Sebelum kalian membaca lanjut, biar saya jelaskan dahulu bahawa ini adalah pendapat saya yang masih belajar dalam kehidupan.
Pendahuluan: fenomena kahwin.
"awak, saya ada masalah berat ni.."
"insya-Allah, selagi boleh, hasna' akan cuba bantu..^^. Masalah apa ya?"
"saya nak kawin. Apa pandangan awak?".
Terkedu. Ini sudah masuk kali ke berapa ribu (hyperbola) orang-orang di sekeliling saya membicarakan tentang perkahwinan. Dan setiap kali itu jugalah saya akan terdiam. Berfikir. Sebelum menyusun kata. Atau mungkin sebenarnya terdiam. Berfikir. Dan menahan sabar.
Fenomena tercemar.
A: "saya tak mampu la awak.."
B:"daripada buat maksiat baik kawin".
C:"ala, orang lain couple, berdosa. Jadi, saya pilih untuk kawin."
D:"…….sebab ramai kawan-kawan kawin, saya pun nak kahwin la juga".
Antara jawapan yang diterima. Dan saya akan terus sebak.
Sungguh. Jahiliyyah telah benar-benar berjaya. Sehingga ramai yang melihat bahawa perkahwinan adalah jalan terbaik menolak kemaksiatan.
"elok bagi menikah awal, tak payah buat maksiat". Selesai masalah.
Semudah itukah?
Sahabat, itu bukan peperangan sebenar.
Selalu saya bawa isu ini dalam perbincangan dengan sahabat-sahabat terdekat bahawa fenomena 'beriya nak kahwin' ini adalah natijah dari sistem jahiliyyah yang rosak dan bukan sebuah penyelesaian sebenar.
Sistem jahiliyyah yang menggempar gempurkan fenomena seks, cinta, couple, berpegang tangan, berpelukan, ada kekasih sebagai tempat meluahkan perasaan, ada bahu jejaka yang dapat dijadikan tempat menangis dan segala. Lambakan cinta versi Korea, versi Eropah, versi Bollywood, versi Indonesia, versi Malaysia, versi Jepun, versi Thailand dan segala yang menghantui kehidupan sehari-hari masyarakat hari ini.
Sehingga lahirlah jiwa-jiwa anak muda yang goyah dan langsung kecundang. Malah fenomena ini turut menenggelamkan anak-anak muda yang bekerja, lantas terciptanya fenomena 'cinta islami', 'cinta ana anta', 'kahwin awal untuk elak zina' dan segala.
Fenomena anak-anak muda yang sibuk memikirkan tentang rumah tangga, tetapi lupa tentang persediaan –persediaan ke arah rumah tangga. Sehingga lahirlah lambakan kepincangan institusi kekeluargaan kerana awal pembinaannya hanya sebagai jalan mudah untuk melarikan diri dari masalah.
Sahabat, jahiliyyah itu tidak dapat dihapuskan dengan jahiliyyah juga.
Kita melihat maksiat itu jahiliyyah, tetapi kita terlupa bahawa terburu-buru itu juga jahiliyyah. Kita terlupa, mengabaikan persediaan menjadi muslim mukmin yang sebenar sebelum membina baitul muslim itu adalah jahiliyyah.
Kita melihat zina itu jahiliyyah, tetapi kita terlupa membina suatu amanah dengan matlamat yang tidak sempurna juga adalah jahiliyyah. Kita terlupa, ceteknya kepekaan kita terhadap besarnya peranan teliti dalam membina Baitul Muslim itu adalah jahiliyyah.
Kita melihat fenomena membiarkan diri dalam kemaksiatan hati itu jahiliyyah, tetapi kita terlupa tidak bersungguh-sungguh keluar dari kepompong (cinta dan perasaan) itu dengan meningkatkan tahajjud dan tawakkal juga adalah jahiliyyah. Kita terlupa memebiarkan diri untuk terus tenggelam dalam fenomena ini juga adalah jahiliyyah. Kita terlupa, pengabaian kita dari melaksanakan DnT (yang lebih utama) itu adalah jahiliyyah.
Jahiliyyah itu tidak dapat dihapuskan dengan jahiliyyah juga melainkan hanya akan terus memenangkan sistem jahiliyyah itu sendiri.
Maka lahirlah lambakan runtuhan institusi kekeluargaan akibat fenomena terkejut dengan realiti (permasalahan-permaslahan rumahtangga) selepas hilang kenikmatan (fatrah bulan madu) akibat tidak melalui pendedahan awal matlamat rumah tangga sebenar. Lantaran matlamat hanya disandarkan pada cinta dan nafsu, selepas hilang kedua itu, maka tidak ada kekuatan lain yang mampu menampung kebahagiaan sesebuah rumahtangga itu.
Maka lahirlah rumah tangga-rumah tangga yang pincang dari suasana sebenar yang seharusnya Baitul Muslim itu miliki lantaran tidak melalui pendedahan sebenar ciri-ciri wajib yang perlu ada dalam sesebuah Baitul Muslim itu.
Maka lahirlah kelesuan dalam amal Islami akibat 'amiliin-'amiliin (terutama bahagian akhawat) yang kurang berkemahiran mengimbangkan antara tuntutan rumah dengan tuntutan dakwah, yang sentiasa berhajat kepada tenaga dan masa sehingga mengikat kakinya untuk keluar melaksanakan amanah tersebut.
Maka lahirlah generasi demi generasi yang terus terbiar. Tanpa dididik dengan didikan Islam secara syamil dan kamil, lantaran kecetekan ibu dan ayahnya dalam urgensi ilmu tarbiyatul awlad. Sedangkan anak-anak adalah peluang terbesar kita dalam titik awal untuk membentuk masyarakat muslim.
Perkara asas yang perlu ada sebelum memikirkan rumah tangga: Bina suasana halaqah rumah tangga.
Saya masih muda. Malah belum mendirikan rumah tangga. Dan sejujurnya belum berminat ke arah itu insya-Allah. Namun usaha saya sekarang ini adalah belajar untuk mempersiapkan diri.
Dan perkara penting yang saya lihat, yang WAJIB ada bagi mereka yang berhajat untuk mendirikan baitul muslim (rasanya semua berhajat kan?) ialah proses diri dan tingkatkan kefahaman sehingga mampu untuk menghidupkan halaqah bersama ahli-ahli rumah. Itu adalah minimum.
Kerana hakikat amanah baitul muslim itu ialah, kerahan secara maksimum segala usaha untuk menyelamatkan diri kita dan seluruh keluarga kita dari seksa api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.
يايهاالذين ءا منوا قواانفسكم واهليكم نارا وقودهاالناس والحجا رة
"Wahai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (At Tahrim: 6)Lalu, mustahil kita mampu melaksanakan amanah itu tanpa persediaan yang cukup rapi dan teliti. Mustahil kita mampu jika melihat rumah tangga itu hanya untuk menyalurkan nafsu melalui jalan yang halal, atau melihat rumah tangga itu hanya untuk memiliki seseorang yang dapat melengkapkan kehidupan kita.
Mari keluar dari kepompong itu sahabat..!
Rumah tangga muslim yang sebenar itu adalah Tanggungjawab dan markaz pengamalan Islam.
Sebak membaca hadith riwayat Abu Daud:
Bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk solat, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu solat dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya" (hadis sohih)
Alangkah indahnya jika setiap Baitul Muslim itu terbina dengan kefahaman itu.
Petikan dari buku Jalan Dakwah, Mustafa Masyhur:
"Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagai Islam dan seorang muslim yang benar akidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti. Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawab terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka pada setiap peringkat hidup mereka. Kita mahu melihat isteri muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.
Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Taala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya di waktu pagi: "Bertakwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami
makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anak dan membentuk mereka menurut acuan Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh manusia. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka mentaati Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturrahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita mahu melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.
Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentu yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik dalam setiap aspek kehidupan. Dengan fesyen pakaian yang Islamik, makanan dan minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikap yang Islamik, gaya yang Islamik dalam setiap adat dan tradisi, di waktu suka dan duka. Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah dan budaya jahiliah yang diimport dari luar. Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah, melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang lapangan kehidupan keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi pusat dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendokong dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang solehah mampu menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.
Bidang dakwah Islam sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini kecuali yang telah mendapat taufik Allah telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan orang lain. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar serta menghapuskan yang batil, menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.
Kita menghendaki rumahtangga muslim sebagai rumah api yang memberi panduan dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan dan memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya serta menyinari jalannya untuk dilalui oleh mereka. Dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan bersambung-sambunglah
daerah-daerah nur dan cahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam mampu menyinari masyarakat dan memimpinnya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih dan mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam seterusnya kerajaan Islam yang global.
Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang ideal yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan. "
Penutup: Mari serius dalam membina generasi Rabbani..!
Sungguh. Saya juga masih banyak kelemahan dan kekurangan. Hanya kepada Allah diadukan agar terus diberi kekuatan untuk terus sabar, ikhlas dan istiqamah dalam membina keperibadian muslim yang Allah redha itu.
Jujur. Bukan mudah. Tetapi apakah ada yang lebih baik dari syurga Allah?
"Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dialah sebaik-baik Pelindung" (ali Imran:173)
Paling penting, artikel ini ditulis bukan untuk menakutkan sesebuah pernikahan tetapi mengajak kita untuk sama-sama berfikir sebelum 'beriya untuk bernikah'. Dengan kondisi kita sekarang ini, mampukah kita menjadikan rumahtangga kita sebagai markaz DnT? Jika belum, ayuh terus gandakan usaha dan tawakkal dalam mempersiapkan diri kita ke arah itu insyaAllah.
nota kaki:
-bimbang jika tidak mampu membentuk generasi alFateh.