Tiada kata yang mampu diucapkan setelah mencecah usia 22 tahun meminjam roh dan jasad, menghirup udara, melihat alam, berfikir sebagai sorang manusia selayaknya, melalui sejuta rasa kehidupan yang pelbagai warna dan perisa, juga paling penting mencecah 22 tahun menjadi hamba Allah yang diberi izin dan peluang lahir sebagai seorang muslim dari rahim keluarga dan suasana yang berhajat kepada kebaikan dan syurga.
Jujur, setelah semakin membesar dewasa ini Allah telah mencampakkan satu jiwa untuk terus meyakini, bahawa tidak pernah ada satu titik yang dinoktahkan dalam catatan lauh Mahfuz agar terjadi, tanpa ada tabir rahsia yang disengajakan oleh Sang Pencipta untuk kita perolehi hikmahnya.
"Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan semua itu dengan sia-sia.
Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka". (Ali Imran: 191)
Sejuta cerita bersamanya sejuta pengajian dan pengajaran. Sungguh. Tidak logik dan mustahil sama sekali untuk seorang manusia kerdil melaung kuat, menghebah dunia bahawa dialah yang paling teruk diuji, atau dialah yang paling terbeban dengan keperitan, atau dialah makhluk yang paling bertuah dan paling gembira, kerana ujian dan kenikmatan manusia itu sama timbangannya namun datang dalam pelbagai rupa.
Justeru, kehidupan apa sekalipun yang telah dilalui, sedang dilalui, dan yang akan dilalui, laluilah dengan suara yang terus menerus meyakini bahawa, manusia lain juga melalui kehidupan yang sama. Hanya kita yang perlu bijak mengutip dan membina kebahagiaan dari lorong sebuah kehidupan itu. Benar?
..........
semoga Allah ampunkan dosa-dosa sepanjang 22 tahun kehidupan yang lalu.
Pagi 29 Mac itu, bonda menghantar message balas untuk ucapan terima kasih yang saya titipkan sebelum terlena. Ada genang dalam binar-binar di takung mata.
"Alhamdulillah atas nikmat umur, dapat meneruskan 'ubudiyah mencari redhaNya. Hadiah dari mak ialah kemaafan, keredhaan dan cinta kasih khas untukmu wahai anak penyejuk mata hatiku..tiada perkataan yang sesuai untuk diungkapkan tanda kesyukuran mak atas anugerah Allah seorang anak sepertimu. Kasihmu semakin mengusik kalbuku. Semoga terus istiqamah di atas jalanNya insyaAllah. Sayang dari bonda, doakan adikmu selalu.."
Air mata menitik. Cinta bonda, tidak pernah melesukan.
Juga ucapan-ucapan dan doa yang dihantar melalui message phone, whatssupp, PM facebook, wall dan ucapan face-to-face yang telah mula datang dari malam sebelum banyak membuatkan diri lebih merasai bahawa, kadang kala kekuatan kita untuk terus istiqamah di atas jalan kebaikan dan amal soleh ini adalah dari doa-doa dan sangkaan baik orang ramai.
Semoga Allah terus menguatkan insyaAllah.
Harapan saya setelah menjengah tahun baru ini, setelah semakin terasa berat tanggungan yang perlu dipikul, setelah semakin terasa takut untuk terus melangkah, setelah semakin bimbang untuk terus melihat dan setelah semakin merasai bahawa hanya kematianlah kerehatan yang sebenar, sungguh-sungguh saya berharap, semoga Allah tidak pernah meninggalkan.
Dunia semakin menakutkan. Kehidupan semakin menyakitkan. Masa depan semakin galau jika tanpa ada Allah bersama dalam setiap langkahan.
Maka, apakah ada pengharapan yang lebih besar dari itu? Takut. Takut jika dirasakan amal telah banyak, namun hakikatnya pada pandangan Allah hanya umpama debu-debu yang berterbangan. T.T
..........
Tsauban radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
"Sekelompok manusia daripada umatku akan dikenali kerana mereka datang pada hari Kiamat dengan amal kebaikan yang umpama gunung Tihamah. Lalu Allah menjadikan (kebaikan mereka itu) debu-debu yang berterbangan."
Tsauban berkata: "Wahai Rasulullah, ceritakan ciri-ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk dalam kalangan mereka tanpa kami sedari."
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: "Mereka itu adalah saudara kamu, daripada jenis kamu. Mereka beribadah pada waktu malam sebagaimana kamu beribadah pada waktu malam. Tetapi, mereka adalah kelompok manusia yang apabila dalam keadaan bersendirian, mereka melanggar larangan Allah (melakukan maksiat)."
[Sunan Ibn Majah, Kitab az-Zuhud, hadis no: 4245, dinilai Sahih oleh Al-Albani]
..........
Doakan saya sahabat semoga terus istiqamah dalam kebaikan ini iAllah. Semoga sifat-sifat positif yang menyenangkan terus subur dalam hidup insyaAllah. =)
Allahua'lam.