kami ditugaskan untuk membetulkan bacaan peserta. Hanya itu yang diminta. Nampak mudah. Tetapi hal ini sebenarnya satu peluang besar bagi kami untuk meluangkan lebih masa dengan adik-adik.

Alhamdulillah program berjalan lancar dan para peserta memberikan komitmen yang sangat baik. Dalam kumpulan, setiap kali kami habis membaca secara bergilir, saya akan mengajak mereka untuk mentadabbur setiap ayat surah tersebut. Dan Maha suci Allah yang di tanganNya segala sesuatu, adik-adik memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang telah saya sampaikan. Mereka tidak nampak mengantuk atau bosan walaupun kami berada dalam bilik yang bersuhu rendah sepanjang hari. Wajah mereka ceria dan mereka sentiasa mempamerkan tindak balas yang positif setiap kali perbincangan antara kami diadakan.

Sungguh. Saya sayang mereka. Mereka adalah antara masyarakat yang berhajat untuk Islam walaupun dikelilingi oleh suasana yang turut berhajat memusnahkan mereka.
Ketika itu saya terdetik, apakah yang telah saya lakukan untuk membantu masyarakat yang berhajat seperti ini?

Selama ini saya gembira dan bahagia dalam tarbiyah tanpa pernah bersungguh untuk mengajak ummat berkongsi kebahagiaan tersebut..

Dan hari ini di MATRI, saya telah menghadiri NADI '09 (Nadwah Kepimpinan MATRI) anjuran SHQ untuk ahli HQ MATRI. Program ini bermula semalam namun saya tidak dapat mengikutinya.


suasana sepanjang NADI '09

Banyak yang telah saya teguk sepanjang saya berada dalam majlis ilmu tersebut. Sungguh. Saya telah menerima banyak namun apakah saya turut berkongsi dalam jumlah yang sama? Semoga Allah mengampuni setiap kelalaian dan kekurangan saya.

Oh ya. Ini gambar adik saya.


Dari kiri Amirul, Ridhwan dan Thalhah (adik saya)

Friday, May 29, 2009

Adikku telah pulang..

Awal pagi tadi, adik saya yang merantau jauh untuk menimba ilmu telah pulang. Saya rasa ada kelainan kali ini. Kelainanan pada dirinya dan kelainan pada diri saya sendiri. Saya benar akui. Pada dirinya, dia semakin tinggi, malah mengalahkan saya, kakaknya yang selama ini 'perasan' tinggi.(",). Dan pada diri saya, kepulangannya kali ini bagai dinanti. Sejujurnya saya tertunggu untuk melihatnya di muka pintu sejak kebelakangan ini.

anak-anak murid saya

Mungkin kerana setiap kali saya menatap wajah anak-anak murid saya (yang seusia dengannya), saya akan teringatkan adik.
Sungguh. Baru saya sedar bahawa dia adalah teman saya selama ini. Walaupun kami selalu bergaduh, tetapi kerana dia, saya memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi. Masih ingat, kami selalu ditinggalkan hanya berdua. Kadang-kadang berhari-hari kerana ibu mengikuti kursus di luar.

Dan masih saya ingat, antara peristiwa yang tak mungkin saya lupakan, saat kami tinggal berdua, adik demam panas. Dan malam itu saya ada persembahan sebagai watak utama dalam lakonan anjuran kakak-kakak lepasan. Kisah kesyahidan Sumaiyah. Kisah yang berat bagi saya. Memerlukan penghayatan yang penuh.

Adik tidak kebah-kebah. Langit pula basah. Hujan lebat dan angin sangat sejuk. Mana mungkin saya tinggalkan adik. Seusai solat Maghrib, saya menangis sungguh-sungguh dengan Allah. Benar-benar saya rasa sayu. Bagai si yatim piatu yang tiada penggantungan melainkan hanya ada Sang Penciptanya sahaja. Ketika itu, saya menangis mengalahkan tangisan si bayi yang pinta didodoikan. Benarlah Allah adalah sebaik-baik pendengar.

Mujur ibu dapat pulang malam itu juga walaupun agak lewat. Nak tak nak saya terpaksa membungkus adik dan membawanya bersama ke MATRI kerana adik takut untuk tinggal sendirian di rumah walaupun sekejap. Saya membekalkannya selimut dan memakaikannya dengan baju hujan agar dia tidak basah. Hati saya benar-benar sedih mengenangkan kepayahan yang perlu dialaminya dalam usia yang masih kecil.

Sepanjang perjalanan, air mata saya tahan keras agar tidak tumpah. Meredah malam gelap, tanpa bumbung, terus dibasahi hujan yang deras bersama-sama perasaan yang tidak tertahan, saya kira itu adalah malam yang paling sayu yang pernah saya lalui. Baru ketika itu, saya sedar bahawa saya adalah seorang kakak yang kuat.

Adik pulak tidak mahu naik ke dewan makan, tempat semua pelajar puteri MATRI akan berkumpul malam itu. Jadi dengan berat hati, saya terpaksa tinggalkannya di musolla. Banyak perkara yang saya tinggalkan sebagai pesanan. Takut demamnya semakin teruk.

Kemudian, saya ke asrama untuk latihan akhir. Dengan hati yang masih kacau, saya tetap meneruskan tugasan. Dan Allah izin, lakonan saya pada malam itu walaupun tanpa latihan yang cukup tetapi lahir dari hati saya yang sedang berduka berjaya membuatkan penonton dan hakim menangis. Saya sendiri terharu. Mungkin kerana saat Sumaiyah merasai pergantungan Allah ketika dia diseksa dapat saya rasai dalam hati saya. Sungguh. Allah sebaik-baik tempat bergantung harap.

Dan syukur Alhamdulillah kerana ibu selamat tiba dan membawa adik pulang. Bagi diri saya, apa yang telah saya lalui malam itu, benar-benar membuatkan saya semakin sayang kepada Allah dan membuatkan saya rindu kepada adik ketika dia jauh dari saya. Sungguh. Saya sayang adik. Semoga dia dewasa menjadi anak yang soleh kebanggaan ibu.

Monday, May 18, 2009

KMK 13 kembali..
















Maklumat awal KMK:

-9, 10 dan 11 June 2009.
-di Pendang Lake Resort, Kedah.
-Yuran RM 60.










hati yang terisi kembali..


16 dan 17 mei yang lalu, Allah izin saya telah berkesempatan mengikuti atau lebih tepat 'menumpang' kem tahunan khassah MATRI yang diadakan di Pantai Merdeka, Kedah.

Walaupun agak kecewa kerana terpaksa pulang awal, saya tetap terlalu bersyukur kerana ibu 'memaksa' saya pergi. Sejujurnya pada awal, saya segan kerana saya bukan pelajar khassah tetapi ibu telah meminta izin dari ustaz zainuddin dan akhirnya kelulusan telah diberikan..




Abang AI selaku kem komander memberi taklimat



Sekitar kawasan penginapan puteri

Sepanjang 2 hari 1 malam saya di sini, hati saya benar-benar terisi dengan berlian-berlian dan permata-pertama yang mustahil akan diperoleh dari tempat lain. Kata-kata Cikgu AB, Abang AI, Ustaz AH, Ustaz MM dan Ustaz YN sangat-sangat membuatkan saya rasa bagai hanya baru duduk di birai jalan ini. Fikrah yang kononnya dirasakan cukup sebenarnya tidak lebih dari tebalnya kulit bawang yang nipis.

Saya selalu meyangka sudah mencapai matlamat hidup hanya semata saya membesar dan dewasa dalam suasana tarbiyah. Sedangkan itu sesekali TIDAK PERNAH berlaku. Tarbiyah bukan ghayyah (matlamat hidup). Tarbiyah hanya wasilah dalam pembentukan peribadi dan dalam usaha merawat ummah. Selagi peribadi saya tidak sempurna dan selagi ummah tidak sejahtera, proses ini wajib berjalan dan akan terus berjalan.

Seperti kata Cikgu AB yang dipetik dari buku Majdi alHilali:

"Setiap hari luka-luka baru menjalar tubuh ummat sedangkan luka-luka semalam masih belum sembuh"


Tarbiyyah Islamiyyah mesti berlaku. Tarbiyyah tidak membunuh fitrah atau nafsu tetapi meniunnya seperti mana pemuzik meniun biolanya agar menghasilkan suatu muzik yang merdu. Jika dia seorang yang pendendam, lahirkan rasa dendam itu kepada kaum kuffar yang zalim. Jika dia seorang pemarah, lahirkan amarah itu untuk menuntut kehormatan Islam yang kian hilang.

Kepentingan tarbiyyah Islamiyah ialah: -membina kefahaman yang benar.

- memahami peranan dan tanggungjawab

muslim.

- mengenali dan mebezakan pendirian dan sikap

mukmin dan kuffar.

- mengetahui batas-batas kuffar.

-merasa 'izzah dengan Islam.


Sasaran tarbiyah: -berawal dengan pembentukan peribadi mukmin dan berakhir

dengan ustaziyatul 'Alam.

-melahirkan da'ie dan murabbi.

-merawat kerosakan ummah.

-me'islahkan masyarakat.

Hasilan tarbiyyah: -Khairul Ummah (2:110)



"Islam perlukan pendokong seperti mana kelab bola sepak memerlukan pemain-pemain. Apakah penyokong-penyokong yang hadir jutaan bilangan akan menendang bola atau pemain-pemain? Islam perlukan pemain yang akan menyepak bola ke gawang musuh itu bukan penyokong-penyokong yang hanya hadir untuk menonton"

-petikan penyampaian cikgu AB-

Ustaz AH mengisi slotnya dengan penekanan mengenai akhlak Islamiah dan sifat-sifat seorang da'ie. Kata-kata yang paling kami ingati ialah, huraian maksud akhlak Islamiyah iaitu himpunan sifat-sifat mulia yang menjadi DARAH DAGING dalam hidup manusia mengikut alQuran dan asSunnah.

Ustaz MM pula mencurahkan kami dengan mutiara-mutiara yang sedaya upaya tidak kami biarkan mutiara-mutiara tersebut jatuh selain ke dalam kantong hati-hati kami. Pengisian selama 2 jam lebih benar-benar tidak terisi selain daripada penyubur jiwa yang gersang. Tajuk slot tersebut ialah 'Jiddiyyah dan Iltizam dalam kerja Islami'. Maaf kerana tidak dapat dikongsikan dalam post ini kerana terlalu panjang dan amat sayang untuk diringkaskan.

Manakala Ustaz YN pula telah memberi perkongsian menerusi tajuk ' Darurah Tamayyuz'. Juga tidak dapat dikongsi kerana tajuk ini agak berat.



Santai selepas slot pengisian

Selepas menunaikan solat Maghrib dan 'Isyak secara jama', saya bertolak pulang kerana perlu mengikuti mesyuarat KMK ke-13 pada awal keesokan pagi di Pendang.

Semoga Allah menguatkan saya dan mengukuhkan saya di atas jalan ini, InsyaAllah..

Thursday, May 14, 2009

Bidadari Yang Hilang..

6.15 pm, pada tarikh 14 Mei 2009, seorang wanita berjasa telah pergi untuk selama-lamanya.

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita pasti akan kembali..
Datin Halimaton Binti Hussin atau mesra dipanggil ummi oleh pelajar-pelajar MATRI telah kembali ke Rahmatullah petang tadi.

Beliau pada awalnya dijangkiti demam Denggi dan kemudian memberi kesan negatif kepada jantung dan buah pinggangnya.

Doakan kesejahteraan beliau di sana dan mohon doakan sekali Ustaz Dahlan kerana kesihatan Ustaz agak terjejas semenjak ummi jatuh sakit.
Semoga Allah menerima amal baiknya dan merahmatinya.
alFatihah.

Saturday, May 9, 2009

Tahniah VT Matri!

Hari ini saya mengikuti lagi perlawanan separuh akhir sukan bola tampar setelah terlepas untuk tahun yang lepas. Walaupun sukan ini yang saya gemar, tetapi bukan cerita tentangnya yang ingin saya coretkan.


Sahabat dari jauh dan ibu




wajah-wajah yang tenang dalam resah

Saya dapat banyak pengajaran dan hikmah dari perlawanan ini. Banyak. Sangat banyak.

Meskipun tewas di pusingan separuh akhir, tetapi saya yakin pasti ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan.
Selama ini, MATRI selalu tewas di tempat kedua. Namun Allah hadiahkan dari kesabaran itu dengan kemenangan juara pada tahun lepas. Dan kali ini, Allah sengaja menguji dengan tewas di pusingan separuh akhir. Agak menurun berbanding keputusan sebelum ini.
Mungkin secara logik, saya punya alasan iaitu kerana MATRI diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan Sek.Men Syed Alwi, pesaing MATRI selama ini. Justeru, kedua-dua pihak ini akan bertemu pada saingan separuh akhir, bukan dalam pertandingan akhir seperti sebelum ini.
Tetapi jika ditelusuri dari kaca mata seorang mukmin, sebenarnya Allah sengaja ingin mendidik hati-hati hamba cintaanNya agar benar-benar meyakini bahawa hanya Allah yang memberi sesebuah kejayaan itu.
Allah menghadiahkan khabar gembira saat kita meyakini hanya Allah sebagai tempat bergantung dan berharap. Tetapi sebagai bukti kasih sayangNya, Dia ingin agar hamba-hambaNya selalu menjaga kebersihan hati-hati itu.



Situasi yang sungguh mencemaskan

Sejujurnya, saya benar-benar merasai bahang di medan jihad saat menyaksikan perlawanan yang sangat sengit ini. Sorakan dan takbir pelajar-pelajar MATRI benar-benar menaikkan semangat. Disusuli dengan nyanyian nasyid MATRI iaitu 'Sunnah Berjuang' dan 'Adakah kau lupa' yang dinyanyikan dengan penuh 'izzah dan lahir dari hati.

Sungguh. Hanya Allah tempat kita bergantung harap dan memohon pertolongan. Yakinlah hanya Islam yanag tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.

Friday, May 8, 2009

RiMBA 2 ditangguh..

Keputusan diputuskan. RimBA 2 ditangguh ke bulan november atau disember. Itu kata putus penasihat tertinggi keARAH Perlis, Cikgu Ghazali Bin Saad.

Saat itu saya kira, saya adalah manusia yang paling gembira. Terbang satu lagi tanggungjawab yang berat. Terasa ringan bahu yang memikul.

"Walaupun rimba 2 ditangguh tapi ana harap, kita tetap bekerja. Kita mesti bergerak kerana rimba ini hanyalah wasilah tapi mas'uliyyah dakwah dan tarbiyah itu selalu ada."
"Nak tak nak kita kena sentiasa bekerja kerana jahiliyyah di luar sana tidak pernah berhenti. Tidak perlu bergerak hanya apabila menerima arahan." bicara pengerusi keArah sahabat selepas pengkhabaran penangguhan tersebut benar-benar menampar wajah saya.

Saya jadi malu pada Allah. Apakah saya senang dengan kerehatan dari jalan DnT ini? Hati apakah saya ini?
Sejujurnya saya malu dengan diri saya saya sendiri. Saya telah gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam medan ini. Selalu saja saya menukar jalan yang berduri dengan hamparan permaidani merah. Selalu saja saya senang lenang di atas jalan yang penuh dengan luka-luka dan kepayahan. Bermakna saya tidak benar-benar terjun tetapi hanya selangkah cuma bertapak di atas jalan ini.

Saya akan kuat saat bersama teman-teman. Bersemangat untuk bekerja dan bergerak. Tetapi akan lesu apabila saya bersendiri. Hanya senang untuk mengimbau kenangan manis tinggalan lampau.

Sungguh. Saya takut untuk berhadapan dengan Allah. Mas'uliyyah yang diberi tidak ditunaikan sebaik mungkin. Sejujurnya saya bukan pemimpin yang baik. Saya senang untuk menurut arahan berbanding memberi arahan. Saya senang menjalankan apa yang telah disusun oleh mas'ul berbanding menyusun untuk dijalankan. Saya hanya pandai bekerja tetapi lemah dalam meyusun kerja.
Bukankah itu tidak baik? Islam perlukan pendukung bukan hanya penyokong. Islam perlukan penggerak bukan penurut. Saya tahu itu. Tetapi saya tidak mampu untuk mengaplikasikannya.

Jahiyyah terus laju merempuh benteng ummah tapi saya terus menanti arahan. Menanti panggilan untuk bergerak. Tanpa pernah berfikir untuk menggerak. Itulah saya.

Tolong.. Tolong doakan saya agar tidak terus menerus sebegini. Saya tidak mahu hanya menjadi batu dalam menyaksikan keruntuhan ummah. Tolong doakan saya ya.



kenangan adik-adik peserta RiMBA 1

Tuesday, May 5, 2009

Kenangan di Langkawi

Buat kali kedua, saya telah menjejakkan kaki ke Langkawi sebagai fasilitator untuk program Generasi Langkawi Gemilang (Geliga) kali ke-4 kerjasama antara HALUAN MALAYSIA dan BEST STAR RESORT.

Kami telah bertolak pada petang Khamis dari jeti Kuala Perlis pada jam 4 petang.

kak Amalina dan kak Jannah yang setia menunggu sehingga kami naik feri.

Untuk program kali ini, Dr Azizan Ahmad kembali menjadi motivator selepas Geliga 1. Sebelum ini, untuk Geliga ke 2 Cikgu Azmi Bahari yang menggantikan beliau. Begitu juga Cikgu Syahid Amin untuk Geliga ke3.

Sepanjang 4 hari kami berada, dua program telah berlangsung. Pada hari Jumaat, kami menjadi fasilitator program kecemerlangan PMR. Program ini bermula pada jam 7.30 pagi dan tamat pada jam 12 tengah hari.



adik-adik sedang menasyidkan lagu tema 'Demi Matahari'

Mungkin masa yang diperuntukkan amat singkat tetapi saya yakin, peserta mendapat banyak manfaat dari setiap bicara Dr Azizan.Senang sekali melihat peserta yang bersemangat walaupun program ini julung-julung kali diadakan.

Pada petang itu, Dr Azizan telah mengadakan 1 slot tambahan untuk para fasilitator yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM. Slot ini sebagai suatu perkongsian yang dibuat oleh Dr Azizan sendiri serta pemilik BEST STAR RESORT sekaligus penaja tempat tinggal kami iaitu Tuan Haji Roslan. Sejujurnya saya mendapat banyak mutiara untuk disimpan sebagai panduan dalam menentukan arah kehidupan saya.

Seterusnya, pada hari yang berikut iaitu hari Sabtu, kami menjadi fasilitator untuk program Geliga. Dr Azizan sengaja meminta kami menguruskan program kali ini sebagai latihan dan beliau hanya menjadi pemerhati.

Geliga adalah program untuk pelajar tahun 5 dan 6. Tema kali ini adalah kecemerlangan. Sebelum ini untuk Geliga 3, Cikgu Syahid mengambil tema kepimpinan.

Majoriti peserta merupakan peserta yang pernah mengikuti Geliga sebelum ini. Justeru, ta'aruf kami tidak mengambil waktu yang lama. Adik-adik peserta cepat mesra dan sangat ceria. Sungguh. Saya benar-benar sayangkan mereka.

Slot-slot untuk Geliga 4 ini lebih berbentuk aktiviti. Tampak adik-adik peserta memberikan komitmen yang sangat baik dan keletah mereka sangat melucukan. kami benar-benar senang dengan mereka. Seperti biasa, program ini bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5 petang.

Hari Ahad, cuaca gelap. bumi sentiasa basah dengan hujan yang turun dari petang semalam. kami hanya berkurung di dalam bilik kerana tiada kenderaan untuk bergerak.


suasana di BEST STAR RESORT dari tingkap bilik kami

Selepas solah Zohor, kami pun bergerak ke Kuah dan seterusnya ke jeti. Langit masih gelap. Dalam hati saya benar-benar berdoa semoga tidak berlaku apa-apa kerana sejujurnya saya memang tidak mahir berenang.(",) Mungkin saya akan jatuh sepeti seketul batu, tenggelam di dasar laut.




langit gelap menjadi bukti kekuasaan Allah

Alhamdulillah, kami selamat sampai di jeti Kuala Perlis sekitar jam 7 malam.

Maha suci Allah yang telah memberi keizinan untuk saya mengalami suatu perjalanan yang penuh dengan hikmah dan pengalaman. Sungguh. Saya akan merinduinya saat saya berjauhan nanti...