Tergerak untuk menulis dalam rangka sepenuhnya untuk diri ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari fitnah dunia.
Pendahuluan.
Kebelakangan ini, Allah telah mengizinkan saya untuk menjadi pendengar setia, pemerhati setia sekaligus penganalisis setia bagi sahabat-sahabat mahupun junior-junior yang rapat. Alhamdulillah, kerana dalam banyak-banyak orang yang ada, Allah memilih hati-hati mereka untuk berlapang dada berkongsi. (Mungkin saya ni ada gaya pendengar yang baik ^_^ . erk?)
Dan saya belajar banyak daripada semua cerita-cerita dan perkongsian masalah-masalah mereka.
Rasa itu fitrah.
Sebelum apa-apa, sejujurnya, saya juga remaja seperti kalian. Yang sama-sama sedang merempuh fitrah itu. Sungguh. Rasa itu adalah fitrah.
Namun persoalannya, adakah fitrah itu selama-lamanya fitrah?
Mudah untuk mengetahui apakah masih bersih atau sudah kotor. Lihat pada kondisi hati kita dan kejernihan hubungan kita dengan Allah. Jujur, mustahil kita mampu mecintai Allah dalam masa yang sama kemaksiatan itu terus memenuhi ruang.
Rasa itu ujian.
Ibnu Qayyim berkata yang bermaksud:
"Cubaan yang Allah berikan kepada hambaNya yang mukmin oleh sebab ia mencintai syahwat dan maksiat serta cenderung kepadanya hanyalah untuk mengiring hamba itu kepada mencintai sesuatu yang lebih utama, lebih baik, lebih bermanfaat dan lebih abadi daripada sekadar syahwat dan maksiat. Juga agar hamba itu berjuang untuk meninggalkannya demi mencapai mencapai redha Allah".
Lalu, kita perlu memandang rasa itu sebagai ujian. Ujian yang mencuri kekhusyukan 'ubudiyah kita. Dan pastilah semua itu mustahil untuk kita rasai selagi kita tidak nampak betapa pentingnya meletakkan Allah sebagai yang utama dalam seluruh kehidupan.
Ujian itu memang pedih. Kerana dari ujian itu menentukan nilaian Allah terhadap kita.
"Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang sebelum kamu…." (alBaqarah: 214)
Ada yang mahu lari dari ujian. Namun, mustahil kita mampu. Kerana hidup ini memang terbina atas ujian.
"Ujian membina kehidupan umpama kain yang dikait, dan benang itu adalah ujian". (tak ingat dari buku mana)
Apa kekuatan kita?
Dalam urusan ini, IMAN kita memainkan peranan yang paling penting. YAKIN dengan ALLAH. YAKIN dengan SUSUNAN ALLAH.
"Jangan biarkan ada krisis keyakinan dengan Allah". (Novel Mawar Berduri: Fatimah Syarha)
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabbmu.." (at-Thur: 48)
Saat saya menemui ayat ini. Lidah jadi kelu. Hati jadi sayu. Betapa terusik jiwa menerima kalam cinta Sang Pencipta agar bersabar. Sabar selagi belum tiba masanya.
Adu pada Allah untuk setiap apa yang bermain dalam hati kita. Menangis dengan Allah saat merasai kepedihan itu. Kita tidak mampu membuang fitrah itu jauh tetapi kita mampu berdoa semoga Allah kuatkan kita dan menyusun yang terbaik dalam hidup kita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu.." (alBaqarah: 45)
Sungguh. Hanya solat sebagai kekuatan. Berbicaralah dengan Sang Pencipta kerana Dia lebih Maha Mengetahui. Kuatkan HDA (Hubungan Dengan Allah) kerana hanya itu ubat bagi kesakitan tersebut.
Sungguh. Tidak ada manusia yang boleh membantu melainkan kembali kepada fitrah kehambaan.
Di tangan wanita penentu segala.
Dalam masalah ini, wanita memainkan peranan terbesar. Kerana apa?
Di tangan wanitalah penentu kepada bermulanya masalah yang lebih besar. Justeru, didiklah hati-hati kita untuk lebih takutkan Allah. Jagalah hati-hati kita dalam rangka untuk menjaga hati-hati mereka daripada kemurkaan Allah.
Memang susah. Kerana itu kita perlu berbalik semula kepada perkara-perkara di atas.
Teringat dulu, pernah mendapat perkongsian (atau lebih berbentuk ancaman) dari cikgu KB.
"Ingat, jika seorang lelaki itu tidak kusyuk dalam solat lantaran kamu, kamu yang akan menanggung dosa-dosanya".
Takut.
Saya sejujurnya tidak pernah terfikir sehingga sebegitu jauh betapa beratnya tugas seorang wanita. Menjaga diri dari menjadi faktor kelemahan seorang lelaki.
Terfikir. Sungguh. Tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah.
Saat menerima message, surat mahupun apa-apa tanda yang menggambarkan dia menyimpan rasa dan ketika itu hati berbunga-bunga. Lantas, apa yang mampu menghalang bisikan syaitan untuk yang seterusnya?
Tidak ada lain melainkan rasa takut dan malu kepada Allah.
Bagaimana dengan lelaki?
Jangan hanya melihat kepada wanita untuk menjaga semuanya. Lelaki juga perlu memainkan peranan besar.
Bersama menahan diri dari memulakan apa-apa tanda. Jaga maruah anda sepertimana wanita perlu menjaga maruah mereka.
Jika belum tiba waktunya, jangan terlalu mudah untuk sebar-sebarkan rasa sayang yang berhak untuk hanya yang halal. Sungguh. Bantu kaum wanita untuk menjaga hati-hati mereka sepertimana mereka perlu menjaga hati-hati anda.
Tidak akan faham selagi tidak faham urgensi Baitul Muslim.
Perkara ini akan dianggap remeh selagi kita tidak melihat urgensi pembinaan bangunan utuh sesebuah institusi keluarga Islam itu.
Urgensi pembinaan baitul Muslim.
"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu ialah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk" (al-Israa':32)
1. Melindungi diri dan maruah manusia yang mulia. Lalu mustahil terbinanya baitul muslim jika asasnya sudah mengambil jalan zina (zina hati, zina tangan dll).
", Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (At Tahrim: 6)
2. Berkasih sayang dalam rangka ketaatan kepada Allah. Saling melindungi dari kemurkaan Allah. Justeru, mustahil semua itu akan terjadi, jika asasnya sudah mengambil jalan kemaksiatan (maksiat hati, maksiat mata, maksiat tangan dll).
Mungkin cukup sekadar perkongsian 2 urgensi Baitul Muslim itu sebagai muhasabah kembali akan kefahaman kita terhadap matlamat rumahtangga sebenarnya.
Konklusi.
Maaf kerana saya sebenarnya tidak layak langsung dalam menulis perkara ini kerana saya sendiri masih belum berada dalam alam baitul muslim itu. namun, insyaAllah, semoga tulisan ini dapat membantu diri ini dan sahabat-sahabat yang lain untuk kembali kepada fitrah penciptaan kita.
Realiti hari ini kadang kala mengelirukan kita . Jahiliyyah mengembar gemburkan bahawa hidup tanpa cinta tidak syar'ie adalah suatu kebosanan. Malah wujud fenomena cinta Islami dalam kalangan pekerja amal Islami itu sendiri (na'uzubillah minzalik).
Dan saya menulis ini bukan bermakna saya telah sempurna tetapi sebagai peringatan keras buat diri sepenuhnya.
Semoga Allah redha dengan usaha kita untuk menjadi pemuda rabbani yang melihat akhirat dalam kehidupan dunia.
Wallahua'lam.
*17 Feb 2011. Abang menginjak ke usia 24 tahun. Sanah Helwa ya jamil..Muhammad Zubair Bin Hazni, semoga dewasa dalam keimanan. Sayang bang bair yang setia menjadi abang terbaik buat kami, adik-adikmu..
*12 Januari 2011. Adik menginjak ke usia 15 tahun. Usia awal remaja. Kuatkan dirimu wahai adik, kerana dunia yang ganas sedang menunggu untuk menerkammu. Semoga dewasa menjadi remaja muslim yang meletakkan Allah dalam setiap amalannya, insyaAllah..
*13 Mac 2011. Keluarga kami bakal bertambah. Dan saya di sini hanya mampu tembakkan doa dari jauh, semoga Allah mudahkan setiap urusan..
No comments:
Post a Comment
mohon pandangan.