Wednesday, February 23, 2011

~Istimewa untuk kakak~


Taha, 2 orang anak sahibah UK dan kakak..

*Post ini berbentuk kekeluargaan dan bersifat santai. Maaf, jika tulisan ini tidak memberi kebaikan manfaat kepada pembaca kerana post ini saya hadiahkan untuk kakak saya, insyaAllah..

Saya berjanji pada kakak untuk menulis satu coretan istimewa buatnya dan hanya akan dipost pada 13 Mac. Tetapi nampaknya saya tidak mampu menunggu lama.

Biar post ini menjadi pra-post istimewa tersebut, boleh?

Saya sayang kakak.

Dalam hidup ini selain ibu, kakak merupakan insan yang paling dekat dengan saya sekaligus antara insan yang menjadi tulang belakang kepada saya hari ini.

Teringat ketika kami dulu dalam usia anak-anak kecil, bermain masak-masak, berlakon ibu anak, berlakon pengantin, bermain Barbie doll, menyusun 'database' teddy bear yang melebihi 40 jumlahnya , didenda bersama, berkongsi cerita apa yang berlaku di sekolah sebelum tidur dan segala kenangan lain yang sentiasa segar.

Saya rindu semua waktu itu. Waktu yang mengajar erti kasih sayang yang terlalu mahal. Tidak dinafikan, kami selalu berselisih (baca: gaduh). Bagi saya itu adalah lumrah. ^_^ Dan semua itulah yang membina cerita hidup yang sukar dilupakan.

Saya hanya punya seorang kakak. Bagi seorang adik, kakak merupakan ikon segala kejahatan dan juga ikon segala kebaikkan. Seseorang adik itu akan memerhati dan menilai sekaligus mencontohi atau mengikuti setiap apa yang berlaku dalam hidup kakaknya.

Dan saya tidak terkecuali. Seingat-ingat saya, kakak memberi impak yang besar dalam perilaku dan tingkah saya. Contoh yang tidak soleh, kakak mengajar saya mendengar lagu westlife dan backstreet boy ketika kecil dalam keadaan sembunyi-sembunyi dari pengetahuan ibu. Huhu..

Dan semestinya, kakak adalah antara manusia yang bersungguh menarik saya keluar dari kegelapan itu. Masih jelas, air mata kakak ketika saya melukakan hatinya dengan bertindak secara tidak wajar. (baca: nakal). Masih disimpan kemas surat-surat yang ditulis tangan oleh kakak. Menjadi bukti betapa tegarnya impian kakak untuk melihat saya menjadi hamba yang memahami erti sebenar kehambaan dan kepatuhan.

Permata itu hadiah.

Sungguh. Saya tidak mampu menahan lagi. Saya rindu kakak. Hanya dia satu-satunya yang saya ada, hadiah dari Allah, dan semestinya hanya dia satu-satunya saya sayang.

Dan kini sayang saya pada kakak bertambah-tambah pada setiap kali saya merancang dan bekerja. Tersentuh saat ada yang menegur,"anti ni macam kakak antila..". Bukan kerana pujian itu. Tetapi rasa itu hadir lantaran bahagia kerana saya dan kakak telah diikat oleh satu ikatan yang kukuh iaitu sama-sama mahu bekerja di atas jalan ini. Sebuah ikatan yang insyaAllah tidak akan terputus sampai bila-bila selagi kami sama-sama istiqamah di atas jalan ini. Sebuah ikatan yang lebih mahal harganya daripada ikatan darah kekeluargaan itu sendiri.

Biar kami sudah jarang bersama. Biar kami sudah jarang bercerita. Tetapi biar Allah nilai kami bersama dalam mereka yang memilih Iman dalam dunia yang membinasakan.

Teringat doa ibu yang membuatkan mata saya basah banyak,

"Wahai anak yang mengasihiku dan kumengasihinya kerana Allah swt..kedua-dua puteriku Alhamdulillah telah dianugerahkan Allah swt mengenalNya dan jalanNya dan merasa nikmat serta mensyukuri dengan memenuhi tuntutan-tuntutanNya.. Alhamdulillah, tidakku risaukan lagi tentang asas-asas keimanan dan ketauhidan mereka..Kusyukuri nikmat Allah swt yang terbesar ini..Mudah-mudahan kedua-dua puteriku yang soleh dan mosleh ini menepati sabda Rsulullah saw bakal menjadi pendidingku daripada api neraka.."

Sungguh. Semoga Allah memakbulkan doa ibu yang mulia. Ibu yang tidak pernah berhenti mendidik kami dengan penuh kepayahan dalam masa jahiliyyah rakus mencari peluang.

Hati ini bersama di sana.

Saya terus membilang hari. Bersamanya sebak yang mencarik. Mustahil jika saya katakan saya tidak pedih di sini. Tinggal lagi 17 hari.

Kakak yang merupakan satu-satunya kakak yang saya ada akan mengalami fasa baru. Dan saya setia di sini. Tidak dapat melihat dan berada hampir ketika detik-detik peralihan fasa itu. Tidak mampu membantu walupun sedikit kecuali doa dari bumi jauh. Bukan sedikit air mata yang telah menitis. Tetapi itulah mahar yang perlu dibayar.

Semoga Allah kuatkan. Semoga Allah tenangkan. Semoga Allah ubatkan.

Coretan buat kakak.

Kakakku Maryam Fatin Hanisah Binti Hazni,

Semoga Allah permudahkan setiap urusan. Semoga Allah berkati setiap perjalanan. Semoga Allah lapangkan setiap perancangan.

Allah Maha Tahu setiap perjalanan hidup yang telah kak yam lalui, dan Allah Maha Tahu ganjaran apa yang terbaik buat kesabaranmu selama ini. Berbahagialah dirimu wahai kakakku.

Semoga anugerah itu menjadi bahan pembakar yang bakal melajukan lagi gerak kerja kak yam dalam DnT. Semoga Baitul Dakwah itu menjadi bahan pengeluar kader-kader Islam insyaAllah..

Hasna' sayang dan rindu kak Yam. Dan Hasna' bahagia menjadi adik kak Yam (walaupun kalau masa gaduh tu ada la rasa macam geram-geram sikit..hehe) Semoga kak Yam mendapat saham dalam setiap amal kebaikan yang Hasna' buat, insyaAllah..

Semoga menjadi isteri solehah kebanggan suami. Semoga kita istiqamah di atas jalan ini sehingga peroleh kematian yang mulia insyaAllah..

p/s:

-doakan Hasna' ya..

-Maaf, mungkir janji..^_^

-menulis dengan linangan air mata.

-13 Mac selalu dikira sedangkan first exam mula 7 Mac..Astaghfirullah hal 3dzim..



Thursday, February 17, 2011

Buat diriku dan kalian, wanita..

Tergerak untuk menulis dalam rangka sepenuhnya untuk diri ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari fitnah dunia.

Pendahuluan.

Kebelakangan ini, Allah telah mengizinkan saya untuk menjadi pendengar setia, pemerhati setia sekaligus penganalisis setia bagi sahabat-sahabat mahupun junior-junior yang rapat. Alhamdulillah, kerana dalam banyak-banyak orang yang ada, Allah memilih hati-hati mereka untuk berlapang dada berkongsi. (Mungkin saya ni ada gaya pendengar yang baik ^_^ . erk?)

Dan saya belajar banyak daripada semua cerita-cerita dan perkongsian masalah-masalah mereka.

Rasa itu fitrah.

Sebelum apa-apa, sejujurnya, saya juga remaja seperti kalian. Yang sama-sama sedang merempuh fitrah itu. Sungguh. Rasa itu adalah fitrah.

Namun persoalannya, adakah fitrah itu selama-lamanya fitrah?

Mudah untuk mengetahui apakah masih bersih atau sudah kotor. Lihat pada kondisi hati kita dan kejernihan hubungan kita dengan Allah. Jujur, mustahil kita mampu mecintai Allah dalam masa yang sama kemaksiatan itu terus memenuhi ruang.

Rasa itu ujian.

Ibnu Qayyim berkata yang bermaksud:

"Cubaan yang Allah berikan kepada hambaNya yang mukmin oleh sebab ia mencintai syahwat dan maksiat serta cenderung kepadanya hanyalah untuk mengiring hamba itu kepada mencintai sesuatu yang lebih utama, lebih baik, lebih bermanfaat dan lebih abadi daripada sekadar syahwat dan maksiat. Juga agar hamba itu berjuang untuk meninggalkannya demi mencapai mencapai redha Allah".

Lalu, kita perlu memandang rasa itu sebagai ujian. Ujian yang mencuri kekhusyukan 'ubudiyah kita. Dan pastilah semua itu mustahil untuk kita rasai selagi kita tidak nampak betapa pentingnya meletakkan Allah sebagai yang utama dalam seluruh kehidupan.

Ujian itu memang pedih. Kerana dari ujian itu menentukan nilaian Allah terhadap kita.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang sebelum kamu…." (alBaqarah: 214)

Ada yang mahu lari dari ujian. Namun, mustahil kita mampu. Kerana hidup ini memang terbina atas ujian.

"Ujian membina kehidupan umpama kain yang dikait, dan benang itu adalah ujian". (tak ingat dari buku mana)

Apa kekuatan kita?

Dalam urusan ini, IMAN kita memainkan peranan yang paling penting. YAKIN dengan ALLAH. YAKIN dengan SUSUNAN ALLAH.

"Jangan biarkan ada krisis keyakinan dengan Allah". (Novel Mawar Berduri: Fatimah Syarha)

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabbmu.." (at-Thur: 48)

Saat saya menemui ayat ini. Lidah jadi kelu. Hati jadi sayu. Betapa terusik jiwa menerima kalam cinta Sang Pencipta agar bersabar. Sabar selagi belum tiba masanya.

Adu pada Allah untuk setiap apa yang bermain dalam hati kita. Menangis dengan Allah saat merasai kepedihan itu. Kita tidak mampu membuang fitrah itu jauh tetapi kita mampu berdoa semoga Allah kuatkan kita dan menyusun yang terbaik dalam hidup kita.

Firman Allah yang bermaksud:

"Jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu.." (alBaqarah: 45)

Sungguh. Hanya solat sebagai kekuatan. Berbicaralah dengan Sang Pencipta kerana Dia lebih Maha Mengetahui. Kuatkan HDA (Hubungan Dengan Allah) kerana hanya itu ubat bagi kesakitan tersebut.

Sungguh. Tidak ada manusia yang boleh membantu melainkan kembali kepada fitrah kehambaan.

Di tangan wanita penentu segala.

Dalam masalah ini, wanita memainkan peranan terbesar. Kerana apa?

Di tangan wanitalah penentu kepada bermulanya masalah yang lebih besar. Justeru, didiklah hati-hati kita untuk lebih takutkan Allah. Jagalah hati-hati kita dalam rangka untuk menjaga hati-hati mereka daripada kemurkaan Allah.

Memang susah. Kerana itu kita perlu berbalik semula kepada perkara-perkara di atas.

Teringat dulu, pernah mendapat perkongsian (atau lebih berbentuk ancaman) dari cikgu KB.

"Ingat, jika seorang lelaki itu tidak kusyuk dalam solat lantaran kamu, kamu yang akan menanggung dosa-dosanya".

Takut.

Saya sejujurnya tidak pernah terfikir sehingga sebegitu jauh betapa beratnya tugas seorang wanita. Menjaga diri dari menjadi faktor kelemahan seorang lelaki.

Terfikir. Sungguh. Tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah.

Saat menerima message, surat mahupun apa-apa tanda yang menggambarkan dia menyimpan rasa dan ketika itu hati berbunga-bunga. Lantas, apa yang mampu menghalang bisikan syaitan untuk yang seterusnya?

Tidak ada lain melainkan rasa takut dan malu kepada Allah.

Bagaimana dengan lelaki?

Jangan hanya melihat kepada wanita untuk menjaga semuanya. Lelaki juga perlu memainkan peranan besar.

Bersama menahan diri dari memulakan apa-apa tanda. Jaga maruah anda sepertimana wanita perlu menjaga maruah mereka.

Jika belum tiba waktunya, jangan terlalu mudah untuk sebar-sebarkan rasa sayang yang berhak untuk hanya yang halal. Sungguh. Bantu kaum wanita untuk menjaga hati-hati mereka sepertimana mereka perlu menjaga hati-hati anda.

Tidak akan faham selagi tidak faham urgensi Baitul Muslim.

Perkara ini akan dianggap remeh selagi kita tidak melihat urgensi pembinaan bangunan utuh sesebuah institusi keluarga Islam itu.

Urgensi pembinaan baitul Muslim.

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu ialah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk" (al-Israa':32)

1. Melindungi diri dan maruah manusia yang mulia. Lalu mustahil terbinanya baitul muslim jika asasnya sudah mengambil jalan zina (zina hati, zina tangan dll).

", Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (At Tahrim: 6)

2. Berkasih sayang dalam rangka ketaatan kepada Allah. Saling melindungi dari kemurkaan Allah. Justeru, mustahil semua itu akan terjadi, jika asasnya sudah mengambil jalan kemaksiatan (maksiat hati, maksiat mata, maksiat tangan dll).

Mungkin cukup sekadar perkongsian 2 urgensi Baitul Muslim itu sebagai muhasabah kembali akan kefahaman kita terhadap matlamat rumahtangga sebenarnya.

Konklusi.

Maaf kerana saya sebenarnya tidak layak langsung dalam menulis perkara ini kerana saya sendiri masih belum berada dalam alam baitul muslim itu. namun, insyaAllah, semoga tulisan ini dapat membantu diri ini dan sahabat-sahabat yang lain untuk kembali kepada fitrah penciptaan kita.

Realiti hari ini kadang kala mengelirukan kita . Jahiliyyah mengembar gemburkan bahawa hidup tanpa cinta tidak syar'ie adalah suatu kebosanan. Malah wujud fenomena cinta Islami dalam kalangan pekerja amal Islami itu sendiri (na'uzubillah minzalik).

Dan saya menulis ini bukan bermakna saya telah sempurna tetapi sebagai peringatan keras buat diri sepenuhnya.

Semoga Allah redha dengan usaha kita untuk menjadi pemuda rabbani yang melihat akhirat dalam kehidupan dunia.

Wallahua'lam.

*17 Feb 2011. Abang menginjak ke usia 24 tahun. Sanah Helwa ya jamil..Muhammad Zubair Bin Hazni, semoga dewasa dalam keimanan. Sayang bang bair yang setia menjadi abang terbaik buat kami, adik-adikmu..

*12 Januari 2011. Adik menginjak ke usia 15 tahun. Usia awal remaja. Kuatkan dirimu wahai adik, kerana dunia yang ganas sedang menunggu untuk menerkammu. Semoga dewasa menjadi remaja muslim yang meletakkan Allah dalam setiap amalannya, insyaAllah..

*13 Mac 2011. Keluarga kami bakal bertambah. Dan saya di sini hanya mampu tembakkan doa dari jauh, semoga Allah mudahkan setiap urusan..




Monday, February 14, 2011

Mengagumi mereka

Melihat pemuda beriman,

Dalam dunia yang kacau bilau,

Yang kadang-kadang aku sendiri

Selalu jatuh.

Membuatkan aku selalu tertanya,

Makhluk apakah mereka ini?

Malaikatkah?


Mengapa cinta mereka telalu tinggi

Hanya untuk Allah.

Mengapa mereka terlalu bersih

Sehingga kulihat mereka itu putih?


Ya Allah, aku mahu menjadi seperti mereka,

Bersihkan aku Allah.

Aku mahu seperti mereka,

Agar Engkau pandang aku seperti Engkau memandangkan mereka.

Jangan pernah tinggalkan aku Ya Allah.

Kerna jika saat itu datang,

Celakalah aku.

Tidak ada gunanya aku dihidupkan.


Allah,

Hati ini milikMu.

Lemahnya ia adalah ciptaanMu.

Justeru, kuatkan aku untuk menguatkan hatiku.

Agar selalu tunduk dan patuh

Hanya untukMu.


14Feb 2011

Bersama titik air yang mengalir dari mata.

Mengagumi pemuda rabbani seluruh dunia.

Nota:

Dalam melaksanakan amal Islami, kadang-kadang kita terlupa bahawa kita juga milik Allah. Kita asyik memikirkan tentang mereka, tentang bagaimana untuk menyelamatkan mereka dari kemurkaan Allah sehingga terlupa yang kita juga sentiasa dalam pemerhatian Allah.

Menjadi muslim rabbani itu tidak pernah mudah.Kerana syurga indah itu maharnya tinggi. Terlalu.

Takut amal itu dibaluti bersamanya kemaksiatan sehingga ketika dibawa kepada Allah untuk dihisab, ibadah itu hilang lantaran penuh tersalut hitamnya kemaksiatan kepada Allah. Takut. Takut. Teramat takut. Tetapi takut itu perlukan bukti.

Semoga Allah tidak pernah meninggalkan walau sesaat meski hanya sekerlip kerlipan mata.

*balik dari program rehlah ke Ma'rakah Yarmouk, semangat menulis. Tiba-tiba hilang, tidak sempat disavekan. Langsung mati semangat. =_=". Maaf semua..