Thursday, July 7, 2011

Oasis yang ditunggu.



Seerah.
  • Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama beliau mengucapkan "aamin", begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Seusai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'aamin? Lalu beliau menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata:" Celaka dan merugilah seseorang yang bila namamu disebut dan dia tidak mengucapkan selawat atasmu", lalu aku mengucapkan aamin. Kemudian malaikat berkata lagi, "celaka dan merugilah orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi (peluang itu) tidak membawanya masuk syurga", lalu aku mengucapkan aamin. Kemudian katanya lagi, "celaka dan merugilah orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya", lalu aku mengucapkan aamin. Hadits itu diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Pengajaran.
-menggambarkan betapa mudahnya mendapat keampunan Allah dalam bulan barakah Ramadhan sehingga menjadi orang yang rugi dan celaka jika kita masuk dan keluar tanpa mendapat apa-apa kebaikan walaupun sedikit.

Objektif:
  1. Supaya kita sama-sama faham erti Ramadhan untuk mengelak daripada fenomena adat bukan ibadah.
Pendahuluan.
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka (orang-orang) sebelum kamu agar kamu beroleh taqwa" (alBaqarah: 183)

Allah telah menetapkan bahawa matlamat puasa ialah taqwa. Matlamat ini menjadi tanda aras untuk kita bercita-cita dan penentu setakat mana kejayaan kita memperolehi taqwa setelah selesai Ramadhan.

Apakah erti taqwa? Taqwa ialah takut kepada Allah yang merupakan fitrah dan sesuai dengan jiwa manusia. Apabila takut kepada Allah, jiwa akan tenang dan tingkah laku kita akan menjadi baik dan terjaga. (mahu tahu lebih lanjut, boleh rujuk semula tajuk Taqwa = Takut ^^.)

alQur'an - Ramadhan - Puasa.
"Bulan Ramadhan yang dalamnya diturunkan alQur'an sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan bathil. Sesiapa yang menemuinya hendaklah berpuasa" (alBaqarah:185)

Ayat ini menjelaskan bahawa Ramadhan menjadi agung kerana alQur'an pertama diturunkan dalam bulannya. Setelah Allah menyifatkan Ramadhan sebagai sesuatu yang agung, Allah menyuruh para mukmin menyambut ulang tahun penurunan alQur'an dengan berpuasa.

Mengapa perlu menyambut ulang tahun nuzul alQur'an? Tidak lain dan tidak bukan supaya manusia terus menerus sedar bahawa alQur'an sangat penting untuk manusia.

Mengapa puasa sebagai acara sambutan?
Sudah tentu ini menggambarkan bahawa puasa yang merupakan acara sambutan ulang tahun juga hebat dan agung.

Apakah kehebatan puasa?
Puasa melatih seseorang mengawal nafsu buruk yang menghalang seseorang daripada menghayati alQur'an sebagai panduan hidup,. Justeru, dengan proses penghakisan nafsu buruk itu, seseorang mampu hidup bersama alQur'an secara total.

Erti 'saum' (puasa).
Puasa bererti 'menahan keinginan'. Bermakna puasa merupakan 'self control' kerana keinginan makan, minum, dan lain-lain (yang halal) ditahan semata-mata mematuhi Allah walaupun manusia lain tidak nampak. Hasilnya, dalam bulan-bulan lain, seseorang itu mampu menahan diri daripada keinginan yang makruh dan haram.

Dan mereka yang mampu menundukkan nafsu yang jahat, mudah untuk menyerahkan diri dalam ketaatan kepada Allah secara total, insya-Allah.

Pakej Ibadah Ramadhan.
Terdapat banyak pakej ibadah dalam bulan Ramadhan.

Berpuasa bermula selepas azan Subuh sehingga terbenam matahari pada waktu Maghrib merupakan pakej utama.

Daripada Abdullah bin 'Amru bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Puasa dan alQur'an, pada hari qiyamat akan memberikan syafa'at kepada hamba. Puasa berkata," Rabbi, aku telah mencegahnya dari makan dan syahwat, maka perkenankan aku memberikan syafa'at kepadanya". alQur'an berkata," Rabbi, aku telah mencegahnya dari tidur malam, maka perkenankan aku memberikan syafa'at kepadanya." Maka kedua-duanya diperkenan memberi syafa'at kepadanya."
Hadis riwayat Ahmad

Diterima daripada Abu Hurairah r. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Puasa itu merupakan benteng. Maka jika salah seorang antara kamu berpuasa, janganlah ia berkata keji dan mencaci maki! Seandainya ada orang yang mengajaknya berkelahi atau mencaci makinya, hendaklah ia berkata: "saya ini berpuasa" dua kali. Demi Allah yang nyawa Muhammad berada di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, -firmanNya-: "ditinggalkannnya makan minum dan nafsu syahwatnya kerana Daku. Puasa itu adalah untukKu, dan Aku akan memberinya ganjaran, sedang setiap kebajikan itu akan mendapat ganjaran sepuluh kali lipat."
Hadis riwayat Bukhari dan Abu Daud

Selain itu pakej teristimewa ialah Lailatul Qadr yang merupakan malam melebihi 1000 malam. Malam ini perlu diintai-intai dari awal bermulanya Ramadhan agar kita telah siap ketika 10 malam terakhir. 

Beruntunglah bagi mereka yang diiznkan Allah untuk bertemu dengan malam yang penuh barakah ini.

Riwayat oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang ber'ibadah pada malam qadar kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu"

Diriwayatkan dari 'Aisyah r.ha oleh Ahmad, Ibnu Majjah dan Tirmidzi, katanya:
"Saya bertanya:" Ya Rasullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya bertemu malam alqadar itu, apakah yang harus saya ucapkan waktu itu? Maka ujar Nabi, perbanyakkanlah membaca doa ini: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini"
اللّهم انّك عفوّكريم تحبّ العفوا فاعفعنّي"

Termasuk ibadah tarawih, I'tikaf, sedekah, zakat fitrah, tilawah alQur'an, memberi makan berbuka puasa dan memperbanyakkan nawafil atau ibadah sunat.

Salman alFarisi r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami di akhir bulan Sya'aban seraya berkata:
"Wahai manusia! Bulan yang agung
telah menaungi kalian, bulan penuh berkah yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai amalan wajib, dan menetapkan qiyamullailnya (solat tarawih) sebagai sunnah.

Barangsiapa bertaqarrub kepadaNya dengan suatu kebaikan (amalan wajib) ia bagaikan melakukan 70 kali amalan wajib di bulan lainnya. Bulan itu adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga. Ia adalah bulan sedeqah, bulan di dalamnya rezeki orang mukmin ditambah.
Barangsiapa yang memberi makan berbuka bagi orang yang berpuasa maka, hal itu akan menjadi pengampunan bagi dosa-dosanya, menjadi pembebasnya dari api neraka, dan akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang berpuasa tadi tanpa dikurangi sedikitpun".

Gambaran Seharusnya Seorang Muslim itu Menyambut Ramadhan.

Seorang Muslim yang akan memasuki arena Ramadhan hendaknya mempersiapkan segala sesuatu. Dalam dirinya sudah terbayang suasana indah Ramadhan tersebut. Suasana itu tergambar dalam hatinya dan terukir dalam benak fikirannya. Kehadirannya dirindui dan dinanti-nantikan. Ibarat orang di penjara yang selalu menghitung hari pembebasannya, maka setiap hati sangatlah bererti. Begitulah gambaran seorang Muslim, terutama para sahabat Nabi di masa yang lalu.

Saat-saat menanti Ramadhan, para sahabat tidak ada bezanya seperti calon pengantin yang merindui hari-hari pernikahannya. Sepanjang membilang hari sebelum hari pernikahannya, mereka sudah memikirkan hal-hal yang sekecil-kecilnya. Mereka berfikir, gaun apa yang akan dipakai pada saat yang penting itu, apa yang diucapkannya, sampai bagaimana cara jalannya dan menata senyumnya. Begitulah gambaran seorang Muslim yang merindui datangnya Ramadhan. Tiada seorangpun antara kaum Muslimin yang bersedih hati ketika menghadapi Ramadhan. Sebaliknya mereka bersuka cita dan bergembira, menyambutnya dengan penuh cerdas dan semangat yang menyala-nyala.

Merupakan tradisi di masa Rasulullah, pada saat akhir bulan Sya'ban para sahabat berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah sambutan Ramadhan. Saat itu dimanfaatkan oleh kaum Muslimin untuk saling bermaafan antara mereka. Seorang sahabat kepada sahabatnya, seorang anak kepada orang tuanya, seorang adik kepada kakaknya, dan seterusnya. Mereka ingin memasuki bulan Ramadhan dengan tanpa beban dosa. Mereka ingin berada dalam suasana Ramadhan yang disucikan itu dalam keadaan suci dan bersih.

Membiasakan Diri Dengan Amalan Ramadhan Semenjak Rejab.

Rasulullah s.a.w. menyuruh kita berlatih amalan-amalan dalam Ramadhan semenjak Rejab menerusi hadisnya yang bermaksud:
"Ya Allah berkatilah (apa yang yang kami buat) dalam Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah (umur) kami ke bulan Ramdhan".

Apakah hikmah tersebut?
Agar kebiasaan yang telah mula dilakukan dalam bulan Rejab dan Sya'ban diteruskan apabila sampai kepada Ramadhan dalam keadaan ringan dan gembira. Justeru, kita dalam melaksanakan segala ibadah tersebut dalam keadaan tertingkat dan dapat mengaut sebanyak-banyak pahala dan manfaat Ramadhan.

"Sesiapa yang berpuasa dalam Ramadhan dengan keimanan dan menghitung-hitung (pahala dan manfaatnya) akan diampunkan semua dosa-dosanya yang lampau". Sabda Rasulullah s.a.w. menggambarkan betapa pentingnya persediaan awal agar melahirkan kemanisan dalam beribadah dalam Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Penutup: Jangan tergolong dalam golongan mereka yang rugi.
"Telah datang kepada kamu bulan yang diberkati Allah. Telah difardhukan ke atas kamu berpuasa. Dalam bulan ini dibuka pintu-pintu
SYURGA, dan ditutup pintu-pintu NERAKA, dan SYAITAN-SYAITAN
dibelenggu. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada SERIBU BULAN, sesiapa yang diharamkan KEBAIKAN ke atasnya (dalam bulan ini), maka sesungguhnya dia tidak akan mendapat apa-apa kebaikan (di bulan lain)."

(hadis riwayat imam Ahmad, an-Nasai'e dan al-Baihaqi)

Ramadhan adalah peluang untuk kita menjadi hamba kepada Allah secara total tanpa gangguan syaitan. 

Lalu, mari mengambil peluang sebanyak-banyaknya agar madrasah Ramadhan yang bakal kita lalui berjaya melahirkan rasa taqwa dalam keperibadian-keperibadian kita, insya-Allah.

Resolusi:
-Jom maksimakan persiapan.
-Semoga kita dalam Ramadhan tahun ini lebih baik daripada kita di Ramadhan yang lepas, insya-Allah.

Nota kaki:
-ini adalah susunan silibus projek IMAN yang terakhir untuk sesi ini. Berkongsi di sini kerana tidak sempat untuk menulis khusus berkenaan Ramadhan dalam blog. Adik-adik semangat Alhamdulillah. (melihat kakak yang menyampaikannya semangat, mana taknya..^^#)
-terlalu teruja untuk menyambut Ramadhan lantaran terlalu penat dalam melalui hari-hari kebelakangan ini. Benar menjadi oasis yang dinanti. Tidak sabar menunggu pesta ibadah dan ampunan Allah itu. Semoga Allah menyempatkan usia kita lagi..insyaAllah.
-Alhamdulillah sudah mula berpuasa semenjak Rejab dan kini berterusan untuk Sya'aban (tapi ponteng puasa hari minggu). Belajar berpuasa dari awal sebab saya pada hakikatnya akan lembik apabila berpuasa apatah lagi jika berpuasa di musim panas. Namun Alhamdulillah, setelah berlatih dari awal, semoga Ramadhan ini dapat berusaha bersungguh-sungguh semaksimanya..
-bakal menyertai skuad tabah Irbid tahun ini insya-Allah..(dalam masa yang sama teruja menunggu November)





1 comment:

  1. hasna' yg disayangi fillah, syukran kathira atas post ni.

    moh0n share ye ^^

    ReplyDelete

mohon pandangan.