Tuesday, March 22, 2011

~Maaf~

Maaf kerana sudah jarang-jarang menulis. Rindu sebenarnya. Bagai mahu mencoretkan semuanya. Bagai mahu bercerita semua.

Kisah hari-hari yang dilalui. Cerita-cerita yang diteladani. Ayat-ayat yang memuhasabahkan diri.

Menulis melepaskan dan mengumpulkan.

Bagi saya, menulis ini merupakan terapi yang sangat dekat dengan jiwa. Menulis apa-apa yang bermain dalam hati. Menulis semua kata-kata yang kadang-kadang tidak mampu diucap. Menulis sebagai satu usaha untuk meluahkan selepas puas menangis dalam pengaduan dengan Allah.

Sebenarnya banyak tulisan-tulisan yang saya simpan kemas sebagai harta peribadi. Tulisan kisah bahagia. Tulisan kisah duka. Tulisan ungkapan-ungkapan doa.

Entah. Mungkin kerana saya tidak biasa bercerita kepada manusia kerana lebih senang memilih untuk menjadi pendengar. Dan mungkin kerana saya kurang yakin dengan kemampuan manusia yang juga cuma makhluk. Lebih baik saya mengadu dan menangis langsung dengan Allah dalam semua perkara walau sekecil-kecilnya.

Jika saya jatuh, selesai menangis, langsung tangan laju menulis. Menulis doa dan pengharapan. Serta menulis perancangan bagi jalan keluar yang perlu saya ambil. Dan dengan tulisan-tulisan itu saya rasa puas. Roh kekuatan itu mengalir semula bersamanya air mata yang telah disapu habis.

Menulis itu kenangan.

Bagi saya juga, menulis itu meletakkan kenangan kepada suatu penceritaan yang terjaga dari luput. Lantaran itu saya suka menulis hari-hari bermakna yang telah saya lalui. Kisah-kisah yang telah ditempuhi. Agar saat saya membukanya kembali dan membaca semuanya, saya akan tersenyum semula. Melihat kembali peristiwa-peristiwa itu yang disusun Allah tidak sesekali sia-sia.

Menulis itu membentuk dan mengingatkan.

Saya lebih senang menulis untuk diri sendiri. Dan baru belajar menggunakan ayat formal untuk tatapan umum. Kerana bagi saya, jika saya menulis untuk menarik diri jiwa untuk kembali kepada kepatuhan kpeda Allah, insya-Allah, manusia-manusia lain akan turut mendapat manfaatnya. Sungguh. Menulis itu perlu bersamanya jiwa dan hati selain kefahaman itu sendiri.

Saat rasa lemah, suka melihat semula tulisan-tulisan saat kuat itu ada. Mengutip semula semangat itu sebelum bangun untuk meneruskan langkah.

Minta maaf.

Beberapa hari lepas, sempat skype dengan adik. Taha bilang,"kak hasna' update la blog..kami seronok nak baca..".

Alhamdulillah. Seronok. Tidak seronok. Tersentuh. Tidak tersentuh. Semua itu dalam genggaman Allah. Semoga Allah menilai semuanya sebagai amal kebaikan yang insyaAllah menjadi pemberat timbangan kebajikan di hari perhitungan nanti.

Cuma di sini, berhajat untuk memohon maaf atas ketidak istiqamahan dalam menulis. Saya kira antara faktornya:

1)sibuk belajar.

2)periksa berderet-deret.

3)tidak sempat untuk dan menulis sungguh-sungguh.

4)setiap minggu perlu menulis untuk silibus projek IMAN di bawah kelola Biro Tarbiyah Majlis Mahasiswa Yarmouk. Due date, sebelum setiap hari khamis. Perlu mencari bahan dari sumber seerah, dalil, isi dan segala-galanya.

5)setiap minggu juga perlu menulis untuk projek bedah buku usul 20. Due date, setiap hari isnin atau rabu. Perlu menghadam betul-betul sebelum membuat ringkasan.

6)tidak termasuk menjadi perunding motivasi a.k.a pendengar dan perespons setia kepada sahabat-sahabat dan junior-junior yang datang berkongsi. ^_^".

7)tidak termasuk penyusunan silibus halaqah-halaqah.

8)dll…


Tapi sebenarnya saat dilihat balik semua itu, bukan alasan. Faktor UTAMAnya ialah: tidak pandai membahagikan masa.


Betul. Senang menghadam tajuk masa. Membaca. Mendengar. Malah mungkin pernah berkongsi dengan orang berkenaan itu suatu ketika dahulu. Tetapi saat aplikasi menuntut, selalu tewas.


Penutup.


Tadi semasa membuka bahan-bahan untuk menyusun slibus projek IMAN minggu ini dengan tajuk: "Ayuh Menjaga HDA", sempat terjumpa satu hadis yang membuat saya merenung dalam.


عن أبي محمد عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما قال: قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) : "لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعاً لما جئت به". (حديث حسن صحيح، رويناه في كتاب الحجة بإسناد صحيح)

Maksudnya:


Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-'Ash Radhiallahu 'anhuma, katanya: "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam: 'Tidak benar-benar beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa." (Hadis ini hadis hasan sahih yang kami riwayatkannya dari kitab al-Hujjah dengan sanad sahih.)

Semoga Allah meletakkan kita dalam golongan mereka yang bersungguh untuk menundukkan hawa nafsunya. insya-Allah..T_T.


Nota kaki:

-syukra katsira sahabat-sahabat dan senior-senior yang sudi berkongsi tips, kata-kata dan segala di fb ketika saya rasa sedikit gundah tadi. Sungguh. Tidak ada kekuatan selain dari Allah..

-betul-betul rasa tidak mampu melangkah. Hanya Allah sumber kekuatan.

-akhir-akhir ini, sahabat-sahabat banyak menjadikan saya sebagai tempat rujukan dan perkongsian cerita berkenaan rahsia-rahsia atau cerita-cerita awal ke dalam fasa Baitul Muslim itu. Alhamdulilah, sekali lagi bersyukur kerana mampu bermanfaat untuk mereka dan diberi kepercayaan tersebut. Namun terdetik juga dalam hati, "gaya deme berkongsi dan bertanya ni, macam saya ni dah berpengalaman ja.."=_=". Heih~

-tengah cari waktu nak post tentang mak~ ^^. insya-Allah..

-oh ya, ni gambar kawin kakak:


gambar malam a3kad nikah di rumah pengantin perempuan. (12 Mac 2011)


gambar kakak di majlis pengantin perempuan (13 Mac 2011)

gambar kakak di majlis pengantin lelaki (19 Mac 2011)

-Post khas dari abang ipar, abang Ali Irfan buat kakak...^^. kehidupan Nafas Baru.

No comments:

Post a Comment

mohon pandangan.